Theflowersellingboy

Sabtu, 9 Ogos 2014

Menyediakan Senarai Jemputan Majlis Perkahwinan




Rumit juga untuk menyediakan senarai jemputan majlis perkahwinan.

i) Berapa ramai tetamu jemputan
ii) Siapakah yang perlu dijemput
iii) Cara menyampaikan jemputan

Berapa ramai tetamu jemputan?

Ini adalah kerumitan yang utama/paling besar. Tapi boleh diatasi.

Sebaiknya kita menjemput semua adik-beradik, keluarga terdekat, kawan ,sahabat dan jiran, dimana saja mereka berada. Jemputan kita itu akan membuatkan mereka rasa diingati dan dihargai. Kehadiran mereka meraikan majlis kita juga sudah tentu amat dialu-alukan, kerana menambah seri majlis kita itu.

Tapi bagaimana pula bilangannya terlalu ramai?

Sebaik-baiknya kita jemput semua sekali. Tapi ingat, bahawa niat kita ialah semata-mata mahukan para tetamu kita bersama-sama meraikan majlis kita itu, agar menjadi bertambah seri dan mendapat keredhaan Allah.

Jika kita mempunyai hasrat untuk menjemput kesemuanya, ianya adalah satu sifat yang terpuji. Ertinya kita tidak menjemput secara pilih memilih atau hanya yang terpilih saja, dengan menjemput orang itu dan tidak menjemput (menggugurkan) orang ini.

Kalau dibuat secara pilih memilih, ianya boleh menimbulkan tafsiran yang kurang baik jika ada  orang yang tidak dijemput itu , akhirnya mengetahui kita telahpun mengadakan majlis itu. Ada yang berkecil hati. Bertambah buruk jika yang tidak dijemput itu adalah kawan kita yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi atau status sosialnya. Maka akan berkatalah orang itu, "Siapalah aku. Aku orang miskin".

Sudah tentu kita merasa sedih jika kawan kita yang tidak dijemput itu berkata sedemikian kerana sebenarnya kita tidak ada niat seperti itu.

Tapi jika ada niat yang lain, misalnya untuk mendapat balasan wang maka ianya sudah tentu mempengaruhi kita untuk menjemput orang yang ada wang dan melupakan kawan kita yang miskin, tiada wang. Inilah bentuk jemputan secara memilih ini yang tidak wajar ada dalam otak kepala kita. Dan jika kita lakukan juga maka memang padan muka kita jika kawan kita yang tidak dijemput itu beekecil hati. 

Jadi untuk mengelakkan rasa kecil hati kawan, kita jemput kesemuanya.

Sekali lagi saya katakan , menjemput kesemuannya adalah satu sikap yang terpuji. Tapi bolehkah kita melakukannya?

Kita wajar menjawab beberapa soalan sebelum menyediakan senarai jemputan, antara yang penting:

i) Kemampuan kewangan
ii) Dimanakah mereka berada.

Majlis yang kita hendak adakan itu mestilah sepadan dengan kemampuan kewangan kita. Misalnya jika kita mengadakan majlis secara membayar upah/sewa -dari segi makanan, khemah/tempat majlis dan berbagai persiapan yang lain, dan kos satu kepala RM15.00 maka jika jemputan kita seramai 1000 orang, paling minima kita mesti ada wang RM15,000.00.

Perlu diingat bahawa, ada berbagai kos luar jangka akan terpaksa dibuat. Maknanya RM15,000.00 itu adalah kecukupan pada paras hidung saja, yang perlu diuruskan secara efisyen.

Mampukah kita mengeluarkan belanja RM15,000.00?

Jika mampu jemputlah 1000 orang. Jika tidak, kita wajar mengurangkan bilangan jemputan itu sepadan dengan kemampuan kita.

Atau kita kurangkan kos satu kepala kepada RM7.50 dengan mengurangkan jenis makanan yang dihidangkan dan persiapan-persiapan yang lain,misalnya tiada pelamin, tiada kompang, tiada musik hiburan dan lain-lain. Kerana yang penting ialah akad nikah dan sedikit jamuan kepada para tetamu.

Atau kita kurangkan kedua-duanya iaitu kos satu kepala dan juga bilangan tetamu jemputan.

Misalnya kalau mampu mengeluarkan wang sebanyak RM3,000.00, jemputlah tetamu seramai 200 orang atau sediakan jamuan dan lain-lain persiapan yang kos satu kepala kurang dari RM15.00, misalnya RM7.50.
 
Maknanya ada diantara kawan-kawan kita terpaksa terkeluar dari senarai jemputan.

Jika ditakdirkan mereka tahu dan berkecil hati, kita terimalah saja tanpa memberi apa-apa alasan, cukup hanya meminta maaf.

Dengan demikian , Majlis kita dapat diteruskan dengan cara kita melihat kemampuan kewangan kita. Kurang mampu, kuranglah yang dijemput. Jangan berhutang kerana akhirnya kita juga yang susah.

Oleh itu kerumitan dari segi kewangan ini boleh diatasi.

Apabila kita sudah pastikan tahap kemampuan kewangan, bolehlah kita mula menyediakan senarai jemputan.

Soalan yang timbul semasa hendak menyediakan senarai ini ialah dimanakah kawan-kawan kita itu berada.

Adakah ini rumit?

Ianya bergantung kepada bilangan yang hendak dijemput dan maklumat terkini tentang kawan-kawan kita itu dari segi tempat tinggal/kerja dan no talipon.

Lebih kecil bilangan yang dijemput , lebih mudah dihubungi dan lebih mudah senarai itu disediakan. Dan jika jemputan itu terdiri dari kawan yang sama tempat tinggal, ianya mudah disediakan.

Tapi sebahagian besar dari kita mempunyai saudara mara dan kenalan yang diluar dari tempat tinggal kita. Ada yang telah lama tidak berhubung, dan tidak diketahui alamat serta no talipon. Ada juga no talipon dan alamat rumah/tempat kerja yang kita simpan tetapi kita tidak menfaatkannya dengan sentiasa berhubungan atau terus mengadakan hubungan walaupun tidak sekerap seperti dahulu.

Hal-hal diataslah yang merumitkan kita untuk menyediakan senarai jemputan.

Wajarkah kita keluarkan nama mereka dari senarai jemputan atas alasan-alasan diatas?

Sekiranya kita ada masalah kekurangan wang, rasanya ianya memberi peluang kepada kita untuk mengurangkan jemputan tanpa merasa bimbang akan perasaan kecil hati mereka. Tapi kalau kita mampu, sebaiknya mereka itu dimasukkan dalam senarai jemputan.

Jadikan majlis kita itu  sebagai sebab bagi kita merapatkan semula persahabatan yang telah terputus. Berusahalah kita untuk mendapatkan kedudukan terkini kawan-kawan kita itu melalui berbagai cara, misalnya melalui kawan-kawan lain yang mungkin tahu kedudukan terkini kawan kita itu.

Atau jika alamat lama dan no taliponnya masih kita simpan maka hubungilah kawan kita itu walaupun itulah kali pertama kita hubungi selepas 20 tahun berpisah.

Tapi, awas kita mungkin akan terperanjat dan mulut ternganga sekejap dan diikuti dengan , "inna lilla wa inna ilaihi rajiun". Rupa-rupanya kawan kita itu telah meninggal dunia, begitulah yang diberitahu oleh isterinya.

Dan kita juga mungkin akan menghadapi situasi dimarahi oleh seseorang apabila menghubungi kawan kita itu dengan menggunakan no talipon yang ada pada kita. "Salah number", kata suara sebelah sana. Maka kita sebutkan number talipon yang kita dail itu. "Itu number saya. Awak mahu cakap dengan siapa?'

"Encik Roslan", dengan cepat kita beritahu.

"Ini bukan Roslan", kata suara  sebelah sana.

"Tapi...." belum sempat kita nak beritahu bahawa no itu no Encik Roslan , kawan kita itu, terdengar suara menengking kita, "Awak tak faham ke. Ini number talipon saya", lalu terputuslah hubungan talipon.

Itulah akibatnya dari sebab kita tidak rajin untuk mengadakan hubungan dengan kawan-kawan. Hanya bila hendak ada majlis kahwin barulah kita mula ingat kawan kita.

Namun begitu ianya lebih baik dari kita tidak mahu langsung memulihkan hubungan kita.

Memang menyediakan senarai jemputan itu adalah rumit tapi ianya masih boleh kita atasi,jika kita sebenarnya mahu cari kawan kita bagi meneruskan lagi silaturrahim melalui Majlis perkahwinan yang kita adakan.

Apabila senarai jemputan telah dapat disediakan, hantarlah jemputan itu dengan berbagai cara -pos, pesanan rengkas dan mewakilkan kepada seseorang.

Satu hal yang kita perlu ingat ialah bahawa kita boleh menyediakan senarai jemputan berdasarkan bilangan yang kita mampu dari segi kewangan. Tetapi kita tidak dapat jangka dengan pasti bilangan yang akan hadir. Mungkin kurang dan mungkin lebih.

Kalau bilangannya kurang, ia menyedihkan  kerana  makanan akan berlebihan. Dan jika melebihi dari yang kita jangkakan, jantung kita berdenyut dengan begitu pantas, khuatir makanan tidak cukup. Kita terlalu amat  malu dan sedih kerana tetamu kita tidak dapat dijamu cara yang sepatutnya.

Dalam hal ini , kita sentiasa berdoa kepada Allah agar Majlis kita akan berjalan dengan baik, menjadi sebuah Majlis yang diredhai, diberkati dan dirahmati oleh Allah. Itu saja yang kita mampu buat.

Dan jika kita sebagai tetamu jemputan pula, kita sentiasa menjadikan jemputan yang diterima itu sebagai satu keperluan untuk kita hadir, jika tiada sebab yang besar yang menghalang kita dari menghadirinya. Dan kita hulurkan sedikit bantuan, menurut kemampuan kita. Dan jangan pula kita mengambil makanan tetapi kita tidak makan, membazir.

Jika itu yang kita lakukan, insyaAllah apabila kita mengadakan majlis, dan memohon pertolongan Allah, Allah akan memudahkan kita.

Wallahualam.  



 



Khamis, 7 Ogos 2014

Kalid...Khalid....Khalid ...Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Selangor




Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Selangor. Adakah kedua-duanya sama? serupa? Atau kita katakan tanpa Khalid tiadalah MenteriBesar Selangor?

Berbagai jawapan akan diberikan mengikut fahaman masing-masing . Tetapi satu hal yang jelas ialah bahawa Khalid Ibrahim setakat ini tidak mahu berpisah dengan Menteri Besar Selangor.  Khalid adalah Menteri Besar Selangor dan Selangor perlukan Khalid sebagai Menteri Besar. Sekurang-kurangnya itulah yang saya boleh faham tentang pendirian Khalid tentang isu yang sibuk dibincangkan pada masa ini.

Khalid tidak keseorangan dalam hal ini. Beliau ada penyokong dari ahli partinya. Ada penyokong dari sebahagian rakyat Selangor. Ada sokongan dan simpati dari sebahagian rakyat Malaysia. Yang paling menyeronokkan Khalid ialah beliau diberi sokongan politik dari sebahagian kepimpinan tertinggi PAS seperti terjelas dalam sokongan dari presiden PAS dan mesyuarat Majlis Syura PAS.

Khalid semakin bertambah subur keyakinannya tentang keyakinannya bahawa Khalid dan Menteri Besar Selangor itu adalah sama dan serupa apabila beliau juga didokong dan disanjung akan kebaikan dan kehandalannya oleh UMNO, musuh ketat politik partinya PKR dan gabungan PR.

Kalau UMNO yang telah bertalu-talu menghentam dan memperlecehkannya dulu dengan kata nista dan berbagai tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan gagap , sekarang ini iaitu dalam beberapa bulan kebelakang ini, beliau mendapat sokongan yang padu untuk kekal sebagai MB Selangor. Jadi sudah tentu ia menggembirakan Khalid , dan meransangkannya untuk terus menjadi MB Selangor.

Bayangkan, kalau musuh sendiri (UMNO) sudah menaruh kepercayaan kepadanya untuk meneruskan tugas sebagai MB maka sekarang ini beliau tidak perlu bimbang apa-apa kerana telah berjaya menawan hati musuh memihak kepadanya.

Sekarang beliau tidak perlu bimbang serangan media massa khususnya yang dikuasai UMNO. Media itu tidak akan menyerangnya lagi seperti yang telah dilakukan dahulu. Malah hari-hari beliau mendapat liputan media tersebut yang menyatakan sokongan akan pendiriannya yang menentang kehendak partinya (PKR). Beliau dipuji melangit tingginya. Hilang lenyaplah segala perasaan marah dan benci.

Kasih sayang bertaut sudah.

PAS parti dalam PR atau kawan politik PKR dan DAP dalam menentang UMNO/BN telah jelas menyatakan pendirian -menyokong Khalid kekal sebagai MB Selangor, sekurang-kurangnya seperti yang ditegaskan oleh Majlis Syura PAS dan beberapa orang kepimpinan tertinggi PAS termasuk presiden.

UMNO musuh ketatnya dan musuh partinya PKR dan gabungan parti-parti dalam PR (PAS, PKR DAP) pun begitu juga -memberi sokongan tidak berbelah bagi.

Sudah tentu Khalid merasa selesa akan kedudukannya.

Tapi siapakah atau pihak manakah yang meletakkan Khalid sebagai MB Selangor?

Kita cuba lihat urutan atau steps yang membolehkan Khalid jadi MB Selangor.

i) Khalid ahli PKR.
ii) Khalid dipersetujiu oleh PKR sebagai calun mewakili PR dalam PRU 13.
iii) Khalid menang dengan kerja keras dirinya dan jentera parti
iv) Khalid dicadang oleh PKR sebagai calun MB, dan pimpinan PR bersetuju dan diperkenankan oleh Sultan Selangor

Khalid dapat jawatan MB Selangor itu bermula dari kehendak partinya -dicalunkan bertanding dan menang atas kerja keras dirinya dan jentera parti, dicadangkan pula oleh PKR kepada ahli komponen PR dan diperkenankan oleh Sultan.

Sudah tentu Khalid bersyukur dan berterima kasih kepada partinya PKR yang meletakkan keyakinan kepada beliau untuk dicalunkan menjadi MB Selangor.

Sikap bersyukur dan berterima kasih itu adalah sesuatu yang wajar. Dan semua pihak dalam PR wajar menerimanya.

Jadi kalau partinya PKR tidak lagi mahu memanjangkan tempoh hayatnya sebagai MB Selangor dan digantikan dengan orang lain, sewajarnya Khalid menyambutnya dengan baik atau sekurang-kurangnya menerimanya sebagai satu kehendak atau arahan parti sama seperti semasa beliau dikehendaki oleh parti untuk menjadi calun PRU 13 dan dicalunkan menjadi MB Selangor.

Persoalan tentang integriti beliau sepatutnya tidak perlu ditimbulkan. Dan dalam semangat yang sama Khalid juga tidak boleh menggunakan alasan bahawa beliau mahu menghabiskan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai MB sehingga tamat tempoh penggal DUN.

Bila parti sudah tidak bersetuju beliau menjadi MB, beliau wajar berundur. Parti lebih penting dari peribadi.

Pendirian Khalid yang tidak mahu berundur itu, boleh juga dikaitkan dengan sokongan PAS (sebahagian) terhadapnya. Jadi PAS nampaknya memilih kepentingan peribadi dari kepentingan gabungan parti PR.

Sikap PAS ini amat menghairankan bagi setengah pihak Tapi saya tidak merasakan sesuatu yang ganjil dan luar biasa setelah mengikuti perkembangan gabungan parti-parti dalam PR.

Mereka bermusuh dalam berkawan, dan berkawan sebagai musuh.  Tikam menikam adalah sesuatu yang dibenarkan menurut masalahah politik masing-masing.

Tahniah kepada UMNO/BN. Sediakan karpet merah untuk meraikan seorang pejuang yang bernama..... UMNO sudah sedia tahu sang Wira itu.

Bagaimana PAS? Bentangkan karpet merah yang telah disediakan oleh UMNO itu  semoga yang keruh menjadi jernih, dan lupakan kisah-kisah lama tuduh menuduh , kecam mengecam kerana sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula mainan politik.

PKR: Semoga Khalid berbahagia di tapak yang baru.

Saya: Berbahagia? Biar betul.

DAP: Haiya, ini macam lugi beniaga la.

Tidak perlu tunggu 10 Ogos 14. Bahang sudah meledak.

Khalid...Khalid... Khalid.  Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Selangor.


Selasa, 5 Ogos 2014

Pencapaian Malaysia di Sukan Komenwel Terjejas di Sebabkan Iklim Scotland Yang Sejuk




Sukan Komenwel telah selesai. Malaysia di kedudukan ke 11 dalam pungutan pingat emas, setapak belakang Singapura, negara kecil pulau yang sentiasa menjadi bandingan dalam setiap bidang saingan -politik, ekonomi, keselamatan dan sebagainya.

Berbagai pihak telah menyatakan pendapat dan pandangan masing-masing tentang pencapaian Malaysia dalam saingan di sukan komenwel ini.  Ada yang berpuas hati dan ada yang kecewa. Masing-masing memberikan alasan.

Dalam banyak-banyak alasan, saya tertarik dengan alasan yang diberikan oleh seorang daripada pelumba basikal. Beliau tewas. Malah pencapaian acara berbasikal menurun berbanding dengan pencapaian di New Delhi.

Lalu beliau berkata antara sebab yang memberi tekanan kepada beliau ialah tentang cuaca sejuk di Scotland.  Ini menjejaskan prestasi beliau.

Ya, semua orang tahu cuaca di Scotland adalah sejuk berbanding dengan cuaca di Malaysia yang terlalu panas.

Saya percaya setiap anggota sukan komenwel Malaysia sedar dan tahu bahawa cuaca di Scotland adalah sejuk berbanding dengan Malaysia. Begitu juga dengan kontingen dari negara-negara lain seperti Singapura, Trinidad dan Tobago, Kenya dan yang lain-lainnya bahawa cuaca di Scotland tidak sama dengan cuaca di negara mereka.

Maknanya persiapan yang dilakukan sebelum menghadapi saingan di Scotland sudah tentu mengambil kira tentang keadaan cuaca yang berbeza itu. Cara bagaimana untuk menghadapi kesejukan sudah tentu telah difikirkan dalam setiap persiapan dari segi kekuatan mental dan fizikal serta teknik, tektik dan alat kelengkapan yang digunakan.

Ertinya peserta Malaysia telah terlebih dulu didedahkan dengan hal-hal berkaitan dengan ketahanan dalam mengharungi kesejukan. Sama juga dengan yang dilakukan oleh negara-negara lain seperti Singapura.

Jika benar kesejukan itu yang menyebabkan beliau kalah maka beliau sewajarnya tidak dipilih untuk menyertai sukan di negara bercuaca sejuk. Biarlah beliau beraksi dan bersaing dalam negara bercuaca panas, atau hanya beraksi di Malaysia saja. Sudah tentua beliau akan menang!

Beliau akan menang?

Bagi saya belum tentu lagi. Buktinya jelas sekali. Dalam perlumbaan berbasikal  de tour Langkawi, tidak pernah peserta Malaysia menjadi johan mengalahkan peserta negara lain termasuklah peserta dari negara-negara beriklim sejuk.

Cuaca Malaysia panas, peserta negara sejuk juga yang menang. Yang kalah ialah peserta Malaysia. Cuma tidak ada alasan mengatakan kekalahan disebabkan cuaca panas. Dan tidak juga ada alasan dari peserta negara sejuk bahawa mereka menang kerana cuaca panas membuatkan mereka lebih bersemangat untuk bersaing..

Jika mereka kata kepanasan memberikan mereka semangat untuk bersaing dan menang , sudah tentu kita malu tersipu-sipu kerana alasan kita kalah ialah kerana bersaing dinegara beriklim sejuk. Iklim sejuk langsung tidak menaikkan semangat kita untuk bersaing untuk menang malah melemahkan mental dan fizikal kita.

Begitulah cara kita dalam menjawab mengapa kita kalah. Macam mana dengan Singapura. Singapura beriklim sejuk ke?