Theflowersellingboy

Selasa, 12 Julai 2016

Meraikan Hari Raya Jangan Lupa Usia Yang Bertambah




Hari raya, hari bergembira dan ramai yang ceria suka. Yang duka pun sudah tentu ada.

Apa pun yang kita rasa, suka mahupun duka, kita perlu terima hakikat bahawa kita bertambah usia. Banyak yang turut berubah bersama dengan usia yang bertambah itu. 

Status bujang dan dara berubah bila berumahtangga. Apabila dikurniakan cahaya mata, jadilah kita sang ayah, bapa, papa, daddy dan ibu, mum, mummy atau apa saja sebutan yang kita pilih sebagai tanda satu perubahan peranan dan tambahan tanggungjawab. 

Seterusnya dengan limpah kurnia Allah, bilangan anak-anak bertambah, dan membesar. Hari raya disambut dengan rasa yang serupa juga -ada yang gembira ada yang berduka. Banyak juga yang turut sama berubah.

Kemudian, anak yang sudah remaja mendirikan rumah tangga untuk memasukki fasa dewasa. Kita berbesan dan anak bermertua. Kita bercucu kerana anak sudah mula menimang cahaya mata.

Sambutan hari raya semakin bertambah bilangan ahli keluarga. 

Maka pada hari raya itu, terdengarlah panggilan tokpa, grandpa, atuk, nenek, wan, opah menurut pilihan kita sendiri.  
 
Banyak yang turut berubah juga.

Usia sudah pasti.

Wajah...waduh......

-berdiri di hadapan cermin, bersendirian dan renungkanlah dengan penuh perasaan dan keinsafan. Bersoleklah sehebat mana, dari apa sahaja serbuk dan cecair dari apa saja jenama termasuk yang mahal, yang putih lagi memutihkan, cermin akan menceritakan wajah kita.

Cermin, walaupun tidak bernyawa adalah objek yang takut buat dosa. Cermin tidak pandai berbohong. Cermin bukanlah satu emdibi.

Wah wajah yang pada raya sebelumnya , sebelum dari sebelumnya, dulu dari sebelum, yang dulu-dulunya, semasa kecil waktu ketika pandai bertateh, kemudian berjalan dan berlari -yang tegang, licin beserta rambut yang tumbuh melebat menutupi bukan saja tempurung kepala bahkan kedua telinga dan mencecah mata sudah berubah pada raya kali ini. 

Itu yang diberitahu oleh cermin. Cermin beritahu, 'wajah kamu sudah kereput'. 

Lihat kepala, rambut sudah memutih, botak semakin meluas bukan tanda sebagai professor tapi sudah tua.

Walaupun kita tahu mata semakin hari semakin kelabu tapi itu masih belum cukup. Berdiri dan lihat dalam cermin. Bulu kening mata, sudah memutih. Tidak selebat semasa raya yang lepas, raya sebelum yang lepas, raya sebelum yang dulu-dulu.

Ada misai, ada janggut? Terimalah hakikat ianya sudah tiada pilihan warna melainkan yang putih saja.

Dahi? Garis-garis kerutnya semakin jelas dan bertambah.

Pipi, dagu, dua bibir mulut? Tidak selembut dan sebasah dulu. Pipi jadi kering kontang dan kesat yang menjadi sebab cucu-cucu mengelak dari menciumnya. Tapi kerana hari raya agaknya, ditambah jika ada duit raya, maka menjadi terpaksa cucu menciumnya. Itupun nipis ciumannya, tidak lama.

Buka mulut luas-luas. Nampak gigi? Kalau adapun ianya gigi palsu.

Itulah erti sambutan hari raya. Kita suka dan ceria. Ada juga kita yang berduka. Dan kita jangan lupa sama ada kita bersuka ria atau berduka, banyak benda yang turut berubah. 

Tenaga fizikal semakin menurun. Binaan anggota badan semakin   mengendur dan mengecil. 

Cermin memberitahu bahawa wajah kita jika ianya satu objek pasaran, nilai sahamnya semakin menurun. 

Bilangan sahabat semakin berkurangan kerana kita sibuk dengan anak cucu kita beraya bersama sehingga kita jadi malas untuk mengunjungi kaum keluarga dan sahabat-sahabat yang lain, yang juga malas dan tidak ada waktu untuk mengunjungi kita kerana asyik dengan anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Dalam keseronokan dan kedukaan itu, kita biasanya terlupa untuk memasukkan usia sebagai satu agenda sambutan hari raya. 

Sesungguhnya kita zalim terhadap diri sendiri kerana melupakan usia yang boleh mengingatkan kita bahawa perjalanan kita semakin mendekati stesyen terakhir. 

Kita perlu satu senarai semak tentang perjalanan kehidupan kita- apa yang perlu kita lakukan dan apa yang perlu kita ketepikan. Dan jika senarai itu masih belum disediakan maka wajar segera disediakan, dan jika sudah disediakan, hendaklah disemak dan diperkemaskan untuk memastikan ianya boleh digunakan secara yang berkesan dan bermenfaat demi  kita sendiri agar diperhentian akhir itu kita disambut dengan penuh mesra, dan kita boleh senyum dan suka serta gembira seperti kita menyambut hari raya.

Selasa, 5 Julai 2016

Semasa Hidup Di Bumi Lakukan Yang Terbaik dan Sentiasa Bertaqwa Ke Hadrat Allah SWT.




Hari ini , hari terakhir kita melaksanakan ibadah puasa 1437 Hijrah, 30 Ramadhan bersamaan 5 Julai 2016. Kita memohon kepada Allah SWT semoga kita diberikan peluang untuk terus dapat melakukan ibadah yang sama pada Ramadhan akan datang. Terlalu banyak menfaat yang dikurniakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini.
 
Sudah tentu kita mengharapkan puasa kita tahun ini diterima Allah, dan jika ada cacat dan cela kita memohon keampunan dari yang maha berkuasa.
 
Pada kesempatan hari terakhir Ramadhan tahun 1437 Hijriah ini, saya paparkan dua ayat al-Quran dari Surah Al-'Ikraf untuk renungan bersama iaitu ayat 25, dan 26  berkaitan dengan kisah Adam 'alaihissalam dan Hawa, dan Syaitan yang telah memperdayakan Adam dan Hawa memakan buah yang dilarang Allah di dalam syurga. Akibatnya Adam, Hawa dan Syaitan diminta oleh Allah turun (keluar dari syurga) ke bumi.
 
Ayat 25, maksudnya, "Allah berfirman lagi, di bumi itu kamu hidup, dan disitu juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan pada hari kiamat)"
 
Bumi ini adalah limpah kurnia Allah yang tidak terhingga nilainya kepada hambanya. Maka berbuat baiklah semasa kita hidup dibumi Allah ini. Lakukan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang dilarang.
 
Ayat 26, maksudnya, "Wahai anak-anak Adam sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian  menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
 
Ada tiga pakaian untuk kita  iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian menghias diri, dan pakaian taqwa. Antara tiga ini pakaian berupa taqwalah yang sebaik-baiknya.
 
Sesunguhnya maha besar Allah yang mengingati kita bahawa sebaik-baik hambaNya ialah hamba yang bertaqwa.
 
Semoga pakaian kita dalam bulan Ramadhan ini adalah pakaian  berupa taqwa, dan ianya berterusan sehingga kita kembali menghadapi Allah SWT.
 
Mudah-mudahan doa kita diperkenankan. 
 
 

Ahad, 3 Julai 2016

Betapa Allah Itu Maha Pengasih dan Tidak Menganiayai




"Sesiapa yang membawa amal kebaikkan (pada hari kiamat) maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya, dan sesiapa yang membawa amal kejahatan maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya sedang mereka tidak dianiayai (sedikit pun)".

(Ayat 160 Surah Al-An'am).

Renungkanlah betapa pengasihnya Allah terhadap hambanya :
Kebaikkan yang dibuat diberi balasan gandaan iaitu 10 kali ganda, sebaliknya kejahatan yang dilakukan tidak dibalas dengan gandaan tapi bagi bilangan yang sama. Dan Allah tidak menganiayai hambanya barang sedikit pun.

Dalam bulan Ramadhan pula balasan kebaikan pula lebih dari itu. Jadi marilah bersama-sama melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Lakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Selamat meneruskan berpuasa pada beberapa hari yang masih berbaki ini.