Theflowersellingboy

Selasa, 3 Januari 2012

Bapa Saya Penorih Getah

Saya teringat akan kata-kata seseorang semasa beliau ditanya mengapa hanya memberi sumbangan yang terlalu sedikit berbanding dengan anaknya walaupun dari segi kemampuan kewangan ia mampu menyumbang lebih dari itu.
 
"Bapa dia orang kaya berjawatan tinggi dan bapa saya penorih getah orang susah" , begitulah kata-kata yang dilafazkan.

Saya amat tertarik dengan kata-kata itu. Ada cerita moral yang hendak disampaikan.
 
Biasanya orang yang dibesarkan dalam keluarga yang susah akan sentiasa ingat kisah lamanya walaupun taraf kehidupannya telah bertukar menjadi orang yang lebih senang dan memegang jawatan yang tinggi dalam masyarakat. Tidak dinafikan juga ada yang lupa daratan. Tapi jumlahnya kecil saja..
 
Membesar dalam keluarga yang susah telah membiasakan kita menghadapi berbagai kesempitan hidup dalam berbagai sudut. Sempit dari kedudukan ekonomi, rendah dari segi taraf sosial dari segi pandangan masyarakat dan tidak mudah untuk mendapat keyakinan dari masyarakat akan kemampuan kita untuk berjaya dalam kehidupan masa depan. Kehidupan yang susah itu seolah-olah akan berterusan dan berkekalan kerana ruang dan peluang selalunya tertutup atau ditutupkan.
 
Pendapatan yang tidak sebanyak mana ditambah pula mempunyai tanggongan yang besar telah mengajar keluarga seperti itu untuk lebih bercermat dalam serba serbi keperluan. Atau dengan kata lain mereka tidak banyak pilihan walaupun ianya satu keperluan. Misalnya makanan yang berzat yang segar untuk membina tubuh dalam proses membesar termasuk keperluan kecerdasan otak tidak boleh dijadikan sebagai asas membuat pilihan. Asas yang digunakan adalah semata-mata asalkan ada sedikit makanan bagi membolehkan mereka menyambong kehidupan pada esok hari dan seterusnya . Itu sudah memadai.
 
Kedudukan yang rendah dimata masyarakat juga telah memudahkan orang yang susah ini untuk membuat apa saja kerja asalkan yang halal kerana tidak ada apa yang hendak dimalukan. Menjadi pencuci longkang, mengambil upah menjaga binatang peliharaan orang, dan berbagai kerja rencam yang lain  tidak menjadi sesuatu yang memalukan kerana kalau malu pun taraf sosial mereka tidak juga menjadi bertambah baik.
 
Pada amnya orang yang susah ini tidak dilihat sebagai mempunyai potensi untuk memperbaikki kehidupan mereka kerana mereka ini tidak akan mampu untuk  memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak. Begitu juga mereka tidak tahu akan peluang-peluang yang mungkin boleh digunakan bagi memperbaikki kehidupan mereka misalnya mendapat bantuan dari institusi, yayasan dan jabatan kerajaan. Kalaupun mereka tahu, dalam banyak hal peluang-peluang itu akan di 'rembat' oleh orang yang senang-senang.
 
Jadi merujuk kepada kata-kata diatas maka sebagai anak penoreh getah sudah tentu orang itu telah melalui berbagai kesempitan hidup. Beliau amat sedar sekali betapa susah dan peritnya untuk mendapat sesuatu. Sesuatu yang susah untuk diperolehi mempunyai nilai yang tinggi yang perlu dijaga dan tidak wajar dibaziri. Maka bercermat dan berdikit sentiasa mempengaruhi pemikiran jika hendak melakukan/membuat sesuatu keputusan tentang perbelanjaan. Barang/perkhidmatan yang hendak diperolehi juga sentiasa mempunyai urutan kepentingan. Yang terlalu asas untuk kehidupan perlu diberi keutamaan dan yang bersifat mewah perlu diketepikan.
 
Oleh kerana pemikiran tersebut telah lama terbentuk maka apabila telah menjadi orang yang mewah yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik dan kedudukan sosial yang tinggi , beliau  tidak mudah untuk berubah berfikir seperti seorang yang hidup dalam kemewahan. Maka jika beliau hanya memberi sumbangan yang kecil berbanding dengan anaknya ianya tidaklah bermakna beliau seorang yang kedekut dan anaknya seorang yang pemurah. 

Sebenarnya dia hendak memberi tahu bahawa anaknya itu tidak biasa dengan kehidupan yang susah. Wang tidak jadi masalah. Sebaliknya beliau perlu berhati-hati dalam perbelanjaan (sumbangan) kerana pengalaman masa susahnya mengajar beliau untuk bercermat. Nilai wang terlalu tinggi baginya. 

Ianya juga hendak memberitahu bahawa anaknya yang hidup dibawah payung kemewahan tidak dapat menilai betapa susahnya untuk mendapat wang bagi meneruskan kehidupan. Sebab itulah mudah saja memberi jumlah sumbangan yang besar.
 
Sesungguhnya perkara seperti ini berlaku dikalangan sebahagian besar dari kita semua. Cuba lihat, perhati dan renung dengan penuh insaf akan cara, gaya, lagak, perangai, kesukaan, minat dan  kecenderungan anak-anak kita sekarang ini. Bagi saya seseorang yang pernah menjalani keperitan hidup dan telah berjaya pula dalam memperbaikki taraf ekonominya, akan dapat melihat perbezaan sikap dan sifat diantara dirinya dengan anak-anak yang hidup dalam keadaan lebih senang dari kehidupannya dulu. Anak-anak terlalu manja dan mewah berbelanja ikut suka.

Tidak semuanya begitu. Tapi secara amnya begitulah.

Isnin, 2 Januari 2012

Diikat dan Dirotan Tapi Sayang Tetap Sayang.

Sewaktu berihat selepas memesin rumput  dipersekitaran kawasan rumah fikiran saya melayang ke zaman kanak-kanak dalam tahun  1960an dahulu. Teringat fasal membantu abah menoreh getah masa cuti sekolah; kesah abah yang garang; kesah kehidupan kami yang susah dan kesah diikat dan dirotan oleh abah.
 
Semasa itu baru dipenghujung tingkatan satu pada musim cuti persekolahan yang panjang untuk memasuki tingkatan dua pada tahun hadapan. 
 
Waktu cuti sekolah adalah waktu yang digunakan sepenuhnya untuk membantu abah saya dalam kerja menoreh getah. Abah saya bekerja menoreh getah di ladang kepunyaan Orang Putih yang dibayar gaji mengikut hari kerja. Saya tidak pasti berapa jumlah upah yang dibayar. Tapi saya kira purata sebulan tidak melebihi seratus ringgit. Itu pun bergantong kepada musim. Jika musim tengkujuh , upah yang di terima adalah kurang dari musim panas kerana hari menoreh getah telah berkurangan disebabkan pokok getah yang basah.
 
Pada cuti sekolah ini bermula jam sepuluh atau jam dua belas bergantong kepada cepat atau lambatnya emak menyediakan makanan , saya bersedia untuk mengayuh basikal tua yang buruk untuk ke ladang getah tempat abah menoreh untuk menghantar makanan. Sampai saja saya di ladang getah itu yang jaraknya lebih kurang 6 kilo dari rumah, abah masih meneruskan torehan dari pokok ke pokok. 
 
Oleh kerana sebahagian besar pokok getah itu telah menerima banyak torehan dibahagian bawah sepadan dengan ketinggian penoreh, yang saya kira tidak melebihi tujuh kaki maka torehan dibahagian atas terpaksa dilakukan dengan menggunakan tangga. Saya melihat abah memikul tangga di bahunya bergerak dari satu pokok ke satu pokok.
 
Tanpa di sedari air mata saya keluar kerana terlalu sedih melihat beban yang di tanggong oleh abah. Lantas saya membantunya dengan bergilir-gilir mengangkat tangga membawa dari satu pokok ke satu pokok. Abah tidak berkata apa-apa kerana itulah sifatnya yang tidak pernah menunjukkan kemesraan kepada anak-anak. Tapi hatinya tetap sayang kepada anak-anaknya tanpa pernah menyatakan 'abah sayang kau'. Mencari nafkah yang halal adalah petanda bahawa abah menyayangi kami semua supaya dapat makan minum dan berpakaian sekadar  yang ada.
 
Waktu cuti sekolah bukan masanya untuk melancong atau bersenang-senang.
 
Cara didikan pula berbeza dengan cara saya mendidik anak-anak yang banyak manja dan terbuka.

 
Abah mendidik dengan cara menggunakan autoriti sepenuhnya sebagai seorang bapa. Kuasa penuh baginya melakukan apa saja yang pada pendapatnya baik untuk masa depan anak-anaknya. Luka, cedera dan kesakitan akibat dari hukuman yang dikenakan keatas anak-anaknya tidak boleh dipersoalkan. Kami terlalu takut untuk menjadi malas kerana hukumannya berat sekali.

 
Sesungguhnya kami dididik dalam keadaan sentiasa takut dan gerun kepada abah. Ertinya kami tidak pernah berani untuk memulakan percakapan melainkan apabila dipanggil dan ditanya. Tidak berani untuk mencadangkan sesuatu apatah lagi untuk meminta. Lagi pun apalah yang dapat diberikan dengan upah yang sedikit itu bagi menanggong enam orang anak.
 
Oleh kerana kami tidak berani dengan abah maka sebarang keperluan misalnya bayaran wang sekolah atau untuk membeli pensil dan buku kami lakukan melalui emak. Biasanya yang kena marah ialah emak kerana jawapan yang pasti di terima ialah 'mana aku nak cari duit. Dapat makan pun dah cukup'. Kesian emak.
 
Pendapatan yang kecil ini telah mendorong abah, atas cadangan orang kampong yang bersimpati akan kehidupan kami, memohon bantuan  dari Jabatan Kebajikan yang lebih terkenal dengan panggilan welpey (welfare) dikalangan orang kampong. Permohonan kami itu pada mulanya telah ditolak kerana pada penyiasatan pegawai welpey itu kami tidak layak sebab mempunyai peliharaan kambing yang banyak. Rupanya pegawai welpey itu semasa ke rumah kami mendapati banyak kambing jiran yang datang berteduh dibawah rumah semasa hujan. Pegawai itu menyangkakan kambing itu milik kami. Namun apabila maklumat ini diberitahu maka bantuan welpey telah diluluskan. Saya tidak tahu berapa jumlahnya dan berapa lama bantuan itu kami terima. Kami ini anak welpey lah.

Bercakap fasal binatang peliharaan ini sebenarnya kami ada juga membela beberapa ekor lembu dan kerbau. Cuma binatang peliharaan ini tidak mudah untuk dicairkan ke tunai kerana sebahagian besar orang kampong mempunyai binatang peliharaan juga, selain taraf hidup mereka sama juga seperti kami . Kalau lebih pun tidaklah jauh bezanya.

Jadi dalam keadaan seperti ini biasanya apabila ada keperluan untuk membeli buku dan lain-lain bayaran persekolahan sebahagian besar orang kampong tidak  ada wang. Dengan demikian ramai dari anak-anak mereka terpaksa berhenti sekolah walaupun mereka mempunyai binatang peliharaan yang banyak kerana tidak mudah untuk mendapat pembeli. Anak-anak yang mampu meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi adalah anak-anak kakitangan kerajaan seperti anggota polis, askar, guru, kerani dan sebagainya kerana mereka mempunyai tunai bagi melangsaikan bayaran berbanding dengan mereka yang tidak bekerja dengan kerajaan walaupun mempunyai banyak binatang peliharaan. Dan mereka ini tidak banyak maklumat dan pendedahan tentang betapa pentingnya pelajaran berbanding dengan kakitangan kerajaan.
 
Garangnya abah adalah satu perkara yang biasa kerana boleh dikatakan kesemua bapa ketika itu mempunyai sifat yang sama terhadap anak-anak mereka. Tidak ada langsong kemesraan yang di tunjukkan. Silap saja rotan naik atas belakang. Ada setengahnya di ikat di pangkal pokok manggis dan di rotan sampai lebam dan berdarah. Bukan sekali. Saya tidak terkecuali. Kalau kerbau atau lembu jagaan hilang maka bersiap sedialah saya untuk menerima hukuman, dirotan. Menangis teresak-esak. Emak tidak boleh campur tangan. Pernah beberapa kali saya jatuh dari memanjat pokok manggis dan rambutan. Hampir pengsan. Saya tidak  memberitahu kepada emak dan abah kerana kalau di beritahu habuannya paling kurang ialah tengkengan, paling teruk ialah rotan.
 
Walaupun dirotan, diikat saya dan adik beradik yang lain tidak langsong menyimpan rasa marah kami kepada abah. Malah kami sayang dan sentiasa mendoakan rohnya dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai.

Oleh kerana panas terik saya tidak mampu untuk meneruskan kerja memotong rumput itu lagi. Saya terus masuk ke dalam rumah dan terdengar suara anak lelaki saya yang masih bujang menyanyi didalam bilik air. Nasib baik datuknya sudah tiada. Kalau tidak habuannya ialah rotan. Tapi sanggupkah datuk merotan cucu? Yang pasti saya tidak akan melakukan perkara yang sama seperti yang telah dilakukan oleh abah saya dulu. Bezanya dulu air mata saya keluar terlalu kasihan melihat abah yang kepenatan.

Ahad, 1 Januari 2012

Mengakhiri Tahun 2011 dan Memulakan Tahun 2012: Menjual Nasi Lemak

Saya mengakhiri tahun 2011 dengan rekod yang kurang menarik dari segi paparan dikedua-dua blog iaitu  the flower selling boy dan zahar blog di wwwzahar.blogspot.com terutamanya pada bulan December. Satu dari sebabnya ialah kerana berpindah ke kediaman baru di Putrajaya. Berpindah ke kediaman baru membuatkan saya rasa keletihan maklumlah usia yang semakin menghujung. 
Bagi tahun 2012 saya akan cuba memperbaikki prestasi paparan tahun 2011 dengan menyajikan paparan setiap hari, dengan izin Allah.

Bagi memulakan paparan pertama tahun 2012 saya ingin membawa satu paparan yang mengkesahkan cerita penjual nasi lemak. Saya sengaja memilih tajuk ini kerana makanan nasi lemak telah terkenal dikalangan kita semua sebagai satu dari makanan sarapan pagi. Pada asalnya begitulah. 

Tapi kecenderungan selera ketika ini tidak lagi mengkhususkan makanan itu hanya untuk sarapan pagi saya. Ianya boleh saja dimakan mengikut masa yang kita pilih. Tambahan lagi bekalannya sentiasa tersedia ada, terutama dibandar-bandar besar, bila-bila masa kita mahu makan nasi lemak boleh saja. 
Maka tersebutlah satu peristiwa tentang pesaingan dalam perniagaan nasi lemak ini. Oleh kerana ramai yang menggemarinya dan boleh laku dijual bila-bila masa saja maka ianya telah menjadi satu daya tarikan kepada ramai orang untuk mencuba nasib dalam perniagaan ini. Menjadi peniaga nasi lemak.

Macam cendawan tumbuh selepas hujan, merata-rata tempat warung, kedai kaki lima dan restoran boleh kita dapat penjualan nasi lemak ini. Ini satu petanda yang baik kepada penggemar nasi lemak kerana terdapat pesaingan dikalangan penjual nasi lemak. 

Apabila ada pesaingan maka penjual nasi lemak itu akan cuba sebaik mungkin untuk menarik lebih ramai pelanggan untuk menikmati nasi lemak masing-masing. Nasi lemak yang disajikan itu adalah yang menyelerakan dan perkhidmatan yang diberi kepada pelanggan juga diberikan secara yang terbaik misalnya layanan penuh senyuman dan cepat menyajikan makanan kepada pelanggan. Begitu juga menyediakan persekitaran yang bersih dan menarik. Ertinya mesti ada daya penarik.

Kecenderungan untuk meningkatkan mutu makanan dan perkhidmatan ini amat baik kepada pelanggan kerana pelanggan mendapat sesuatu yang kata orang sebagai 'value for money'. 
Tapi ada juga peniaga yang bersaing itu melakukan sesuatu yang melampaui adab berniaga. Apa kah agaknya? 

Begini ceritanya. Peniaga ini telah hilang akal dan budi sebagai manusia yang mempunyai rasa kemanusian. Kerana apa? Kerana ia bersahabat dengan syaitan iblis. 
Dia gunakan khidmat tok bomoh. Diupahnya tok bomoh itu supaya menjadikan pesaingnya yang menjual nasi lemak itu sebagai orang yang tidak disukai. Bahkan kedai pesaing itu tidak kelihatan dimata pelanggan. Kalau nampak pun minat untuk singgah dikedai itu menjadi tawar dan tidak suka. Maknanya segala-galanya dibuatkan supaya nasi lemak pesaing itu tidak laku. Dan pelanggan akan beralih ke kedainya.

Cerita ini pernah saya diberitahu. Tapi saya tidak mengetahui apakah sebenar-benarnya perkara itu berlaku. Cuma saya hanya yakin bahawa penggunaan cara seperti ini memang menjadi satu dari budaya orang Melayu dalam pengertian konsep bersaing. Gunakan bomoh dan ilmu hitam dalam mengalahkan pesaing. 
Sepatutnya peniaga itu menggunakan cara yang lebih sihat dalam berurusan sesama manusia. Belajar meningkatkan mutu nasi lemak yang dijualnya, cantikkan lagi perkhidmatan dengan memberi layanan yang baik, tempat yang bersih dan menarik.

Kalau kita kaitkan dalam persaingan politik, ianya membawa maksud bahawa bersainglah secara yang sihat. Baikki tata kelakuan, perangai, sikap dan penampilan. 

Kalau yang belum berkuasa dan mahu pula cuba berkuasa, berkempenlah secara sehat dan jangan buat pertuduhan yang tidak benar melalui apa cara sekali pun. Sebelum berkuasa kita telah berkelakuan seperti itu maka kalau sudah ada kuasa saya percaya lebih teruk lagi akan dilakukan.

Bagi yang telah diamanahkan kuasa, ambillah tanggongjawab seperti yang diharapkan iaitu menjaga amanah yang telah diberikan sebaik mungkin. Ingat jangan salah guna kuasa, tidak boleh rasuah dan tidak boleh buat fitnah. Menipu, berbohong, merompak harta negara, dan meyeksa dan mendera pesaing kita dengan apa cara sekali pun adalah salah. Mengada-ngadakan sesuatu dengan tujuan bagi memalu dan merosakkan nama baik pesaing lantas mempengaruhi pihak tertentu yang kita ada kuasa keatasnya untuk memenjara pesaing itu terlalu amat salah. Itu kerja syaitan seperti yang dilakukan oleh penjual nasi lemak tadi. 

Dan apabila ianya kerja syaitan maka ianya adalah salah belaka. Oleh itu bagi tahun 2012 ini saya mahu memulakan dengan langkah kearah cuba memperbaikki diri supaya dapat menangkis godaan syaitan. Sudah tentu dengan pertolongan dari Allah dan dengan izinnya. Saya tidak mahu jadi penjual nasi lemak yang menggunakan perkhidmatan bomoh dalam setiap paparan ini.