Theflowersellingboy

Selasa, 27 November 2012

Doa Untuk Perhimpunan Agung UMNO Yang Ke 66

PAS telah mendoakan kehancuran UMNO. Saya tidak pasti kesesuaian doa itu dari segi moral dan hukum. 

Namun saya suka mendoakan Perhimpunan UMNO yang ke 66 ini berjalan dengan selamat dan semoga Allah memberi petunjuk dan bimbingan agar UMNO dan kepimpinan yang menerajui kerajaan sedar dan insaf diatas perbuatan-perbuatan mereka yang dimurkai Allah, dan meninggalkan perbuatan-perbuatan tersebut. 

Segala puji bagi ALLAH tuhan sekalian alam. Selamat dan sejahtera keatas junjungan nabi besar Muhammad saw, keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda sekalian.

Pada hari ini dan beberapa hari yang akan datang sekumpulan hamba Mu dibawah naungan parti UMNO mengadakan perhimpunan agong mereka kali yang ke 66. Oleh itu ya Allah Kau berikan petunjuk serta hidayah kepada mereka ya Allah agar mentaati Mu dengan rendah diri bermuhasabah dan melihat semula dengan penuh keinsafan diatas apa yang telah mereka lakukan sepanjang mereka di berikan amanah untuk menguruskan negara Malaysia yang tercinta ini. 

Ya Allah sesungguhnya tiada siapa pun yang dapat memberikan kasih sayang dan ikhsan semulia Kau ya Allah. Oleh itu kami bermohon pada Mu agar tanamkanlah rasa kasih sayang dihati orang-orang UMNO khususnya kepada kepimpinan mereka agar mereka dapat bertindak dengan penuh kasih sayang sesama insan. Lupuskan perasaan hasad dan dengki mereka, tabiat yang suka merekacipta fitnah, suka membuat tohmah, berbohong dan segala sifat keji yang semata-mata  boleh merosakkan hubungan sesama insan.

Ya Allah kami sedar bahawa tiada siapa yang lebih berkuasa selain dari Kau ya Allah. Oleh itu Kau hapuskanlah akan perangai keji yang ada dikalangan kepimpinan UMNO yang berkuasa itu ya Allah khususnya sifat suka berlaku zalim iaitu  zalim sesama insan dengan menyalahgunakan kuasa yang diamanah kepada mereka untuk memenjara dan menyeksa sesiapa saja yang bertindak yang tidak sealiran dengan mereka. Dan Kau suluh dan terangkan hati mereka agar sentiasa nampak dengan jelas akan perbuatan zalim mereka terhadap negeri-negeri yang bukan dibawah urustadbir mereka dengan menafikan hak negeri-negeri tersebut seperti hak mendapat hasil minyak yang sepatutnya.

Ya Allah Kau saja tempat kami berharap dan bermohon agar negara yang Kau telah limpah dengan rahmat yang tidak terhingganya ini dapat diurustadbir dengan baik penuh amanah. Oleh itu Kau kikiskanlah nafsu tamak haloba dan salah guna kuasa yang ada pada mana-mana kepimpinan UMNO yang berkuasa agar berhenti melakukan rasuah dan jenayah kewangan yang lain. Selamatkanlah negara ini dan Kau berikan pertimbangan yang sesuai keatas mereka yang terlanjur melakukannya.

Ya Allah Kau jadikan kami semua rakyat Malaysia rakyat yang hidup yang berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bantu membantu. Jadikan negara kami sebuah negara yang aman damai dan lindungi kami dari musuh yang durjana.

Ya Allah kami juga bermohon bahawa sesiapa saja yang diberi amanah untuk mengurus tadbir negara tercinta ini, Kau peringatkan kepada mereka ya Allah bahawa kuasa yang ada pada mereka itu adalah terlalu kecil dan hanya sebagai pinjaman saja. Oleh itu Kau timbulkan rasa keinsafan dihati mereka untuk melakukan yang terbaik demi rakyat dan negara. Sesungguhnya itulah yang lebih baik sebagai pemegang amanah rakyat.

Akhir sekali, ya Allah Kau berikan lah masa kepada parti UMNO dan sekutunya untuk bermuhasabah dengan merihatkan mereka dari mengurustadbir negara Malaysia selepas pilihanraya yang ke 13 nanti ya Allah. Berikan peluang kepada mereka merenung dan menilai perlakuan-perlakuan keji yang telah mereka lakukan semasa berkuasa kerana mereka yang jatuh dari kuasa sajalah yang mudah insaf untuk melakukan yang terbaik.     

Ya Allah Kau perkenankan doa kami ini, ya Allah.

Dengan doa ini kita mengharapkan UMNO akan berubah. Selamat Berhimpun dan Bersidang.

Isnin, 26 November 2012

GILA KUASA dan PERDANA MENTERI (PM)

Sekarang ini, menghampiri pilihanraya, kedua-dua pihak iaitu yang pegang kuasa (BN) dan yang mahu ambil kuasa Persekutuan (PR) sedang hebat mempengaruhi dan memenangi fikiran dan hati rakyat untuk memberi undi kepada mereka. 

Masing-masing menggunakan berbagai kaedah dan cara sehinggakan apa saja yang boleh mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap pihak lawan akan digunakan dengan optima sekali. Misalnya tentang jawatan PM itu sendiri yang menjadi rebutan diantara dua parti yang bersaing.

PM adalah jawatan yang paling berkuasa sekali di Malaysia walaupun kita dikatakan mempunyai dasar pengasingan kuasa diantara eksekutif, kehakiman dan legislatif.

 'Apa yang PM mahu, itulah yang berlaku', seolah-olah begitulah yang boleh kita simpulkan akan kuasa PM Malaysia.

Dengan itu tidak hairanlah jawatan PM itu sentiasa menjadi buruan dan rebutan pihak-pihak yang bertanding dalam pilihanraya.

Bila sesuatu jawatan itu menjadi buruan dan rebutan maka seperti orang pergi memburu binatang di hutan misalnya rusa, akan mengggunakan segala cara dan helah untuk memastikan rusa itu dapat diperolehinya. Begitulah dengan jawatan PM ini.   

Satu dari kaedah atau cara yang digunakan dengan begitu meluas ketika ini ialah propaganda 'GILA KUASA'. Lawan itu sebenarnya 'GILA KUASA' bukan nak buat kerja untuk kebaikan rakyat.

Lebih jelas sekali ialah BN mengatakan PR gila kuasa.

PR gila kuasa dan bukan untuk berkhidmat kepada rakyat. Itulah yang disebarluaskan melalui berbagai media kawalan BN agar rakyat terpengaruh dan yakin bahawa sebenarnya PR itu gila kuasa. Harapan BN hanya satu, agar dalam pilihanraya ke 13 nanti majoriti rakyat akan memilih BN untuk terus kekal berkuasa.

Serangan BN adalah khusus, tepat pada peribadi dan spesifik. Bukan serangan secara umum keatas PR. Tiada syak dan wasangka lagi bahawa ahli-ahli BN terutamanya dari UMNO mengatakan bahawa Anwar Ibrahim dari PR adalah 'GILA KUASA' untuk jadi PM Malaysia.

Anwar Ibrahim hendak sangat jadi PM. Dengan itu kata BN beliau gila kuasa.

Mengikut rekod, semasa Anwar dalam parti UMNO dulu, beliau pernah sekejap memangku jawatan PM. Beliau juga bakal jadi PM. Tapi kemudian beliau dan Mahathir yang menjadi PM ketika itu tidak sebulu atas sebab-sebab  yang masing-masing pihak tahu. Maka dengan kuasa PM, Anwar disingkirkan.

Lihat, bahawa PM maha berkuasa. Apa yang dia mahu semua boleh terjadi. Apa yang PM cakap semua benar belaka. Semua pihak/orang kena akur. Jadi tak hairanlah orang jadi gila untuk jadi PM.

PM kata orang itu jahat, orang lain akan kata benar orang itu jahat. Banyak yang percaya dan kena percaya. Atau paling kurang pura-pura percaya. Kalau tidak boleh masuk penjara.

Sebab itu berebut-rebut orang nak jadi PM. Lagi lama jadi PM lagi banyak gila-gila yang boleh buat. Maksudnya gila kuasa. Mahathir jadi PM 22 tahun. Seronok dia pegang kuasa. Sedih pula kalau tak ada kuasa. Boleh menangis dibuatnya.

Anwar pun nak jadi PM. Nak dapat kuasa. Mahathir kata Anwar gila kuasa. Najib pun kata yang sama bahawa Anwar gila kuasa. Nak rebut kuasa darinya yang baru saja dapat kuasa dari Paklah. Baru mahu masuk empat tahun, Anwar pula nak rebut. Mana boleh. Mahathir 22 tahun takkan Najib empat tahun saja.

Oleh kerana Anwar gila kuasa, Mahathir tak setuju dia jadi PM. Mahathir kata Karpal layak jadi PM walaupun Karpal orang PR. Satu geng dengan Anwar. Kemudian Mahathir berubah cita rasa pula. Dia setuju  Haji Hadi jadi PM walaupun Haji Hadi orang PR. 

Mahathir tak setuju Anwar jadi PM. Semua orang faham rasionalnya. Mahathir mahu Karpal jadi PM dan kemudian berubah cita rasa kepada Haji Hadi. Semua orang faham juga rasionalnya. 

Tapi Mahathir tidak pula sebut Najib sebagai PM selepas pilihanraya ke 13 nanti.

Apa rasionalnya? Cuba teka. 

Saya agak-agak rasionalnya adalah satu atau kombinasi dari hal-hal berikut:

i) Najib gila kuasa sama seperti Anwar.
ii) BN akan kalah dalam pilihanraya ke 13 nanti.

Rasional yang pertama itu mungkin ada kebenarannya. Sebab Mahathir tidak suka orang gila kuasa seperti yang beliau dakwa terhadap Anwar. Tapi Najib baru saja masuk empat tahun berkuasa. Mana boleh kata dia gila kuasa. Mahathir jadi PM 22 tahun. Lamanyerrrrrr. Mahathir tak pun kata beliau gila kuasa.  

Maka rasional diatas terbatal secara otomatik.

Lihat rasional kedua pula iaitu BN akan kalah dalam pilihanraya ke  13 nanti. 

Mungkin hati kecil Mahathir meramalkan BN akan kalah. Sebab itu dia sokong Karpal dan kemudian sokong pula Haji Hadi jadi PM. Dua-dua orang PR. 

Dia tak sokong Anwar sebab, jelas Anwar gila kuasa. Mahathir terlalu 'konsisten' dari sudut pandang tentang hal gila kuasa ini. Konsisten ini hanya terpakai buat Anwar saja.

Mengapa pula sokong Karpal kemudian Hj Hadi?

Sebab, Mahathir juga konsisten dari segi main politik. Politik suruh orang yang berkawan bergaduh. Matlamatnya satu saja iaitu Anwar tidak jadi PM. Ini pegangan yang konsisten juga.
     
Walaupun mungkin hati kecil Mahathir meramalkan BN kalah tapi beliau masih mengharapkan BN menang. 

Kalau itu harapannya, mengapa dia tak sebut Najib jadi PM?

Tak mungkin Najib termasuk dalam kategori gila kuasa.

Jadi apa rasionalnya?

Mahathir hendak orang lain kot? Sudah tentu bukan Karpal. Bukan juga  Hj Hadi. Anwar jauh sekali. Ketiga-tiga orang ini orang PR musuh Mahathir.
  
Najib, macam mana dimata dan sudut pandang Mahathir?

Fasal apa Mahathir terlalu sibuk fasal siapa yang patut jadi PM. Bukankah telah tersurat bahawa mana-mana ahli parti yang menang dan partinya pula menang majoriti ahli parti itu akan layak jadi PM. 

Kalau BN menang dan Najib pun menang, Najiblah yang layak jadi PM. Sebab dia ketua BN. 

Kalau PR menang majoriti, dan Karpal, Hj. Hadi dan Anwar menang maka salah seorang mereka juga layak jadi PM. 

Dan PR pula secara konsensus telah bersetuju Anwar jadi PM walaupun ada ahli PAS secara jujur yang mahu Hj.Hadi jadi PM. Maka Anwar jadi PM lah. Bukan Hj Hadi seperti sokongan ' ada udang disebalik bangkai ' Mahathir itu.
 
Jadi ada benar dan tidak benarnya rasional yang kedua itu. Mungkin BN menang dan mungkin juga PR menang. Apabila PM dilantik dari parti yang menang, sama ada Najib, Karpal, Hj Hadi atau Anwar, kita rakyat Malaysia mesti menerima dan bersama-sama menyokong segala usaha baik PM kita itu bagi menerajui Malaysia.

Cuma yang tidak rasionalnya ialah tentang Mahathir tidak menyebut nama Najib sebagai salah seorang yang layak jadi PM sedangkan nama Karpal dan Hj Hadi disebut-sebut. Nama-nama ahli parti yang amat dimusuhinya. 

Kita faham mengapa nama Anwar bukan saja tidak ada dibibir bahkan senyap sunyi dihati Mahathir.

Mantan PM 22 tahun ini masih lagi berminat untuk cakap fasal jawatan PM.  Mengapa?

Sebab semua orang percaya bahawa PM amat berkuasa. Ramai orang yang gila kuasa.
 
 

  


Sabtu, 24 November 2012

Beri Laluan: Di persilakan .....

Semalam bilangan jemaah bersolat Jumaat di masjid ( surau yang dinaikkan taraf masjid) di Precint 11, Putra Jaya begitu ramai sekali menyamai kehadiran solat hari raya fitri. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin musim cuti sekolah, sebahagian besar ibubapa bercuti untuk bersama dengan anak-anak di rumah.

Kereta-kereta berderetan di sepanjang jalan yang berdekatan dengan masjid, di kawasan berhampiran dengan stesyen minyak Petronas dan kawasan perumahan yang berdekatan. Pendek kata semuanya penuh dan tiada ruang untuk meletak kereta.

Seperti biasa saya memasuki kawasan letak kereta (sebuah padang) yang berhampiran dengan masjid. Penuh juga.

Ianya menjadi penuh kerana cara meletakkan kereta adalah mengikut suka hati tuan punya kereta. Lintang pukang tidak tersusun. Bukan disebabkan kawasan itu kecil.

Bagaimana pun saya dapat mencelah satu ruang kecil laluan, diantara barisan beberapa buah kereta di kiri kanan yang telah tersedia ada, hampir-hampir bahagian kanan kereta saya tergesel dengan sebuah  kenderaan pacuan 4 roda. Nasib baik, kalau tidak saya terpaksa menyediakan jawapan apabila diketahui oleh tuan punya kereta, iaitu anak saya. Syukur, saya dapat juga ruang tapi menghalang beberapa kereta di kiri kanan.

Dengan itu sebaik saja selepas mengaminkan doa saya bergegas keluar menuju ke kereta yang menghalang laluan beberapa kereta di kiri dan kanan. 

Saya yang paling awal tiba di kereta. Alhamdulillah, saya tidak menyusahkan pemandu yang lain.

Waktu keluar dari tempat letak kereta, semuanya bergerak perlahan dan bertolak ansur , tidak berebut. Apabila memasuki jalan raya dan sewaktu hendak memasuki sebuah persimpangan, sebuah kereta diantara banyak kereta yang berbaris yang datang dari persimpangan itu untuk membelok ke kanan memberi isyarat nyalaan lampu keretanya.

Isyarat itu saya faham, bahawa pemandu kereta itu meminta laluan suapaya dia dibenarkan untuk bergerak dahulu dan saya diminta berhenti. Maka saya bersetuju dengan permintaannya itu. Saya percaya ada hal penting yang membuatkannya mahu segera.

Di Malaysia ada tiga keadaan dimana pemandu kenderaan berkomunikasi diantara satu dengan lain melalui penggunaan nyalaan (flashing) lampu untuk sesuatu isyarat.

Isyarat pertama ialah meminta laluan seperti yang diperkatakan diatas. Isyarat kedua juga bertujuan meminta laluan tetapi mungkin ada sedikit berbeza. Isyarat meminta laluan yang kedua ini biasanya berlaku di lebuh raya. Pemandu di lorong laju (lorong pertama disebelah kanan) yang memandu laju, biasanya melebihi dari had laju yang dibenarkan, akan memberi nyalaan lampu agar kereta yang berada dihadapannya , yang dianggap menghalang kelajuannya , masuk ke lorong kedua.

Apa bezanya dengan isyarat yang pertama tadi?

Pertama, bezanya ,satu di persimpangan kawasan perumahan dan yang lagi satu di lebuhraya. Kedua, yang laju di lebuh raya itu meminta laluan mungkin dia perlu cepat atas sesuatu keperluan. Mungkin juga memang perangainya yang suka bawa kereta laju sehingga melepasi had laju yang dibenarkan. Saya lebih cenderung kepada yang kedua.

Mereka yang perangainya suka membawa kereta laju, tidak ambil kira keselamatan pengguna jalan raya yang lain.Saya bersetuju kereta yang berada dihadapan yang dikatakan menghalang laluannya, perlu beri laluan dan bergerak memasuki lorong tengah (kedua). Tetapi berilah peluang kereta itu memasuki ke lorong kedua dengan selamat kerana dilorong itu juga ada kereta.  

Jangan diberi nyalaan banyak kali, memberi tekanan kepada yang dihadapan untuk cepat-cepat masuk lorong kedua. Sebab ada dikalangan pemandu yang tidak tahan kena tekanan. Dengan itu cepat panik dan masuk lorong kedua tanpa memikirkan disebelah kirinya ada kereta. 

Ada yang selamba saja. Lagi diberi nyalaan, lagi dia buat tak tahu. Maka apa yang terjadi?

Macam-macam yang tidak baik boleh terjadi. Antaranya berlaku lumba berlumba diantara dua kereta itu sehingga boleh menimbulkan huru hara di lebuh raya. Celah sana sini, belok sana sini , masing-masing mahu menentukan sentiasa duduk didepan mendahului antara satu sama lain. Yang lebih dahsyat lagi berlaku pergaduhan.          

Keadaan ketiga komunikasi berbentuk isyarat nyalaan lampu ini ialah apabila pemandu telah dapat mengesan ada operasi polis yang mengesan had laju pemandu. Maka di hebuhkannya kepada pemandu yang bertentangan arah dengan memberikan isyarat nyalaan lampu.

Begitulah yang berlaku di Malaysia.

Saya pernah memandu di UK. Disana makna isyarat nyalaan lampu berbeza dengan di Malaysia. Tapi tetap sama sebagai alat isyarat komunikasi.

Apabila pemandu disana memberi nyalaan lampu, kita mesti baca sebagai isyarat pemandu itu memberi laluan kepada kita. Maka bersegeralah ambil peluang itu. Jangan kita pula berhenti untuk memberi laluan kepadanya. 

Baiklah, apa moral cerita tentang isyarat lampu ini? Ada banyak. Fikir-fikirkanlah.

Saya hanya beri satu saja. Saya ambil pemanduan di UK. Bahawa pemandu di UK atau Orang Putih yang menjadi kebiasaan sebutan kita, rasa budi dan sikapnya amat terpuji sekali. Mereka mengamalkan apa yang selalu kita warwar atau bangga atau masyhurkan dengan kata-kata 'bahawa tangan yang memberi lebih baik tangan yang menerima'. Tapi tidak banyak dari kita mengamalkannya dalam kehidupan harian. Belum lagi menjadi budaya kita. 

Orang putih atau pemandu di UK memberi laluan. Bukan meminta laluan. Mereka bersifat memberi dan bukan meminta atau menerima saja. Sebab itu mereka memberi nyalaan lampu mengizinkan pemandu bertentangan dengannya lancar bergerak terlebih dahulu. Sesungguhnya dia berbesar hati melakukannya kerana lihat saja wajahnya tersenyum jika anda prihatin menoleh ke arahnya.

"Yours, please!"