Theflowersellingboy

Sabtu, 3 September 2011

Si Fakir Miskin Berhari Raya: Mereka Menunggu Pengisian

Hari ini Sabtu September 3/2011 telah masuk hari keempat kita merayakan Idilfitri. Alhamdulillah secara keseluruhannya kita rakyat Malaysia telah menyambut hari kebesaran ini dalam suasana yang segar dan ceria sekali. 

Namun ada juga sebahagian dari kita yang menyambut hari raya dalam suasana lesu dan duka sehinggakan kedatangan hari raya itu tidak dirasa berbeza dengan hari-hari yang lain. Malah ianya menambah sedih dan duka apabila melihat orang lain begitu ceria bergembira.

Ramai juga yang bersedih dan berduka.Yang fakir miskin serba kekurangan,  apatah lagi yang mempunyai tanggongan yang banyak; yang menerima musibah kehilangan orang yang disayangi; yang terpisah dari keluarga dan masyarakat kerana menjalani hukuman; warga tua yang ada keluarga dan yang tiada keluarga yang tinggal dirumah orang tua-tua; yang berpisah sementara kerana tugas untuk negara; dan yang tinggal bersendirian sebatang kara.

Mereka semua sentiasa bersedih dan berduka setiap kedatangan hari raya.

Yang fakir miskin serba kekurangan terutama kepada mereka yang mempunyai banyak tanggongan, hari raya adalah hari kekesalan dan  hari kempunan dihati kedua ibubapa. Banyak yang dikesalkan banyak yang kempunan dihati kerana sekian kali telah gagal untuk  menceriakan suasana berhari raya untuk anak-anak tanggongannya. Apalah makna hari raya kalau pada hari itu suasana dan keadaannya tidak ada beza dengan hari-hari lain yang serba payah dan susah malah kadang-kadang lebih teruk dari itu. 

Apakan tidaknya apabila mereka melihat anak-anak tidak bertukarganti pakaian, pakaian yang sudah lusuh , koyak rabak meliputi anggota badan. Memang menjadi terkilan dihati, ghalat rasanya melihat anak-anak berkeadaan begitu sedangkan kawan sebaya yang melintasi pondok yang senget hampir rebah berjalan penuh bergaya dengan pakaian serba baru beranika fesyen dan warna. 

Mereka ialah anak-anak yang juga mempunyai perasaan. Mereka inginkan pakaian yang baru dan cantik untuk digayakan, untuk menarik perhatian siapa saja dengan harapan satu pujian 'comelnya budak ini' atau 'cantiknya baju dan seluar ini'. Tapi bilakah anak-anak itu akan dapat mendengar pujian seperti itu sebagai baja yang boleh menyegarkan jiwa dan perasaan mereka dalam proses membesar untuk menjadi remaja dan dewasa. Sesungguhnya mereka tiada baja yang subur. Mereka membesar di tapak yang gersang dan kosong. Mereka menunggu pengisiaan. Tapi bilakah waktunya? Inilah yang menjadi kempunan dihati kedua ibubapa.

Pengisian inilah yang amat penting.

Jika tiada pengisian, jiwa mereka juga akan menjadi kosong. Tiada apa yang diharapkan untuk satu masa depan yang lebih baik. Sama seperti hari raya yang mereka lalui, tiada makna sama sekali. Putus harapan. Dan kita semua, negara, akan menerima kesan, memalukan dan kerugian sumber manusia yang paling berharga.
  
Yang paling dikhuatiri sekali jika salah pengisian. Hidup susah dan derita disamping melihat yang lain senang lenang dan gembira sudah tentu memutikkan rasa perbezaan, rasa kecil diri, irihati dan cemburu, benci , buruk sangka terhadap mereka yang melebihi mereka. Semakin hari perasaan itu bercambah subur sehingga melahirkan rasa kecewa untuk menjalani kehidupan yang katanya penuh dengan ketidakadilan  dan kezaliman yang dianggap sebagai satu penindasan. Maka memutiklah nafsu marah yang akan memandu kehidupan mereka membenci kepada yang lain yang diterima sebagai musuh. 

Unsur-unsur negatif dan buruk memang mudah menyelinap dalam jiwa yang kosong.

Maka pada hari raya yang sebahagian dari kita menyambut dengan penuh ceria dan gembira perlulah kita panjangkan kepada si fakir miskin ini. Ya, ada sebahagian dari mereka menerima bantuan dari berbagai pihak setiap tahun menyambut hari raya. Ada juga yang terlepas pandang. 


Tapi rasanya kita boleh buat lebih dari itu. 


Sudah menjadi satu tradisi ketika ini masyarakat menyediakan 'wang' untuk diberikan kepada kanak-kanak yang mengunjungi rumah semasa beraya. Tapi pemberian itu hanya kepada mereka yang datang berkunjung saja. Kalau begitu maka sudah pasti anak-anak fakir miskin ini tidak akan datang berkunjung kerumah kita kerana 'siapalah mereka' yang berpakaian compang camping. Lagipun manalah kita mempunyai jiran fakir miskin.

Ertinya kita mesti menemui mereka. Mengunjungi rumah mereka. Ya, kita boleh mengunjungi rumah anak-anak yatim bagi memanjangkan kemewahan kita. Bagus juga. Namun mereka yang tinggal bersama ibubapa yang fakir miskin nampaknya pada masa ini belum lagi mendapat perhatian masyarakat untuk diberi pertolongan.  Mereka beraya dengan penuh duka dan kesedihan.
Kita wajar cari mereka.

Sebahagian dari kita juga mengadakan rumah terbuka termasuk rumak terbuka rasmi yang diadakan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan. Maka kalau dapat dibawa bersama sifakir miskin ini kerumah terbuka itu alangkah besarnya dihati mereka. 


Mengadakan rumah terbuka dan meraikan sifakir miskin satu cara yang terpuji. Namun diperhatikan juga majlis  rumah terbuka itu terdapat unsur-unsur pembaziran. Makanan yang berlebihan terbuang tidak dimakan kerana terlalu banyak dan mewah sekali. Adakan secara sederhana walaupun kita hidup dalam kemewahan. Bukankah lebih baik kita menfaatkan untuk membantu sifakir miskin. Belikan mereka pakaian lebih dari sepasang untuk berhari raya. 


Sesungguhnya sifakir dan miskin perlu diberi perhatian semasa kita menyambut hari raya. Ceriakan suasana mereka beraya, gembirakan hati mereka agar mereka tidak kesal dan kempunan dihati apabila melihat anak-anak mereka juga berpakaian cantik dan mampu bibir mengukir senyuman dihari raya.


Oleh itu untuk memudahkan kita berbuat demikian pada sambutan hari raya yang akan datang maka kita adakan pengkalan data orang fakir miskin ini. Kalau tidak dapat bantu semua kita mintalah kawan-kawan kita yang lain tolong memanjangkan kemewahan mereka kepada sifakir miskin ini. Ramai diantara kita yang hidup senang tapi tidak mempunyai peluang untuk membantu sifakir miskin kerana kita tidak tahu dimana mereka. 

Harapan kita ialah untuk membantu menceriakan mereka agar mereka sentiasa merasakan tiada beza diantara kita dan mereka. Sudah tentu harapan utama kita ialah supaya mereka akan menikmati kehidupan sama seperti kita , tidak sebagai fakir dan miskin. InshaAllah.

Pengisian kita  ialah pengisian kasih sayang bahawa susah mereka adalah tanggongjawab kita yang senang ini. Hanya dengan rasa kasih sayang kita mampu melakukannya.

Kepada mereka selain yang fakir miskin yang berduka dihari raya kita  mendoakan mereka agar dikurniakan Allah kekuatan dan diberikan kesabaran mudah-mudahan pada hari raya akan datang suasana ceria akan mengiringi mereka. 















Jumaat, 2 September 2011

Air Mata Kesyukuran : Belum Tiba Masa Ku..2

Sebuah kereta merah Myvi memasuki ruang depan rumah. Mahat muncul dari kereta tersebut. Anak-anaknya yang asyik menonton tv dengan pantas bingkas bangun menuju kearahnya. "Ayah balik bawa kereta, yee kita balik kampong raya", suara gembira keluar dari hati anaknya yang bongsu berusia 7 tahun yang dipanggil Wawa. Mahat tersenyum menumpang keceriaan anak-anaknya yang telah  siap sedia, dari segi perasaan mahupun tubuh badan untuk balik beraya di kampong rumah nenek di Melaka. 

"Dah siap" tanya Mahat pada isterinya Asmah sebaik saja memasuki bilik tidurnya. Asmah sedang berbaring dan memusingkan badan memandang kearah Mahat yang sedang berdiri menunggu jawapan akan persiapan Asmah untuk balik ke kampong. " Dah bang", jawab Asmah malas. Mahat mengesyakki sesuatu yang mungkin mengganggu fikiran Asmah. Tapi Mahat tidak mahu bertanya. Dia tidak mahu memanjangkan kerisauan Asmah itu. Biarkan kerisauan itu berhenti dengan sendiri. Mungkin balik beraya  ke kampong ini akan mereda atau menghilangkan kerisauan Asmah nanti.

"Nak balik raya kampong ke bang?" Asmah dengan perlahan bangun dari berbaring. Malas nampak gayanya. Mahat segera memaling muka kearah Asmah. Matanya tajam merenung wajah Asmah untuk mencari sebab mengapa Asmah menanyakan soalan yang dia sendiri sudah ada jawapan. Lama juga renungan mata bertemu mata. Tapi Mahat masih lagi tidak mendapat meneka apakah yang ada dalam fikiran Asmah. Apakah sebabnya Asmah mengeluarkan soalan semudah itu. "Tu awak dah siap tu", jari telunjuk Mahat mengarah ke satu beg pakaian yang tersandar didinding sebelah almari. Jawapan secara tidak langsung Mahat itu memang difahami oleh Asmah.

Mahat terus ke bilik air untuk mandi.

Asmah masih lagi melayan fikirannya. Dia akan berhadapan dengan ipar duainya di kampong. Khabar berita pada raya kali ini semua yang berada di luar kampong sebahagian besarnya dari Kuala Lumpur akan beraya di kampong di rumah emak mertua. Abang iparnya yang tua yang telah mempunyai 19 cucu akan juga balik sama, kesemuanya; adik ipar seorang hakim akan juga ada bersama dengan anak dan isteri; adik ipar yang meminjamkan kereta Myvi juga turut sama. Kehadiran mereka seronok juga kerana memeriahkan suasana terutama anak-anaknya yang dapat berjumpa dan bermain dengan sepupu mereka. Nampaknya mereka tidak memikirkan taraf ekonomi . Mereka bersuka berkejar ria. Kadang-kadang bergaduh juga, berbaik dan bermain semula. 

Tapi itu anak-anak yang tidak tahu beza membeza. Asmah merasakan dia bukan setaraf untuk bersama dengan mereka. Suaminya hanya lulusan SPMV, seorang buruh mengutip sampah , kerja kotor dan paling rendah sekali. Ipar-iparnya yang lain, paling rendah seorang kerani disebuah Jabatan Kerajaan. Yang lain-lain mempunyai pekerjaan yang baik-baik belaka. Mempunyai rumah sendiri. Kereta sendiri. Mahat suaminya tidak mampu untuk membeli sebuah kereta baru, tidak juga sebuah kereta terpakai Kancil yang terkecil sekali. Balik raya ke kampong terpaksa bermuka tebal meminjam kereta iparnya. Baukan sekali malah telah banyak kali.

"Awak tak siap lagi?" Tanya Mahat dengan wajah yang menunjukkan kerisauan sebaik saja memasuki biliknya selepas mandi. Asmah tidak menjawab. Kakinya melangkah longlai menuju ke almari untuk mengenakan pakaian yang lain.

Matanya memandang lama merenung sepasang pakaian kurung berwarna hijau yang tersangkut diatas ampaian dalam almarinya. Pakaian itu membawa fikiran Asmah kepada sumbangan zakat yang telah diberikan oleh abang iparnya dua tahun yang lepas.

"Tahun ni abang ngah bayar zakat pada kau lah Mahat. Kau pun sekeluarga hidup susah". Itulah kata-kata yang telah dilafazkan oleh abangngahnya kepada suaminya Mahat yang disaksikan kakak iparnya Jamaliah dan anak-anaknya. Asmah duduk bersimpuh dekat Mahat. "Terima kasih bangngah", Mahat dengan rasa sayu menerima wang yang dihulurkan, seribu semuanya. Kakak iparnya juga memberikan lapan ratus ringgit kepadanya sebagai membayar zakat emas. Asmah sungguh terharu. Air mata kesyukuran mula menitisi pipinya. Dengan wang itu dia telah dapat membeli pakaian anak-anaknya dan baju kurung sepasang berwarna hijau.

"Tahun ni abangngah buat ke rumah terbuka keluarga?" Asmah memecahkan kesunyian. Mahat yang sedang mengenakan pakaian dengan segera menoleh pada Asmah. Wajah Mahat sudah mula ceria apabila melihat Asmah mula mengenakan pakaian kurungnya itu sebagai tanda bersetuju untuk beraya di kampong. Tambahan lagi soalan mengenai hari terbuka keluarga di rumah abangngahnya itu, sudah tentu hati Asmah sudah terpaut untuk menghadiri acara pertemuan keluarga itu. "Tak tau pula. Tapi tiap-tiap tahun rasanya, ada" Jawab Mahat dengan harapan menambahkan ceria hati Asmah untuk pulang beraya.

"Pakngah buat rumah terbuka ke Yah?" Tanya anak lelaki yang hanya seorang itu yang telah sedia masuk kedalam bilik mendengar perbualan ayah dan emaknya. Aidil yang baru memasuki tingkatan satu nampaknya tidak sabar untuk balik ke kampong. Yang lain-lainpun ikut sama masuk kerana sudah lama menunggu.  "Entah lah ayah pun tak tau. Ada kot?"  Jawab Mahat segera. Maka mereka, anak-anaknya bersorak gembira . Gembira untuk beratur mendapat duit raya.

Mereka semua telah memasuki kereta. Mahat telah siap sedia untuk memandu menuju keselatan. Doa perjalanan terkumat kamit dibaca. Kereta meluncur meninggalkan rumah mereka. Asmah memandang wajah anak-anaknya. Beralih pula kepada suaminya Mahat yang duduk memandu disebelahnya. Dia, Mahat dan anak-anaknya akan  berkumpul dirumah ibu mertuanya. Tidur bergelimpangan bersama dengan yang lain, bergaul mesra. Cuma Asmah merasakan Dia, Mahat dan anak-anaknya hanya segumpalan butir-butir pasir dalam deretan kilauan permata: emas, intan , berlian dan mutiara. Dia dan keluarganya hanya menerima ikhsan kilauan cahaya permata-permata itu untuk nampak muncul bersama. Air mata kesyukuran mengalir lagi. 'Belum Tiba Masa ku'. Kereta terus meluncur ke selatan.

Khamis, 1 September 2011

Air Mata Kesyukuran : Belum Tiba Masa Ku

Asmah sedang duduk bersila . Dihadapannya telah tersedia terbuka sebuah beg lusuh untuk dimuatkan pakaian keluarga, pakaian untuk berhari raya dikampong ibu mertua. Dia lesu sekali menyusun pakaian ke dalam beg itu bukan kerana berpuasa tapi tidak sanggup menghadapi sanak saudara semasa berhari raya di kampong nanti. Yang paling digusari sekali ialah semasa perjumpaan di rumah abang iparnya nanti yang pasti diadakan disebelah malam raya yang pertama. Semua adik beradik suaminya Mahat dan anak-anak serta cucu mereka akan berkumpul sama. 

Tiap-tiap tahun begitulah rutin hari raya yang pasti dihadapi semenjak ia bernikah dengan Mahat yang sudah memasuki tahun kedua puluh. Sekarang Dia dan Mahat telah mempunyai enam cahaya mata seorang lelaki dan yang lainnya perempuan. Anak perempuan yang tua telah pun memasuki umur untuk memasuki SPM. 

Pakaian dikiri kanannya diangkat perlahan-lahan kurang bermaya nampaknya.

Sudah hampir 5 tahun Mahat suaminya bekerja sebagai buruh mengumpul sampah syarikat southern waste setelah terpaksa berhenti kerja disebuah kilang perabut diShah Alam apabila syarikat terpaksa ditutup kerana menghadapi masaalah perniagaan. Mahat dan pekerja yang lain tidak pula dibayar apa-apa pampasan. Oleh kerana itu dia sekeluarga terpaksa mencari jalan yang terbaik untuk meneruskan kehidupan menyediakan sesuap nasi untuk isteri dan anak-anak. Jalan terbaik yang mampu difikirkan ialah balik ke kampong ke pangkuan keluarga. Balik kekampong Asma, isterinya.

Nasib yang baik menyebelahi Mahat. Abang iparnya yang masih lagi bujang telah berpindah dari bandar Seremban balik ke kampong untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan dikampong. Rumah yang telah dibeli di Seremban itu tidak disewa. Mahat sekeluarga bolehlah mendiami rumah itu tanpa membayar sewa tapi air dan letrik serta  cukai pintu adalah menjadi tanggongjawab Mahat untuk membereskannya. Mahat sesungguhnya amat berterima kasih sekali dengan pertolongan abang iparnya itu.

Di Seremban Mahat memulakan pekerjaaan sebagai pengawal keselamatan disebuah pasar raya. Kerjanya bertahun setahun saja kerana dia telah mendapat tawaran bekerja di syarikat southern waste sebagai buruh mengumpul sampah. Setiap hari dia akan bergayutan disisi lori sampah itu. Dari rumah kerumah sampah-sampah yang telah terbungkus itu dimasukkan kedalam lori. Itulah pekerjaan Mahat setiap hari untuk menyediakan keperluan harian keluarga.

Pendapatan tidak sampai satu ribu itu perlu ditambah. Asmah telah bersetuju melakukan kerja-kerja pembersihan sebuah kompleks perniagaan. Anak-anak yang masih kecil ditumpangkan dirumah saudara yang kebetulan tinggal berdekatan.

Kesemua pakaian telah dimasukkan kedalam beg . Beg telah ditutup dan disandarkan didinding disebelah almari pakaian.

Asmah memandang ke ruang rihat dimana anak-anaknya sedang menonton tv yang gambarnya kurang jelas. Tapi ianya sudah menyeronokkan anak-anaknya itu. Itu yang ada. 

Sekarang sudah pukul satu setengah. Berita Bulitin Utama sedang bersiaran. Masa masih banyak lagi sebelum bergerak balik ke Melaka ke kampong, ke rumah ibu mertua pada pukul 6 petang. 

Hari ini mereka sekeluarga akan berpeluang menaikki kereta yang akan dipandu oleh Mahat sendiri. Pulang dari kerja nanti Mahat akan bawa bersama sebuah kereta Myvi yang dipinjam pakai ikhsan dari isteri adiknya Zul yang tinggal disebuah taman yang berdekatan.

Hati Asmah bertambah sedih dan sayu. Dia sekeluarga terlalu banyak mendapat ikhsan dari saudara mara, disebelah pihaknya sendiri mahu pun disebelah suaminya Mahat. Rumah sewa percuma. balik raya atau balik kampong pada hari biasa boleh saja dapat pinjam kereta dari iparnya. Air mata Asmah perlahan-lahan mengalir keluar dari kelopak matanya. Air mata kesyukuran diatas budibaik adik beradik dan ipar duai.

'Tapi sampai bila. Bila pula giliran aku berbudi pada mereka' , Asmah menutup pintu biliknya lantas berbaring diatas lantai beralaskan tikar getah.    

Bersambong...