Theflowersellingboy

Khamis, 3 November 2011

Begitulah Caranya Kalau Mahu Hidup Di Dunia

Saya menjemput para pembaca merenung akan ayat-ayat dibawah ini dan bersama-sama berkongsi pandangan akan tajuk :Begitulah Caranya Kalau Mahu Hidup Di Dunia?  


Saya hanya mahu memberikan sedikit pandangan saja secara ringkas.

Saya sengaja menggunakan tambahan 'lah' dari menggunakan 'kah' kepada perkataan 'Begitu' kerana saya berpendapat tambahan 'lah' itu lebih sesuai untuk memberi ruang bagi seseorang itu memberi pandangan yang tidak hanya mengambil satu pendirian saja. Ertinya kalau bersetuju tidak semestinya bersetuju semua. Begitu juga sebaliknya. Kita bukan diatas pentas pertandingan debat diantara pencadang dan pembangkang. Setiap pihak berhujah bermati-matian untuk menegakkan satu pendirian saja.

Ayat-ayat yang saya maksudkan berbunyi,
"Tiada kuasa tiada yang mahu sapa. Dengan itu dapatkan kuasa dengan apa cara dan kekalkan kuasa itu dengan cara yang sama kerana kuasa itu tidak ada istilah salah guna." Ayat ini ada sambungannya lagi dengan membuat rumusan bahawa "Begitulah caranya kalau mahu hidup di dunia".

Ayat yang pertama mengenai kuasa dan sapa. Ada kuasa kita akan disapa. 'Sapa' adalah satu pengakuan dari orang/pihak lain mengenai kewujudan diri kita . Maknanya diri kita diambil kira sebagai sebahagian dari mereka. Diri kita ada harga, ada nilai. 

Sapaan ialah mengenai harga diri. Mengenai ego kita. Sudah tentu hati kita tersentuh jika kita tidak disapa oleh kawan yang mengenali kita. Mungkin kita akan kecil hati atau merajuk atau marah atau pun benci dengan kejadian seperti itu. 

Kita perluaskan dan perincikan maksud 'sapaan' itu ianya akan merangkumi dan mencakupi hal-hal berkaitan pengakuan kewujudan kita yang dirasai (disedari), mendapat perhatian atau diberi perhatian, ada yang mahu berbicara dengan kita, kita dikenali, dirujuk, dipujuk, dirayu, disegani, dihormati, dikunjungi, diberi ucapan tahniah, ucapan takziah dan macam-macam lagi tidak hanya terhad kepada yang tersenarai itu saja.

Dan ayat ini mengatakan kita hanya disapa kalau ada kuasa.

Saya bersetuju dengan maksud ayat ini. Tanpa kuasa kita tidak akan boleh berfungsi atau memainkan peranan dalam kehidupan kita didunia ini. Kita tidak akan dapat faedah-faedah seperti yang disenaraikan itu. Antaranya ialah kita tidak akan disegani, dihormati, di rayu dan dipujuk  dan sebagainya semata-mata kerana kita tidak ada kuasa.


Saya percaya setiap dari kita mempunyai kuasa sama ada kuasa berdasarkan jangkaan peranan yang perlu kita mainkan  mahu pun kuasa yang kita dapatkan. Misalnya kita sebagai ketua keluarga. Sebagai ketua keluarga sudah tentu kita mempunyai kuasa keatas isteri dan anak-anak untuk membolehkan kita berfungsi. Misalnya memberi tunjuk ajar. Itulah jangkaan peranan yang diharapkan oleh masyarakat terhadap ketua keluarga.


Begitu juga dengan seorang guru atau ketua sesuatu organisasi. Mereka perlu diberi kuasa jika mahukan mereka berfungsi secara cekap, berkesan dan bermakna.


Jelas bahawa kuasa adalah perlu untuk kita disapa. Justeru itu kita perlu ada kuasa.


Ayat yang kedua pula ialah mengenai dapatkan dan kekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun. 

Seperti yang dijelaskan bahawa kita mesti ada kuasa. Tidak juga menjadi satu kesalahan bagi kita mengekalkan kuasa kalau caranya betul yang menolak salah guna kerana salah guna ada dosa yang dibawa bersama. Misalnya secara rasuah, penipuan , manupulasi dan segala bentuk penyelewengan.   

Dengan demikian untuk kita menjalani kehidupan yang bermakna dan berguna didunia kita mesti ada kuasa. Tidak salah untuk mendapatkan kuasa. Tidak juga salah untuk mengekalkan kuasa. 

Tapi hubaya-hubaya jangan taksub sangat untuk berkuasa termasuklah terlalu lama mengekalkan kuasa kerana ianya membuatkan kita berkata "Begitulah Caranya Kalau Mahu Hidup Di Dunia". 

Kuasa adalah segala-galanya.Gila Kuasa. Orang gila tidak dapat membezakan diantara yang benar atau yang hak dengan yang batil/salah. Tidak tahu perbuatan salah itu ada dosanya. Sebab itu orang gila terlepas dari hukuman walaupun dia membunuh orang. Tidak siuman.












Rabu, 2 November 2011

Belanja Berbelanja (shopping): Apa Yang Dihebuhkan Sangat

1. Orang yang mempunyai kemampuan kewangan soal belanja berbelanja (shopping ) ini tidak menjadi masalah bahkan ada setengahnya menjadi darah daging dan sebagai satu hobi. Kita pun tidak dapat membuat ukuran setakat mana jumlah wang yang dikeluarkan termasuk dalam lingkungan berbelanja besar atau kecil. Mereka tidak sangat memikirkan perkara itu kerana berbelanja itu sudah menjadi darah daging dan hobi , mereka mampu.

2. Biasanya orang yang berkira sangat tentang besar atau kecil belanja ini ialah orang yang tidak ada kemampuan kewangan. Orang seperti ini apabila hendak membeli kereta misalnya akan sedia dengan soalan seperti : berapakah penggunaan minyak dalam satu kilometer bagi kereta yang bakal dibeli itu. Orang ini akan memilih kereta yang tidak banyak menggunakan minyak. Tiada kemampuan kewangan. 

3. Namun ada juga yang tidak mampu yang suka berlagak mampu. Akhirnya hutang bertimbun dan tidak mampu untuk membuat bayaran. Maka kalau pinjam dengan Along, biasanya menimbulkan banyak masalah termasuk ancaman keatas nyawa bukan saja diri sendiri bahkan kepada ahli keluarga yang lain. Orang macam ini selalunya diistiharkan bangkerap.

4. Tetapi orang yang mempunyai kekuatan kewangan , orang kaya dan berharta, orang berkedudukan tinggi, misalnya tidak menjadi masalah jika berbelanja besar. Mereka mampu melakukannya tanpa berhutang.  Tidak menyusahkan orang lain.

5. Dengan demikian berbelanjalah mengikut kemampuan kewangan kita. Maka jika ini merupakan prinsip yang boleh diterima mengapa begitu heboh orang membicarakan belanja berbelanja yang telah dilakukan oleh isteri dan anak Perdana Menteri kita di Australia baru-baru ini. Jumlah wang bagi tujuan belanja berbelanja itu adalah sebanyak RM60 ribu bagi isteri dan RM200 ribu bagi anak Perdana Menteri. Apakah mereka tidak mampu mengeluarkan jumlah-jumlah yang disebutkan itu? Apakah mereka itu terlalu miskin? Malulah kita sebagai rakyat Malaysia jika itu anggapan kita terhadap keluarga Perdana Menteri.

6. Jangan hendak disamakan dengan cara berbelanja orang-orang berpendapatan pada garis kemiskinan RM750 sebulan yang mempunyai 5 ahli keluarga. Sudah tentu orang seperti ini tidak layak berbelanja sebanyak jumlah yang dinyatakan diatas.


7. Kalau tidak percaya cuba kita buat kira-kira sedikit. Pendapatan RM750 sebulan untuk mencapai ke angka 60 ribu ianya terpaksa bekerja lebih dari enam tahun atau 80 bulan; dan lebih 22 tahun atau lebih 266 bulan untuk mencapai 200 ribu. Itupun dengan syarat orang seperti ini hanya menyimpan saja pendapatan yang diterima itu. Satu sen tidak boleh digunakan bagi tujuan yang lain untuk mencapai ke dua angka perbelanjaan itu. Jadi berbelanjalah mengikiut kemampuan.


8. Orang yang bersara yang  juga telah menerima wang ganjaran jangan juga cuba-cuba berlagak mampu. Seorang sahabat yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 33 tahun telah dibayar wang ganjaran sebanyak kurang lebih RM230 ribu. Maknanya purata wang ganjaran itu ialah RM6,969.69 setahun atau RM580.80 sebulan. Maka sahabat ini juga jangan pula disebabkan sudah bekerja 33 tahun dalam perkhidmatan awam cuba berlagak mampu untuk belanja berbelanja sebanyak jumlah yang dinyatakan itu. Terang dan jelas sahabat oii anda tidak mampu. Anda pun sudah bersara, jangan cari pasal bengkrap nanti.

9. Sekali lagi saya ulang bahawa belanja berbelanjalah mengikut kemampuan. Kalau mampu dan itupun hobi kita tidak ada salahnya kita berbuat demikian. Kalau tidak mampu jangan buat begitu . Cukup sekadar menumpang gembira orang yang belanja berbelanja diluar kemampuan kita itu.

10. Jadi saya hairan mengapa berita keluarga Perdana Menteri berbelanja di Australia itu menjadi satu berita yang sensasi dan mendapat ulasan yang tidak bersifat menggembirakan sedangkan mereka mampu belanja berbelanja seperti itu. Lagipun ramai juga mereka yang belanja berbelanja lebih besar dari itu.


11. Bukankah lebih baik kita berusaha untuk meningkatkan kemampuan kewangan kita supaya kita juga boleh masuk sama dalam kumpulan yang mampu belanja berbelanja ikut suka hati sendiri. Cuma cara meningkatkan kemampuan itu perlu dijaga dari segi adab dan tatasusilanya. Maksud saya cara yang sah dan diredhai Allah SWT.
     

Selasa, 1 November 2011

Siapa Yang Sebenarnya Menang atau Berjaya

Dari segi statistik memang jelas keputusan perlawanan di antara pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan yang telah berlangsong dua hari yang lepas telah dimenangi oleh Pasukan Negeri Sembilan untuk dinobatkan sebagai Juara Piala Malaysia siri 2010/2011 dengan jaringan gol 2 lawan 1. Tahniah kepada Pasukan Negeri Sembilan dan cuba lagi kepada Pasukan Terengganu.

Persoalannya siapakah yang sebenarnya menang atau berjaya? Satu soalan imiginasi yang tiba-tiba menguasai fikiran saya. 

Saya tidak berada di Stadium Shah Alam menonton  perlawanan itu. Saya berada dirumah menonton siaran secara langsung melalui saluran Astro Arena 801. Saya percaya saya tidak keseorangan dalam hal ini. 



Mengapa saya berbuat begitu? Maksud saya tonton di tv dan bukan berada dalam suatu suasana yang 'real' yang benar-benar memberi 'feeling'. 

Banyak jawapan yang mungkin  anda boleh teka. Antaranya harga tiket yang mahal. Mungkin saya suka melihat yang percuma saja. Mungkin juga saya bukan seorang peminat bola sepak yang tegar. Atau bukan pasukan negeri saya yang terlibat dalam perlawanan itu. Jarak stadium yang jauh dari tempat saya juga boleh jadi alasan. Atau saya takut tercedera jika berlaku pergaduhan antara dua penyokong yang bertentangan. Ya, saya suka tonton secara santai dirumah sambil mengunyah makanan, gamaknya. Apa lagi?

Saya rasa cukup setakat tujuh  tekaan itu saja.  

Tekaan pertama salah sama sekali. Tiket yang dikatakan mahal itu  tidak menjadi masalah kerana Kerajaan baru saja dalam bajet 2012 memberi/mengumumkan berbagai bantuan termasuk kenaikan gaji dan   pencen serta pemberian bonus. Jadi setakat RM50.00 apa ada hal, kacang saja walaupun harga barang telah naik tapi bantuan belum tentu lagi.

Lagi pun kenaikan sesuatu harga misalnya harga barang, perkhidmatan termasuklah harga tiket ini boleh kita gunakan sebagai asas untuk membuat tuntutan kepada Kerajaan untuk meluluskan berbagai bentuk bantuan bagi menampong kenaikan sara hidup. Saya percaya Kerajaan akan melayan tuntutan kita itu. Kalau tidak percaya tanyalah kerajaan Terengganu dan Negeri Sembilan yang telah bersetuju menampung sebahagian harga tiket itu.

Kerajaan Persekutuan takkanlah tidak ada keupayaan untuk berbuat demikian. Saya percaya pihak Kerajaan sentiasa akan mendengar denyut nadi saya dan rakyat yang memohon pertolongan. Pilihanraya pun sedang menghampiri kita semua sudah tentu ada habuan untuk kita.

Maka tekaan pertama salah.

Tekaan mengatakan saya suka tonton perlawanan bola secara percuma, lagi amat salah. Tiap-tiap bulan saya terpaksa membayar Astro sejumlah bayaran yang agak besar juga bagi satu pakej program yang saya tidak ada pilihan. Segala-galanya ditentukan oleh Astro berselindung/bertopeng atas nama pakej. Bukan itu saja caj tambahan boleh dikenakan sesuka hati dan bila-bila yang Astro suka. Maka siaran langsung itu bukanlah percuma. Malah yang buat duit ialah Astro dari berbagai tajaan pengiklanan.

Tekaan-tekaan yang selebihnya semuanya betul. Saya bukan peminat tegar bola sepak. Saya lebih minat tenis terutama kalau Nadal yang bermain. Negeri saya tidak terlibat, jarak dari rumah ke stadium yang jauh dan takut tercedera kalau timbul pergaduhan membuatkan saya lebih suka menonton secara santai di rumah.

Antara tekaan yang betul itu saya paling risau sekali jika berlaku pergaduhan diantara penyokong pasukan yang berlawan itu. Saya dapati para penyokong sama ada pihak yang menang atau yang kalah tidak dapat mengawal emosi. Yang menang selalunya 'mengejek-ngejek' pihak yang kalah dengan kata-kata dan bahasa badan yang boleh menyakitkan hati pihak yang kalah. 

Pihak yang kalah pun sama. Selain tidak boleh menerima kekalahan, emosi mereka tidak langsung boleh dikawal sehingga apabila bertemu saja penyokong lawan atau bas yang dinaikki oleh pihak lawan itu, terus saja diserang. Maka tidak hairanlah peristiwa bakar membakar bas dan serang menyerang serta pergaduhan diantara yang kalah dan yang menang sudah menjadi satu kebiasaan bagi setengah-setengah pasukan. 

Hairan ke akan peristiwa penyokong Terengganu yang mencederakan salah seorang penyokong Negeri Sembilan baru-baru ini? Saya sendiri tidak hairan. Sebab itu saya tonton santai saja dirumah takut tercedera.

Ada pula mereka yang mengatakan bahawa kelakuan seperti ini satu hal yang tidak perlu kita rasa malu sebab di Eropah pun (orang putih) melakukan perkara yang sama. Ehh itu pula alasan yang diberi. Tapi orang itu lupa pula akan 'standard' permainan. Sama ke dengan yang di Eropah tu?    

Dengan demikian saya ingin menjawab soalan imiginasi saya itu iaitu : Siapakah sebenarnya yang menang atau berjaya?


Negeri Sembilan hanya menang dari segi menjaringkan gol melebihi Terengganu. Itu saja. Negeri Sembilan sebenarnya tidak berjaya. Asas saya ialah apabila adanya pergaduhan maka ia melibatkan emosi yang tidak boleh dikawal. Tidak kisah siapa yang memulakan bahang kemarahan itu. Terengganu sudah tentu pasukan yang kalah. Apatah lagi penyokongnya terlibat dalam mencederakan penyokong Negeri Sembilan.


Maknanya dari segi perkembangan dan kemajuan bola sepak Malaysia ianya amat mendukacitakan. Malaysia nampaknya tidak ada tokoh untuk membentuk satu pasukan yang boleh mencapai kemenagan atu kejayaan bersandarkan perlawanan Terengganu dan Negeri Sembilan.


Jadi siapa yang menang atau yang berjaya? Saya rasa yang menang ialah Astro dan FAM diukur dari segi pendapatan yang diraih. Kalau begitu bolehlah kita ramai-ramai mendesak Kerajaan supaya FAM tidak mengenakan harga tiket yang terlalu mahal. Sebab kalau harga tiket mahal kita akan minta pertolongan Kerajaan. Terpaksalah Kerajaan beri subsidi tiket bola sepak.

Kita juga mesti mendesak Kerajaan supaya memaksa Astro tidak dengan sesuka hati menaikkan caj atas pakej program yang ditawarkan. Kalau Astro berdegil juga seperti perangai yang ditunjukkan sekarang, yang tidak ambil 'pot' pun cakap seorang Menteri supaya caj tidak dinaikkan, kita minta Kerajaan berikan subsidi untuk menampung caj Astro yang tinggi itu.


Apa kata awak, Kerajaan? What say you,  government? Ini denyut nadi dan rasa susah hati kami rakyat marhain. 


Ingat, pilihanraya sedang menghampiri waktunya. Takut nanti Kerajaan tak menang!