Theflowersellingboy

Ahad, 29 Oktober 2017

Perancangan Kewangan Negara: Pilih Bajet atau Belanjawan atau .......

Beberapa hari kebelakangan ini parti-parti politik bercerita fasal perancangan dan pengagihan kewangan atau hasil/pendapatan negara untuk digunakan bagi membiayai berbagai maksud perbelanjaan negara bagi tahun 2018. 

PH kata Belanjawan. BN kata Bajet. Benda yang sama.
PH telah membentangkan BELANJAWAN ALTERNATIF pada 25 Oktober , dua hari sebelum BN membentangkan BAJETnya di Parlimen pada 27 Oktober , hari Jumaat yang lepas. PAS juga mencadangkan bajet atau belanjawannya sebagai alternatif kepada cadangan perancangan kewangan PH dan BN.

Perancangan kewangan tahunan BN dipanggil Bajet. PH pula menamakan Belanjawan. Tapi PAS nampaknya belum lagi mempunyai nama bagi perancangan kewangannya. Jadi ketika ini memanggilnya sebagai bajet atau belanjawan.

Mungkin PAS sedang mencari nama yang sesuai dengan selera partinya. Saya rasa ianya bukan satu perkara yang rumit bagi PAS. 

PAS memang mempunyai kecenderungan menggunakan bahasa Arab dalam menamakan sesuatu program atau acara mahupun tindakan kerana katanya bahasa Arab lebih menampakkkan ciri Islamiknya walaupun terdapat perkataan Melayu yang membawa makna yang sama. 

Oleh itu saya cuba meneka bahawa nama yang akan dipilih oleh PAS mungkin Al-Muwazanah? Lebih Islamik bukan!

Baik. Rakyat sekarang diberi pilihan untuk memilih Bajet atau Belanjawan atau Muwazanah. Sekaligus memilih parti yang akan menerajui kerajaan pada PRU 14. Parti mana gamaknya.

Kalau pilih Bajet bermakna BN dihatiku. Pilih Belanjawan, PH yang aku kasihi. Pilih Muwazanah, PAS yang kusayangi.

Yang mana satu rakyat terbanyak akan membuat pilihan. 

Jika majoriti menyukai bajet maka BN akan kekal berkuasa selepas PRU 14. 

Sebaliknya jika majoriti rakyat berpendapat Belanjawan adalah perancangan kewangan yang terbaik dan perlu diuji keberkesanannya dalam mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara maka PH akan menjadi kerajaan selepas PRU 14.

Bagaimana pula dengan Muwazanah?

Ada masalah untuk membuat keputusan. Sebab perancangan kewangan PAS hanya sekerat jalan, tidak lengkap. 

Menurut apa yang dibentangkan, Ketua Pemuda PAS hanya mencadangkan beberapa kutipan cukai yang katanya berciri Islam sebagai hasil bagi membiayai perbelanjaan negara tetapi tidak pula disertakan jumlah yang dianggar dapat dikutip. Dan tidak juga dinyatakan berapa dari jumlah hasil itu akan diagihkan bagi tujuan mengurus dan pembangunan.

Berapa jumlah hasil dan berapa jumlah perbelanjaan? PAS tidak ada angka itu. Jadi angka apa yang rakyat mahu sokong? 

Jelas PAS telah gagal dalam perancangan kewangan. Maka mana mungkin PAS mampu memerintah dan menjadi kerajaan.

Oleh itu pada PRU 14 ini rakyat hanya wajar memberi fokus kepada BN atau PH. 

Pilih Bajet atau pilih Belanjawan? 

Sebelum membuat pilihan, perlu diingatkan agar rakyat tidak tergoda dengan angka dan statistik yang dipaparkan oleh kedua belah pihak. Angka dan statistik boleh sahaja dimanupulasikan demi menjustikasikan tujuan yang disasarkan. Ertinya rakyat mesti bijak.

Sasaran parti politik sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang adalah sama saja iaitu untuk  memenangi hati dan fikiran rakyat agar majoriti rakyat khususnya pengundi menyokong dan memberi undi dalam pilihan raya.

Rakyat adalah tuan kepada parti-parti politik. Maka parti politik akan memberi tahu rakyat bahawa hasil dan kekayaan negara akan digunakan bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Itu saja, tidak lain tidak bukan bahawa rakyat diutamakan.

Berbalik kepada BN. Benarkah BN atau bajet BN dirancang dan dirangka bagi maksud memberi kesejahteraan kepada rakyat?

Mengambil kira apa yang dibentangkan baru-baru ini, bajet BN nampaknya kearah itu, Tapi rakyat jangan mudah jadi keliru dan akhirnya kena tipu.

Menilai sesuatu bajet atau belanjawan , bukan sahaja melihat angka dan tawaran-tawaran yang dicadangkan. Mesti faham apa itu bajet atau belanjawan. 

Bajet atau belanjawan  adalah satu alat perancangan kewangan negara bagi satu-satu tahun kewangan dengan tujuan bagi menentukan hasil atau pendapatan negara itu digunakan dengan berkesan dan cekap diukur dari berbagai aspek khususnya faedah kepada rakyat dan negara.

Faedah kepada rakyat bermaksud rakyat secara majoritinya akan dapat faedah dari agihan hasil yang adil dan saksama sehingga tidak berlaku jurang kehidupan yang besar diantara mereka.

Faedah kepada negara pula ialah negara menjadi makmur berikutan dari penggunaan hasil yang bebas dari salah guna, tiris dan bocor , rasuah dan pembaziran dalam apa cara bentuk sekalipun.

Ertinya apa pun yang ditawarkan dalam bajet atau belanjawan, perkara terpenting dan paling utama ialah mengurustadbir wang atau hasil serta perbelanjaan negara tanpa mengakibatkan kerugian kepada negara akibat dari salah urus.

Oleh itu perlaksanaan adalah perkara utama dalam apa yang telah dirancangkan dalam sesuatu bajet atau belanjawan.

Pengalaman telah jelas membuktikan bahawa BN telah gagal mengurus tadbir negara termasuk kewangan dengan baik. Banyak kerosakan yang telah dan sedang berlaku. PH pula belum lagi dapat diukur kemampuan untuk mengurus tadbir hasil dan perbelanjaan diperingkat Persekutauan. Tapi pengalaman di dua buah negeri Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan PH adalah lebih baik dari BN.

Kesimpulannya pilihlah belanjawan dan tolaklah Bajet. Pilihlah PH dan tolaklah BN dalam PRU 14 nanti kerana banyak petunjuk yang negatif memihak kepada BN sedangkan PH telah berjaya menguruskan kekayaan di Selangor dan Pulau Pinang dengan berkesan dan cekap yang mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri-negeri dibawah pemerintahan PH.

  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan