Theflowersellingboy

Selasa, 17 Oktober 2017

Perhimpunan Fastaqim dan Perhimpunan Sayang Malaysia dan Hapuskan Kleptorasi membuatkan ada parti yang senyum memanjang.




UMNO/BN senyum memanjang ketika ini. Fastaqim lawan Perhimpunan Sayang Malaysia dan Hapuskan Kleptokrasi adalah bahan senyuman yang paling menyeronokkan  bagi UMNO/BN. 

Hahahaha biar PAS dan PH bergaduh kerana dua-dua akan cedera. Kalau mati satu darinya, kerja UMNO/BN dalam PRU 14 menjadi mudah. Dua-dua mati lagi bagus, UMNO/BN 'plain sailing' bak kapal belayar ditolak angin menuju destinasi.

Ya, PAS dan PH dari kumpulan yang sama. Mereka pembangkang mahu dapat kuasa untuk menjadi kerajaan. 

Perkiraan PH bahawa dengan ada kuasa PH kata boleh buat berbagai reformasi dan perubahan yang menguntungkan negara dan mensejahterakan rakyat. Sebab itu PH anjurkan perhimpunan 'Sayang Malaysia dan Hapuskan Kleptokrasi ' . 

Perhimpunan menyasarkan 100 ribu orang. Hadirin yang datang dianggarkan 4,000; 5,000; 8,000; 25,000, bergantung siapa yang buat anggaran. Tapi yang jelas jauh dari sasaran!

Hahahahaha PAS ketawa terbahak-bahak dengan mengemukakan gambar dari drone sebagai bukti bahawa angka kehadiran terlalu meleset dari sasaran. PAS ketawa terbahak bahak.

PAS ketawa macam itu , bukan sangat angka kehadirannya kecil tapi kerana membandingkan dengan angka kehadiran perhimpunan Fastaqim yang diadakan lebih awal anjuran PAS. 

PAS kata kehadiran Fastaqim 200 ribu orang, bahkan ada ahli PAS yang menambah 200 ribu orang lebih!

PAS tidak akan ketawa terbahak-bahak jika kehadiran perhimpunan PH itu terlalu jauh bezanya dengan kehadiran diperhimpunan UMNO/BN yang biasanya ratusan ribu orang. Sebab mentertawakan PH lebih menyeronokkan dari mentertawakan UMNO/BN. Puas hati PAS kerana pesaingnya telah 'kalah' sebelum masuk pentas bersaing merebut kuasa dari UMNO/BN. PAS menjadikan angka kehadiran sebagai ukuran kalah menang dalam PRU 14. 200 ribu lawan 25,000 sudah tentu PAS menang. 

Cuma PAS menang keatas PH. PH yang tiada kuasa sebagai sebuah kerajaan. PH yang juga mahu ambil kuasa dari UMNO/BN. PH yang dari kumpulan yang sama dengan PAS sebagai pembangkang. 

Ya, PAS menang tapi tidak dapat kuasa untuk menubuhkan kerajaan. Mengalahkan PH dari segi angka perhimpunan belum lagi boleh menjamin PAS untuk menang PRU 14.

UMNO/BN terus tersenyum. UMNO/BN tidak mahu ketawa terbahak-bahak macam PAS. Sebab UMNO/BN tidak mahu meniru PAS. Cukup saja dengan tersenyum sebagai meraikan permusuhan diantara PAS dan PH yang semakin menular. Viralkan permusuhan PH dan PAS ini adalah lebih baik dari ketawa terbahak bahak. Itu adalah formula politik BN.

PH yang cedera akan menggembirakan BN. 

Dalam menghadapi ketawa PAS yang terbahak-bahak itu, PH cuba memujuk rasa dengan berkata bahawa kehadiran yang jauh dari sasaran itu ada berbagai sebab. Katanya ada lawan bola Manchester vs Liverpool, anak muda lebih suka demonstrasi jalanan dan tempoh masa perhimpunan amat panjang dari petang sehingga lewat malam yang memberi pilihan untuk hadirin datang. Dan macam-macam lagi.

Sedikit sebanyak ada kebenaran hujah PH itu. Tapi ianya tidak dapat menafikan bahawa ramai pimpinan PH yang kecewa.

Namun PH masih yakin mereka boleh menang PRU 14. Bukan sahaja menang mengalahkan UMNO/BN bahkan boleh mengalahkan  PAS dari segi bilangan yang memberi sokongan. PAS kalah teruk! Dakwa setengah ahli PH.

PAS kalah teruk? 

Sekali lagi UMNO/BN mengukir senyuman jika itu yang dikatakan oleh PH. PAS kalah menguntungkan UMNO/BN. 

Belum lagi masuk PRU 14, UMNO/BN telah boleh senyum kerana PH sudah kalah dan PAS pun tewas juga.

Tahniah UMNO/BN kerana tanda-tanda menang sudah muncul. Bukan kerana UMNO/BN itu kuat, bukan kerana UMNO/BN itu tidak rasuah dan menyeleweng dalam urus tadbir kekayaan negara , bukan kerana GST itu tidak mencekek kehidupan rakyat, bukan kerana penarikan berbagai subsidi membebankan kehidupan rakyat bukan kerana hutang negara semakin meningkat yang boleh membebankan negara dan rakyat pada masa depan, bukan dan bukan. Bukan juga kerana pengundi dan rakyat sayangkan BN.

HANYA KERANA PH dan PAS sentiasa tawa mentertawa, perli memperli, seranah dan menyeranah diantara satu dengan lain. Dan mereka berpuas hati. Seronok.

Amat malang sekali, memang amat malang kerana ada pimpinan PAS yang sudah lunak dan mesra dengan UMNO sehingga ajakan dari PH untuk bersama mengalahkan kerajaan dipandang sepi hanya kerana dalam PH ada Amanah dan DAP. PAS juga tidak betah dengan PKR.

Bagi PAS parti Amanah adalah pengkhianat. Bagi PAS, DAP yang selalu digelar parti China sebagai anti Islam dan Melayu. Bagi PAS, PKR parti  liberal yang tidak sesuai dengan PAS.

Perasaan PAS itu boleh difahami. Amanah adalah parti yang ditubuhkan oleh ahli PAS yang telah diminta keluar dari PAS kerana mempunyai pandangan politik yang berbeza, lantas mereka ini dianggap pengkhianat. Sudah tentu DAP yang majoriti ahlinya dari orang China, boleh dijadikan alasan sebagai anti melayu dan Islam, justeru ianya sebagai musuh ketat yang perlu diperangi.

PAS menolak realiti. PAS seolah-olah tidak mahu percaya bahawa politik itu tiada formula yang tetap. 

Yang tetap dalam politik ialah untuk mengambil kuasa dan menubuhkan kerajaan. Kerana dengan kuasa politik , yang dihasratkan mudah dilaksanakan. Oleh itu mengapa tolak realiti. 

PAS dan mana-mana parti politik tidak akan mampu menang dan menubuhkan  kerajaan jika bersendirian. Ertinya PAS mesti bersama UMNO/BN atau bersama PH.

Jika PAS percaya angka kehadiran 200 ribu dalam perhimpunan Fastaqim itu sebagai petanda kekuatan sesebuah parti maka mengapa PAS tidak mahu percaya bahawa dengan bersama-sama UMNO/BN atau PH , PAS akan menambah kekuatan dan mempunyai peluang bersama-sama menang dan menubuhkan kerajaan?

Pilihlah UMNO/BN atau PH. Jangan bersendirian.

Sudah tentu PAS bijak untuk membuat pilihan. Cuma PAS diingatkan bahawa apa sahaja pilihan yang mahu dibuat, PAS tidak boleh lari dari realiti politik di negara ini. 

Sama ada PH mahupun BN, kedua-dua parti itu tidak dapat memenuhi sepenuhnya apa yang PAS mahukan. Misalnya UMNO/BN dan kawan-kawannya MCA, MIC , Gerakan dan parti-parti di Sabah dan Sarawak  tidak mahu HUDUD dan undang-undang syariah yang lain diperkasakan.

Dan dalam BN juga ada parti yang juga tidak bersetuju dengan agenda Melayu dan Islam, sama seperti yang PAS dakwa keatas DAP.

Jadi apa bezanya BN dan DAP?

Adakah kerana ini PAS mahu bersendirian?

Bukankah PAS lebih baik bersama dengan UMNO/BN atau PH  dalam Rangka Kerja yang dirunding dan dipersetujui bersama.


Ya, PAS boleh bersendirian. Tapi PAS tidak akan boleh jadi kerajaan. Sampai bila-bila agenda PAS tidak akan boleh dilaksanakan didunia yang fana ini. 

Ya, PAS ada jawapan. PAS redha akan ketentuan Allah. Kemenangan dalam pilihanraya bukan matlamat PAS. 

Jadi kalau begitu PAS tidak wajar bertanding dalam pilihanraya kerana pilihanraya adalah untuk mengambil kuasa. PAS tidak perlu bergerak atas wadah politik, ianya membazirkan tenaga, wang dan masa. Gunakan wang dan masa itu untuk berdakwah kerana berdakwah tidak perlu untuk menubuhkan sebuah kerajaan, tidak perlu mengambil kuasa.

Tapi ingat bahawa dakwah dalam rangka kejayaan sebuah parti politik yang menjadi kerajaan adalah lebih berkesan berbanding selain dari itu.

Perlu saya maklumkan bahawa, bicara ini bukan bertujuan memperkecilkan PAS. PAS sebuah parti yang ada kekuatan dan wajar dihormati. Jika PAS gunakan kekuatan yang ada untuk membina lagi kekuatan tambahan dengan bersama parti yang mahu menghalang kemungkaran dan menegakkan kebenaran ianya sesuatu yang amat ditunggu-tunggu agar menjadi kenyataan. 

Ya, tidak semua parti itu sempurna. UMNO tidak sempurna. PKR tidak sempurna. Amanah tidak sempurna. Begitu juga dengan parti-parti politik yang lain dan PAS juga ada kelemahan. Tapi bukankah pimpinan PAS pernah berkata bahawa dalam membuat pilihan diantara dua kemudaratan, pilihlah yang kemudaratannya lebih kecil.

Mana lebih besar kemudaratan perjuangan politik diantara bersendirian, pilih bersama UMNO/BN atau bersama PH?

Bahawa ego daripada mana-mana parti politik  tidak boleh sentiasa menguasai atau faktor penentu dalam membuat keputusan politik khususnya dalam hal kebersamaan. 

Ya, PAS marah UMNO kerana pernah diketepikan. PAS marah Amanah kerana mendakwa ahli parti itu menjadi pengkhianat. Begitu juga dengan PKR. 

Berbagai hujahan boleh diketengahkan jika tidak mahu bersama. PKR mendakwa PAS tidak sudi untuk bekerjasama walau telah banyak kali PKR mengajak ke arah itu. Begitu juga Amanah yang menyatakan kesediaan bersama PAS. UMNO pun bersetuju untuk bersama PAS dengan menggunakan DNA yang sama antara kedua parti itu.

Realiti politik di Malaysia telah membuktikan sejak merdeka kebersamaan dalam politik adalah pra syarat untuk menang dalam pilihanraya dan seterusnya menubuhkan kerajaan. UMNO telah berjaya membuktikannya, bermula dengan Perikatan dan BN.

Adakah UMNO kuat? Tidak UMNO tidak kuat. PAS pun tidak kuat. Begitu juga dengan parti-parti yang lain termasuk DAP yang amat dibenci oleh PAS. Untuk jadi kerajaan hanya ada satu formula sahaja untuk mengatasi lawan iaitu mesti berpakat dan bersama melawan pesaing.

Sayang dan malang sekali. Saya ingin bermimpi bahawa PAS akan bersama UMNO. Saya juga ingin bermimpi PAS akan bersama PH.

Tapi perkembangan yang berlaku ketika ini, yang saya sendiri lihat, yang saya sendiri dengar dan yang saya sendiri rasa, yang sahih, menyimpulkan dengan jelas bahawa saya mahukan impi PAS bersama PH menjadi realiti.

Apa pun perhimpunan Fastaqim dan Sayang Malaysia dan Hapuskan Kleptokrasi telah memberi UMNO/BN wajah yang berseri-seri kerana PAS dan PH saling ejek mengejek membuatkan UMNO/BN terus tersenyum.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan