Theflowersellingboy

Rabu, 16 November 2016

JIKA ANDA SEORANG YANG GENIUS.........





Jika anda seorang genius dalam matematik, sila jawab soalan matematik seperti dibawah ini.   Anda perlu membuat kira-kira menambah angka-angka yang diberi.  

Soalannya kelihatan amat mudah. Tapi awas anda jangan tertipu dengan keangkuhan sifat genius anda itu sehingga lupa bahawa jawapan yang anda berikan dalam bentuk angka itu tidak punya apa-apa makna jika ianya tidak dikaitkan dengan sesuatu hal. 

Maksud saya , setelah anda membuat kiraan sama ada secara congak (kiraan dalam otak), menggunakan jari atau mesin kira (calculator) dan satu angka telah anda perolehi katakan 20,000, angka itu tidak berguna  atau tidak bermakna langsung jika tidak dikaitkan dengan sesuatu hal.

Angka itu hanya bermakna atau mempunyai fungsi dalam kehidupan kita jika anda kaitkan dengan misalnya wang simpanan yang anda berjaya simpan, atau anda kaitkan dengan bilangan biji guli yang anda miliki.

"Saya ada 20,000 biji guli" akan segera difahami berbanding dengan  "Saya ada 20,000". Orang akan bertanya, "Apa bendanya 20,000 itu?"
 
Oleh itu angka jawapan anda itu mestilah diikuti dengan mengaitkan angka itu dengan sesuatu hal seperti yang dinyatakan diatas. Tidak ada had langsung tentang penceritaan angka itu. Anda boleh sahaja menulis 20,000 itu adalah merupakan wang simpanan saya semenjak  berumur setahun hingga dua puluh tahun.

Markah yang akan diberi terbahagi kepada 3 iaitu i) kiraan angka yang betul (5%), ii) Mengaitkan angka itu dengan sesuatu hal (95%), dan markah bonus (2%). Markah bonus itu disediakan jika terdapat peserta yang berjaya menjawab (i) dan (ii). Markah bonus itu adalah bagi mereka yang berjaya memberi lebih terperinci yang mengaitkan setiap angka itu dengan sesuatu hal.

Saya percaya anda telah memahami apa yang perlu dilakukan bagi mempamerkan kehebatan anda dalam matematik. Oleh itu jika anda seorang yang genius jawab soalan dibawah ini. 

Jika anda berjaya menjawab anda akan diistiharkan sebagai seorang yang genius kerana anda amat prihatin tentang perkembangan dan apa yang sedang berlaku di negara kita ini. Ertinya anda seorang yang sayangkan negara Malaysia, satu-satunya negara anda yang ada di dunia ini.

Buatlah tambahan angka-angka ini. Ianya adalah sejumlah wang dalam mata wang Amerika Serikat (US dollar). Jangan lupa jadikan angka itu bermakna.

380,000,000 + 44,800,000 + 30,550,000 + 50,912,000 + 31,000,000 + 41,799,000 + 35,371,333 + 5,485,000 + 35,000,000 + 57,500,000 + 38,980,000 + 100,000,000 + 33,500,000.

Jika anda seorang genius, cubalah!

Rabu, 9 November 2016

Trump Menang. Clinton Kalah. Bila Masa Kita Mahu Berubah.




Donald Trump menang. Clinton kalah. Ahli parti Republikan akan mengambil alih pentadbiran Amerika Serikat (AS). Parti Demokrat menyerah kuasa kepada Republikan.

Sebelum pengundian, majoriti penganalisis mengatakan Clinton  akan menang. Sebahagian besar rakyat AS dan rakyat luar AS percaya Clinton akan menang. Tapi keputusan sebenar setelah rakyat mengundi, Trump yang menang.

Apa ertinya ini?

Saya berpendapat  bahawa sehebat manapun analisis yang dibuat, dengan menggunakan berbagai data dan cernaan berbagai maklumat, fikiran rakyat AS tidak mudah dibaca, ditafsir dan diterjemahkan ke pihak mana undi akan diberikan.

Ertinya juga bahawa rakyat AS menggunakan 'conscience' dan bukan 'atas dasar budi mesti dibalas'atau rakyat bermentaliti projek.. Kaedah dan pendekatan sepert BR1M tidak laku di Amerika.

Ertinya tidak kira mereka itu dari ahli Demokrat atau Republikan, jika 'conscience' mereka mengatakan mengundi Republikan itu lebih baik bagi diri dan negaranya walaupun ianya seorang Demokrat, parti Republikanlah yang diundi.

Dan faktor takut serta bimbang atas nama kaum dan agama seperti yang selalu dimainkan  di Malaysia juga tidak terpakai di Amerika dalam mempengaruhi fikiran rakyat dalam membuat pilihan.

Bagi rakyat Amerika, tidak ada satu parti politik, Demokrat atau Republikan mempunyai kedudukan yang terjamin untuk terus kekal berkuasa. 

Disamping mereka mahu sebuah parti yang boleh menjadi  kerajaan yang bertanggungjawab, mereka juga tidak terlalu taksub untuk mengekalkan parti yang sama bagi meneraju kerajaan pada satu tempoh yang lama. Paling lama hanya bagi tempoh dua penggal saja. 

Di Malaysia amat kontras sekali. Di negara kita ada faktor taksub. Taksub kepada parti, kaum dan agama lebih mempengaruhi pengundi.  Maka emosi digunakan semaksima dan optima yang mungkin. 

Maka adalah konsep 'mengenang budi'.

Maka adalah retorik demi bangsa, agama dan negara.

Maka adalah neratif tentang ancaman keselamatan jika berlakunya perubahan.

Ketiga-tiga yang dinyatakan diatas itu boleh mencair otak mereka, menyejukkan kemarahan dan menggerakkan tangan mereka untuk mengekalkan parti yang sama.

Begitulah yang sebenarnya berlaku kepada sebahagian besar rakyat terutama yang mempunyai capaian maklumat yang terhad. Mereka mudah untuk yakin dan menjadi taksub bahawa perubahan sebuah kerajaan tidak akan menjamin sebuah kehidupan yang lebih baik.

Lalu mereka mengundi kerana taksub. 

Walaupun mereka benci kepada perkara yang mungkar seperti rasuah, dan terlalu amat marah dengan kenaikan kos sara hidup yang membebankan, yang mereka sendiri melaluinya, dan hati kecil atau conscience mereka mengatakan begitu, oleh kerana taksub mereka tetap tidak akan mahu berubah.

AS lain Malaysia lain. 
Mengapa perlu kita bandingkan

Mungkin itu diantara ayat-ayat yang akan disampaikan kepada saya oleh mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Itu hak mereka. Saya hormat hak itu.

Tapi jangan pula memaki hamun jika harga barang naik. Jangan bising-bising dan marah-marah lalu mengatakan sebagai fitnah jika negara kita dipanggil sebagai sebuah negara pimpinan kleptokrasi (perompak).

Jangan minta bukti dari saya kerana saya tahu bukti sudah jelas dan nyata. Cuma mereka yang taksub tidak mahu percaya.

JANGAN MENCURI HAK ORANG WALAUPUN SEPASANG KASUT KERANA HUKUMAN TETAP AKAN DITERIMA




Ini adalah cerita benar . Kami satu keluarga 6 orang yang terdiri dari saya dan isteri bersama dengan anak dan menantu dan dua orang cucu.

Pada 6 Novmber 2016, Ahad, kurang lebih memasuki pukul satu tengahari, di sebuah kondo di Putra Jaya.

"Itu kasut saya. Yang itupun kasut saya. Kamu curi kasut saya."

Dua lelaki muda, usia mungkin diantara 30 dan tidak melebihi 40 tahun, yang dikatakan mencuri kasut itu segera menafikan. Seorang darinya  yang memakai topi keledar berwarna merah amat agressif sekali dengan suara tinggi dan bertindak mahu bergaduh.

Pertengkaran semakin panas dengan disaksikan seorang pengawal keselamtan. 

Kawan yang tidak bertopi keledar, telah bersedia memulangkan kasut itu. Tapi telah dimarahi oleh yang bertopi keledar. Dia masih mengatakan kasut yang dia dan kawannya pakai itu bukan kasut curi.

Pengawal keselamatan nampaknya kurang cekap dalam menangani kes yang berlaku. Dia hanya mengambil number kad pengenalan kedua-kedua yang disyakki mencuri kasut itu setelah kami meminta dia berbuat demikian. Dia tidak langsung menyoal kedua lelaki itu misalnya dari mana, ke mana dan apa tujuan berada di kondo. Mungkin pengawal itu tidak fasih berbahasa Melayu kerana dia orang Nepal.

Dua orang lelaki itu masih lagi bertegas bahawa kasut yang dipakai itu bukan kasut yang dicuri seperti yang kami dakwa. Oleh itu kami berpendapat tidak berbaloi  untuk mendapat semula kasut itu kerana lelaki itu (pakai topi keledar) makin bertindak ganas dengan menolak anak menantu saya (yang punya kasut). 

Melihatkan itu , saya segera menghampiri lelaki itu untuk bertindak balas tapi dihalang oleh pengawal. Walaupun saya tidak segagah mana tapi saya tidak rela melihat anak menantu diperlakukan seperti itu. 

Bahkan isteri saya yang memang seorang yang tidak suka gaduh, lagi penakut, meluru ke hadapan memarahi lelaki itu. Anak saya (isteri menantu) yang juga bukan seorang yang suka bergaduh dan seorang penakut juga  mara menghampiri lelaki itu dan memarahinya. 

Apabila saya lihat dua lelaki itu menaikki motorsikalnya untuk meninggalkan tempat itu, saya bertindak segera mengambil gambar mereka  sebagai bahan bukti jika berlaku sesuatu hal yang tidak dikehendaki. Ketika itu mereka mengacah mahu melanggar saya.

Saya berjaya mengambil 3 gambar. Satu dari gambar itu terpampang jelas number pendaftaran motorsikal yang dinaikki.

Selepas mereka pergi,  saya bersama isteri menaikki kereta meninggalkan kondo itu untuk menuju ke selatan. 

Saya dan isteri amat sedih dan susah hati melihatkan seorang dari cucu kami menangis teresak-esak kesan dari melihat sendiri peristiwa itu terutama saya percaya apabila melihat bapanya ditolak oleh lelaki yang pakai topi keledar.

Dalam perjalanan balik itu saya meminta isteri menalipon anak saya agar jangan ulang cerita atau berbicara peristiwa itu dihadapan anak-anaknya dikhuatiri akan memberi tekanan emosi kepada cucu saya itu.

Waktu di rumah, melalui whatsapp, anak memberitahu bahawa pencuri itu telah dikenalpasti. Pada mulanya mereka tidak mengaku mencuri walaupun bersedia meminta maaf dan memulangkan segera kasut-kasut itu. 

Bagi menantu saya kes itu dianggap selesai walaupun yang mencuri itu masih tidak mengaku.

Bagaimanapun, oleh kerana laporan polis telah dibuat, pihak polis telah menyoal siasat kedua-dua lelaki itu. Akhirnya, mereka yang tidak mengaku mencuri itu telah membuat pengakuan mereka lah yang mencuri kasut-kasut itu. 

Siapakah pencuri itu?

Adakah dakwaan yang dibuat oleh menantu saya itu yang saya yakin dakwaan itu adalah benar tersasar atau salah orang?

Untuk menjawabnya cuba fikirkan dan pertimbangkan perkara-perkara berikut:

i) Tidak ada sesiapa yang berfikiran waras akan mengatakan kasut yang dipakai oleh orang lain sebagai kasutnya jika dia tidak yakin kasut itu dia yang punya. Apatah lagi orang itu kali pertama dia bertemu muka.

ii) Tindakan memulangkan kasut itu oleh salah seorang dari yang mencuri itu sudah tentu satu pengakuan bahawa kasut itu bukan dia yang punya.

iii) Bertindak ganas dan melarikan diri sambil mahu melanggar orang yang membuat dakwaan adalah satu tindakan orang yang merasa diri bersalah.

Dengan 3 tip diatas sudah jelas yang mencuri kasut itu ialah orang yang kami dakwa berbuat demikian.

Tapi kenapa masih tidak mengaku walaupun bersedia meminta maaf dan menyerah balik kasut itu?

Jawabnya: Kalau sudah  biasa menjadi pencuri, dianya tidak mudah mengaku sebagai pencuri walaupun bersedia meminta maaf dan memulangkan semula kasut itu.

Tapi apabila polis yang melakukan soal siasat, akhirnya mengaku juga.
 
Apa pun bagi saya bukan sangat fasal kasut itu. Tidak berbaloi bergaduh untuk hanya  mendapat semula kasut itu walaupun kita tahu kasut itu kita yang punya. 

Yang saya sedih sekali mengapalah mencuri kasut itu. Bukan barupun, tidak juga cantik dan dari jenama yang mahal. 

Curi wang dibank lebih baik!

Maaf, jangan buat begitu. Jangan mencuri hak orang lain sama ada kecil atau besar. Pencuri walau sehebat manapun pasti akan menerima hukuman.

Ya, ada pencuri yang boleh berlepas diri dari dakwaan. Tapi tidak  boleh berlepas diri dari hukuman bukan sahaja di akhirat malah di dunia lagi. Hati kecilnya sentiasa keluh kesah dan tidak pernah tenteram.