Theflowersellingboy

Jumaat, 27 Jun 2014

SEMOGA KITA JADI INSAN YANG BERTAQWA




Mula Ahad ini, berpuasalah kita rakyat Malaysia, insyaAllah.

Kita berpuasa untuk menjadi insan yang bertakwa: la'allakum tattaqun.

Secara amnya kita orang Melayu amat mengambil berat tentang berpuasa. Tidak banyak orang yang mahu meninggalkan puasa berbanding dengan yang meninggalkan solat lima waktu. Bila datang bulan Ramadhan, secara otomatik kita telah bersedia untuk berpuasa, maksudnya telah bersedia untuk berlapar pada siang hari. Tiada masalah untuk menahan lapar.

Kita akan terus berpuasa sepanjang bulan Ramadhan tanpa culas melainkan atas sebab-sebab yang tidak membolehkannya seperti keuzuran. Kita taat melakukannya.

Anak-anak kecil seusia 4 tahun  kita biasakan untuk berpuasa, sekurang-kurangnya berpuasa suku hari sehingga pukul 10 pagi atau setengah hari sehingga waktu makan tengah hari pada pukul satu. Kemudian, kita galakkan agar anak-anak itu menambahkan lagi tempoh berlapar sehingga pukul 4 atau 5 petang, dan seterusnya ke tempoh berbuka puasa sebenar.  

Malah ada setengah ibubapa yang memantau dengan begitu rapi anak-anak itu. Jika ada yang mencuri makan atau minum, anak itu akan dinasihati supaya jangan berbuat demikian kerana perbuatan itu berdosa.  Allah murka orang yang berbuat begitu. Kita tidak dapat masuk syurga.

Ada juga ibubapa bertindak lebih ekstrim lagi dengan memukul anak-anak yang mencuri makan dan minum itu.  Dan ada juga yang tidak membenarkan anak-anak yang mencuri makan minum itu untuk menjamah makanan diwaktu berbuka puasa.

Namun begitu, dalam banyak keadaan anak-anak kita itu berjaya melakukannya iaitu menahan lapar dan dahaga. Bulan Ramadhan tahun-tahun berikutnya mereka berpuasa penuh sehingga berakhir Ramadhan.

Sesungguhnya kita berjaya dalam melatih anak-anak supaya dapat menahan nafsu lapar iaitu tidak makan dan minum.

Cara yang kita lakukan telah membentuk satu sikap bahawa berpuasa itu adalah untuk menahan lapar saja. Dan jika tidak dilakukan atau mencuri makan dan minum, balasannya ialah kena pukul, tidak dapat menjamah makanan waktu berbuka dan dimurkai Allah sehingga tidak dapat masuk syurga.

Ertinya jika tidak berpuasa ianya amat merugikan terutama dalam soal tidak dibenarkan makan waktu berbuka. 

Biasanya atau secara amnya hidangan makanan waktu berbuka kita adalah amat luar biasa sekali berbanding dengan hari-hari bukan dalam bulan puasa. Ada bermacam jenis makanan dan minuman dan berbagai rupa dan warna. Ada yang dibuat sendiri dan ditambah dengan yang boleh dibeli di bazar ramadhan. Semuanya amat menarik pada mata dan selera bagi orang yang sedang dalam kelaparan. Banyak air liur yang ditelan waktu melihat makanan itu sebelum sampai waktu berbuka.

Alangkah rugi jika tidak berpuasa! Begitulah bisikan nafsu sebahagian besar dari kita.

Jadi dengan itu lebih baik puasa. Masa berlapar bukan lamapun.

Memang baik dan wajar kita melatih anak-anak supaya mempunyai daya ketahanan untuk berlapar. Itu adalah asas kepada ibadat berpuasa. Dan dalam masa yang sama, kita juga mesti memberi tekanan kepada kewajipan melakukan solat lima waktu dan melakukan amalan-amalan atau ibadat-ibadat lain. 

Solat tidak boleh diabaikan.

Apabila solat lima waktu tidak diabaikan, solat terawih, solat sunat yang lain dan amalan membaca al-quran serta ibadat-ibadat lain mudah saja dilakukan dalam bulan Ramadhan ini. 

Dan sudah tentu makanan sewaktu berbuka akan kita sediakan secara sederhana, bukan dibawah pengaruh nafsu untuk membalas balik rasa lapar dan dahaga, sebaliknya atas rasa kesyukuran atas nikmat Allah sambil merasa insaf betapa beruntungnya kita berbanding dengan mereka yang susah yang sentiasa kurang atau tiada makanan.
    
Semoga ibadat puasa kita pada kali ini bertambah baik dan diterima Allah berbanding yang telah lepas. Kita mahu jadi insan yang bertaqwa: la'allakum tattaqun.





 

Rabu, 25 Jun 2014

OH NEGARA KU :



Negara Ku
Asal mula nama mu Tanah Melayu

Kemudian datang mat salleh,
kamu diberi jenama baru
MALAYA

Apa itu MALAYA?

the land for the Malay?

Sesungguhnya aku tidak tahu


Oh Negara Ku
Kau dijenamakan sekali lagi
kerana kau mendapat saudara-saudara baru

Tapi kali ini ada kecuhnya
Ada yang mahu Melayu Raya
Ada juga penentangnya
yang lebih betah namamu MALAYSIA

Oh Malaysia Negara  Ku

Ada Melayu
Ada Cina
Ada India
Ada Iban
Ada Kadazan
Dan ada macam-macam sukuan

Ketika ini sama-sama
sedang tuding menuding
bertengkaran
berebutan
bercakaran

Oh Negara Ku


Mengapa kah begini jadinya
Adakah salah pada nama mu

Perlukah diberi penjenamaan baru
nama yang baru
MECINDIKAL -Melayu, Cina India ,Iban, Kadazan dan Lain-lain

Biar semua puas hati

Sesungguhnya aku tidak tahu

Tapi oh negara ku
Aku masih lagi ingat asal nama mu dulu.






Selasa, 24 Jun 2014

LUPA dan CARA MENGATASINYA




Lupa dan terlupa. Itu adalah satu daripada sifat manusia. Seterusnya sifat lalai dan suka kepada hal-hal yang melalaikan. Kemuncaknya ialah nyanyuk dan hilang ingatan.

Di jauhi Allah kita hidup sampai ke peringkat nyanyuk dan hilang ingatan.

Sentiasalah berdoa kehadrat Allah SWT agar kita tidak sampai ke tahap itu., dan kembali menemui Allah pada saat kita sedar, tidak lupa, tidak nyanyuk dan tidak hilang ingatan. Amin.

Saya bukan mahu bicara soal lupa, lalai, nyanyuk dan hilang ingatan secara terperinci.

Saya mahu bicara kisah lupa yang berlaku dikalagan kita dan bagaimana cara kita menghadapinya.

Pengalaman mengesahkan bahawa mereka yang  lebih tua usia adalah mereka yang mempunyai darjah kelupaan yang kerap dan tinggi. Semakin usia meningkat, semakin mudah lupa menguasai kita. Ianya bukan sengaja buat-buat lupa. Memang benar-benar lupa.

Ada macam-macam kaedah bagi mengurangkan insiden lupa ini. Satu darinya ialah dengan menyediakan  senarai semak. Misalnya membeli keperluan dapur. Sebelum ke pasar/supermarket, senaraikan barang-barang yang hendak dibeli. Kalau kita sudah berumahtangga dan mempunyai anak-anak, bincang dan tanya setiap ahli keluarga tentang keperluan yang perlu dibeli. Kemudian sediakan senarai barang yang telah dipersetujui untuk dibeli.

Ingat,senarai itu juga mesti dibawa bersama. Tandakan barang-barang yang dapat dibeli.

Dengan cara ini keberangkalian berlaku lupa dapat dikurangkan.

Mudah bukan , cara mengatasi lupa. Sediakan senarai semak.

Biasanya anak-anak atau orang muda akan menasihatkan ibubapanya terutama yang sudah berusia misalnya 50 tahun keatas yang tinggal berdua saja dirumah, supaya sentiasa menediakan senarai semak perkara-perkara harian yang perlu dilakukan;atau jika melakukan sesuatu apa langkah-langkah yang perlu diambil.

Contoh: Masak air untuk sarapan pagi.

Antara nasihat yang diberi ialah apabila air sedang dimasak, ibubapa jangan membuat kerja-kerja jauh dari dapur tempat air itu dijerang. Jangan menyiram bunga-bunga dihalaman, misalnya, kerana dikhuatiri kerja siraman itu akan membuatkan ibubapa itu terlupa akan air yang dijerang itu. Bahaya jadinya.

Untuk membuatkan ibubapa itu ingat nasihat seperti itu maka anak-anak itu meminta ibubapa menyediakan senarai semak yang mencatatkan jika menjerang air mesti duduk didapur.

Bagi membantu ibubapa yang selalu terlupa itu, anak-anak itu sendiri sediakan senarai semak berkenaan. Senarai semak itu digantung dimana-mana dinding didapur atau dilekat pada dinding peti ais agar mudah kelihatan untuk dibaca.

Begitulah risaunya seorang anak terhadap ibubapa yang pelupa.

Begitu juga kalau kita memunggah barang yang telah dibeli, dari troli untuk dimasukkan kedalam but kereta. Jangan ada yang tertinggal, rugi pula. Caranya semak dari senarai yang telah disediakan.

Memang baik cara yang dilakukan oleh anak-anak itu. Ibubapa selamat dan tidak rugi,dan anak-anak pula rasa tenang tanpa risau akan perkara-perkara yang tidak baik yang mungkin berlaku keatas ibubapa.

Tapi, ibubapa dan mereka yang telah berusia ini, terlalu susah untuk dipisahkan dengan tabiat lupa.

Memang benar anak telah menyediakan senarai semak. Soalannya, adakah ibubapa itu sentiasa membaca atau menyediakan senarai semak itu? Berapa banyak senarai semak yang perlu disediakan kerana aktiviti dalam sebuah kehidupan itu terlalu banyak.

Maka ada setengah anak yang marah-marah ( marah sayang kerana khuatir sesuatu yang buruk berlaku kepada ibubapa) apabila ibubapa itu terlupa, misalnya dalam hal menjerang air tadi atau terlupa untuk memunggah semua barang yang telah dibeli untuk dimasukkan ke dalam but kereta yang membuatkan ada barang yang tertinggal dalam troli.

"Itulah mama tak sedia senarai apa yang hendak dibeli. Kalau ada senarai, bolehlah buat semakan", antara kata-kata dari anak-anak itu.

"Mama terlupa", jawaban yang biasa kita dengar.

Jadi bagaimana cara terbaik untuk mengatasi sifat pelupa ini?

Dalam kes menjerang air dan memasak nasi, ada yang nasihatkan pakai alatan letrik saja. Secara otamatik, padam sendiri.  Tapi bil letrik akan bertambah. Dalam keadaan tarif letrik yang tinggi, ianya boleh mengganggu bajet anda.

Jadi bagaimana caranya?

Terdengar juga orang mengatakan bahawa antara cara mengurangkan sifat pelupa ialah dengan rajin membaca terutama baca al-quran. Wallahualam, Allah saja yang mengetahui.

Tapi saya rasa antara satu dari sebab yang menjadikan kita lupa ialah kerana terlalu asyik dengan perkara yang ada dihadapan kita atau yang kita sedang lakukan. Oleh itu kurangkan keasyikan dan sentiasa INGAT bahawa kita ada tugas, peranan dan tanggungjawab selain yang ada dihadapan mata kita.

Tapi macam mana nak INGAT, sebab saya ini pelupa?

Saya tidak ada jawapan kepada soalan seperti itu.