Theflowersellingboy

Khamis, 26 Julai 2012

Nota Dalam Bulan Ramadhan (5)

Waltakum minkkum ummatuy yad'una ilalkhairi wayakmuruna bilmakruf wa yanhauna 'anilmunkkar-hendaklah ada antara kamu satu golongan yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh berbuat yang makruf dan melarang  perbuatan munkar. 

 Ulaaika humul muflihun- dan mereka itu ialah orang yang beroleh kemenangan.

(Ayat 104 Surah Ali Imran)

Dakwah:

1.Berdakwah, mengajak dan menyeru kepada kebaikan dan melarang melakukan perbuatan mungkar. Untuk melakukan itu seseorang itu perlulah mempunyai kesedaran beragama iaitu yang telah beriman yang dapat membezakan diantara yang baik  dengan yang buruk.

2. Dikalangan kita ummat Islam mesti ada golongan yang menjalankan kerja-kerja dakwah-menyeru kebaikan dan melarang perbuatan mungkar atau perbuatan buruk dan keji.

3. Kerja-kerja mendakwah tidak saja terhad dikalangan sesama Islam bahkan meliputi sekalian manusia.

4. Mereka yang berdakwah adalah orang yang beroleh kemenangan disisi Allah.      
 

Rabu, 25 Julai 2012

HARAPAN dan DOA; hubungan manusia dengan Allah dan sesama manusia

1. Sebagai seorang Islam kita sentiasa berharap dan berdoa supaya sehingga ke penghujung hayat kita , kita adalah seorang muslim. Sudah tentu mahu menjadi seorang muslim yang baik. Dan kita mati sebagai seorang Islam.

2. Doa dan harapan adalah diantara ciri-ciri seorang muslim. 

3. Kita berdoa untuk mendapatkan pertolongan dan bantuan dari pihak yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk membantu dan memperkenankan doa itu. Siapa yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk memperkenankan doa kita selain dari Allah SWT. Maka kita sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT.

4. Kita hidup mesti sentiasa mempunyai harapan walau dalam apa keadaan sekalipun. Kekuatan harapan ini  membolehkan kita meneruskan kehidupan sehinggalah kita menemui ajal yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Harapan adalah musuh kepada kekecewaan dan putus asa. Mereka yang sentiasa ada harapan tidak akan kalah dengan ancaman kekecewaan atau kegagalan yang ditempuhi dan dialami. Mereka terus berusaha selagi hayat dikandung badan.

5. Itulah kekuatan seorang Islam.

6. Seorang muslim yang bergelumang dengan dosa-dosa jangan kecewa untuk mendapat belas ikhsan dari Allah. Jangan berputus harap untuk menjalani kehidupan sebagai muslim yang baik selagi kita masih bernafas. Hidup masa lalu yang penuh dosa tidak wajar menafikan kita untuk terus hidup selagi ajal belum menjemput kita. Cuma hidup yang berbaki itu kita menfaat sepenuhnya dengan meninggalkan segala kekejian lalu dengan satu keyakinan untuk melakukan apa yang diperintah Allah. 

7. Bahawa kita mesti yakin pintu taubat terbuka luas untuk kita. Memohon belas ikhsan dari Allah yang maha pengampun dan yang maha mengasihani, dan kita yakin akan sifat Allah itu dalam setiap saat permohonan keampunan kita itu. Menyesal akan kekejian yang telah dilakukan dan kita berjanji dengan memohon kekuatan Allah bahawa kita tidak akan melakukan lagi perbuatan yang keji yang dilarang oleh Allah SWT.

8. Maka doa kita adalah untuk memenuhi harapan supaya hidup yang berbaki itu mendapat keredhaan dan barakah dari Allah. Tinggalkan kisah lama. Kisah lama hanya untuk kita ingat sebagai kekuatan untuk  kita memohon keampunan dan taubat dari Allah. InsyaAllah, doa kita akan diperkenankan. Kita mesti yakin.

9 Sentiasalah ingatkan Allah dan menghubungkan Allah dalam setiap apa yang hendak dilakukan, yang terzahir dan tersembunyi. Dengan yang demikian kita sentiasa akan terpimpin dan terhindar dari melakukan perkara yang dilarang.

10. Dan jangan lupa hubungan kita sesama manusia kerana masing-masing kita ada hak dan tanggungjawab terhadap satu dengan yang lain. Sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan hidup bersama di bumi Allah ini kerana itulah yang menjadi harapan hidup seorang manusia.

Nota Bulan Ramdahan (4)

Yaaaiyuhallazi na aamanut taqullaha , haqqa tuqatihi- Wahai orang-orang yang beriman , taqwalah kamu kepada Allah sebenar-benar taqwa
 
Wala tamutunna illa wa antum muslimun- dan janganlah kamu mati melainkan didalam keadaan muslimin.
 
(Ayat 102 Surah Ali Imran)
 
Taqwa:
 
1.Ayat ini adalah ayat yang sentiasa dibaca oleh khatib dalam khutbah Jumaat. Bahawa seseorang yang beriman itu setelah yakin adanya Allah hendaklah sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah sehingga meresap kedalam jiwa raganya memelihara terus hubungan ini bagi memupuk dan mempertingkatkan iman dari masa ke semasa.
 
2. Orang yang bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa akan terpelihara tujuan hidupnya. Hidupnya adalah dipandu dan dipimpin dengan kepercayaan bahawa tempat untuk berlindung hanya kepada Allah SWT; menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan bahawa pemimpin yang sejati adalah nabi besar Muhammad SAW. Keimanan mereka tidak akan boleh diganggu gugat dengan berbagai cabaran,  ancaman dan pujuk rayu bagi mengurangkan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT.
 
3. Sebagai muslim hendaklah sentiasa berdoa dan mengharapkan agar kita mati sebagai  seorang muslimin. Maka berpegang teguhlah kita akan sifat bertaqwa itu semasa menjalani kehidupan . Dengan demikian jiwa muslim kita menjadi besar, teguh dan kebal sehingga ke penghujung hayat kita tanpa dapat digelincirkan oleh apa saja cabaran, halangan dan ancaman.
 
(Rujukan Tafsir Al-Azhar Prof. Dr. Hamka)