Theflowersellingboy

Ahad, 4 Disember 2011

BALIK KAWASAN MENGHADAPI MASYARAKAT

Begitu bersemangat sekali ucapan-ucapan terakhir (ini tanggapan saya saja kerana selepas ini nasib mereka akan ditentukan oleh rakyat ) daripada pimpinan UMNO dihari menurun tirai persidangan tahunan mereka. Dapat disimpulkan bahawa  kesemua mereka begitu yakin sekali dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini yang tarikhnya hanya diketahui oleh presidennya saja (mungkin timbalan?). Mereka yakin akan menang. Kemenangan yang melebihi dari tahun 2008, sekurang-kurangnya kemenangan pada kadar 2/3 atau melebihi 66%.

Mereka mempunyai asas dalam keyakinan yang baru diperolehi itu setelah memenangi sebahagian besar pilihanraya kecil yang telah diadakan misalnya kawasan dewan undangan negeri di Negeri Sembilan dan kawasan Parlimen di Selangor. Ini didahului dengan kejayaan mereka dalam masa yang begitu singkat merampas semula pentadbiran Negeri Perak yang dimenangi PR semasa pilihanraya Mac 2008.

Maka pimpinan membekalkan keyakinan ini kepada para delegasi yang akan balik kawasan untuk menghadapi rakyat memanjangkan lidah pimpinan bagi menyampaikan segala kebaikan dan keuntungan dan faedah yang akan rakyat nikmati jika rakyat sekali lagi memilih mereka dalam pilihanraya yang akan datang ini. Mereka telah memberi perkhidmatan dengan penuh keikhlasan, amanah, kerja kuat, prihatin akan keperluan rakyat, penuh kasih sayang kerana mereka memahami akan denyut nadi dan perasaan rakyat, mereka adalah pelindung rakyat dari ancaman pecah belah dan huru hara, dan yang paling penting sekali mereka adalah perisai kepada survival orang Melayu termasuk raja/institusi raja, agama Islam dan negara dari dulu , kini dan selama-lamanya. Maka undilah mereka.

Namun dalam keyakinan itu terdapat juga keraguan yang berbentuk kecurigaan akan taat setia mereka yang akan menjadi penyampai hasrat pimpinan itu. "Jangan skor gol sendiri". Begitulah 'amaran' mungkin juga 'rayuan' yang telah dihamburkan oleh Timbalan Presiden UMNO dalam ucapannya itu. Pengalaman dari pilihanraya 2008 gamaknya.

Bagi saya BN khususnya UMNO susah untuk ditewaskan. Maka jika tewas dalam pilihanraya yang akan datang ini adalah disebabkan secara amnya oleh dua hal utama iaitu tidak mendapat sokongan dari orang bukan Melayu termasuk mereka dalam parti gabungan BN , dan tabiat suka/terpaksa skor gol sendiri. 

PR  tidak ada kekuatan dalam banyak segi antaranya tiada wang yang mencukupi. Dengan itu jentera pilihanraya terlalu goyah dan lemah untuk berhadapan dengan 'pujukan' dan 'bujukan' dari lawan. Banyak anggota penggerak pilihanrayanya termasuk juga yang jadi calun akan cair atau mudah dicairkan. Tiada juga kuasa untuk melibatkan anggota jabatan-jabatan dan kelengkapan serta  peralatan kerajaan, tidak memegang peruntukan untuk dijanji dan diumumkan dalam kempen pilihanraya apatah lagi untuk membawa ole-ole segera pilihanraya.

Maksudnya kalau cakap fasal wang PR kecundang. Cakap fasal jentera pilihanraya yang terdiri dari orang dan kelengkapan/peralatan, PR kecundang juga.  Cakap fasal 'executing the actions' yang bergantung sangat kepada dua hal yang disebutkan awal tadi, PR terus kecundang. 

Kuasa BN/UMNO tidak mengikut umur parlimen sesuai dengan kata-kata hikmat mereka : Dulu, Kini dan Selama-lamanya.

Walaupun parlimen telah dibubarkan, bekas ahli parlimen BN/UMNO terutama Menteri-menteri yang bertaraf  'care taker' (tugas sementara sementara pembentukan kerajaan yang baru) masih lagi boleh/terus bertindak seperti sebelum parlimen dibubarkan. Kempen mengempen dan umum mengumum peruntukan projek dan apa saja masih lagi menggunakan peruntukan kerajaan termasuklah penggunaan anggota dan kelengkapan/peralatan kerajaan. Pada masa berkempen atau sebelum hari berkempen dalam musim pilihanraya , minta apa saja, jarang sekali rakyat akan dikecilkan hati. Paling tidak beberapa ekor lembu/kerbau akan ditumbangkan bagi meraikan rakyat. 

Begitulah keperhatinan BN terhadap rakyat semasa kempen pilihanraya. 

PR boleh atau mampu buat? Sudah tentu tidak mampu. Maka kepada rakyat mereka ini tidak prihatin dan kedekut. PR banyak bercakap. Gunakan air liur untuk meraih undi. Cakap fasal memerangi rasuah, keterbukaan, menghapuskan salah guna kuasa, keadilan, hak kebebasan rakyat bersuara dan apa saja yang boleh diistilahkan demi kepentingan rakayat  tidak mampu untuk berdepan dengan realiti mendapat habuan segera dan cepat. Tidak kisahlah habuan itu datang bermusim kerana ianya sudah menjadi suatu kebiasaan yang memang telah dijangka, diharapkan dan ditunggu-tunggu kerana musim yang lepas pun begitu juga. Tidak nampak ianya suatu yang salah dan tidak kena. Seronok menikmatinya berbanding dengan memerangi rasuah dan kebebasan rakyat untuk bersuara.

Sebab itu terlalu sukar dan perit bagi PR untuk menang. BN akhirnya yang akan menang. Kali ini saya percaya akan memperbaikki keputusan 2008. Bukan kerana rekod BN bertambah baik tetapi kerana wang, jentera dan kuasa. Bak kata PM yang membawa maksud bahawa 'kita akan melakukan secara luar biasa'.

BN akan kalah atau menang tipis atau kalah tipis adalah disebabkan oleh dua hal yang utama yang disebutkan diawal tadi iaitu tidak disokong oleh bukan Melayu, dan skor gol sendiri.

Hal yang pertama nampaknya jelas sekali bahawa orang bukan Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada BN khususnya kepada parti-parti komponen MCA, MIC, Gerakan dan PPP  termasuk ahli parti itu sendiri terutama orang Cina. Saya percaya mereka sudah muak dan meluat dengan BN. Sebabnya? Terlalu banyak sebab yang tidak cukup ruang untuk disenaraikan cuma memadai dengan mengatakan bahawa mereka berpendapat setelah begitu lama diberi peluang memerintah BN masih lagi berwajah dan berperangai serupa. Apa dia? Rasuah dan Salah Guna Kuasa. Sama ada betul atau tidak itu persepsi mereka.  Dan bagi saya, jika BN jujur, buktinya memang jelas dimata. Tak perlu pakai cermin mata berkuasa tinggi.

Bagi saya orang Cina tidak mudah dibeli. Tidak laku gula-gula. Mereka boleh tersenyum apabila dirayu untuk memilih BN, undi hak mereka. Tidak seperti orang Melayu dan Bumiputera terutama dikampong-kampong yang mempunyai sumber maklumat yang terhad dan pendidikan yang tidak berapa tinggi , mudah saja cair jika menerima atau dijanjikan habuan. Mereka masyarakat yang tidak cerewet (simple) dan mempunyai tahap ketaatan yang susah untuk digoyah atau diubah. Kalau dulunya mengundi UMNO/BN maka mengapa sekarang perlu menukar parti yang lain. Selama-lamanya undilah UMNO/BN.

Sama juga dengan orang India. Tetapi mereka lebih mengerti sedikit berbanding dengan orang Melayu dari segi hak mengundi.

Orang Cina sudah jelas dimana undi mereka akan pergi. Orang India masih lagi boleh diberi gula-gula seperti orang Melayu. Cuma tidak dapat dipastikan nisbahnya.

Jadi dalam keadaan ini BN akan menang tipis atau kalah tipis.

UMNO/BN akan kalah jika berlaku seperti yang telah diberi amaran oleh TPM itu iaitu masuk gol sendiri. Maka PRlah yang akan menang.

Bagaimana boleh timbul situasi tendang gol sendiri ini? Yang dapat saya fikir antaranya seperti yang selalu diingatkan ialah tidak dapat menjadi calun.

Mereka yang merasakan atau yang akhirnya tidak akan menjadi calun adalah penghalang terbesar untuk UMNO menang. Sabotaj sana sabotaj sini.

Namun situasi itu dapat juga diatasi kalau ada habuan tukar ganti walaupun ianya tidak semewah menjadi YB jika menang nanti. Ini adalah satu perkara yang biasa. Takkan melopong saja tidak dapat apa-apa terutama kepada mereka yang telah berkhidmat begitu lama dalam parti.

Bagaimana pula yang masih mengatakan dialah calun 'winnable' , yang boleh memenangkan UMNO? Mereka masih lagi mahu mencurahkan khidmat bakti demi bangsa, agama dan negara. Yang inilah agaknya menjadi kerisauan TPM tadi.

Alasan untuk menjadi calun itu sungguh murni sekali. Tapi saya terdengar juga semasa mengikuti petikan perbahasan ahli-ahli dipersidangan UMNO baru-baru ini melalui tv, terdapat suara-suara lantang yang mahukan ahli-ahli parti mengetuai GLC kerana mereka memahami hasrat dan perjuangan bagi mengangkat maruah dan ekonomi orang Melayu. Projek, kerja dan kontrak dapatlah diagih-agihkan kepada mereka.

Sepintas lalu bagus juga cadangan itu terutama kepada ahli-ahli parti UMNO. Namun mereka ini tidak sedar akan kesan kepada pihak lain yang diluar parti UMNO termasuk orang Melayu dan bukan Melayu yang tidak mengaitkan diri mereka dengan mana-mana parti politik. Jangan kata mereka ini 'orang atas pagar' seolah-olah mengatakan mereka tidak ada prinsip. Mereka matang berfikir dan bertindak.

Tapi desakan itu secara langsung mengesahkan apa yang dihujahkan oleh orang ramai terutamanya pembangkang bahawa benarlah UMNO ini suka mengamalkan 'nepotism' yang mana UMNO sentisa menafikan. Sementara mereka berkuasa berilah apa yang ada untuk mereka. Sebab mereka mahu hidup mewah dan senang tanpa berusaha kuat. Dapat tender secara tender terhad (saya katakan terlalu terhad kerana mereka mahu untuk kumpulan mereka saja, itulah hasrat desakan mereka), runding harga, sistem 'design and built' yang boleh dimanipulasikan dan berbagai cara lagi.

Lihat, ahli yang mendesak itu akan balik ke kawasan untuk cuba memenangkan UMNO. Katakan dia/mereka tidak menjadi calun. Maka peluang untuk mewah akan terlepas. Apa yang perlu dibuat? Skor gol sendiri. Sebab asas desakan beliau/mereka itu ialah untuk hidup mewah tanpa kerja keras. Berikan saja kepada mereka. Hanya jadi YB hidup akan terjamin mewah.

Ada yang mahu menafikan? Memang ada. Ini satu penyakit UMNO atau banyak dari ahli UMNO, tidak semuanya. Denial syndrom. Orang Cina secara pelat-pelat akan berkata "wa picayalah".

Hanya saya nak ambil satu perbandingan. Katakan ahli UMNO itu seorang doktor perubatan yang baru keluar dari Universiti dan telah pun menjalankan khidmat wajib 2 tahun yang dipilih menjadi calun dan menang. Sahabatnya yang berkelulusan sama,  keluar pada tahun yang sama dari Universiti yang sama juga tetapi terus berkhidmat sebagai penjawat awam. Saya nak tanya: i) diantara dua kerjaya ni siapakah dulu yang akan dapat beli rumah? Maksud saya rumah besarlah bertaraf mewah. ii) dalam tempoh yang singkat siapa yang akan dapat memandu kereta mewah? iii) siapa yang mampu membeli dan bermain dipasaran saham? Cukup tiga soalan itu saja.

Itu perbandingan 'apple dengan apple'. Banyak juga mereka yang tidak belajar pada tahap yang sesuai untuk keperluan masa ini terutama YB di peringkat DUN menjadi mewah dalam tempoh yang singkat berbanding dengan seorang doktor yang pernah sekelas dulu. 

Masih tak percaya lagi. Masih mahu nafikan. Lihatlah persekitaran anda.

Maknanya jadi YB sebenarnya untuk mengejar kemewahan. Tapi tidak semua begitu. Yang hendak mengejar kemewahan inilah yang skor gol sendiri.

Orang yang membuat desakan itu mungkin terlupa atau telah dipengaruhi sangat oleh nafsu tamaknya bahawa yang boleh memberi kemenagan kepada UMNO itu bukan ahli UMNO saja. Orang Melayu diluar UMNO pun terlalu penting. Apa kah perasaan orang Melayu yang bukan ahli UMNO terutama yang ketika ini memegang atau mengetuai GLC itu dengan desakan seperti itu. Mereka pun ada perasaan dan yang paling penting mereka mempunyai hak untuk mengundi. Bukan mereka saja termasuk sanak saudara dan sahabat handai orang sekampong. 

Kecuali jika UMNO terlalu gah menganggap  orang  Melayu luar UMNO itu tidak penting dan boleh dinyahtepikan kerana boleh menang tanpa mereka. Tapi lupakah akan kata-kata TPM bahawa ada ahli UMNO yang tendang ke arah gol sendiri. Kalau sudah ingat dan sedar jangan mengelabah pula mencari orang Melayu di luar sana. 

Kepada orang bukan Melayu pula sama ada orang BN atau luar BN
desakan seperti itu menguatkan keazaman mereka untuk mengalahkan BN kerana jika BN terus berkuasa maka mereka akan menerima kesannya berterusan.

Kesimpulannya ialah UMNO/BN sepatutnya boleh menang. Menang 2/3, dan paling teruk menang tipis. Mereka ada dan menguasai segala yang diperlukan dalam sebuah pilihanraya di Malaysia. 

Yang membuatkan UMNO/BN kalah ialah perangai orang-orang UMNO itu sendiri termasuk diperingkat kepimpinan yang tidak puas-puas mahu hidup mewah secara mudah, yang sentiasa menggunakan cara yang menjijikkan memfitnah dan berbohong secara terang-terangan seolah-olah orang ramai khususnya  orang Melayu tidak dapat membezakan yang hak dengan yang batil, yang fitnah dengan yang benar. Perangai ini dari dulu dan diteruskan hingga sekarang. Saya tidak pasti ianya akan kekal selama-lamanya. Harap-harap mereka berubah seperti yang selalu diucapkan.

Saya percaya itu adalah perangai orang UMNO yang mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara. 

Seperti yang saya katakan tidak semua begitu kerana terdengar juga suara-suara ahli persidagan yang menyuarakan kebimbangan tentang kes yang popular dengan kondo lembu. Kata mereka, ini menyusahkan mereka untuk balik ke kawasan untuk meyakini rakyat supaya mengundi UMNO/BN.

Masih mau nafikan. Ini bukan kata saya. Ini bukan kata pembangkang.

Jadi bagaimana ahli-ahli itu akan menghadapi rakyat kawasan? Kalau tidak terpilih menjadi calun, bagaimana perangai mereka?

Semuanya ini akan menentukan menang atau kalah UMNO/BN. Tapi kalau dapat diuruskan secara terbaik UMNO/BN paling teruk akan menang tipis.
 

Jumaat, 2 Disember 2011

Salam Jumaat 37: Budi diKenang, Jasa diBalas

Assalamualaikum wbth . Bersama-sama kita berdoa agar Allah mengurniakan kesihatan kepada kita semuanya, sihat tubuh badan dan akal fikiran. Amin.

Pisang emas dibawa belayar
Masak sibiji diatas peti 
Hutang emas boleh di bayar
Hutang budi dibawa mati

Tenang-tenang air di laut 
Perahu kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik tetap dijunjung

Dua pantun lama Melayu yang empat kerat diatas sengaja saya paparkan untuk kita mengingat semula akan cara bagaimana masyarakat Melayu lama mahu menyatakan perasaan mereka berkaitan dengan sesuatu hal. Paparan ini juga bertujuan untuk memberi tahu anak-anak generasi baru yang sebahagian besarnya mungkin tidak mengetahui kewujudan pantun dan peranannya dalam masyarakat Melayu dulu sebagai satu dari cara mereka menyampaikan perasaan bagi sesuatu maksud.
Bagi saya cara penyampaian maksud di hati itu sungguh indah sekali dengan di dahului kata-kata bayangan. Cuma ianya memerlukan masa yang lebih berbanding dengan ucapan terus bagi maksud yang hendak disampaikan.  

Pantun-pantun diatas bercakap fasal budi. Budi diKenang. Ianya tidaklah sama dengan Jasa walaupun amat susah untuk memisahkan antara keduanya. Jasa diBalas.

Hutang emas boleh dibayar tapi hutang Budi dibawa mati.

Jelas bahawa hutang budi itu tiada dapat diukur nilai harganya. Hanya dikenang sehingga ke akhir hayat. Tidak perlu dibayar dan tidak juga mampu dibayar kerana kita tidak dapat mengukur nilainya. Emas intan dapat dinilai.

Hati terkenang mulut menyebut dan Budi baik tetap dijunjung

Sama juga dengan diatas bahawa budi itu sentiasa menjadi sebutan dan dikenang-kenangkan bahkan ia sangat dipandang terlalu tinggi sebab itu dikatakan dijunjung. Anggota badan seseorang yang paling diatas sekali ialah kepala dan budi ini adalah diatas kepala maka ianya sudah tentu mengatasi kepala dari segi kedudukan ketinggiannya jika dibuat ukuran. 

Sebaliknya Jasa adalah satu khidmat yang telah diberi atau dicurahkan dengan berasaskan kepada pertimbangan balasan. Dan balasan ini boleh dalam berbagai bentuk misalnya wang upah, status, anugerah, habuan dan kenaikan pangkat. Ianya boleh dinilai dan diukur walaupun penilaian dan ukuran yang digunakan itu mempunyai piawai yang sama dan berbeza bagi khidmat yang sama.

Jasa dari khidmat itu  selalu diungkit-ungkitkan atau diingat atau ditimbulkan untuk sesuatu balasan atau tanda ingatan. Misalnya seseorang yang dikatakan telah berjasa tapi telah mati maka jasanya boleh dibalas  dengan memberi nama sesuatu jalan atau bangunan dengan nama orang itu. Atau memberi sesuatu gelaran  misalnya aruah P.Ramli yang diberi gelaran Tan Sri kerana jasanya dalam dunia seni.

Sebab itu Jasa dibalas. Boleh juga dikenang tetapi tidak sama seperti mengenang budi kerana jasanya telah dibalas. 

Apabila jasa itu boleh diukur maka ianya boleh diperingkat-peringkatkan tahapnya. Misalnya pada tahap cemerlang, terbaik, baik, sederhana, memuaskan dan tidak berapa baik serta tidak baik. Mungkin ada yang tidak bersetuju apabila jasa itu dikaitkan dengan tidak berapa baik dan tidak baik. Apabila orang berjasa maka ianya telah memberi khidmat yang baik kalau tidak ianya tidak dipanggil jasa.

Sesaat fikir benar juga. Tapi apabila ada ukuran dengan piawaian tertentu dan ada juga yang berbeza bagi perkara yang sama maka sudah tentu apa yang ditahapkan sebagai baik oleh seseorang itu tidak semestinya baik bagi  orang/pihak yang lain kerana orang lain itu ada piawaian juga. Maka jasa ini adalah satu penilaian yang subjektif. Dan mereka yang telah memberi khidmat adalah mereka yang telah berjasa menurut setengah pihak.

Budi bukan untuk diungkit-ungkitkan atau boleh diungkit-ungkitkan. Jika itu berlaku maka tercemarlah budi itu kerana tiada niat lain mereka yang berbudi itu melainkan berbudi saja , tidak mengharapkan balasan berbentuk kemewahan, kedudukan, habuan, hadiah, upah dan kenaikan pangkat. Jika ada yang terasa telah menerima budi, orang itu cuma sekadar mengingati akan budi yang telah diterima sehingga ke hujung hayatnya. Orang yang berbudi itu tidak pernah meminta budinya dikenang apatah lagi untuk dibayar. Budi tiada piawaian untuk mengukurnya.  

Jadi budi perlu dikenang dan jasa hanya perlu dibayar. 

Maka mereka misalnya Kerajaan yang meminta supaya budi mereka dikenang adalah tidak tepat. Mereka hanya memberi perkhidmatan dan kerana itu mereka berjasa menurut piawaian mereka saja. Segala perkhidmatan mereka telah dibayar. Malah ada yang tidak menjalankan perkhidmatan mereka secara yang sepatutnya. Perkhidmatan mereka dibayar juga. Paling buruk sekali mereka melakukan sesuatu yang diluar dari yang sewajarnya misalnya melakukan rasuah dan salah guna kuasa. Tapi khidmat mereka dibayar juga.

Jadi mengapa pula mengatakan rakyat tidak mengenang budi jika tidak memilih mereka semula.

Mungkin mereka lupa Budi hanya untuk dikenang dan tidak perlu dibayar. Jasa mereka perlu dibalas. Dan kalau jasa itu mengikut piawaian kita, ianya yang baik kita wajar membalas. Undilah mereka semula. Dan jika sebaliknya dan jika mereka bertanding, ketepikan mereka.

Bahawa apabila ada pihak yang meminta budi dibalas maka orang/pihak itu tidak pandai berbahasa kerana budi hanya dikenang saja. Sebenarnya apabila diminta balas , itu bukanlah budi. Sebab itu saya kata mereka tidak johari dalam berbahasa. Mereka tidak tahu berbudi dan tidak juga tahu berbahasa. Mereka tidak berbudi bahasa. Sebab itulah yang bukan hak boleh saja digunakan sesuka hati mengikut selera dan nafsunya saja.

Berkaitan dengan hak ini, pengertiannya amat luas sekali. Bukan saja terhad kepada wang dan harta benda. Ia termasuk antaranya memberi malu atau menghina seseorang atas kekuatan kedudukan dan kuasa. Contoh, apa yang telah dilakukan oleh Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor apabila dengan besar hati dan bangganya memalukan seorang penjawat awam dengan hadiah penyapu di hari kecemerlangan jabatan berkenaan. 

Tidak ada budi dan tidak tahu bahasa. Tapi beliau masih lagi berharta sebagai balasan khidmat yang telah diberikan.

Satu lagi contoh ialah membuat fitnah dan menyebar fitnah berulang kali menggunakan apa saja kesempatan, peluang dan medan serta media dan jentera yang mereka kuasai. Ya, mereka ini juga telah diiktiraf sebagai berjasa. Maka telah mendapat berbagai kemewahan dan habuan sebagai balasan. 

Sekali lagi saya katakan mereka seperti ini tidak ada budi dan tidak tahu berbahasa. Sebab itu apabila mereka bersara, berhenti atau diberhentikan dari perkhidmatan maka mereka telah salah pilih perkataan dalam tulisan dikain rentang yang berbunyi "Khidmat dan Jasa Mu dikenang". Sebenarnya tidak ada apa yang perlu dikenang kerana mereka sudah dapat balasan.

Mereka tidak layak untuk meraikan pantun dibawah ini,

Pulau Undan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

Ada terdapat perkataan balasan dalam pantun diatas? Tiada. Yang ada perkataan budi yang perlu dikenang.

Sekali lagi saya cadangkan bahawa sesiapa yang meminta budinya dibalas dengan mengundinya pada pilihanraya yang akan datang ini hendaklah diketepikan. Mereka tidak ikhlas.

Itu hanya pandangan saya saja.

Jumpa lagi dengan izin Allah. 

Khamis, 1 Disember 2011

Teka teki Selepas ini

Persidangan Umno sedang berlangsung. Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri telah menyatakan bahawa pilihanraya ke 13 akan diadakan tidak lama lagi. Cuma beliau tidak memberi tahu tarikh sebenarnya. Jadi dari dulu sehingga sekarang tarikh pilihanraya adalah hak mutlak Perdana Menteri walaupun pilihanraya melibatkan ramai orang dan lebih dari satu parti yang akan turut bertanding. Tarikh pilihanraya merupakan satu teka teki. Itulah yang membezakan Malaysia dari negara demokrasi yang lain di dunia ini kerana kita ada acuan sendiri.

Oleh kerana ianya teka teki maka semua orang boleh memilih tarikh tertentu berdasarkan keyakinan masing-masing. Betul atau pun salah hanya Perdana Menteri yang mempunyai hak mutlak untuk menentukannya. Dengan itu tidak perlu risau untuk membuat teka-tekian. Lagi pun rasanya tidak perlu buat teka-tekian. Buang masa dan tidak berbaloi kita memerah otak bagi maksud itu.

Jadi tarikh pilihanraya tidak wajar kita pening kepala kerana biarlah Perdana Menteri yang pening kepala kerana tarikh itu hak mutlaknya. 
Tapi ada perkara-perkara lain yang juga kita belum tahu yang perlu kita beri perhatian kerana perkara-perkara itu berbaloi untuk kita memerah otak memikirkannya. Kita boleh buat teka teki juga mengikut apa yang kita yakin yang mungkin terjadi.

Teka teki pertama, Parti atau gabungan parti mana yang akan menang? Sudah tentu teka teki itu mengambil ketetapan bahawa parti yang bertanding adalah persaingan diantara BN dan PR.

Ada beberapa jawapan yang telah diketengahkan. 
i) BN tetap menang. Tidak kisah menang tipis atau menang besar kerana Dr. Mahathir pernah berkata menang 1 undi pun boleh diistiharkan sebagai pemenang.

Kalau itu kepercayaan dalam tekatekian itu maka pemimpin dan ahli UMNO yang sedang bersidang ketika ini tidak perlu cemas sehingga membuat kenyataan-kenyatan seolah-seolah Melayu dan Islam dalam bahaya. 

Bukankah UMNO berjuang demi bangsa, negara dan agama dari dulu, kini dan selama-lamanya. Bukankah juga UMNO telah diberi kepercayaan untuk meneraju negara sejak merdeka sehingga kini. Begitu lama memimpin negara takkan UMNO gagal membentuk kekuatan peribadi Melayu yang mempunyai jati diri, yang bermaruah, yang teguh ekonominya, yang tinggi penerapan dan amalan Islamnya dan tinggi semangat patriotiknya untuk kesepaduan rakyat negara berbilang bangsa.

Jadi kenyataan Melayu dan Islam dalam bahaya itu adalah satu 
kenyataan pihak yang cemas yang telah hilang sebahagian besar keyakinan untuk meneraju negara. Kenyataan itu juga mengesahkan bahawa UMNO yang telah diberi peluang begitu lama meneraju negara telah gagal melaksanakan tanggongjawab untuk menjaga Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia. Kerana mengapa perlu mengeluarkan kenyataan seperti itu jika sebahagian besar kepentingan Melayu dan Islam telah dapat diuruskan dengan baik.

Maknanya kenyataan cemas itu adalah kenyataan pihak yang kurang yakin untuk memenangi pilihanraya ke 13 yang belum diketahui tarikhnya lagi. Sebab itulah tarikh pilihanraya pun tidak berani diberitahu.

ii) PR akan menang.

Boleh ke PR menang? PR bukan parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan. Apa kekuatan yang ada pada PR. Wang? Projek? Kuasa? Jentera pilihanraya? Jawapannya 'elek', tiada. Harap air liur saja.

Bagaimana pula dengan pengurusan pilihanraya dari segi sistem undian dan penyenaraian pemilih? Ok ke?
Maka yang menang tetap BN juga.

Teka teki kedua ialah siapa yang akan jadi Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti.

Sudah tentu ada yang dengan cepat menjawab bahawa Presiden UMNO lah. Tidak mungkin Timbalannya atau Presiden dari parti gabungan BN yang lain. Sebab perkara itu adalah satu hakikat yang perlu diterima bagi negara Malaysia bahawa yang jadi Perdana Menteri ialah orang Melayu.  

Kalau itu sudah jadi satu hakikat maka kenapa pula ada pihak yang mengatakan bahawa orang selain dari Melayu akan menjadi Perdana Menteri jika PR yang menang? Pelik juga, ye. Sebab dalam PR pun ada orang Melayu. 

Nampaknya ada 'double standard' dalam kepercayaan terhadap hakikat ini. Adakah orang Melayu UMNO lebih Melayu dari Melayu dalam PR? 

Cuba kita buat sedikit ujian untuk membuktikan keMelayuan dua pihak ini. Sebahagian besar orang Melayu dalam PR terdapat dalam PAS singkatan dari Parti Islam Se Malaysia dan PKR Parti Keadilan Rakyat. Dalam BN pula ialah dalam parti UMNO atau singkatan dari United Malay National Organisation. 

Cuba teka dan teki Melayu dari parti mana yang bukan Melayu sejati.

Perkara ketiga yang hendak dijadikan teka teki ialah berapa lama orang yang dilantik Perdana Menteri itu kekal sehingga ke pilihanraya ke 14.

Saya jawab tidak akan kekal lama. Sebabnya anda tekalah sendiri.