Theflowersellingboy

Khamis, 2 April 2020

Secara Fizikal Saya Tidak Terkurung Tapi Fikiran Saya Yang Terkurung




Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran Isteri Saya Yang Ke........

Sudah lupa? Kerana faktor usia? 

Tidak, masih lagi tahu membuat kira kira. 

Apa pun semoga diberi kesihatan tubuh badan dan akal fikiran dan sentiasa dipertingkatkan iman dan hidup berbahagia sehingga akhir hayat kami suami isteri. 

Tiada sambutan. Tapi bergambar kenangan bersama.

Hanya kami bertiga berkurung dan terkurung di rumah. 

Nasib baik anak perempuan ada bersama setelah kembali dari Kota Kinabalu , Sabah. Melepaskan jawatan kerajaan untuk bekerja dalam syarikat swasta. Semoga pilihan sektor kerjanya membawa kejayaan yang lebih baik. Sudah tentu banyak cabaran.

Secara fizikal kami bertiga seperti rakyat Malaysia yang lain yang patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih banyak berihat di rumah, khusussnya berada dalam rumah. 

Fizikal saya masih bebas walaupun pergerakan terhad di sekitar dalam dan di luar rumah. Dua hari lepas berturut turut saya mesin rumput di belakang rumah yang sebelum covid 19, saya lakukan sehari sahaja. 

Covid 19 bukanlah sebenarnya membuatkan kerja saya memerlukan masa yang lebih dari sebelumnya. Cuaca ketika ini terlalu panas. Peluh keluar berjurai jurai sehingga melencon pakaian kerja saya. Saya tidak dapat bertahan lama dengan cuaca yang panas. 

Tapi cuaca yang panas ini , mengikut khabar yang diterima adalah musuh kepada covid 19. Covid tidak boleh bertahan pada suhu yang panas. Saya tidak pasti tahap  bacaan suhu yang boleh mematikan kuman covid 19 ini. 

Harap maklumat itu sahih dan benar. Mungkin inilah pertolongan dari Allah yang menghantar musibah bersama dengan penawarnya iaitu cuaca yang panas ? 

Bagaimana dengan meminum air suam? Ah buat masa sekarang lupakan sahaja.

Sebenarnya cuaca panas bukan alasan yang mutlak yang membuatkan saya lebih masa untuk menyiapakan kerja memesin rumput. Tapi kurang tenaga disebabkan faktor usia adalah sebab utama. Memanglah semangat begitu kental. Nak buat ini, itu , nak bersih dalam rumah, nak mop nak buat bagai bagai kerja sedangkan tenaga di usia hampir mendekati penghujung ini hanya berbaki sedikit cuma. 

Mampu bergerak dan mengurus diri sendiri pun, adalah nikmat yang perlu disyukuri. Terima kasih Allah.

Semangat kental mesti ada tenaga. Itu hakikat yang perlu diterima.

Dengan demikian kawasan rumah di sebelah kiri masih belum dimesen lagi. Akan dilakukan esok, mungkin.

Covid memerangkap saya secara fizikal yang menghadkan pergerakan. 

Fikiran saya pun terperangkap juga. Saya tidak pasti saya berada dalam  'captive mind'.

Selama 32 tahun lebih saya berkhidmat dalam sektor awam. Sudah tentu world view atau sikap dan pandangan saya tidak sama dengan mereka yang bekerja dalam sektor swasta. 

Saya selesa dan merasa selamat bekerja dalam sektor awam walaupun upahnya tidak setinggi berbanding  sektor swasta pada tahap dan kedudukan yang lebih kurang sama. Saya tidak suka ambil risiko. 

Saya jenis 'risk avers'. Bukan seorang pelabur yang sedia mengambil risiko yang sentiasa berpegang kepada 'high risk high return' . Dalam pepatah Melayu , 'Kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya'.

Sewaktu anak memaklumkan kepada saya akan niat untuk berhenti kerja sebagai penjawat awam, sebagai doktor kerajaan, respons segera saya ialah kena fikir panjang panjang. Tidak semuanya indah di luar sana, nasihat saya. 

Saya mendapat sokongan isteri. Dia pun bekas penjawat awam berkongsi world view yang sama.

Tapi anak menyatakan itulah niat yang ada dalam hatinya , sebelum bekerja lagi. 

Dia menjalani houseman hanya bagi mendapat pendaftaran Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council) sebagai doktor yang berlesen/berdaftar. 

Saya dan isteri akur kerana itu yang dihajati. Dan mendoakan anak saya itu berjaya dalam persekitaran kerja yang baru penuh mencabar.

Namun Covid 19 telah menangguh beliau untuk melaporkan diri di klinik swasta di Seremban 2.

Bersama saya dan isteri dia bergambar sama pada musim covid 19 yang masih berada dalam fikiran semua. Fikiran saya terperangkap dengan covid  19.

BERGAMBAR TIGA BERANAK PADA HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN ISTERI 2 APRIL 2020 KHAMIS


  

Selasa, 31 Mac 2020

CIK TIPAH TERTIPU, CIK KIAH PULA TAKUT KENA TIPU.




"Apa khabar Cik Tipah. Lama tak nampak?" Cik Kiah menanyakan khabar pada Si Tipah yang telah lama tidak bersua muka. Khabarnya Cik Tipah amat malu kerana dia dikatakan telah tertipu. Dua kali kena tipu. Tertipu dalam percintaan.

"Khabar baik. Wah wah wah Cik Kiah, nampak populer sekarang.  Tiba tiba nama muncul  jadi sebutan PM. Tahniah dapat bantuan .....bantuan aper tu..alah susah pulak nak sebut....tu lah bantuan aper tu ransang...aper tu prihatin....alah yang PM sebut dalam tv tu. ". Cik Tipah melenggokkan sedikit badannya sambil jari tangan kirinya dilepaskan dari dahinya yang cuba mengingatkan nama bantuan yang Cik Kiah bakal terima dari PM.

"Tapi, Cik Kiah , berhati-hati. Jangan harap sangat dengan janji orang politik". Sambung Cik Tipah.

Dua kali Cik Tipah kena tipu. Kali pertama dia ditipu oleh seorang kontraktor kelas F yang berjanji untuk berkahwin dengannya. Kontraktor ini adalah seorang pengerusi dalam badan politik dan Si Tipah pula aktif  dalam bahagian yang diketuai oleh kontraktor itu.

Kontraktor ini tidak putus putus mendapat projek kerajaan. Tapi kesemuanya diserahkan kepada Ah Loy kerana tidak mampu mengupah pekerja. Lagipun cara ini lebih mudah. Ambil sahaja 10 persen dari harga tawaran yang diperolehi dan tidak perlu susah susah untuk fikirkan perlaksanaan projek itu. 

Cara hidup kontraktor ini mewah sehingga menjadi tarikan Si Tipah untuk menerima cadangan untuk berkahwin dengannya. Tapi kemewahan kontraktor ini membuatkannya hanyut dalam kegilaan berhibur di kelab malam. Akhirnya dia tertangkap oleh pasukan penguatkuasa agama kerana berkhalwat. Dan terpaksa bernikah dengan pasangan khalwatnya. Melepaslah Si Tipah.

Tipah juga bernasib malang apabila dia juga dikecewakan oleh seorang  lagi ahli politik yang berjawatan dalam kerajaan. Kedudukannya lebih baik  dari kekasih Tipah yang pertama. Ini membuatkan Tipah berangan-angan untuk berlagak dihadapan kekasih pertama yang telah mengecewakannya dulu. Balas dendam. 

Tapi, sekali lagi Tipah tertipu. Kekasihnya yang kedua sebenarnya telah mempunyai isteri. Isteri pertama tidak mengizinkan suaminya berkahwin lagi satu. Kecewa lagi Si Tipah. Dua kali kena tipu.

Tipah tertipu lagi!!!!

"Bantuan kerana covid 19 lah Cik Tipah", Si Kiah beritahu bahawa bantuan itu adalah disebabkan kuman covid yang mengamuk ketika ini yang menyusahkan rakyat. Sebab itu kerajaan yang prihatin kenalah bantu rakyat.

Mereka menjarak diri, tidak bersalaman dan pipi tidak bergesel kiri kanan. Tidak juga berpelukan.  

Oh mungkin mereka memakai topeng , menutup hidung , mulut dan muka. Tidak sesuai untuk berpelukan. Menggesel pipi kiri kanan.

Tapi mengapa menjarak diri. Mengapa tidak bersalaman? Oh ya mungkin tidak pakai sabun penghapus kuman, sanitizer.

Sapaan mereka berlangsung ringkas sahaja. Tidak sampai lima minit mereka berpisah dengan saling lambai melambai tangan sehingga hilang dari pandangan mata.

Cik Kiah garu kepala. 

"Jangan harap sangat dengan janji orang politik" membuatkan Cik Kiah pening kepala. 

"Aku kena tipu ker?" 








Rabu, 25 Mac 2020

SEDIKIT CATATAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (Movement Control Order)






1. Perintah Kawalan Berkurung (PKP/MCO) bertujuan untuk mengawal jangkitan dan serangan convid 19.

2. Walaupun tujuannya baik bagi mengawal jangkitan dan serangan covid tapi masih ada yang degil tidak  mematuhi arahan dengan memberikan berbagai alasan.

3. Alasan yang paling jelik dan tidak mudah dipatahkan ialah bahawa manusia hanya perlu takut pada Allah dan bukan kepada makhluk lain seperti covid 19 .

4. Ada juga mengatakan tidak sanggup menerima pertolongan dan rawatan dari bukan Islam misalnya dari orang Cina yang makan babi. 

5. Para ilmuan Islam telah mengeluarkan pencerahan dan nasihat bahawa adalah wajib mematuhi PKP ini bagi menyelamat diri dan orang lain dari risiko jangkitan dan serangan covid yang kesannya boleh membawa kematian. Ada contoh pada zaman Rasulullah, yang melarang pergi ke kawasan yang diserang wabak penyakit.

6. Terdapat disana sini kelemahan dalam perlaksanaan PKP ini diperingkat awal perlaksanaan, terutamanya dalam penyampaian maklumat dan kordinasi antara berbagai agensi dan menteri.  Tapi keadaan nampaknya ada perubahan kearah yang lebih baik dan terselaras.

7. Cara merengankan kesusahan rakyat kelihatan  mendapat kritikan dari berbagai pihak. Pengeluaran KWSP akaun 2 mendapat kritikan kerana ianya mengambil wang simpanan  pekerja bagi kegunaan pada masa depan . Dengan itu ada pihak mencadangkan menggunakan  wang simpanan negara (reserve fund). Ada juga yang mencadangkan kerajaan membuat pinjaman bagi memberi bantuan kepada rakyat.

8. Belum  ada lagi satu keputusan dari kerajaan untuk membuat potongan gaji menteri dan pegawai pegawai tertinggi kerajaan untuk disumbangkan ke dalam tabung covid. 

9. Ada juga rakyat yang prihatin yang memberi dan menyalurkan sumbangan dalam berbagai bentuk. 

10. Ada beberapa korporat telah menyumbang kepada tabung covid. Ada juga pihak pihak yang telah menjadi saluran mengumpulkan sumbangan bagi membantu mengurangkan tekanan kewangan rakyat yang terlibat.

11). Beberapa ahli dewan rakyat juga turut menghulurkan bantuan dalam berbagai bentuk bagi kawasan yang diwakili.

12). Paling banyak  komen/ulasan dan kritikan/teguran yang bersifat perkauman/agama dan kecenderungan politik dengan setengahnya menggunakan bahasa yang bersopan dan ulasan dan teguran yang membena. Tapi paling banyak menggunakan bahasa yang tidak sopan, maki hamun dan carut mencarut.

Banyak lagi yang  patut saya catatkan.

TAPI YANG PERLU SENTIASA DIINGAT DAN WAJAR DIHARGAI IALAH: 


Barisan Hadapan (The Frontliners) dalam memerangi covid ini terutama pekerja kesihatan dan perubatan diberbagai peringkat yang telah dan sedang menjalankan tugas dengan PENUH  DEDIKASI , mengambil RISIKO MAUT yang paling tinggi, YANG PERLU MENDAPAT KERJASAMA dari SEMUA PIHAK  dengan mematuhi perintah : 

#DUDUKRUMAHJANGANMENGADANGADA
#PATUHIPKPUSAHMUDARATDIRIDANORANGLAIN
#USAHTEMPAHMAUT
#JADILAHINSANYANGBERBUDIBUKANPENDENGKI

Akhir sekali catatan ini membawa pesan bahawa jangan sekali kali elaun KRITIKAL BARISAN HADAPAN seperti ini dihapus dan dikurangkan. TAPI PERLU DIPERTINGKATKAN.