Theflowersellingboy

Selasa, 25 Oktober 2016

Orang Melayu Sudah Berpecah Belah?



Orang Melayu ketika ini sudah berpecah belah. Begitulah yang menjadi kebimbangan sebahagian orang-orang Melayu. Benarkah begitu? 
 
Untuk memberi pandangan persoalan  itu saya rasa adalah terlalu penting dibicarakan sedikit tentang hubungan Melayu dan Islam. Siapa/Apa itu Melayu dan kaitan dengan Islam.
 
Di Malaysia, orang Melayu dan Islam bagaikan satu. Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Perlembagaan Persekutuan memperkuatkan lagi kedudukan pertalian Islam dan Melayu itu.
 
Sebab itu apabila seseorang itu mengaku Melayu, agamanya tidak perlu ditanya, otomatik ianya seorang Islam. Bukan Melayu apabila kahwin dengan Melayu orang itu dikatakan masuk Melayu, justeru dia masuk Islam.
 
Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan.
 
Oleh itu jangan hairan jika ada orang Melayu sama ada secara individu mahupun kumpulan begitu konsisten dan tegas mengeluarkan kata-kata, 'jangan main-main dengan Islam.  Jangan juga main-main dengan Melayu'.
 
Kata-kata bersifat amaran itu, seolah-olah memberitahu bahawa mereka sanggup berkorban untuk Melayu dan Islam. 
 
Benarkah begitu? Adakah ianya sebagai petunjuk bahawa orang Melayu menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka?
 
Saya akan membicarakan Melayu dan Islam ini pada paparan akan datang. 
 
Buat seketika saya ingin menyatakan bahawa adalah tidak benar sama sekali mereka yang mengeluarkan ayat-ayat amaran itu sebagai orang atau pihak yang benar-benar mahu menjaga kepentingan Melayu dan kesucian agama Islam. 
 
Sebaliknya saya akan membuktikan bahawa Melayu dan Islam digunakan sebagai alat bagi kepentingan dan keuntungan peribadi individu dan pihak-pihak/kelompok tertentu  atas nama Melayu dan Islam termasuklah dalam hal-hal mempertahankan penipuan dan kezaliman.  

Bicara saya nanti akan menyentuh politik Melayu (bermaksud juga politik Islam), Ekonomi serta Makanan dan Perubatan.


 
 
 
 




Sabtu, 22 Oktober 2016

Sedikit Ulasan Keatas Bajet 2017




Saya mahu memberikan sedikit ulasan secara am berkaitan dengan bajet negara kita. Dalam hal ini saya tidak merujuk kepada angka-angka bajet kerana ianya tidak penting dalam ulasan ringkas saya ini.
 
PM Najib telah bentang bajet 2017 untuk dibahas dan dibuat keputusan oleh pembuat undang-undang. Hari Isnin ini perbahasan akan bermula. 
 
Pembuat undang-undang di pihak Kerajaan akan menyokong walaupun ada yang memberi pandangan tertentu untuk dipertimbangkan kerajaan. 
 
Belum pernah dalam sejarah Parlimen Malaysia, bajet kerajaan akan mendapat kritikan keras dan seterusnya ditolak oleh ahli parlimen kerajaan. 
 
Dan sama juga belum pernah bajet yang dikemukakan oleh kerajaan akan mendapat sokongan pembangkang.

Bajet memerlukan kelulusan suara majoriti dan bukan suara 2/3 ahli parlimen. Ertinya walau apa pun tentangan dari pembangkang, bajet ini akan diluluskan.

Oleh itu bajet tahunan ini adalah satu rutin yang diperlukan oleh undang-undang (Undang-undang Perbekalan) bagi mendapatkan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Yang Disatukan Persekutuan untuk digunakan bagi tahun bajet berkenaan.

Jadi persoalannya: Adakah bajet itu satu alat perancangan kewangan tahunan kerajaan? Atau soalan yang lebih tepat : Adakah bajet kerajaan itu merupakan satu perancangan kewangan yang efisyen dan berkesan dari segi memperuntuk dan menggunakan sumber negara bagi kepentingan negara dan rakyat.

Pengalaman dan bukti menunjukkan bahawa ianya tidak begitu. Ini disahkan dari Laporan Rasmi Kerajaan yang disediakan oleh Jabatan Ketua Audit Negara. 

Secara amnya setiap tahun belanjawan, ianya menunjukkan bahawa penggunanaan wang telah tersasar dari matlamat untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Banyak kepincangan dalam penggunaan sumber negara itu.
 
Dengan demikian bajet bagi sesebuah kerajaan itu adalah merupakan 'Political Financial Planning' (Perancangan Kewangan Politik) bagi parti yang memerintah. Semua kerajaan demokrasi di dunia, saya percaya   melakukannya.

Ianya bukan satu perkara yang tidak wajar. Tidak juga bertentangan dan bersalahan dengan konsep penggunaan sumber yang efisyen dan berkesan. Bahkan ianya tidak boleh diketepikan bagi parti politik yang memerintah yang terus mahu mengekalkan kuasa.

Tetapi ianya menjadi pincang sehingga boleh merosakkan negara dan rakyat apabila kerajaan atau pihak yang diberi kuasa untuk menguruskan kekayaan negara tidak mengamalkan tadbir urus yang baik dan telus.

Oleh itu besar atau kecilnya bajet bukan satu faktor penentuan bahawa sumber negara telah atau akan digunakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Berbagai program yang disediakan demi rakyat bukanlah ukuran bahawa bajet itu adalah satu bajet yang baik. Semuanya bergantung kepada perlaksanaan program-program itu.

Saya masih lagi tidak yakin seperti juga dengan bajet tahun-tahun sebelumnya, bahawa bajet 2017 akan menepati sasarannya.

Cuba cari  perkataan dan ayat-ayat yang digunakan oleh PM dalam pembentangan bajet ini yang menyentuh tentang langkah-langkah tambahbaik pengurusan sumber secara serious dan berfokus. 

Misalnya menambahbaik pengurusan melalui penstrukturan semula jabatan/kementerian bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan tanggungjawab, agar tidak berlaku pembaziran.

Dan amat malang sekali akan sikap kerajaan yang menggunakan kuasa undang-undang sebagai perisai bagi menyembunyikan salah aturan dan salah gunakuasa dalam mengurustadbir sumber negara melalui penggunaan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan. 

Walaupun kita ada Laporan Tahunan Ketua Audit Negara yang boleh dirujuk dalam mengukur prestasi pengurusan wang awam tetapi Akta Rahsia Rasmi boleh menghadkan rujukan keatas apa yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Pendedahan yang serious tentang salahlaku penggunaan wang dan aset negara boleh diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan seperti yang dilakukan keatas kes 1MDB.

Jadi apa gunanya laporan ketua audit negara jika salah aturan dan salahlaku yang telah dikenalpasti dirahsiakan. Dan jika ada mana-mana pihak memperolehi serta menyebarkan tentang hal tersebut orang itu atau pihak itu boleh didakwa seperti kes yang sedang dihadapi oleh YB Rafizi Ramli berkaitan dengan 1MDB.

Kesimpulannya bahawa apa pun angka bajet yang dicadang dan dibentangkan bagi mendapat kebenaran penggunaan wang dari Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, ianya hanya memberi faedah kepada rakyat dan negara jika mereka atau kerajaan yang menguruskan sumber negara itu menguruskannya dengan telus dengan mengamalkan tata kelola pengurusan yang terbaik.

Dalam keadaan yang ada dan terus kekal ada, saya berterusan akan kecewa, dan rakyat  akan kecewa. Hanya rakyat terbanyak yang mampu merubah kekecewaan itu kepada masa depan yang lebih baik dengan memilih sebuah kerajaan yang telus, bertanggungjawab dan tidak menggunakan undang-undang bagi menyembunyikan salah aturan dan salahlaku.






 
 

 

Selasa, 27 September 2016

SIAPA YANG LAYAK JADI PM




Dua minggu saya tidak menjengok blog ini. Maka tiada apa-apa yang dibicarakan.

Hari ini tergerak hati untuk membicarakan sesuatu. Sesuatu yang juga menjadi perhatian sebahagian rakyat iaitu tentang siapakah yang layak jadi PM.

Sudah tentu soalan itu berbangkit hasil dari perkembangan semasa politik di negara kita.

Apabila soalan siapakah yang layak jadi PM diketengahkan maka tidak keterlaluan ianya boleh ditafsirkan bahawa ada dikalangan rakyat yang merasakan PM yang ada sekarang ini perlu turun, berundur atau letak jawatan. Ada sebab-sebab yang kuat mereka mahu PM sekarang berundur. 

Antara alasan dalam desakan 'undur' mereka itu ialah tentang salah urus tadbir yang merugikan negara dan rakyat, merosak dan mencemarkan nama baik negara dan soal integriti.

Mereka boleh mendesak tetapi sekiranya  BN khususnya UMNO iaitu parti yang membentuk kerajaan persekutuan ketika ini masih lagi memberi sokongan kepada PM yang ada ketika ini, desakan itu tidak akan mampu menukar PM yang sedia ada itu.

Riak-riak yang ada ketika ini memberi isyarat bahawa sokongan itu masih diperolehi oleh PM, dan beliau sendiri tidak rela untuk melepaskan jawatan walaupun didakwa melakukan kerosakan kepada negara.

Dengan demikian membicarakan siapakah yang layak menggantikan PM dalam konteks yang ada ketika ini, saya fikir ianya tidaklah sia-sia walaupun ianya memenatkan.

Ianya tidak sia-sia kerana ia memperlihatkan betapa pedulinya rakyat tentang pengisian jawatan tertinggi negara. Rakyat mahukan hanya yang 'terbaik' saja yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri. 

Secara umumnya maksud yang terbaik itu ialah seseorang yang mampu dan berkebolehan serta secara konsisten melaksanakan tadbir urus negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Orang itu adalah layak menjadi PM.

Bermakna, PM yang ada ketika ini tidak termasuk dalam kategori 'yang terbaik'. Lalu perlu diganti.

Namun ketika ini rakyat tiada pilihan melainkan menerima apa yang ada sehingga PRU yang akan datang.

Bagaimana pula jika PM yang ada mahu melepaskan jawatan sebelum PRU. Siapakah yang layak menjadi PM yang baru?

Bagi saya tiada seorang pun yang 'terbaik'. Maknanya tiada seorang pun yang mampu memberi khidmat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Zero.

Saya mengatakan zero ialah kerana pilihan yang ada pada kita untuk berPM yang baru hanya dari kalangan parti BN khususnya UMNO kerana parti itu mempunyai kerusi majoriti walaupun memperolehi suara minoriti dalam PRU yang lepas.

Jadi apa pilihan kita selain dari ahli parlimen UMNO/BN. Sesungguhnya kita tiada pilihan. 

Ertinya kita akan dapat PM dari kalangan ahli parlimen yang mengamalkan budaya dan sifat yang sama seperti PM yang digantikan.

Bagimana dengan TPM Zahid? 

Ada pihak yang meragui kemampuan beliau khususnya dalam hubungan antara bangsa. Bahasa Inggeris beliau dikatakan tidak mencapai tahap yang diperlukan dalam hubungan antara bangsa seperti yang telah dipamerkan dalam ucapan di perhimpunan PBB baru-baru ini.

Saya masih lagi boleh bertolak ansur dalam hal ini dengan syarat beliau mesti mempertingkatkan kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. 

Namun begitu saya masih tidak yakin beliau boleh menjadi PM yang terbaik kerana orientasi beliau tidak ada bezanya dengan PM yang digantikan.

Begitu juga yang lain-lain dari kalangan UMNO/BN termasuklah Hishamuddin. Beliau juga tidak layak. 

Tapi oleh kerana penguasaan bahasa Inggerisnya dikatakan pada tahap yang wajar dalam hubungan antara bangsa, ada pihak yang yakin beliau layak sebagai pengganti. 

Bahawa menjadi PM bukan saja dilihat dari sisi kemampuan menguasai Bahasa Inggeris. 

Budaya yang membentuk pemikiran dan sifat peribadi seseorang itu adalah terlalu amat penting. 

Bermula dari zaman Mahathir sehingga kini, UMNO/BN tidak lagi  mengamalkan budaya yang mampu membentuk peribadi yang bersifat amanah dalam mengurus tadbir negara demi kesejahteraan rakyat. Budaya wang dan projek adalah menjadi idaman seterusnya amalan sebahagian besar ahli termasuklah dari kalangan ahli parlimen parti itu.

Jadi lupakanlah hasrat untuk tukar PM sebelum PRU.
Tunggulah PRU 14 dan ambillah peluang untuk mendapatkan PM yang terbaik. PM yang terbaik tidak akan diperolehi dari kalangan parti UMNO/BN.

Namun begitu jika Mahayuddin dari Parti Bersatu menang, saya berpendapat beliau bukanlah calun PM yang terbaik. Walaupun kelihatan beliau agak sedikit baik dari PM yang ada ketika ini, tapi beliau juga mewarisi budaya UMNO/BN.  

Beliau adalah calun yang layak menjadi PM, menurut Mahathir.

Saya masih tidak dapat melupakan apa yang telah dilakukan oleh Mahathir semasa menjadi PM. Ya, membangun Malaysia satu hal yang terpuji. Tetapi melakukan kerosakan kepada negara adalah lebih besar dari pembangunan dan kemajuan yang telah diusahakan. Sebab itulah jika ada orang tanya antara Najib dan Mahathir siapa pilihan anda. Saya tolak kedua-duanya kerana kerosakan lebih banyak dari kebaikan.

Yang demikian siapa yang layak jadi PM selepas PRU 14?

Jika UMNO/BN menang dan jika Najib masih mengetuai UMNO/BN beliaulah yang layak tapi bukan PM yang terbaik. Kalau Pembangkang menang, Mahyuddin bagi saya tidak akan mampu jadi PM terbaik, dan dengan itu tidak layak.

Jadi siapa yang layak? Anwar Ibrahimlah yang layak. Tapi ada halangan/sekatan kerana beliau tidak boleh menjadi calun.

Siapa DIA PM kita jika Pembangkang menang dalam PRU 14.