Theflowersellingboy

Rabu, 4 April 2012

DIA ISTERIKU

........sudah sampai disini 
namun penghujungnya tiada siapa yang tahu
yang pasti kami telah berada disini, 37 tahun mengongsi
meniti kehidupan yang bersimpang siur, mewarnai perkongsian itu
-ada putih jernih bak kristal secantik bulan mengambang penuh 
-ada hitam kelabu asap bak mendung sebelum hujan membasahi bumi
yang jernih dan yang mendung  mengheret kami sampai ke sini
Alhamdulillah, kami telah sampai disini , tiada lelah, sihat adanya

23 mach 1975 titik mula kami berpimpinan
kami mencorak cerita, meragam kisah dalam erat berpimpinan tangan
tarik menarik menghala kedepan diperjalanan yang simpang siur 
berliku berbelok menyusur lereng, menaikki bukit, menurun lurah
ahh menarik nafas panjang puas lega , kami  sampai juga disini

Kami sampai disini untuk meneruskan ke garis hujung 
garis hujung yang tidak sesaat cepat dan tidak juga sesaat lambat untuk kami sampai.

Dia isteriku tetap bersama dalam perjalanan ke garis hujung
tiada syak tentang itu kerana
Dia isteriku dan aku sudah sedia tahu

Dia isteriku telah menghadiahkan aku tiga putera tiga puteri
Dia isteriku memberi khidmat penuh setia waktu hujan waktu panas
Dia isteriku membelai anak-anak dengan penuh kasih sayang
Dia isteriku keluarganya dan keluargaku sama rasa sama sayang
Dia isteriku menantunya anaknya juga
Dia isteriku rengan tulang buat kerja 
Dia isteriku bersapa segera cepat mesra

dan Dia juga
selalu pening kepala   
marah-marah, rajuk merajuk, rungut merungut bila kerja jadi beban

Dia isteriku 
dan Aku suaminya
saling harap mengharap
memanjatkan doa
semoga digaris penghujung nanti 
kami sampai dengan penuh ketenagan


......kami dalam perjalanan
Anak-anak dan cucu-cucu
doakan  yang terbaik


 






 
 

Isnin, 2 April 2012

Pendekatan Kepada Penyelesaian Pembantu Rumah...2

Kedudukan terkini, jika anda pasangan suami isteri yang bekerja dan mempunyai anak-anak kecil, pilihan yang terbaik bagi menjamin penjagaan dan pengasuhan terbaik untuk anak-anak anda itu ialah dengan salah seorang dari anda berhenti kerja. 

Tapi jika anda masih lagi sayang akan kerjaya anda itu atas sebab-sebab tertentu misalnya telah melalui perit getir pembelajaran bagi mendapatkan sesuatu kelayakan atau bagi menghadapi kos sara hidup , mengambil pembantu rumah untuk menjaga dan mengasuh anak dirumah adalah satu pilihan yang tidak membantu anda, malah menambahkan lagi masalah. Jadi apa pilihan yang ada pada anda?

Pilihan yang ada pada anda  adalah i) menghantar anak ke pusat jagaan anak-anak, ii) menghantar anak-anak ke rumah jiran/orang yang dikenali, dan iii) menghantar anak ke rumah ibubapa atau meminta ibubapa tinggal bersama.

Menghantar ke pusat jagaan anak-anak kosnya terlalu tinggi khususnya dibandaraya-bandaraya besar seperti Kuala Lumpur. Jika kedua-dua anda suami isteri mempunyai pendapatan yang tinggi, rasanya kos yang dikenakan mungkin tidak membebankan. Tapi secara amnya ia lebih banyak membebankan.


Mungkin boleh dihantar ke rumah jiran/orang yang dikenali. Bayaran tidaklah mahal. Difahamkan sebanyak RM250 sahaja bagi seorang anak. Cuma perkhidmatannya kadang-kadang tergendala atas sebab urusan peribadi jiran itu. Maka terpaksalah diambil cuti darurat jika dengan tiba-tiba anda diberitahu jiran/orang yang menjaga anak itu terpaksa menguruskan sesuatu yang diluar jangkaan.


Menghantar anak-anak ke kampong atau ke rumah ibubapa adalah satu lagi pilihan yang juga diambil oleh setengah pasangan suami isteri. Pilihan ini juga ada kesan yang kurang baik. Pertama dari segi hubungan kasih sayang dan kemesraan dengan anak-anak. Kedua kos berualang alik dihujung minggu/bulan untuk menemui anak-anak. Jika ibubapa datang duduk bersama maka terpaksalah ibubapa itu meninggalkan rumah dikampong. Maka terbengkalailah rumah orang tua itu disamping kemungkinan di ceroboh masuk oleh orang jahat.


Jadi ketiga-tiga pilihan diatas itu adalah pilihan yang dibuat oleh pasangan suami isteri saja dalam menguruskan kehidupan berdasarkan kemampuan mereka. 

Dalam kata lain kerajaan tidak langsung melihat soal penjagaan dan pengasuhan anak ini sebagai satu tanggungjawab negara sedangkan anak-anak itu adalah satu aset negara yang terlalu tinggi nilainya. 

Anak-anak itu adalah modal insan yang perlu diasuh, dikembang dan disuburkan untuk membentuk warga negara yang sihat walafiat, sihat fizikal, mental dan rohaninya , bakal mempunyai sahsiah yang baik, mempunyai potensi dan daya mampu  serta keupayaan untuk menyumbang kepada kemajuan negara, bertangguingjawab dan berdisiplin dan taat setia kepada negara.


Tidak ada makna dengan kata-kata bahawa kita memberi keutamaan kepada pembinaan modal insan jika anak-anak kecil itu tidak diberikan kesempatan untuk diasuh, dikembang dan disuburkan dalam satu suasana yang terbaik. Suasana yang terbaik ini hanya dapat disediakan oleh kerajaan yang telah diberi amanah untuk mengurus negara. Dan satu perkara yang perlu diuruskan secara terbaik ialah dalam hal modal insan ini khususnya pada peringkat anak-anak kecil ini.

Jadi kerajaan mesti ada kepercayaan bahawa ini adalah tanggungjawab mutlaknya, tidak kurang dari itu.


Dengan pendekatan seperti itu maka kerajaan mestilah bertanggongjawab membiayai segala kos yang melibatkan pengasuhan dan penjagaan anak-anak kecil ini termasuklah pendidikan pra sekolah. 


Satu polisi atau dasar negara yang jelas mesti ada tentang perkara ini. Dasar itu antara lain meliputi dan merangkumi perkara-perkara berikut:
i) Semua organisasi kerajaan perlu menyediakan tempat/ruang bagi tujuan sebuah pusat penjagaan anak-anak
ii) Semua organisasi swasta juga melakukan perkara yang sama untuk pekerja mereka. Jika organisasi itu terlalu kecil maka kaedah perkongsian dengan organisasi-organisasi yang lain atau kaedah-kaedah lain yang lebih sesuai dilaksanakan.
iii) Belanja menyediakan infrastruktur/belanja pembangunan seperti ruang bagi tempat penjagaan itu hendaklah ditanggong oleh majikan termasuk kerja-kerja ubahsuaian.
iii) Belanja mengurus seperti bayaran kepada pekerja pusat penjagaan hendaklah dibuat secara bersama diantara majikan dan pekerja atas nisbah sumbangan majikan melebihi dari sumbangan pekerja.
iv) Bagi tujuan iii), satu Kumpulan Wang diwujudkan bagi menerima sumbangan dan membiayai kos operasi pusat. Dan satu Arahan Amanah disediakan bagi menentukan cara bagaimana wang itu diurustadbir.

Cadangan diatas hanya secara am sahaja dan masih boleh diperincikan lagi. Ianya bertujuan untuk menjadikan tanggongjawab menyediakan tempat penjagaan anak-anak bagi pekerja sama ada kerajaan atau swasta adalah tanggongjawab majikan.  Ia juga tidak melepaskan tanggungjawab ibubapa dari segi pembiayaan pusat tersebut. Ibubapa tetap memberi sumbangan keatas kos penjagaan anak-anak itu tetapi ianya tidak membebankan. Ianya juga boleh memberi ketenangan kepada ibubapa yang bekerja. Pekerja yang tenang , produktiviti akan menang.

Dengan adanya tempat yang disediakan untuk menjaga anak-anak ditempat kerja pada kos yang tidak membebankan, saya percaya bilangan mereka yang mahu mendirikan rumah tangga akan bertambah kerana telah ada jaminan tempat jagaan bagi anak-anak mereka. Dan bilangan pasangan untuk menambah bilangan anak-anak juga akan bertambah.

Impilikasi kos kepada kerajaan sudah tentu bertambah. Tapi faedah yang diperolehi adalah melebihi dari segi kos pada jangka masa panjang. Sebab kita mempunyai pekerja yang tidak risau dan runsing dalam hal mencari tempat jagaan anak-anak dan kita juga mewujud dan membina keupayaan modal insan dari peringkat awal lagi sebagai aset yang bermutu untuk kemajuan dan kesejahteraan negara pada masa depan.
 
Saya yakin sumber negara jika diurustadbir dengan baik mampu membiayai kos yang terlibat. Tidak membebankan negara. Apalah ada pada kos itu berbanding dengan kerugian wang negara yang berbilion-bilion ringgit disebabkan amalan salah urus, rasuah, pengaliran wang haram dan bermacam-macam perlakuan jenayah kewangan.

Kesimpulannya, kerajaan yang  diberi amanah untuk mentadbirurus negara wajar mengambil tanggungjawab menyediakan tempat penjagaan anak-anak ini termasuk membiayai sebahagian dari kos operasi pusat tersebut. Cara ini adalah lebih bertanggungjawab berbanding dengan mengadakan perjanjian dengan negara luar untuk mendapatkan pembekalan pembantu rumah untuk menjaga anak-anak, yang menimbulkan berbagai kesan sosial dan penganiayaan kepada pembantu rumah dan juga kepada pihak yang mendapatkan perkhidmatannya.  
       





Jumaat, 30 Mac 2012

Pendekatan Kepada Penyelesaian Pembantu Rumah

Enam bahagian paparan yang lepas, saya banyak menceritakan fasal hubungan diantara pembantu rumah dan majikan. Pertama, sikap dan saikologi majikan terhadap pembantu rumah. Kedua, berbagai cerita tentang pembantu rumah yang kesemuanya menjurus kepada ketidakjujuran dalam menjalankan tugas. Sebenarnya antara pertama dan kedua itu ada kesan-mengesannya.

Secara amnya majikan menganggap pembantu rumah adalah pekerja bertaraf rendah, mempunyai tahap pendidikan rendah, dari kalangan orang miskin yang memerlukan sangat pekerjaan dan tidak mempunyai peluang untuk kerja selain jadi pembantu rumah. Dengan demikian pembantu rumah ini tidak sama dengan pekerja lain dalam pasaran buruh. Tarafnya terlalu rendah.

Mereka diambil bekerja tanpa adanya  syarat dan terma perkhidmatan yang menjadi rujukan dalam menentukan hubungan dan tanggongjawab diantara majikan dan pekerja. Yang penting bagi majikan ialah pekerja itu sanggup melakukan kerja yang diarah. Yang penting  kepada pekerja pula ialah majikan menyatakan kesanggupan untuk membayar upah seperti yang dirundingkan, menyediakan tempat tinggal dan makanan percuma. Hal-hal kebajikan yang lain seperti cuti rihat, bayaran rawatan klinik/hospital dan yang lain-lainnya tidak dibincang dan hanya bergantung kepada budibaik dan budi bicara majikan. Apatah lagi sumbangan ke dalam KWSP-tidak pernah difikirkan.

Maka dalam bentuk hubungan yang sedemikian, ianya boleh menimbulkan berbagai perlakuan atau arahan kerja yang melampaui atau tidak sepadan dengan upah yang dibayar; paling malang sekali adalah penderaan terhadap pembantu rumah itu. Sekirannya pembantu rumah itu terdiri dari warga asing yang diperolehi  secara kemasukan yang tidak sah, kedudukannya lebih rumit lagi. 

Di pihak pekerja pula timbul perasaan marah, benci dan sakit hati terhadap majikan. Kesannya ialah meninggalkan anak jagaan bersendirian, mencederakan anak, melarikan anak dan berbagai perbuatan yang tidak baik termasuklah memasukkan kotoran dalam makanan dan minuman untuk dihidang kepada majikan. Dahsyat!

Terang dan jelas bahawa khidmat pembantu rumah ini lebih merumitkan  dari memudahkan.  

Lebih baik tiada pembantu rumah? Bagaimana pasangan suami isteri yang bekerja? Kepada siapa dapat diharapkan untuk menjaga anak/anak-anak semasa mereka keluar bekerja?


Saya amat bersetuju supaya khidmat pembantu rumah ini tidak diteruskan. Maksud saya dalam bentuk dan tatacara yang ada sekarang ini kerana ianya tidak adil kepada kedua-dua pihak -majikan dan pembantu rumah. 

Yang saya maksudkan dengan bentuk dan tatacara sekarang ini meliputi perkara berikut:
i) pembantu rumah diperolehi dari sumber luar negara,
ii) peranan agen dalam membekalkan pembantu rumah
iii) tiada syarat dan terma perkhidmatan pembantu rumah
iv) pembantu rumah tinggal serumah dengan majikan

 Ertinya saya tidak bersetuju dengan perjanjian yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia dan Indonesia tentang pengambilan dan pembekalan pembantu rumah, termasuk upah RM700 sebulan dan buat satu kerja. 


Khidmat pembantu rumah sebenarnya tidak perlu. Dan perjanjian dengan negara lain untuk khidmat pembantu rumah juga tidak perlu.


Kenapa saya tidak bersetuju? 


Saya tidak bersetuju kerana saya tidak nampak ada kesungguhan dipihak Kerajaan untuk sebenar-benarnya menangani hal-hal berkaitan dengan pengasuhan dan penjagaan anak-anak kecil ini. Pendekatan yang diambil tidak berasaskan kepada satu kepercayaan bahawa anak-anak kecil itu adalah satu aset yang terlalu tinggi nilainya kepada masa depan negara. Pada kerajaan memadai saja dengan menyediakan satu peraturan/perjanjian bagi membenarkan secara sah kemasukan pekerja asing dengan bayaran tertentu. Itu saja. 


Memang benar kerajaan menyatakan akan kepentingan modal insan. Tetapi pendekatan Kerajaan dalam hal ini tidak sepadan dengan pentingnya modal insan itu sendiri. Sebab itu saya katakan pendekatan kerajaan tidak berasaskan kepada satu kepercayaan bahawa anak-anak kecil itu adalah satu aset yang terlalu tinggi nilainya kepada pembinaan masa depan negara. 

Buktinya? Hal berkaitan dengan pengasuhan dan penjagaan anak-anak kecil ini tidak dijadikan sebagai satu tanggongjawab kerajaan sepenuhnya. Jadi pembinaan sahsiah dan penyuburan fizikal, mental dan spiritual anak-anak kecil ini tidak menjadi satu agenda penting dan utama kepada kerajaan. Biarlah ibubapa anak-anak itu sendiri yang menyelesaikannya. Kalau ada pun campur urusan, hanya setakat mengaturkan pembekalan pengasuhnya saja.
  
Bersambung.