Theflowersellingboy

Rabu, 4 Julai 2012

Selamat Ulang Tahun Ke Dua Yousef Imran: 14 Syaaban 1433

Pukul10.30 pagi terima SMS dari anak memaklumkan hari ini 14 Syaaban 1433 adalah ulang tahun genap dua tahun usia anaknya Yousef Imran. 

Ah rupanya saya seperti ramai masyarakat Melayu Islam yang lain tidak langsung memberikan kedudukan yang baik kepada tahun Islam berbanding tahun masehi dalam semua hal termasuk berkaitan memperingati ulang tahun kelahiran. Yang menjadi rujukan dan sentiasa diingati oleh saya ialah bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Kadang-kadang teringat juga bulan Syaaban kerana ianya sebelum bulan Ranadhan. Teruk sungguh saya ni.

Dalam menjalani kehidupan harian saya tidak pernah merujuk kepada tarikh menurut kalender Islam. Justeru semua aktiviti atau apa saja yang memerlukan ingatan bagi mengukur perjalanan masa rujukan saya hanya kepada tarikh dalam tahun masehi. Amat malang sekali.

Sebab itulah ulang tahun kelahiran yang ke dua cucu pertama saya itu tidak termasuk dalam ingatan saya jatuhnya pada hari ini. Yang saya ingat ianya akan berlaku pada 26 Julai 2012 yang akan datang ini.

Namun pada hari ini saya mengambil peluang mendoakan agar Yousef Imran diberi kesihatan tubuh badan dan akal fikiran, membesar dengan mendapat didikan dan bimbingan untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa taat kepada Allah dengan melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang; dan menjadi anak yang soleh dan berguna kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Amin.
 

KEPADA YANG BERKENAAN

Lingkong Tomi
2, Jalan Anak Ikan
55000 Bandar Baru
Inderasaujana.


Salam hormat dari saya.

Naskah tuan yang tidak bertarikh, tidak beralamat dan tidak juga memperkenalkan diri siapa tuan, tiada nama yang tercatat dimana-mana bahagian dalam naskah tuan itu, sama ada diatas , di tengah atau dibawah, membuatkan saya pening-pening lalat untuk cuba meneka siapakah gerangan yang telah sudi melayangkan surat ini untuk tatapan saya. Namun begitu saya berterima kasih diatas kesudian tuan  menurunkan tandatangan sebagai tanda rasa tanggungjawab tuan diatas apa saja yang terkandung dalam naskah tersebut. 

Bukankah tanda tangan seseorang itu merupakan perakuan atau persetujuan ke atas sesuatu yang hendak dinyatakan/disampaikan? Bukan begitu tuan? Saya percaya jawapan tuan jelas sekali mengatakan 'ya.'

Saya pernah diberitahu bahawa naskah serupa ini sememangnya mudah dilayangkan. Saya tidak pasti akan kebenaran kata-kata itu. Cuma yang saya tahu ialah istilah yang sudah biasa diguna dan diterima oleh masyarakat kita bagi sesuatu naskah yang mengambil ciri seperti naskah tuan ini dipanggil sebagai 'Surat Layang'. 

Entah bagaimana surat tuan itu melayang , saya tidak ada kepandaian untuk memberitahu, kerana saya tidak ada ilmu tentang hal itu. Saya masih mencari-cari kok ada guru atau mahaguru yang boleh membimbing saya agar dapat memahami cara bagaimana surat itu melayang. Tapi buat ketika ini saya dapati sampul surat yang membungkus naskah tuan itu tertampal dengan stem yang berharga satu ringgit dua puluh sen. Mahal tu tuan! 

Tapi tak apalah kerana tuan sedikit sebanyak telah menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara dan menjana pendapatan perkhidmatan pos.

Saya faham dan maklum apa yang tersurat dan yang tersirat setelah berulang kali membaca isi kandungan surat itu. Semuanya menuju ke satu arah saja walaupun cerita yang disampaikan adalah terdiri dari berbagai ragam. Tuan seorang yang perhatin tentang Amanah. Itulah mesej yang saya dapat simpulkan yang hendak tuan tusukkan ke dalam sanubari saya. 

Jangan tuan merasa risau pula takut-takut saya gagal mentafsir sifat keperhatinan tuan tentang Amanah itu. Saya sedar bahawa tuan tidak  bermaksud  mengatakan saya seorang pemegang amanah yang unggul. Tidakkah begitu tuan? Saya faham bahawa tuan mengatakan sebaliknya. Tuan mengatakan saya seorang yang tidak amanah dalam menjalankan tanggongjawab yang telah diamanahkan. Saya tidak bersih. Saya tidak cekap. Saya tidak ada sifat ABC. Jangan silap, ABC bukan saya maksudkan Air Batu Campur, minuman kegemaran saya sewaktu muda remaja dulu. Sekarang saya sudah berpantang kerana gula dalam darah sudah tinggi bacaannya.

Maaf, sedikit melencung , cerita fasal sakit kencing manis pula. Gamaknya hidup dalam kemewahan ini membuatkan saya mengambil gula yang lebih. 

Sebenarnya tuan, pada pendapat saya yang sifatnya picisan ini, memadailah dengan cap tidak amanah itu di stemkan keatas saya. Ianya meliputi segala sifat yang tidak baik, yang negatif, yang sudah tentu tidak ada nilai-nilai murni yang dibawa. Ianya tidak bersih. Buat kerja pun tidak cekap. Tapi tak mengapalah.

Sebelum itu izinkan saya meneka siapa kah gerangan tuan ini. Saya berpendapat bahawa jika fikiran saya berjaya membayangkan siapa penulis surat itu, saya akan lebih lancar mengarang surat balas. Waemah samar sekalipun bayangan yang tergambar dalam otak kepala saya, ianya bersifat membantu. Jadi pening lalat saya boleh terubat. 

Berdasarkan lengkok keluk tanda tangan tuan itu, saya dapat meneka siapa tuan yang sebenarnya. Saya tidak tahu nama tuan. Tidak juga rupa paras atau warna kulit tuan. Cuma yang saya dapat bayangkan ialah ciri-ciri yang ada pada tuan. Bagi saya tuan adalah  pemegang unggul ciri-ciri yang bermula dengan huruf phd.  

Bukan, tuan bukanlah bersifat seperti yang selalu disiniskan oleh ramai orang. Tuan bukan yang ada penyakit hasad dengki atau ada perasaan seperti itu. Jauh sekali bagai langit dan bumi jika tuan merasa teruja syok sendiri mempercayai tuan adalah  pemegang ijazah yang membawa gelar Doktor Falsafah. Tidak, tidak sama sekali. Tuan hanya berwajah dan berperangai phd.

Saya telah meletakkan satu perspektif yang jelas sebagai panduan bagi membimbing saya menulis surat balasan terbuka ini. Pertama, surat tuan itu dengan yakin saya katakan sebagai 'Surat Layang'. Saya percaya tuan faham dan maklum nilai sebuah surat layang. Kedua, tuan mengatakan saya seorang pekerja yang pecah amanah. Seorang yang tidak beramanah. Saya juga percaya bahawa tuan faham dan sedia maklum kesan akibat seorang yang pecah amanah. Ketiga, setelah berulang kali membaca dan meneliti isi kandungan surat tuan itu, saya membuat kesimpulan bahawa tuan adalah pemegang unggul ciri-ciri phd. 

Surat terbuka saya ini jangan pula dianggap sama taraf dengan surat layang tuan itu. Surat ini ada tuannya, alamat untuk dihubungi jelas sekali.

Baiklah saya mulakan cerita dari saya pula.

TIDAK AMANAH, TIDAK BERSIH, TIDAK CEKAP

Menurut surat tuan, saya tidak ABC kerana i) datang bekerja lambat dan balik kerja cepat dari waktu kerja yang sepatutnya; ii) meninggalkan pejabat sebelum  waktunya bertujuan untuk bermain golf; iii) menggunakan peralatan dan aset pejabat untuk maksud peribadi; iv) terlalu lama membuang masa makan minum dan berborak di kantin sehingga menyusahkan orang untuk mendapat perkhidmatan/berurusan; dan v) pilih kasih dalam memberi penghargaan kepada kakitangan.Tetapi secara khusus tuan tidak pula mengatakan saya mengambil rasuah.

Wah, semua yang diperkatakan itu nampaknya macam benar belaka. Nampak gayanya tuan macam terlalu dekat dengan pejabat tempat saya bekerja. Tidak mungkin tuan bekerja sepejabat dengan saya kerana saya tidak pernah menerima apa-apa maklumbalas seperti itu dari warga kerja sepejabat. Tidak mungkin warga kerja terlalu takut untuk membuat teguran atau berjumpa saya menyatakan ketidakamanahan saya itu.

Tapi, mungkin juga ..... Tidak, saya tidak mahu ada buruk sangka sesama rakan sepejabat.

Oleh kerana semua yang dikatakan itu nampaknya semacam benar, saya hanya mahu mencadangkan supaya tuan mendapatkan khidmat dari pihak yang berkuasa termasuklah ketua majikan saya untuk melakukan penyiasatan. Jika tuan mahukan reaksi atau jawapan balas dari saya, ianya akan lebih bersifat mempertahankan diri dengan menggunakan berbagai alasan yang mudah saja saya reka cipta. No problem.  

Namun saya tertarik untuk menceritakan fasal balik cepat untuk bermain golf. Bukan saja balik cepat, bahkan banyak juga bilangan kalinya saya bermain golf diwaktu pejabat, bermain dengan pemaju-pemaju hartanah dan pihak-pihak swasta yang lain. Juga bermain golf sebagai meraikan kehadiran lawatan kerja bos-bos saya  dari ibupejabat.

Bermain golf dalam waktu yang dinyatakan itu dengan orang-orang tertentu adalah tidak merugikan dari segi meningkatkan produktiviti kerja. Kata orang perkara yang rumit yang tidak dapat diselesaikan di pejabat dapat diselesaikan di padang golf. Mungkin tuan akan senyum sinis dengan kata-kata itu. Saya setuju dengan reaksi tuan seperti itu kerana saya pun melakukan perangai yang sama sebelum berkecimpung dalam permainan golf. Ianya sungguh mengasyikkan sekali sehingga mampu merungkai hal-hal kerja yang menjadi halangan kepada sesuatu cadangan projek.

Bukankah tugas kita (maksudnya saya) sebagai pemudahcara? Tugas saya  memudahkan. Bukan mencari helah dan masalah. Telah terpancang diotak kepala saya bahawa sesuatu cadangan yang dikemukakan adalah berniat baik. Saya tidak wajar berperasangka buruk. Kata orang kita mesti terapkan nilai menang menang. Sekiranya cadangan itu mendapat kelulusan yang segera maka segera juga ia dilaksanakan. Misalnya cadangan mewujudkan sebuah penempatan baru atau  kawasan pertumbuhan baru. Jika saya begitu taksub dengan kuasa yang ada (ingat kuasa itu adalah kuasa yang diwakilkan saja) maka sudah tentu saya akan memikirkan berbagai helah untuk merumitkan cadangan itu dari mendapat kelulusan segera. 

Bercakap fasal helah ini, saya percaya tuan sedia maklum bahawa tujuannya adalah untuk memberitahu kepada pihak yang mencadang itu betapa  terlalu pentingnya saya dalam menentukan gagal atau berjayanya projek yang dicadangkan itu. Mengapa saya perlu berbuat begitu? Bukankah ini akan membuatkan pihak pencadang akan membuat tafsiran bahawa ada sesuatu yang menjadi kempunan dihati saya jika tidak segera diuruskan. Tuan bersetuju kah jika pencadang itu memberi minyak pelincir? Maksud saya memberi habuan kepada saya agar semua halangan dapat diketepikan. 

Tuan, saya juga ada selera dan nafsu. Sekali cubaan , saya tolak. Dua pun tolak. Tapi kalau cubaan berterusan kerana setiap kali cadangan yang dikemukakan saya buat berbagai helah menyusahkan pihak yang mencadang, saya percaya mata saya akan terbeliak, nafsu selera saya menjadi tidak malu untuk menerima habuan yang dihulurkan. 

Tuan bersetuju saya buat begitu? Jika tuan bersetuju maka tuan juga menggalakkan saya pecah amanah.

Saya tidak fikir tuan mahu saya lakukan perbuatan itu.

Jadi waktu pejabat yang saya gunakan untuk bermain golf itu memberi faedah dan kesan yang baik kepada kemajuan negara.

Saya wajar meraikan lawatan kerja bos-bos dari ibupejabat dengan bermain golf bersama mereka. Kami bermain golf pun selepas tamatnya urusan kerja . Biasanya urusan kerja selesai selewat-lewatnya pukul tiga petang. Takkan saya hendak biarkan bos saya itu berkeliaran tanpa saya menemani mereka. Ingat saya adalah tuan rumah. Saya mesti menjadi tuan rumah yang baik. Bos-bos saya pula hanya pandai bermain golf. Takkan nak main goli.

Dipadang golf, saya akan dapat berintraksi dengan bos-bos itu secara lebih releks dan santai. Maka interaksi akan menjadi lancar seolah-olah tiada jurang diantara saya dan bos-bos itu. Maka ini membuka peluang yang baik untuk saya mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari mereka demi meningkatkan lagi mutu penyampaian kepada sasaran.

Saya percaya apa yang saya lakukan itu tidak merugikan. Dan tuan tidak perlu risau dan khuatir kerana semuanya untuk kebaikan semua pihak.

Hanya yang patut tuan risaukan dan perlu mencari jawapan ialah ciri-ciri phd yang tuan ada. Adakah ianya puaka, hantu dan dajal. Ketuk kepala muncullah jawapannya. Apa dia? Benjollah kepala tuan. Mudahlah saya mengesan siapa tuan yang sebenarnya.

Sekian . Salam hormat.

Yang Benar

Lingkong Tomi


Ingatan:
Yang terpapar diatas bukanlah satu hal yang benar wujud. Tidak ada kena mengena sama ada yang hidup atau yang mati. Ianya cuma rekaan saya saja.

Isnin, 2 Julai 2012

JUARA EURO 2012

Pagi tadi telah terjawab siapa yang terhandal dalam arena bolasepak di negara-negara Eropah. Spain menewaskan Italy dalam bilangan gol yang mewah sekali 4 gol tanpa balas. Hebat sungguh pemain-pemain Spain ini yang berjaya menewaskan pemain Italy yang  'bukan kecik anak'.

Sebelum perlawanan ramai kaki-kaki teka bola membuatkan berbagai tekaan. Ada  tekaan berbentuk judi, maknanya kalau betul dapatlah untung dan jika sebaliknya hilanglah wang yang dipertaruhkan; ada tekaan suka-suka hati saja yang  berdasarkan lebih kepada minat keatas sesuatu pasukan; dan ada tekaan dari mereka yang dikatakan pakar dalam bolasepak  yang lebih mesra dipanggil sebagai ramalan atau 'prediction' dengan menggunakan pengetahuan/kepakaran masing-masing dalam hal bola sepak dengan meninjau dari segi pemain, formasi, strategi dan angkubah-angkubah yang lain. 

Diantara tiga kumpulan peneka ini yang paling selesa ialah peneka kumpulan ketiga. Mereka ini dikatakan orang-orang professional yang dipanggil untuk berbicara memberikan pandangan dan ramalan  keputusan perlawanan itu sebelum perlawanan bermula, dan kemudian diajak membuat analisis sebaik saja tempoh perlawanan itu habis sama ada sebahagian dari tempoh atau sepenuh tempoh. 

Dan jika ramalan mereka tidak tepat atau tidak betul kita akan dengar bebagai sebab diutarakan mengapa jadi begitu iaitu mengapa ramalannya tidak sama dengan keputusan. Biasanya yang dipersalahkan ialah pemain atau jurulatih. Predictors tadi terlepas dari kritikan. Lain kali mereka akan dipanggil untuk membuat ramalan. Mesti dibayar. Sebab mereka orang professional.  Jadi salah atau betul ramalan mereka , mereka tetap menerima bayaran.

Cuma satu hal yang ketara ialah bahawa kesemua kumpulan peneka tadi tidak dapat memberi jawapan seperti yang telah dilakukan oleh seekor sotong yang bernama Paul semasa Piala Dunia yang lepas di Afrika Selatan. Semua ramalan atau tekaannya tepat. Ingat Paul adalah seekor binatang !

Pada Euro 2012 juga, pernah satu kali saya tertonton dalam satu siaran sukan di tv yang memaparkan seekor babi membuat ramalan seperti mana yang telah dilakukan oleh Paul sisotong itu. Pada siaran itu kalau tidak silap saya babi itu telah membuat tekaan yang betul perlawanan diantara German dan Greece. Babi itu telah memilih makanan yang dihidangkan dalam pinggan berlogokan negara German. 

Selepas itu saya tidak pula mendengar apa-apa tekaan yang telah dilakukan oleh sibabi itu. Mungkin tekaannya tidak menjadi sebab itu tidak diberitakan lagi. Kalau menjadi sudah tentu di heboh-hebohkan. Maklumlah babi. Mungkin babi itu telah mati? Ini tidak mungkin kerana jika babi itu mati beritanya sudah tentu mendapat liputan yang paling meluas dengan tajuk antaranya, "Malang Sekali Sibabi Peramal Bijak Telah Tiada Untuk Membimbing Kita".

Tak kesahlah hal teka meneka itu. Sekarang keputusan telah diketahui. Spain 4, Italy 0. Saya hanya tahu pada pukul lapan pagi tadi kerana tidak menonton secara langsong. Saya lebih meraikan mata dari menonton bola sepak kerana tidak sanggup berjaga dari pukul 2 pagi sehingga tamat permainan.  

Tahniah kepada Spain. Malaysia bila agaknya. Bukan juara Euro tapi juara Asia pun sudah cukup. Sebab kita pun tak layak bersama Euro.