Theflowersellingboy

Selasa, 19 Disember 2017

PARTI-PARTI POLITIK: Berkempenlah Secara Waras.




Perang antara parti dalam alam maya sengit sekali. Buka saja FB, terpampang kempen maya. Tandanya PRU 14 sudah terlalu dekat.

Mereka berkempen untuk mempengaruhi rakyat khususnya pengundi memberi undi kepada parti mereka pada PRU 14 nanti. Mereka mahu rakyat MENYERAHKAN  KUASA untuk menjadi kerajaan selepas pilihanraya bagi menguruskan kekayaan negara.

Ya, mereka mahu kuasa untuk mengurustadbir kekayaan negara demi rakyat dan negara. Satu matlamat yang murni.

Tapi sayang sekali semua parti-parti yang  terlibat, sama ada parti yang dikatakan bersifat sekular , liberal mahupun yang mendakwa sebagai parti berjuang atas nama agama, dari peringkat pimpinan dan penyokong, mereka berkempen secara akal yang tidak waras. Ada parti (pimpinan dan penyokong) pada tahap melebihi dari gila.

Malang sekali, kita terpaksa memilih diantara parti-parti bertahap gila untuk kita serahkan kuasa. Sudah tentu rakyat dan negara akan menjadi mangsa.

Saya bukan cakap kosong. Bacalah paparan dalam FB. Dengar juga video kempen mereka. Apa yang mereka hidangkan. Apa ayat atau kata-kata yang pimpinan dan penyokong setiap parti guna dan hamburkan.

Tidak lain dan tidak bukan maki hamun. Bahasa dan kata kata yang kasar. Melaknat dan mengkafir. Menghina antara agama dan kaum. Menaikkan rasa benci dan dendam. Banyak bohong dari benar.

Tapi undang-undang tidak mengambil tempat secara berkesan untuk mendakwa perbuatan yang gila itu. Ya, kadang-kadang ada juga tindakan diambil, tapi sifatnya memilih.

Ya, itu yang sedang berlaku sekarang ini. Dan kita terpaksa pilih diantara  mereka itu untuk kita serahkan kuasa. Jadi apa yang mampu kita harapkan dari mereka yang bersifat buruk itu apabila menang nanti untuk mentadbir negara kita. Ah amat malang sekali.

Namun begitu marilah sama sama kita berdoa agar kempen-kempen yang tidak waras ini berhenti segera.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan