Theflowersellingboy

Selasa, 18 Februari 2014

APA ADA PADA ANGKA?



Kita selalu dengar, orang berkata 'apa ada pada nama' yang membawa maksud bahawa bukanlah nama itu yang dilihat  atau yang dijadikan asas bagi menilai peribadi seseorang. Dalam kata lain jika namanya baik dari segi maksud yang dibawa atau cantik dari segi sebutan atau ada yang namanya jelik dari segi sebutan dan tidak ada maksud yang baik yang dibawa, ianya tidak akan mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang. 
 
Ada yang namanya membawa maksud baik dan sedap pula sebutannya tapi perangainya macam 'syaitan'. Dan ada yang nama sebaliknya tapi perangainya baik. Begitu juga nama yang baik , perangai pun baik juga. Dan nama yang jelik, perangai macam syaitan.
 
Jadi sebab itu orang selalu menyebut 'apa ada pada nama'.
 
Namun begitu dalam Islam kita digalakkan memilih nama yang baik. Dan kita sentiasa mengharapkan nama yang baik itu tidak dicemari dengan perangai yang tidak senonoh. Tapi kalau nama kita sudah diberi sebegitu, terimalah seadanya, dan tentukan perabadi kita mempamerkan yang terbaik, walaupun nama kita tidak secantik atau sebaik yang kita harapkan.
 
Selain dari memilih nama yang dikatakan baik, kita juga selalu mendengar tentang ramai orang yang terlalu mengambil berat tentang memilih angka seolah-olah angka itu terlalu penting dalam membawa sesuatu yang terbaik bagi dirinya atau keluarga atau kelompok. 
 
Angka itu dikatakan terbaik dari segi mengangkat status sosialnya, dipercayai membawa tuah dan keberkatan, tidak memberi mudharat, dipercayai dan telah diterima masyarakat ramai sebagai angka yang menjadi kesukaan dan rebutan dan macam-macam tanggapan lagi yang kesemuanya mengarah kepada memberi kebaikan jika angka itu dimiliki atau digunakan, dan menjauhkan mudharat jika angka itu dijauhi atau tidak dimiliki.
 
Begitulah sikap kebanyakan orang yang gila angka (selalu disebut gila nombor) yang akan bekerja keras dan menggunakan apa cara bagi mendapat atau menjadikan angka itu sebagai sesuatu yang dekat dan terlekat pada peribadinya, dan ada kaitan dalam kehidupannya atau dalam menentukan hari bagi sesuatu peristiwa yang mahu dicatat dan dikenang dalam sejarah kehidupannya.
 
Dan mereka yang gila angka ini meliputi semua lapisan masyarakat. Lagi tinggi, berada, kaya dan besar kuasa orang itu , lebih tinggilah tahap kepercayaan dan kemampuan untuk memiliki angka itu atau memggunakan angka itu. Maknanya lebih tinggi tahap kegilaannya. 

Kegilaan pada angka ini tidaklah semuanya dianggap atau dikategorikan sebagai tidak wajar. Ada orang yang bekerja kuat untuk mendapat kedudukan nombor satu dalam persaingan. Misalnya dalam kedudukan dalam kelas. Orang atau pelajar itu belajar bersungguh-sungguh sehinggakan setiap kali peperiksaan, dia saja yang memonopoli angka nombor satu. Macam nak gila kalau dia tidak dapat nombor satu.
 
Dan macam-macam kegilaan lagi misalnya dalam lumba lari dan penghasilan sesuatu perkhidmatan atau karya.
 
Gila semacam diatas itu bolehlah dikira wajar, dan perlu juga digalakkan. 
 
Namun ada orang yang gila angka untuk perjudian. Pantang bermimpi tentang sesuatu angka atau melihat kemalangan sesebuah kenderaan, angka yang dimimpi itu atau nombor pendaftaran kenderaan itu akan digunakan dan dibeli dalam perjudian empat nombor angka yang selalu disebutkan sebagai 'main ekor'.
 
Satu lagi kegilaan terhadap angka ini ialah angka tertentu bagi plet pendaftaran kenderaan. Angka yang menjadi kegilaan itu angka tunggal dari nombor 1 hingga 9. Dan diantara angka-angka itu ada darjat kehebatannya mengikut minat dan tafsiran mereka yang mahu memilikinya. Dan ada angka itu cuba dielakkan kerana dipercayai tidak membawa tuah, misalnya bagi masyarakat Cina mereka akan mengelak dari memiliki nombor 4.
 
Seterusnya ada yang meminati dua angka yang sama, tiga angka yang sama dan empat angka yang sama.
 
Kegilaan kepada angka tertentu bagi plet pendaftaran kereta ini adalah mainan mereka yang ada kuasa, kedudukan dan dan kaya. Ertinya mereka yang mampu, ada wang.
 
Setiap kali sesebuah negeri itu mahu mengeluarkan siri pendaftaran kenderaan yang baru maka orang-orang yang berkemampuan itu, dan mungkin sudah masuk ke tahap gila angka, akan cuba mendapat angka yang diminati misalnya angka 1, 2, 3, 5, 7, 8 dan 9. Itulah angka-angka yang popular yang menjadi rebutan. Sekiranya angka itu ada kaitan dengan sesuatu peristiwa yang ada kaitan dengan orang itu misalnya tarikh lahir dan sebagainya, lagi bertambah gilalah untuk mendapat angka itu.
 
Cuma untuk mendapat angka pendaftaran kenderaan itu, seseorang itu perlu bersaing secara tawaran tender. Sesiapa yang memberi tawaran yang tertinggi, dialah yang ditawarkan. Itu adalah prinsip tawaran. Tapi ianya tidak semestinya berlaku seperti itu. Sebab sistem buatan manusia boleh saja dikacaubilaukan. Jadi jangan kecewa jika dalam persaingan itu anda tidak dapat angka yang diminati kerana anda perlu sedar selain dari wang ada faktor lain seperti kuasa dan darjat juga memainkan peranan dalam pertimbangan bagi memiliki harta itu.
 
Kalau tidak percaya cuba anda bersaing dengan orang yang ada kuasa dan darjat. Saya mempunyai kepercayaan bahawa anda akan tewas. Tawaran anda yang tinggi akan diatasi oleh mereka yang ada kuasa dan darjat.    

Tapi mengapa perlu kecewa. Apalah ada pada nombor atau angka. Yang anda perlu tanya ialah mengapa anda sanggup keluar wang begitu besar semata-mata untuk mendapatkan angka itu. Mahu dipandang hebat?

Tidak mengapa anda mahu dipandang hebat kerana mampu mengatasi tawaran pesaing anda. Tetapi anda juga kena tanya tidakkah lebih hebat jika sebahagian wang itu digunakan bagi menolong orang yang memerlukan terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat?

Ya, wang anda, andalah yang berhak menentukan penggunaannya.

Tapi dalam kebanyakan hal, jarang sekali kita menggunakan wang yang begitu besar hasil dari titik peluh sendiri bagi mendapatkan angka itu berbanding misalnya untuk membeli kenderaan. Oleh itu anda kena juga bertanya diri anda sendiri mampukah hasil titik peluh anda berbuat begitu? dan wajarkah ianya dilakukan begitu? Dan tanya lagi adakah kawan pesaing anda itu juga mampu berbuat begitu? Perlukah dia berbuat begitu?

Saya percaya anda akan mendapat jawapan. Dan saya mengharapkan jawapan itu membantu anda untuk tidak kecewa jika anda tidak terlibat dalam persaingan mendapat angka itu. Dan anda juga akan mula bertanya dari mana pesaing anda itu mendapat wang yang begitu besar? dan mengapa dengan mudah mereka berbuat begitu? Adakah wang itu hasil dari titik peluhnya, yang jatuh berjijiran atas usaha dan kerja keras mereka.

Dan anda akan tahu jika anda berpeluang mendapat maklumat lebih terperinci siapakah pesaing anda yang berjaya dalam rebutan angka itu. Kalau anda sudah tahu, jangan pula kecewa. Sebab apa ada pada angka. Apa ada pada angka yang diperolehi bukan dari hasil titik peluh kita sendiri.




 
  

Rabu, 12 Februari 2014

Antara Emak dan Abah , Siapa Yang Perlu Kita Lebihkan.



Seorang kawan bertanya diantara emak dan abah (mungkin itu panggilan bagi kedua orang tuanya), siapakah yang anak-anak lebih rapat?

Sebelum sempat saya  memberi jawapan, kawan itu menghuraikan maksud 'lebih rapat'. Katanya bahawa anak-anak itu mudah dan mesra berkomunikasi, bersedia menyatakan sesuatu keperluan dan hasrat tanpa khuatir, ragu dan 'takut', menyebelahi atau berpihak kepada salah seorang diantara mereka (emak dan abah) jika terdapat perbedaan pendapat, atau perselisihan diantara keduanya, lebih menunjukkan kasih sayang dan simpati melebihi diantara salah seorang, dan jika memberi sesuatu misalnya buah tangan, hadiah atau belanja bulanan, pemberian itu lebih disalur atau diunjukkan hanya ke satu pihak saja sama ada emak atau abah.

Saya hanya memberi pandangan bahawa ini adalah satu persoalan yang melibatkan cara membesarkan anak-anak. Bagi saya , pihak mana yang lebih banyak bersama dengan anak-anak, pihak itulah yang ada ruang dan peluang yang lebih bagi menarik perasaan anak-anak itu untuk menyebelahinya. Biasanya , emaklah yang lebih banyak masa bersama dan berkomunikasi dengan anak-anak, terutama jika emak itu sebagai suri rumah.

Tapi ianya bergantung kepada cara dan bagaimana masa yang banyak bersama itu digunakan bagi menarik perasaan anak-anak itu bagi berpihak kepadanya. Ada emak yang banyak bersama dengan anak-anak berbanding dengan seorang abah, tetapi anak-anaknya tidak pula menunjukkan sikap menyebelahi emaknya berbanding dengan abahnya. Mungkin masa kebersamaan itu tidak banyak memupuk bibit-bibit yang melebihkan emak dari abahnya, misalnya berlaku perbezaan pendapat atau perselisihan , pertengkaran atau suruhan-suruhan/perintah emak yang dikatakan menyusah atau memenatkan. Sedangkan abah yang mempunyai masa bersama yang kurang dari emak, jarang sekali mewujudkan suasana perbezaan dan perselisihan, lantas, menarik perasaan senang anak-anak.

Kawan saya itu tidak membantah dan tidak juga mengatakan bersetuju akan pandangan saya itu. Sebaliknya beliau  menceritakan hal dirinya pula. Bahawa dia telah berat sebelah. Dia melebihkan emak dari abahnya. Sepatutnya dia tidak membezakan sikap terhadap kedua orang tuanya itu. Dia mengaku, emaknyalah yang banyak bersama dengan dia dan adik beradiknya berbanding dengan abahnya, lantaran abahnya adalah pencari nafkah keluarga.

Dia merasa sedih kerana tanpa disedari ,dia telah melebihkan emaknya dalam apa saja keadaan atau pertimbangan. Tetapi dia tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa dia lebih sayang emak dari abahnya. Dia sayang kedua-duanya. Cuma tanpa disedari, sikapnya, pertimbangannya dan tindak laku dan kelakuannya lebih nampak berat menyebelahi emaknya. Misalnya dalam hal memberi sedikit wang atau hadiah. Wang yang lebih akan diberi kepada emaknya walaupun dia tahu wang itu sebenarnya akan juga dimenfaatkan untuk abahnya. 

Akhirnya pada suatu hari, beliau tersentak apabila abahnya meminta sedikit wang untuk berbelanja minum kopi, ketika dia memberikan wang belanja bulanan kepada emaknya. Dia segera menghulurkan wang sebanyak RM20.00 kepada abahnya. Bukan main seronok dan cerianya wajah abahnya. Namun dia mahu bertanya emaknya sama ada wang bulanan yang telah diberikan tidak pernah dimenfaatkan oleh abahnya. Emaknya memberitahu bahawa abahnya juga diberikan belanja termasuk untuk minum kopi diwarung. Cuma, kata emaknya, abahnya hendak sendiri wang itu dihulurkan kepadanya. Kecil atau besar nilai wang itu tidak penting.

Mulai dari itu, dia bersikap tidak memihak. Walaupun misalnya abahnya yang bersalah, dia tidak memihak pada emaknya. Dia biarkan saja mereka menguruskan perbalahan atau perbezaan itu. Yang penting mereka itu ialah emak dan abahnya. Tanpa mereka berdua, tanpa izin Allah, dia tidak ada di dunia.


Selasa, 11 Februari 2014

Rumah Tiga Pintu

Secara amnya terdapat sebuah pintu masuk ke dalam sesebuah rumah. Tapi terdpat sebuah rumah yang pernah saya lawati mempunyai 3 pintu masuk. Tapi awas , kita tidak boleh masuk mengikut pintu yang kita suka. Setiap laluan masuk itu mempunyai maknanya yang tersendiri. 
 
Bagi tetamu yang baru dikenali, atau mereka yang disambut secara formal, akan dipersilakan untuk masuk ke ruang rumah melalui pintu pertama (dikira dari kanan ke kiri). Dan tetamu itu akan dipersilakan mengambil tempat diruang tamu, dan hanya boleh masuk ke ruang lain misalnya ruang makan, jika dijemput untuk berbuat demikian.
 
Pintu kedua pula ialah bagi kenalan dan sahabat handai serta saudara mara. Melalui laluan ini tetamu bebas untuk pergi diruang tamu atau ruang tonton tv .  dan ruang makan. Dan pintu ketiga pula ialah laluan langsung ke dapur. Pintu ini hanya untuk tuan rumah dan keluarga yang rapat saja.
 
Tuan rumah bersedia berdiri dipintu-pintu tertentu apabila ada tetamua yang datang. Sekiranya tetamu itu tetamu yang baru atau yang perlu diberi penghormatan maka tuan rumah telah sedia menunggu di pintu pertama. Tujuannya bagi mengelakkan tetamu itu menuju ke pintu kedua atau ketiga. 
 
Bagi keluarga yang rapat, tuan rumah hanya membuka pintu kedua sebagai laluan masuk. 
 
Begitulah pengalaman yang telah saya lalui tentang rumah tiga pintu masuk ini. Saya dapati juga ada tetamu bukan ahli keluarga yang cuba memasuki pintu kedua kerana menyangka itulah laluan masuk utama. Kemudian tetamu itu telah dipersilakan untuk menuju ke pintu yang pertama. Untuk makluman pintu kedua adalah paling dekat dengan kawasan halaman tempat meletak kereta. Sebab itu kebanyakan orang terus menuju ke pintu itu berbanding dengan pintu pertama yang agak jauh sedikit.
 
Begitulah seni binaan sebuah rumah yang pernah saya lawati. Pintu laluan masuk ke rumahpun dibeza-bezakan menurut tahap rapat dan keakraban antara tuan rumah dan tetamu.  Tapi yang pasti tuan rumah boleh masuk mana-mana pintu yang disukai.