Theflowersellingboy

Sabtu, 23 Ogos 2014

Senarai Semak Persiapan Mengadakan Majlis Perkahwinan




Kepada kawan-kawan yang mempunyai anak-anak muda remaja yang belum berkahwin, dan yang sudah tentu mengharapkan anak-anak itu berumah tangga , saya mencadangkan agar saudara-saudara sekalian bersiap sedia bagi menghadapi majlis pernikahan/perkahwinan anak-anak itu. Antara persediaan yang penting ialah:

i) Wang perbelanjaan majlis bagi membantu anak-anak. Anggaran pada kos sekarang lebih kurang RM10,000.0 0/menurut kemampuan
ii) Senarai nama para jemputan dengan alamat terkini yang lengkap dan no talipon. Kategorikan juga jemputan dari segi  a) adik beradik/saudara mara, b) jiran tempat kediaman, c) kenalan sekampong, jika tidak tinggal dikampong asal, d) kawan tempat bekerja/pernah bekerja e) kawan sekolah/universiti dan tentukan juga cara penyampaian jemputan misalnya a) hantar sendiri b) mewakilkan kepada kawan c) hantar secara pos e) sms/whatsapp atau apa saja alat hubungan media sosial yang lain. 
iii) Bilangan para jemputan menurut kemampuan.
iv) Senarai nama pembekal makanan jika tidak dibuat secara  gotong royong sekampong/setaman atau dihotel
v) Senarai nama dewan/hotel/restoran dan kos sewaan yang dikenakan jika tidak mengadakan dirumah
vi) Jika mengadakan majlis dirumah , dapatkan senarai penyedia khemah dan kerusi meja
vii) Jika majlis mahu diiringi dengan kompang/marhaban/hiburan ringan, dapatkan nama-nama kumpulan-kumpulan berkaitan.
vii) Senarai nama penyedia hiasan majlis seperti andaman, pelamin, pakaian pengantin dan sebagainya
viii) Senarai nama dan alamat pembekal/kedai yang menjual alat perhiasan dan cenderahati
ix) Senarai nama hotel/tempat tinggal atau homestay bagi membantu pihak orang sebelah untuk tinggal jika besan kita itu dari tempat yang jauh
x) Hubungi RELA untuk mendapatkan perkhidmatan kawalan lalulintas
xi) Adakan tunjuk arah yang jelas untuk tetamu ke majlis kita. Biarlah tulisan yang besar dan rengkas misalnya yang berkahwin namanya Ali dan Aminah tulis saja ALI vs AMINAH 20 September 2014. Tidak perlu tulis Majlis Perkahwinan diantara Ali bin Osman dan Aminah Bti Isa. Tunjuk arah itu biarlah banyak bermula jarak 1 kilometer dari tempat majlis  sehingga menghampiri tempat majlis

Senarai persediaan diatas tidaklah lengkap tetapi ianya boleh membantu kita. Dan yang paling penting sentiasa memohon doa kepada Allah agar Majlis kita berjalan dengan lancar dengan kehadiran tetamu yang dijemput, tanpa membazir dan ketidakcukupan makanan, dan majlis kita berjalan tanpa sebarang masaalah dan gangguan.

Selasa, 19 Ogos 2014

Usia Sudah 66 Tahun, Cerita Lama Masih Baru.


66 tahun?

Alhamdulillah, segala puji hanya tertentu bagi Allah. Selawat dan salam keatas junjungan Nabi Besar Muhammad SAW , keluarga dan sahabat baginda.

Bersyukur kehadrat Allah SWT dengan kurnia serta perkenanNya, pada tarikh 18 Ogos 2014, tahun masehi, saya telah diperkenankan Allah untuk terus berada di dunia yang fana ini, mencatatkan usia 66 tahun.

Saya berdoa kehadrat Ilahi agar baki-baki usia seterusnya akan memberikan kesempatan kepada saya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan dikurniakan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran, dipertingkatkan iman dari masa ke semasa, diberi petunjuk dan bimbangan untuk menjadi muslimin dan hamba Allah yang melakukan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar. Amin, perkenankanlah doa hamba Mu ini ya Allah.

Ya, 66 tahun satu masa yang lama dengan berbagai-bagai liku kehidupan.

Tapi saya merasakan liku-liku kehidupan itu baru saja berlaku dan berlalu. Masih jelas cerita dan peristiwa yang mampu diingat dan dibayangkan serta diceritakan kembali walaupun tidak pernah dicatat dalam mana-mana buku catatan.

Alhamdulillah, maknanya saya masih sihat tubuh badan dan akal fikiran sepadan dengan usia 66 tahun.

Masa kecil (belum memasuki sekolah menengah) anggota badan bergelumang dengan lumpur dan berpanas terik dengan sinaran cahaya matahari ketika musim ke sawah (menyemai, mengubah dan menuai padi) sambil menangkap ikan haruan, keli , betuk dan ikan putih yang cuba melepaskan diri. Badan berlenggeng saja (tidak pakai baju) dan berjalan kaki ayam. Pernah menerima sengatan ikan keli, aduh sakitnya.  

"Kencing tempat yang kena sengat tu", saya teringat jeritan mak busu. Air kencing adalah ubat menahan bisa sengatan. Itulah kepercayaan orang kampong ketika itu.

Walaupun saya masih kecil, saya tidak percaya kerana tidak munasabah, tidak logik atau tidak rasional mengikut pemikiran sekarang, lantas saya tidak melakukannya. Ini menimbulkan kemarahan mak busu dan mereka yang lain. Mereka kata saya budak degil.

Tapi kalau saya tidak degilpun, saya tidak akan melakukananya, malulah. Begitulah dewasanya fikiran saya ketika itu walaupun masih budak kecil berumur tidak lebih dari 10 tahun.

Sekarang saya sudah 66 tahun.

Fikiran saya mula meragui pendirian semasa kecil dulu. Sekarang saya merasakan mungkin ada kebenaran bahawa air kencing boleh mengubat sakit bisa akibat sengatan, sekurang-kurangnya sengatan ikan keli. Mak busu dan orang-orang kampong bercakap ketika itu berdasarkan pengalaman. Kejadian yang telah berlaku, dan bagaimana air kencing telah digunakan bagi menahan dan menghilangkan bisa sengatan. Tidak mungkin mereka berbohong.

Namun saya tidak akan melakukannya jika saya disengat oleh ikan keli. Lagipun mana mungkin ianya berlaku kerana saya tidak lagi bergelumang dengan lumpur dibawah panahan cahaya matahari yang terik membahang. Saya sentiasa didingini dengan penghawa dingin dalam cuaca Malaysia yang semakin panas ini.

Sekarang ini tidak ada lagi kawasan sawah. Semua telah bertukar menjadi kawasan perumahan dan perindustrian.

Teringat akan tugas selepas balik dari sekolah. Balik saja dari sekolah, waktu itu pada peringkat sekolah menengah rendah, berusia diantara 12 ke 15 tahun, kerja saya antara lain ialah menghantar makanan untuk abah yang menoreh getah diladang mat saleh. Saya melihat abah begitu gigih bekerja, mengangkat tangga dari satu pokok ke satu pokok getah untuk membuat torehan kerana dipangkal yang sebelah bawah telah tidak boleh ditoreh lagi.

Kesian abah, tapi saya menahan air mata dari keluar. Abah tidak membenarkan saya mengangkat tangga.

Kemudian abah berhenti untuk menikmati makanan yang dibawa, nasi bertemankan sambal. Itu saja. Namun abah makan berselera sekali.

Saya juga menjadi penggembala lembu (saya panggil kuda semasa menceritakan kepada anak-anak). Lembu mesti dijaga dan diekori agar tidak hilang.  Kayu api mesti dicari untuk dibawa pulang.

Jika tiada lembu yang hilang dan jika bebanan kayu api ada dibawa pulang bersama, langkah saya begitu bergaya, pantas untuk balik ke rumah dengan wajah ceria sekali. Tapi jika ada lembu yang hilang, lutut menjadi lemah, kaki melangkah longlai, takut kena rotan. Jika tiada dibawa pulang bebanan kayu api, saya mesti bersedia untuk menerima leteran emak.

Saya adalah kaki panjat pokok. Pokok kelapa, pokok langsat, rambutan dan pokok manggis tidak jadi masalah. Pernah pengsan kerana jatuh dari pokok manggis kerana tersalah pegang pada dahan yang telah mati. Pernah jatuh dari pokok rambutan kerana sebab yang sama juga. Nasib baik panjang umur.

Sekarang saya sudah 66 tahun.

Saya tidak boleh melakukan kerja panjat memanjat. Lutut sudah tidak kuat, menggigil dibuatnya apabila saya pernah mencubanya waktu berumur 40an dulu.

Dua dari anak-anak saya telah berumahtangga dan mempunyai anak. Seorang lagi akan bernikah pada September ini, inshaAllah.

Mereka itu (Anak-anak saya) tidak melalui apa yang saya pernah lalui. Hanya mendengar cerita dari saya. Mereka percaya. Tapi setakat itu saja. Mereka tidak tahu apa itu tugas jaga lembu . Tidak juga tahu apa itu kayu api. Tidak tahu cara memanjat pokok. Cucu-cucu saya, jauh sekali.

Cucu-cucu saya tahu kaki ayam itu adalah kaki yang dipunyai oleh ayam. Dan mereka adalah betul. Saya juga betul bila mengaitkan kaki ayam itu dengan orang yang berjalan tidak pakai kasut. Yang berbeza ialah masanya. Saya pakai masa silam. Cucu saya pakai masa terkini, semasa.

Kalau begitu, maka tidak salahlah jika mak busu dan orang kampong semasa saya kecil dulu percaya bahawa  air kencing boleh menghilangkan bisa sengatan ikan keli.

Apa pun ceritanya, saya telah melalui masa anak-anak saya dan masa cucu-cucu saya. Ianya berbeza dan saya perlu melakukan penyesuaian. Kalau mereka ber'whatsapp' , saya juga perlu tahu ber'whatsapp'. Kalau tidak , pada usia ini saya akan berasap, tidak faham satu benda. 



   

Rabu, 13 Ogos 2014

APA NAMA KERAJAAN SELANGOR SEKARANG?




Mahu cerita fasal politik jugalah. Tak seronok kalau tak ikut dan terlibat dalam kecenderungan perbincangan tentang isu arus perdana ketika ini.

Cerita fasal Khalid Ibrahim yang mencipta sejarah dunia.

Dia sajalah  seorang ahli politik di dunia ini, tanpa parti , berseorangan, tetapi dapat menarik majoriti ahli politik lain yang berparti, yang terdiri dari kawan dan juga lawan, dan yang mempunyai bilangan ahli dewan undagan (ADUN) yang besar, untuk menyokongnya, bagi  mengekalkannya menjadi menteri besar selangor.

Sejarah ini wajar dirakamkan dalam apa saja buku kenangan bertaraf antara bangsa kerana ia mempunyai nilai sejarah yang unik  untuk diketahui dan menjadi  rujukan terutamanya kepada peminat dan pelajar sains politik.

Khalid Ibrahim sebenarnya pembawa obor MALAYSIA BOLEH!

Ahli ahli politik yang berjaya 'ditawannya' itu bukan datangnya dari calang-calang parti. Dari segi nama, parti-parti itu  sudah termashur terkenalnya di tempatan dan di dunia., Begitu juga dengan kuasa dan pengaruh,  sudah lama berkembang dan meliputi seluruh negara.

Khalid menawan parti PAS, kawan sekerja kepada parti yang memecatnya. Khalid juga berjaya menakluk musuh ketatnya pada suatu ketika dulu , UMNO.

15 ADUN PAS menyatakan taat setia untuk bersamanya. 12 Adun UMNO segera datang terhegeh-hegeh tanpa perlu mengendeng-ngendeng (mengendeng-ngendeng -maksudnya tidak perlu malu-malu kucing tapi dengan jelas dan pantas seperti kilat memancarkan cahaya) menyokongnya.

Sekarang dalam genggaman Khalid ada 15 PAS dan 12 UMNO. Mesin kira-kira menjumlahkan menjadi 27.

Sebagai seorang politik yang hebat sudah tentu Khalid tidak lupa menunjuk dirinya untuk dimasukkan dalam kiraan mesin kira-kira itu yang menjadikan kekuatan kelompok Khalid' menjadi 28.

Jumlah ADUN Selangor ada 56. Kelompok Khalid ada 28, setengah daripada jumlah keseluruhan. PR (PAS tidak diambil kira kerana telah termasuk dalam mesin kira Khlaid) juga ada 28. Maknanya kedudukan seri.

Kalau dalam bola sepak, misalnya pertandingan piala dunia baru-baru ini, Jerman diistiharkan pemenang kerana berjaya menjaring 2 gol mengatasi Argentina yang menjaring1 gol saja. Maka Jerman mendakap piala itu.

Kalau setelah habis tempoh permainan termasuk masa tambahan, berkedudukan seri maka tendangan penalti dibuat sehingga salah satu pasukan mengatasi jaringan , pasukan itulah yang layak mendakap pial dunia itu.
  
Tapi dalam hal pengekalan khalid sebagai menteri besar  ini, kaedah menentukan pemenang tidak sama dengan perlawanan bola sepak piala dunia dari segi hukumnya walaupun asasnya sama.

Hukum yang telah dijatuhkan oleh sultan selangor ialah khalid layak dikekalkan sebagai menteri besar (bahasa bola sepak -mendakap piala).

Asas yang digunakan khalid untuk sultan menjatuhkan hukuman ialah beliau mendakwa mempunyai sokongan majoriti yang cukup untuk menjadi menteri besar. Ertinya bilangan ADUN dipihaknya melebihi bilangan ADUN PR.

Maka sultan yang menjalankan tanggungjawabnya menjatuhkan hukuman yang khalid layak dikekalkan.

Sekali lagi khalid menunjukkan kehebatannya kerana dalam kedudukan angka yang jelas seripun, beliau dapat meyakinkan sultan bahawa beliau dipihak majoriti.

PR tidak bersetuju dan meragui kenyataan khalid itu berasaskan perbandingan angka , 28 lawan 28. Maknanya PR tidak berhak sebagai pemenang (menjadi menteri besar) dan kelompok khalid  tidak juga sebagai pemenang (menjadi menteri besar).

Tapi khalid meminta PR membuktikan bahawa kelompoknya tidak ada sokongan majoriti.

Dua puak ini terus berbalah pada satu perkara yang mudah iaitu menentukan majoriti. Mangsanya ialah rakyat, khususnya rakyat selangor.

Dalam hal ini pihak khalidlah yang sepatutnya membuktikan beliau ada sokongan majoriti. Sebab pengekalan beliau sebagai menteri besar adalah atas pengakuannya kepada sultan yang beliau ada sokongan majoriti.

Buktikan, bukan saja kepada sultan bahkan kepada rakyat melalui wakil yang telah dipilih oleh rakyat. Adakan undi percaya dikalangan ADUN.

Perkara menjadi semakin keliru dan bercelaru.

Menjadi menteri besar bermakna khalid adalah ketua sebuah kerajaan. Setakat sekarang belum lagi kita ketahui nama kerajaan khalid. Oleh itu buat sementara saya panggil kerajaan khalid.

Untuk mengurus dan mentadbir sebuah kerajaan khalid perlukan kabinetnya/EXCO. Beliau tidak boleh urus berseorangan saja. Maka khalid kekalkan 4 EXCO PAS dan pecat semua EXCO DAP dan PKR.

Jadi kerajaan khalid sekarang terdiri dari dia, sebagai ahli bebas yang menjadi ketua kerajaan/menteri besar dan 4 EXCO PAS.

Dimana kedudukan UMNO?

PAS telah memyatakan dengan jelas akan keluar dari kerajaan jika ahli UMNO dijadikan EXCO. Maknanya kerajaan khalid itu, dari segi syarat PAS ialah tanpa UMNO. Ertinya UMNO masih bertaraf pembangkang.

Apakah sikap UMNO?

Sikap UMNO nampaknya jelas seperti yang dinyatakan oleh Mahyudin, Timbalan Presiden UMNO bahawa sokongan mengekalkan khalid adalah tanpa syarat. Ertinya tak diberi EXCO  pun tak jadi hal demi mengekalkan khalid. Begitulah jasa dan pengorbanan UMNO dalam mengekalkan khalid sebagai menteri besar.

Ertinya UMNO kekal sebagai pembangkang. Pembangkang yang mesra dengan kerajaan walaupun kerajaan itu terdiri dari parti yang memusuhi dan tidak sebulu dengan UMNO.

Musuh tapi mesra! Carca merba betul dibuatnya.

Bolehkah PAS dapat dengan mudah sokongan UMNO jika membentangkan Undang-undang Hudud di Selangor yang telah tebukti dari dulu , kini dan selama-lamanya menentang undang-undang itu?

PAS boleh cuba dan ambil kesempatan dari kemesraan musuh ini!

Bagaimana pula PKR dan DAP atau PR?

PR tidak menerima dakwaan khalid mempunyai sokongan majoriti.  Maknanya khalid bukanlah menteri besar yang sah dari kaca mata PR. Sekali gus kerajaan khalid juga tidak sah.

Maka keadaan menjadi keliru. DAP dan PKR sebagai apa pula?

Kerajaan? Sudah tentu tidak kerana khalid telah dipersetujui menjadi menteri besar (ketua kerajaan), dan ahli PKR dan DAP juga telah dipecat sebagi EXCO.

Pembangkang? Tidak juga, melainkan dibuktikan secara undi percaya atau pilihanraya yang baru melalui pembubaran dewan. Jika khalid mendapat undi majoriti maka sahlah kerajaan khalid itu .

Atau melalui pembubaran DUN untuk membolehkan satu pilihanraya.

Mana-mana pihak atau gabungan yang mendapat undi majoriti rakyat (memenangi kerusi ADUN) lebih banyak dari pihak lawan, pihak atau gabungan pihak itulah yang layak membentuk kerajaan.

Setakat sekarang kaedah-kaedah itu tidak digunakan. Mungkin masing-masing pihak sedang memperhebatkan menggunakan kaedah yang lain untuk mendapat majoriti

Apa kaedah yang lain itu?.

Yang saya tahu dan sudah menjadi kebiasaan,  malah selalu berlaku dan digunakan apabila berlaku krisis seperti ini ialah membeli ahli dewan/parlimen pihak lawan menyeberangi dan meninggalkan partinya.

Tapi kosnya tinggi. Sebab demad tinggi, sedangkan supply terhad ( bermaksud ahli parti yang setia tidak akan meninggalkan parti walaupun mendapat tawaran yang tinggi.) Hanya boleh dilakukan dan berlaku jika ADA DUIT (mesti banyak) dan ADA MATA DUITAN.

Begitulah cerita kehebatan khalid sehingga ramai yang  keliru, keadaan menjadi celaru dan carca merba. Perkataan majoriti kena di beri definasi baru.

Dalam keadaan keliru, bercelaru dan carca merba inilah yang membuatkan PAS tidak dapat membuat keputusan segera walaupun PR, yang PAS juga sebagai ahli, sudah terlalu jelas retaknya untuk terbelah. Ianya  bukan lagi hanya garis-garis kecil rekahan.

Mungkin cara PAS ini ada hikmahnya, menutut kepercayaan  setengah pihak. Berserah saja pada takdir.

Apa pun Khalid Ibrahim telah mencipta sejarah. Sejarahnya memberi kesan kepada definasi tentang majoriti; tentang kekuatan seorang individu tanpa parti mampu menggenggam dan menguasai ramai orang/bilangan parti; tentang kemampuannya menjadikan musuh menyerah diri sebagai kawan.

Tapi kesan yang paling menjijikkan ialah menyusahkan rakyat selangor gara-gara kerajaan yang belum ada nama.

Apa nama kerajaan selangor sekarang, gabungan diantara Khalid Ibarhim dan PAS. Boleh kah kita panggil Kerajaan KIPAS saja?

Kalau gabungan antara PAS, UMNO dan Khalid Ibrahim? Apa nama yang sesuai yang boleh kita fikirkan.

Saya percaya PAS tidak akan bersetuju sebab UMNO itu adalah musuh PAS, mana boleh bergabung. Jadi tiada nama yang wajar kita fikirkan.