Theflowersellingboy

Rabu, 9 September 2015

"After all you are the boss"




Setiausaha aku memberi tahu bahawa bos nak jumpa di pejabatnya. 
 
"Bos kecik ke bos besar?"
 
Bos kecil nak jumpa. Fasal apa, tidak pula diberitahu. Begitulah yang dberitahu oleh setia usaha ku.
 
Aku baru saja memanaskan kerusi dibilik kerja ku, belum sampai lima minit, bos pula nak jumpa.
 
"Give up", terkeluar rungutan ku secara spontan. Setia usaha ku faham. Hubungan ku dan bos tidak mesra, malah selalu  berlaga angin.
 
Aku dapat menjangkakan sebab mengapa pada pagi-pagi buta dia nak jumpa aku. Tak mungkin untuk ajak minum pagi bersama di ruang rihatnya. Aku bukan orangnya yang berkenan dimata dan yang boleh dibawa ajak ketawa. Aku tidak  pernah sekali menikmati suasana seperti itu.
 
Setiap kali berjumpa, ada yang tak kena. Pendapat dan pandangan tidak selalu sama.
 
Aku tahu, didunia ini dia mempunyai pengaruh besar keatas kerjaya ku. Dia ada pengaruh untuk menukar tempat kerjaku. Dia ada pengaruh keatas kenaikan pangkatku. Pendek kata masa depan kerjayaku adalah ditangannya. Di dunia begitulah sebenarnya duduk perkara.
 
Ya, aku tahu kerana dialah yang menulis laporan prestasi tahunanku untuk dihantar ke pihak atasan untuk mereka menilai prestasi kerja ku bagi tujuan kenaikan pangkat.
 
Walaupun dia tidak pernah beri tahu ku apa yang telah dilaporkan kepada pihak atasan tentang prestasi kerjaku tapi aku ada kawan yang memberi tahu, ianya amat mendukacitakan.
 
"Kau ni Hang Jebatlah", kawan ku itu beritahu.
 
Maksud kawan ku itu ialah bahawa aku selalu bergeser dengan bos dalam banyak hal. Itulah yang ditafsirkan dari laporan prestasi yang disediakan oleh  bos terhadap kerjaku.
 
Sebenarnya ada ketikanya aku berfikiir kenapa perlu berbeza pandangan dengan bos. Bos yang boleh memberi laporan yang baik jika tiada bergeseran pendapat. Peluang naik pangkat begitu cerah sekali.
 
Apa perlu berbeza pendapat hanya semata-mata mahu menjalankan tugas menurut apa yang sepatutnya. Kerana yang sepatut itu mempunyai perspektif dan tafsiran yang berbeza menurut kepentingan masing-masing.
 
Ya, kepentingan aku semata-mata untuk menentukan wang diuruskan dengan terbaik tanpa pembaziran dan salah guna. Itu saja.
 
Tapi, apa itu pembaziran?
 
Bagi bos membeli perabut dan kelengkapan yang mahal-mahal diluar dari kelayakan, tidak semestinya jatuh dalam kategori membazir. Menyediakan cenderamata yang mahal-mahal kepada tetamu, tidak juga boleh dikatakan membazir.
 
Imej jawatan dan jabatan mesti sentiasa dijaga. Tak boleh diambil rengan. Kata-kata yang biasa aku dengar.
 
Tapi aku kata , nak pakai yang mahal-mahal untuk jaga imej , pakailah duit sendiri.
 
Kepentingan bos ialah untuk jaga imej jawatan dan jabatan.
 
Sampai saja di pejabatnya , aku diberitahu oleh setia usaha bos bahawa bos sedang bercakap talipon, dan aku dipersilakan duduk di ruang tunggu.
 
Beberapa minit kemudian aku diminta masuk.
 
"What have you done?"
 
Belum sempat aku memperbetulkan duduk ku , bos telah tanya soalan itu. Aku tahu apa yang bos tanya. Ini, mesti berkaitan dengan memo empat muka surat yang telah aku hantar kepada pengurus besar agensi yang mencadangkan pembelian saham. Tapi lebih baik aku dapat lebih jelas lagi dari bos tentang pertanyaan itu.
 
"Sorry Dato', apa maksud Dato?" Aku macam tak tahu apa maksud soalannya itu.

"Your memo, four pages memo. Big boss was very upset", Bos memalingkan muka ke penjuru biliknya seolah-olah tidak berkenan melihat wajah ku.
 
Aku memberi tahu bos bahawa itu adalah ulasanku. Terpulang, jika mahu di terima atau di tolak. Bagiku, tugas jawatanku ialah untuk memberikan ulasan dari segi implikasi kewangan keatas mana-mana cadangan yang melibatkan kewangan. 
 
"Tapi you tidak setuju sedangkan mesyuarat hari itu setuju saham itu dibeli",suara bos mula tinggi.
 
Aku pun sudah mula mahu angkat suara. Nasib baik, aku masih ingat bahawa aku berdepan dengan bos. Aku mesti menahan kemarahan ku. Simpan saja suara marah ku dalam hati.
 
Aku tanya bos sama ada dia dah membaca memo empat muka itu, dan apa pandangannya. Dan adakah pandangan yang aku beri itu pada pendapatnya tidak berasas, tidak betul atau boleh merugikan agensi itu. 
 
Bos menyatakan, soal berasas atau tidak berasas, betul tidak betul tidak penting kerana mesyuarat telah membuat keputusan saham itu wajar dibeli. Bos besar dah setuju.

"Mesyuarat bersetuju secara dasar tertakluk kepada kajian keatas beberapa fakta dan maklumat yang di kemukakan", Aku mengingatkan bos keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat.

"Tapi fasal apa you tak sokong?" Bos marah dan segera bangun dari tempat duduknya meninggalkan aku.
 
Suasana tegang dalam kesunyian. Aku sudah nekad. Apa nak jadi, jadilah. Aku berdiri.
 
"Beginilah Dato', why not you over rule what ever being stated in the memo. After all you are the boss".
 
Bos menoleh melihat muka ku. Dia amat marah sekali dengan sarananku itu. Dia mengingatkan aku bahawa dia tidak ada kuasa untuk 'over rule' pandangan ku itu kerana indang-undang tidak memberikan kuasa itu kepadanya.
 
Aku beritahu bos, bahawa bos besar ada kuasa. Tapi dia beritahu bos besar takut untuk melakukannya disebabkan ulasan yang aku beri itu.
 
Suasana kembali senyap pula. Aku pun tidak mahu berkata apa-apa. Bos pun serupa juga seolah-olah memberitahu agar aku keluar dari biliknya.
 
Sebelum keluar aku minta maaf  kerana tidak mempunyai pandangan yang sama. Aku hanya menjalankan tanggungjawabku saja. 
 
 
  

Isnin, 7 September 2015

Tersasar Pun Tidak Mengapa Asal Bos Suka.




Aku dan tiga orang lagi, siap sedia untuk memukul bola golf pada lubang pertama. Aku diberi keutamaan untuk memulakan pukulan, menghormati sebagai ketua paling kanan dalam jabatan, dan bukan kerana aku adalah yang paling baik diantara mereka. Handicap ku masih tetap sama, pada tahap 24, dari mula hinggalah terkini, setelah lebih 10 tahun bermain golf. 

Mat, buruh dikelab golf itu, sentiasa ada bersama setiap kali aku bermain golf, bukan sebagai kedi. Akupun tidak suka pakai kedi. 

Tugas Mat adalah untuk mengiringi ku dari satu lubang ke satu lubang, memberi peransang, memuji setiap kali aku memukul bola golf. 

"Shot", itulah yang selalu disebut oleh Mat, selepas menyaksikan bola pukulan ku itu terbang. 

Shot bagi Mat adalah satu pukulan yang cantik, baik dan yang menyukakan hati ku. Kawan-kawan ku juga selalu menyebutnya begitu. Tapi berbeza dengan Mat, bagi mereka pukulan itu adalah 'good shot', cuma perkataan 'good' itu tidak disebut, malas agaknya atau ianya tidak perlu disebut kerana shot sudah cukup untuk membawa maksud satu pukulan yang baik, yang layak dipuji.

Biasanya aku tersenyum apabila mendengar pujian Mat itu walaupun bola golf yang ku pukul itu tidak menepati sasaran yang hendak dituju. Dalam banyak kali, tersasar masuk bunker, kolam atau jika bermain di AKCC bola itu masuk hutan. Hari ini, lain sekali.

"Apa yang shot nya,  bola tu shank masuk kolam", aku sergah Mat. Mat terpinga-pinga. Dia tidak percaya sergahan itu datang dari ku.

"Maaf tuan. Tapi saya nampak bola tu ok, tak masuk kolam".
Kawan-kawan ku yang tiga orang itu mengangguk-angguk kepala bersetuju apa yang Mat cakap. Tapi mata ku jelas melihat bola itu masuk kolam.

"Saya ingat ada ditepi kolam, tak masuk , boss", Harun, penolong kanan jabatan meyakinkan aku.

Mat mempercepatkan langkah untuk melihat bola itu walaupun tiga orang lagi masih belum mengambil giliran memukul. Bahaya. Tapi boss punya fasal , mereka yang tiga orang terpaksa menangguhkan pukulan sehingga Mat sampai ke tempat yang dituju.

Mat melambai-lambaikan tangan sambil menunjuk kebawah sebagai isyarat bola golf itu tidak masuk dalam kolam, ada ditepi kolam.

Aku tidak percaya. Tapi kawan-kawan ku menunjukkan wajah ceria, tersenyum, 'ok' bos, kata mereka.

Aku sampai di kolam. Mat menunjukkan bola golf yang terletak cantik ditepi kolam itu sambil tersenyum. Aku juga tersenyum.

Aku tahu, Mat sudah buat kerja menipu. Bola yang aku pukul itu adalah bola baru dari jenama lain dari  bola yang terletak cantik di tepi kolam itu. Bola itu ada sedikit luntur dari segi warnanya.

Tidak mengapa. Kalau Mat disergah lagi, habislah mood untuk bermain golf, mendapatkan kerehatan otak, melepaskan tekanan kerja di pejabat.

Tadi, aku menghadiri satu mesyuarat untuk bersama-sama membuat keputusan yang paling penting. Bos besar, itulah panggilan yang kami gunakan, mempengerusi mesyuarat. Urus setia mesyuarat mengedarkan kertas kerja setebal 4 muka sebagai kertas cadangan untuk diputuskan.

'Memohon Persetujuan Untuk Membeli Saham Syarikat  Yang Tersenarai Di Bursa Saham Secara Pembiayaan Pinjaman'.

Begitulah tajuk kertas yang baru diedarkan itu. Darahku menyirap, entah berapa bacaan tekanannya aku tidak pasti. Tapi aku sangat marah. 

Pengerusi meminta pencadang kertas membentangkan cadangan. Tapi sebelum sempat dia melakukan nya, aku masuk campur bertanya mengapa kertas cadangan diedar pada hari mesyuarat, kenapa tidak seminggu atau dua tiga hari sebelum mesyuarat bagi membolehkan ahli mesyuarat membaca, meneliti dan mengakaji cadangan dalam kertas itu.

Terkebil-terkebil pembentang kertas itu. Dia tidak dapat menjawab.

Dengan segera pengerusi campur tangan. Pengerusi mengatakan bahawa perkara ini perlu disegerakan kerana tawaran ini ada tempohnya, jika lambat diambil maka tawaran akan luput, dan akan dibuat kepada pihak lain. Kita kena buat keputusan segera.

Aku memandang wajah pengerusi dan sudah dapat membaca isi hatinya. Dia mahu keputusan segera, ok , no problem. Tapi keputusan segera itu bermaksud bersetuju dengan kertas cadangan itu. Itu yang  menjadi persoalanku.

Aku bertanya bukan bermaksud mahu menolak mentah-mentah cadangan itu. Aku bertanya sebab aku dan lain-lain ahli mesyuarat tidak di beri masa yang secukupnya untuk mengkaji, meneliti sebaik mungkin, sama-sama memberi sumbangan yang bermakna dalam satu keputusan yang amat penting yang melibatkan risiko kewangan. Itu saja.

Itu adalah jawapan hati kecilku kepada pengerusi. Ya, pengerusi tidak boleh dengar, tapi dia boleh membaca mimik muka ku. Dia tahu bahawa senyapku itu membawa mesej yang tidak selaras dengan kemahuan pembentang kertas kerja, dan tidak sama apa yang dia mahu. Lagipun dia sudah kenal biasa dengan ku.

Pembentang meneruskan tugasnya. Beliau mengambil masa 10 minit. 

Pengerusi mengucapkan terima kasih atas cadangan yang dibentangkan sambil mengatakan ianya satu tawaran yang amat baik dan perlu difikirkan dengan baik. Pengerusi kemudiannya meminta ahli-ahli mesuarat yang lain memberi pandangan.

Sebelum ahli-ahli lain memberi pandangan, aku sudah tahu apa yang mereka akan katakan. 

Melainkan aku, semuanya bersetuju. Bersetuju itu satu hal, tapi bersetuju dengan memuji bahawa tawaran itu dibuat adalah atas sebab hubungan yang baik diantara pengerusi dengan pengurusan syarikat itu.

Aku kata rasuah ke? Cuma bisikan hati saja. Tiada seorang yang dengar.

Tapi bukan sangkaan adanya rasuah atau komisyen yang menjadikan aku marah. Aku marah sebab aku tidak diberi masa untuk meneliti cadangannya yang melibatkan risiko kewangan. Sebab aku bertanggungjawab menguruskan kewangan. Ertinya imput mengenai implikasi kewangan perlu aku beritahu.  Tapi bagaimana aku boleh berbuat demikian kerana kertas cadangan baru saja aku terima.

Selepas habis saja ahli-ahli lain memberi cadangan, Pengerusi membuat keputusan bersetuju membeli saham yang ditawarkan pada harga RM6.50 satu saham melalui pembiayaan pinjaman dari bank sebanyak 60juta ringgit.

Aku tidak bersetuju. Itu kata hatiku.

Kata hati tidak cukup untuk menjaga kepentingan diriku pada masa depan. Aku akan dipersoalkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, misalnya ketidakmampuan membayar balik pinjaman. Tergadai agensi itu tadi.

Tapi jika aku bersuara menyatakan tidak bersetuju sedangkan majoriti ahli mesyuarat, dan pengerusi sendiri bersetuju, sudah tentu aku dituduh mengambil jalan yang tidak disukai. Ianya meletakkan kerjayaku dalam risiko.

Ah peduli apa. Yang penting aku menyatakan pendirianku dan minta dicatatkan pendirianku bahawa aku tidak bersetuju. Itu terlalu keras. Tidak bersetuju dengan ketua dihadapan ahli-ahli mesyuarat telah diterima sebagai tidak berkhemah dan beradab. Ya, aku kena buat pendekatan lain yang maksudnya juga tidak bersetuju atau bersetuju dengan bersyarat.

"Minta maaf Dato' Pengerusi", aku menggunakan ayat-ayat lazim apabila mahu menyatakan rasa tidak bersetuju, mesti minta maaf dulu walaupun aku tidak membuat kesalahan.

Pengerusi memandang padaku seolah-olah dia mahu kata 'apa lagi budak ni nak cakap, aku kata setuju, setujulah. Aku bos'.

"Pada dasarnya tawaran ini adalah baik. Oleh kerana kita juga mahu melihat modal yang kita keluar itu pada akhirnya menguntungkan kita, jadi saya cadangkan penelitian tentang profail syarikat dibuat, misalnya penguasaan produknya dalam pasaran. Kita juga kena buat 'due deligence' untuk memastikan kedudukan syarikat dan nilai harga yang ditawarkan. Oleh itu saya cadangkan kita bersetuju dengan syarat penelitian dan maklumat yang lebih terperinci kita perolehi".

Pengerusi bersetuju dengan syarat yang dinyatakan. Tapi apabila pembentang kertas kerja mengingatkan bahawa ada tempoh sahlaku tawaran iaitu dua hari lagi akan tamat, pengerusi segera menukar fikiran kepada persetujuan asal.

Aku terdiam, terkedu. Lidah kelu untuk berkata, tapi kemarahan sudah memuncak

Mesyuarat tamat. Aku segera meninggalkan mesyuarat.

Bola golf yang terletak cantik ditepi kolam itu aku pukul. Sekali lagi tersasar. Tapi si mat ni kata, no problem.

Ohhhh begitu rupanya hidup di dunia ini. Tersasar pun dikatakan baik, semata-mata mahu ambil hati bos. 

Tapi aku tidak suka. Aku tidak suka dengan keputusan yang dibuat oleh bos pada mesyuarat tadi. Ianya meletakkan agensi itu pada risiko kewangan yang amat tinggi. Beli saham dengan cara pembiayaan pinjaman! Harga saham  turun naik. Apatah lagi waktu ini pasaran saham terlalu volatile.

Habis, bola aku hilang. 

Aku percaya, jika tawaran pembelian saham itu diteruskan, agensi itu akan menghadapi masalah kewangan yang amat besar.

Balik rumah nanti aku mahu tulis memo secara hitam putih pandangan ku bahawa tanpa kajian yang teliti, tanpa maklumat dan fakta yang sahih mengenai syarikat itu aku tidak bersetuju.

Kerjayaku? Taidak mengapa asalkan apabila aku bersara, aku tidak akan diganggu rasa bersalah.


 

Ahad, 6 September 2015

Malaysia Negara Yang Ku Cintai: Macam-macam Ada




Hari ini saya nak paparkan petikan kata-kata/ayat dari berbagai kepimpinan yang ada kaiatn dengan kehidupan kia di negara yang kita sayangi ini. Huruf 'italic' adalah pandangan atau pun ulasan saya.
 
1.Tuhan ada dalam dunia ini. Jangan bimbang--Menteri, Wahid Omar, dalam ucapan di Persidangan Anti Rasuah (International Agency Anti Corruption-- IAAC)
 
Tiada siapa yang bimbang fasal adanya Tuhan. Itu yang kita imani sebagai seorang Islam, dan pengikut agama lain pun sama juga, mereka percaya ada Tuhan.
Yang menjadi kebimbangan adalah insiden perlakuan rasuah semakin membarah. Ianya bukan satu persepsi lagi. Ianya satu realiti.
Malang sekali PM kita gagal untuk bersama dalam persidangan itu, berhadapan dengan perwakilan, berdiri tegak dan berani menyatakan dengan tegas beliau tidak terlibat dalam rasuah, khususnya yang berkaitan dengan derma 2.6 billion itu.
Apabila PM tidak berani hadir, dan apabila Presiden IAAC berani membuat  soalan khusus untuk PM sendiri menjawab, dan PM gagal menjawab,  amat mengecewakan kita gunakan ayat Tuhan ada dalam dunia. Jangan bimbang.
Mengapa kita sangkutkan dengan Tuhan sedangkan kita perlu ambil tanggungjawab tentang apa yang kita lakukan.
 
2. Mati UMNO, mati orang Melayu ---Ketua Puteri UMNO.
 
Dahsyat kepercayaan seperti ini. Nyawa orang Melayu ditangan UMNO? Bagi saya sama ada UMNO ada atau tiada bukan ada sangkut paut dengan nyawa Melayu. Jika UMNO yang dikatakan mempunyai 3 juta ahli, dan ditakdirkan semuanya mati, orang Melayu di Malaysia  yang tinggal dianggar kurang lebih 20 juta, masih boleh memikul tanggungjawab untuk menguruskan negara dengan baik, bukan saja setakat menguruskan orang Melayu saja.
 
3. Kalau isteri kita buat perangai, kepala kita berserabut dan kita tak boleh jadi pemimpin atau wakil rakyat yang baik --Perdana Menteri.

Setuju. Ada rumah tangga berjalan seperti itu, alhamdulillah.
Tidak dinafikan juga ada isteri yang buat perangai seperti yang disebut oleh PM itu. Contoh buat perangai terlalu banyak. Satu darinya mencampuri urusan rasmi suami. Misalnya suami yang jadi menteri yang antara lain bertanggungjawab meluluskan sesuatu projek untuk kepentingan rakyat. Katakan projek 50 juta. Untuk melaksanakan projek tersebut, kontrektor perlu dipilih secara tender, misalnya. Bermakna, ada persaingan dikalangan kontrektor.
Tapi, isteri menteri ini masuk campur tangan mempengaruhi suami agar kerja itu diberikan kepada kontrektor yang dia berkenan. Kontrektor yang apabila diberikan kerja akan memberi hadiah dalam bentuk wang atau lain-lain sebagai balasan pertolongan mendapatkan kerja.
Inilah antara yang PM kata sebagai isteri yang buat perangai.
Macam mana dengan isteri-isteri menteri kita?Isteri Timbalan PM? Isteri PM sendiri?
Mereka buat perangai?
 
4. Melayu mesti bersatu, elak DAP jadi PM ---Menteri, Ismail Sabri.
 
Dari segi Perlembagaan Persekutuan semua warga Malaysia layak jadi PM. Tidak timbul soalan orang Cina ke, orang India ke, orang Kadazan ke- semua berpeluang jadi PM.
Menteri itu sedar hal ini, sebab dia bukan tidak sekolah punya orang.
Melayu mesti bersatu. Cadangan itu amat baik. Bukan saja Melayu mesti bersatu, semua rakyat Malaysia mesti bersatu untuk mewujudkan negara Malaysia yang aman.
Tapi cadangan Menteri itu, Melayu mesti bersatu dibawah UMNO. Itu yang boleh dipersoalkan. 
Bukan salah bersatu dibawah UMNO, tidak juga dibawah PAS atau dibawah mana-mana organisasi. 
Tapi hanya UMNO saja boleh menyelamatkan Melayu adalah satu cerita dongeng. Sekarang bukan saja dongeng bahkan amat menakutkan.
Sebab selama 58 tahun negara Merdeka, mengapa kita masih lagi cakap tentang perpaduan Melayu? UMNO yang memerintah sepanjang tempoh itu sehingga ke hari ini. Jika UMNO masih cakap perpaduan dikalangan orang Melayu, bermakna UMNO sendiri mengaku yang mereka telah gagal menyatupadukan umat Melayu selama tempoh 58 tahun.
Jadi mengapa kita orang Melayu masih lagi mahu beri peluang kepada UMNO, bersatu dibawah UMNO?
Apa yang kita lihat sekarang? Siapa yang merosakkan orang Melayu? Siapa yang menyusahkan orang Melayu? Siapa yang gunakan Melayu dan Islam untuk membolot kuasa dan kekayaan? Siapa yang menjatuhkan nama baik Islam? Siapa yang menjadi perasuah terbesar?
Macam mana dengan derma 2.6 billion sehingga mencalarkan nama baik Melayu dan kepimpinan Melayu. Siapa Melayu itu yang menerima wang sebanyak itu?
 
5. Urus isu baiah dengan hikmah bukan bebal---Mahfuz Omar, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Kedah.
 
Saya setuju setakat hikmah saja. Saya tak setuju dengan bebal kerana tidak mungkin ahli dan kepimpinan PAS bebal-bebal belaka. Mereka banyak dan tinggi ilmu agama.
 
Urus secara hikmah bermaksud mengurus dengan baik yang asasnya untuk satu penyelesaian tidak bersifat marah, benci dan dendam. Jika marah, benci dan dendam menguasai dalam minda seseorang dalam menghadapi sesuatu kedudukan maka hasilnya adalah kemusnahan. Itu sebenar hasil yang hendak dicapai dalam hal baiah ini. Keluar PAS, hancurlah rumah tangga anda. Dahsyat, sebuah parti yang mendakwa Islam sebagai perjuangan sanggup melihat kemusnahan sebuah rumah tangga hanya semata-mata memetingkan politik parti itu saja. Apa jenis Islam parti ini?
Saya berpendapat sepatutnya isteri tidak boleh digalang ganti bagi sesuatu kedudukan , politik atau apa saja. Ertinya dari mula lagi baiah itu telah cacat. 
Anda boleh percaya , isteri dicagarkan? Anda boleh terima isteri jadi bahan gadaian seperti kita gadaikan tanah atau apa saja misalnya lembu dan binatang peliharaan yang lain bagi mendapat satu kedudukan politik? Isteri boleh dipermainkan, seolah-olah tiada hak langsung dalam sebuah rumah tangga kerana boleh digadaikan tanpa pengetahuan.
Apapunya parti yang sanggup melakukan benda seperti ini. Dan setengah pemimpinnya bermati-matian mempertahankan baiah yang merosakkan ini. Apa jenis pemimpin yang pakai serban dan kopiah sebagai isyarat dianya Islam.
Tidak hairanlah jika ada orang Islam apatah lagi bukan Islam yang meragui hukum hudud yang dibawa oleh parti PAS ini.
Sesungguhnya saya pada satu ketika dulu amat menyanjungi lagi menghormati pemimpinh PAS itu khususnya yang bertaraf ulama'. Tapi ia amat mengecewakan. Saya lihat kata-kata yang digunakan, nada intonasi dalam ucapan, tidak langsung membayangkan ianya datang dari seorang ulama' yang disegani oleh kawan dan lawan.
Saya mendoakan agar kekecewaan saya ini tidak berterusan, dan mengharapkan satu kepimpinan yang benar-benar menampakkan wajah Islam dalam kata dan kelakuan. Dalam hal ini saya nampak Tuan Ibrahim memberi harapan kepada saya termasuk Mahfuz Omar. Harap-harap mereka ini tidak tergelincir.  

Cukuplah dengan paparan petikan 5 kata-kata/ayat  dari mereka yang bertaraf pemimpin semoga sama-sama kita renungi.