Theflowersellingboy

Sabtu, 3 Ogos 2013

Dialog Anak Melayu vs Dialog Anak Cina

DIALOG ANAK MELAYU
Saya: Buat apa tu Li (Singkatan Ali)
Ali:Tak buat apa-apa, duduk je
Saya: Tak kerja ke hari ni?
Ali: Malas lah pakcik. Dulu saya kerja tapi asyik kena marah je.
Saya: Kerja apa? Kat mana?
Ali: Kerja woksyop kereta, baikki kereta.
Saya: Bagus tu Li. Kalau dah pandai, boleh buka woksyop. Kereta banyak rosak. Banyak masuk Li.
Ali: Bagus tu memang bagus pakcik. Tapi bos woksyop tu tak sporting pakcik. Salah sikit kena marah.
Saya: Biasalah Li kalau nak pandai mesti kena marah. Layankan saja. Lama-lama dia takkan marah.
Ali: Dah lah kena marah, hari-hari kerja saya asyik ulur spana, bersih woksyop, cuci alat screw dan macam-macam lagi. Dia tak suruh pun saya cuba baikki kereta yang rosak tu.
Saya: Dah berapa lama Ali kerja dengan dia?
Ali: Dah lebih sebulan pakcik. Dia suruh saya kenal alat-alat baikki kereta dulu. Mesti tahu spana ini no berapa. Spana itu no berapa. Boring pakcik. Bila dia minta ulur spana no 7, saya beri no 5, mengamuk sakan dia. Dia kata kalau mahu kerja, buat betul-betul, kalau tidak balik rumah tidur.
Saya: Betullah cara dia tu. Ali kena kenal dulu alat-alat itu. Bila minta spana no 7, dengan cepat kita dah tahu.Taklah ambil spana no lain.
Ali: Tapi dah sebulan lebih pakcik. Asyik-asyik ulur spana. Apa dia ingat saya ni bodoh ke?
Saya: Ali tak bodoh, cuma ,tak mahu belajar.
(Saya meninggalkan Ali keseorangan. Matanya terkebil-kebil memandang saya seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata saya yang tidak berpihak padanya).

DIALOG ANAK CINA

Saya meminta seorang anak cina datang kerumah untuk memasang wiring dan peralatan letrik seperti lampu, kipas dan air panas. Nama anak Cina itu Wong Way Teck

Saya: Way Teck, lu sudah berapa lama buat ini kerja.
Way Teck: Oooh manyak lama pakcik. Sudah 20 tahun maa.
Saya: Lu banyak pandai la Way Teck. Pakcik mahu pasang lampu pun takut. Pakcik takut karan lah. Mana lu belajar?
Way Teck: Sikit-sikit boleh lah. Tak pandai. Mahu cari makan pakcik.
Saya: Mana lu belajar? Sekolah tenik kah?
Way Teck:Haiya pakcik saya belajar tak pandai oo. Itu sebab saya buat ini kerja. Habis sekolah cina darjah enam saya ikut orang buat itu wiring. Tolong akan wayar. Tolong buka itu wayar dan tarik. Kasi bersih itu wayar yang sudah kena potong, kasi buang. Bagi bersih itu tempat.
Saya: Berapa lama?
Way Teck: Manyak lama oo. Itu bos tak bagi saya kerja lain. Itu saja. 
Saya: Pasal apa lu tak minta itu bos bagi lu pasang wiring?
Way Teck: Haiya pakcik mahu mati ka. Dia marah oo.  Dia suruh kerja itu dulu.
Saya: Tak boring kah?
Way Teck: Apa boleh buat mahu cari makan punya pasal. Saya punya telinga, lubang kasi besar. Dia marah, tak ada had punya.
Saya: Sekarang lu buat sendiri kah?
Way Teck: Sikit-sikit buat pakcik. Pakcik panggil, orang lain panggil, oklah. Cukup makan.
Saya: Banyak cepat siap.
Way Teck: Pakcik ada itu sapu kah. Saya mahu bersih ini tempat.
Saya: Tak apa Way Teck, pakcik boleh kasi bersih.
Way Teck: Itu kerja saya lah pakcik. Itu bos sudah ajar sama saya dulu.
(Way Teck pun membersihkan kawasan kerjanya. Saya menghulurkan wang upah seperti yang diminta).



 

Jumaat, 2 Ogos 2013

Apakah Tujuan Promosi Astro Beyond-HD ?

Petang ini, Jumaat  02.8.13 saya terima panggilan lebih kurang pada jam 4.20 petang dari astro. Sebenarnya panggilan untuk anak saya. Astro memberi tahu tentang promosi Astro beyond -HD. Melalui promosi ini pihak Astro akan memberi percuma decorder termasuk pemasangan dan pelanggan akan memberikan decorder yang lama kepada Astro. Dengan astro beyond ini pelanggan dapat siaran HD dengan ditambah bayaran bulanan sebanyak RM 20.00.
 
Pada pandangan saya, promosi ini sebenarnya untuk menjual program Astro menggunakan kaedah penambahan HD dengan dikenakan bayaran tambahan RM 20.
 
Saya bertanya kepada pemanggil itu bahawa jika tidak ditukar dengan astro beyond boleh ke? Jawabnya boleh tapi decorder lama perlu juga ditukar dengan yang baru yang tiada HD. Pemasangan dikenakan bayaran.
 
Lihat bagaimana Astro yang bersifat monopoli ini berniaga. Jika terima promosi, kita kena bayar lebih. Jika tidak terima promosi, kita kena ganti decorder yang baru tanpa HD dan dikenakan bayaran pasangan. Bukankah itu sembelih namanya.
 
Itu yang saya faham dari perbualan talipon itu. Jika fahaman saya tidak betul saya minta maaf. Yang penting bagi pelanggan seperti saya ialah tidak dikenakan bayaran jika kekal dengan keadaan yang ada (tidak menerima promosi astro beyond). Dan decorder yang sedia ada tidak perlu ditukar.
 
Tapi nampak gaya pendekatan atau cara berniaga astro ialah menggunakan promosi HD untuk mendapatkan tambahan bayaran bulanan. Dan jika tidak terima, decorder lama perlu ditukar dan dikenakan bayaran pemasangan. 

Apa pilihan yang ada kepada pelanggan ? Tukar kena bayar, tak tukarpun kena bayar.
 
 
Itulah dasar peniaga monopoli.  

Khamis, 1 Ogos 2013

Saluran Air Yang Tersumbat : Ini Semua Disebabkan Lemak Yang Tidak Diurus dengan Baik.


Saluran air di dapur basah (wet kitchen) buat masalah , tersumbat.  Air tidak mahu mengalir. Bahagian dapur kebanjiran. Terganggu kerja masak memasak. Pening juga kepala dibuatnya.

Dua hari yang lepas, saluran  air di kawasan dapur basah (wet kitchen) menjadi tersumbat. Tersumbat dik lemak yang kering dan membeku hasil dari sisa-sisa buangan dari pembersihan ayam, daging, ikan, sayuran dan lain-lain. Ini adalah disebabkan dapur itu tidak digunakan selama lebih dari setahun kerana kami tinggal di Putra Jaya menjaga cucu. 

Oleh kerana lama sangat tidak digunakan iaitu tiada pengaliran air dari sinki dapur itu maka segala sisa-sisa basuhan dan cucian menjadi kering dan membeku berketul sebagai lemak , melekat pada saluran air buangan itu.

Air dari sinki menjadi tersekat yang menyebabkan dapur kami menjadi banjir.

Kami amat susah hati. Hari raya semakin dekat. Anak-anak dan cucu akan balik. Tetamu akan bertandang. Macam mana nak menyediakan makanan jika dapur tidak boleh digunakan. 

Masalah ini mesti diatasi segera. Ada dua pilihan. Pertama sendiri buat kerja untuk menembusi sumbatan itu. Kedua upah orang untuk melakukannya. 

Saya memilih yang pertama kerana ianya melibatkan tenaga sendiri dan tidak perlu kemahiran yang tinggi. Dan sudah tentu tidak keluar belanja. Kalau panggil orang untuk mengatasi masalah tersumbat itu ia melibatkan wang. Parah jadinya. Jadi pilihan kedua dilupakan buat sementara.

Maka saya aturkan dalam fikiran saya iaitu apa  kerja atau aktiviti yang perlu dimulakan dulu dan  apakah aktiviti yang terakhir; dan apakah peralatan yang perlu digunakan. Saya cuba applikasikan 'critical path' seperti dalam pengurusan projek bagi menyelesaikan saluran yang tersumbat ini. Tapi saya tidak memasukkan unsur tempoh masa bagi sesuatu kerja. 

Apabila saja semuanya telah diaturkan dalam fikiran, saya memulakan operasi menghancurkan lemak yang menghalang laluan air itu. 

Peralatan yang telah tersenarai untuk digunakan ialah pam tandas, hose sepanjang 3 meter, cerek dan bekas-bekas untuk memasak air, dapur gas, mop dan kain untuk mengelap basahan dan beg plastik untuk memasukkan sampah sarap dan bahan-bahan buangan kotoran yang lain.

Tapi kerja saya menjadi terhalang apabila anak saya mencadangkan supaya menggunakan cairan kimia bagi menghancur/melembutkan lemak yang menghalang laluan air itu. Oleh kerana ada logik cadangan itu saya pun bersetuju. Maka kami membelinya di kedai 'hardware' , sebotol cairan kimia dengan harga RM 20.00.

Menurut pekedai itu cairan itu hendaklah dimasukkan ke dalam saluran air dan dibiarkan selama satu malam. Kemudian barulah dialirkan air dan dipam atau dijolok saluran itu bagi memecahkan lemak yang telah dilembutkan oleh cairan kimia itu.

Maknanya saya terpaksa tunggu pada hari esoknya untuk memulakan operasi menghancurkan lemak. Jadi terpaksalah kami membeli makanan di luar untuk berbuka dan bersahur.

Pada sebelah pagi keesokan harinya saya memulakan operasi. 

Walaupun cairan kimia itu telah bermalam satu hari bersama lemak itu, saya dapati tiada kesan positif. Lemak itu masih lagi bertahan, tidak lembut atau hancur. Air di dapur masih bertakung, tidak mengalir.

Paip sinki dibuka untuk mengalirkan air. Berhampiran dengan sinki, ada lubang saluran air. Saya menjolok lubang saluran air  itu dengan menggunakan hose. Hanya sekadar dua kaki hose itu mampu memasuki saluran air itu kerana terhalang sesuatu benda yang keras. Kemudian saya pergi dibahagian luar pula dengan membuka manhole dan cuba menjolok dari situ. Beberapa kali jolokan dibuat tapi tidak berjaya juga. Lebih dari dua jam saya melakukannya tetapi air masih tidak mampu mengalir . 

Sudah lebih dari sepuluh cerek air panas yang telah disalurkan ke dalam saluran air itu bagi tujuan memecahkan bekuan lemak yang menghalang laluan air itu. Tapi tidak juga berjaya. Dapur saya masih lagi banjir. Isteri sudah putus asa dengan usaha saya itu. Dia mencadangkan agar memanggil pekerja IWK. Pada mulanya saya tidak bersetuju kerana ia melibatkan kos. Saya menganggarkan kos melebihi 100 ringgit. Parah, kalau macam ini.

Saya cuba dan terus mencuba. Tidak juga berjaya. Maka saya menyerah kalah dan bersetuju memanggil pekerja IWK.

IWK dihubungi melalui talipon. IWK bersetuju menghantar pekerjanya dengan syarat saya mampu membayar sebanyak RM180.00. Kami tiada pilihan. Syarat itu diterima.

Tiga jam kemudian dua orang pekerja IWK sampai di rumah. Mereka lakukan sama seperti apa yang saya lakukan, menjolok saluran air dari bahagian dalam dan dari manhole dengan menggunakan hose yang fleksibel. Hampir setengah jam diusahakannya tapi gagal juga. Lalu seorang pekerja itu memberi alasan mengatakan mungkin tidak ada saluran air untuk mengalir air dari sinki. Oleh itu saya kena buat saluran air dengan menebuk dinding dapur saya.

Kata-kata pekerja itu menaikkan sedikit kemarahan saya kerana ianya tidak rasional, tidak logik. Mana mungkin tiada saluran air sedangkan kami telah menggunakan dapur itu telah  lebih dari 13 tahun dan air sentiasa mengalir melalui saluran dari sinki memasuki manhole dan seterusnya ke tangki buangan yang besar (septic tank). Saya hairan bagaimana seorang pekerja yang mahir dalam bidangnya itu boleh menyatakan seperti itu.

Saya tidak bersetuju dengan pendapatnya. Tidak juga bersetuju untuk membuat saluran air yang baru.

Mereka berdua gagal dalam pekerjaan yang mereka mahir. Lalu minta diri. Nasib baik saya tidak dikenakan bayaran. Kalau tidak mungkin akan berlaku hujah menghujah yang kurang wajar dalam bulan puasa ini. Bertambah susahlah hati kami berdua.
    
Namun begitu pekerja itu menasihatkan kami supaya jangan sekali-kali gunakan bahan kimia untuk melembutkan lemak yang beku itu. Kesannya akan mengecutkan saluran air itu. Nasihat ini saya boleh diterima, ada logiknya.

Dalam keadaan berdukacita itu saya teringatkan konterektor yang membnia rumah saya itu pada 13 tahun yang lepas, Tuan Hj Rahman. Maka isteri mencari number talipon untuk menghubunginya. Panggilan pertama gagal, number yang salah. Panggilan kedua berjaya dengan menggunakan number talipon pejabat. Isteri konterkter yang menjawab menyatakan suaminya berada di tapak projek dan memberi number handphonenya. 

Setelah di hubungi, kontrektor itu berjanji akan datang pada pukul lima petang.

Janji ditepati, Hj. Rahman dengan seorang pekerjanya sampai pada waktunya dan melakukan kerja mengatasi masalah tersumbat. Kerja yang dilakukan sama seperti apa yang saya lakukan dan sama seperti yang dilakukan oleh pekerja IWK. Yang berbezanya ialah saya tidak mempunyai hose yang fleksibel. Hampir setengah jam jolok menjolok dilakukan, dari bahagian dalam dan dari manhole. Tidak juga berjaya.

Hj Rahman terus memikirkan cara bagaimana boleh memecahkan sumbatan itu. Lalu dia meminta pekerjanya memasukkan air kedalam saluran air itu melalui manhole . Dengan menggunakan hose dari paip dibelakang rumah dan melalui manhole air dimasukkan kedalam saluran air. Saluran air itu disumbat dengan kain sapaya air tidak mengalir keluar.

Selepas dirasakan air sudah penuh dalam saluran, kain penyumbat itu ditarik keluar. Tapi saluran itu masih tersumbat lagi. Beberapa kali kaedah itu dibuat tetapi tidak berjaya. Haji Rahman macam sudah putus asa. Lalu mencadangkan kepada saya membuat saluaran air yang baru dengan menebuk dinding dapur. Sama seperti yang dicadangkan oleh pekerja IWK tadi.

Hj Rahman membaca reaksi air muka saya yang kecewa, yang tidak bersetuju dengan cadangannya itu. Tambah-tambah lagi ia hanya boleh dilakukan pada seminggu dua lagi, mungkin selepas raya kerana sebahagian besar pekerjanya yang berasal dari seberang (Indonesia)  telah pulang kampong, beraya.

Saya menggesa Hj Rahman untuk mengusahakan lagi sampai berjaya. Pekerjanya itu kelihatan bersungguh-sungguh untuk meneruskannya. 

Akhirnya Hj Rahman bersetuju walaupun sudah menghampiri waktu berbuka.

Prosedur dan cara yang sama diteruskan iaitu dengan memasukkan air ke dalam saluran air itu melalui manhole dan menyumbat saluran air itu agar air tidak keluar mengalir. Tujuannya ialah untuk memenuhkan saluran itu dengan air. Jika air itu boleh naik sehingga ke lubang air di bahagian dapur itu ia memberi isyarat bahawa satu ruang udara telah dapat dihasilkan. Bermaksud sekatan lemak itu telah dapat ditembusi.

Akhirnya terdengar bunyi bobokan air menaikki dan keluar dari lubang air itu. Hj Rahman tersenyum dan gembira kecil. Usahanya nampaknya sudah ada tanda kejayaan. Dia mengarahkan pekerjanya menarik kain yang menyumbat  saluran di manhole untuk melepaskan air yang terkepung itu. Air itu turun bersama dengan ketulan lemak dan kotoran-kotoran yang lain mengalir ke tangki buangan besar (septic tank). 

Saya amat gembira dan Hj Rahman serta pekerjanya terlalu gembira kerana telah berjaya  menyelesaikan masalah saluran yang tersumbat itu. Dan jika dapat disamakan Hj Rahman dan pekerjanya sebagai pakar bedah jantung, mereka berdua nampaknya telah berjaya  sama seperti pakar bedah jantung dalam usaha mengatasi jantung tersumbat. Bezanya mereka  adalah seorang kontrektor dan pekerja benaan yang tidak mempunyai pelajaran yang tinggi seperti pakar bedah. Mereka hanya gunakan pengalaman bekerja dalam sektor pembinaan yang telah diceburinya begitu lama sekali.

Berapa kos yang saya kena bayar? Mula-mula beliau meminta RM150.00 kurang 30 ringgit dari yang dikenakan oleh IWK. Dengan segera saya bersetuju kerana beliau telah menyelesaikan satu masalah yang memeningkan kepala saya. Rupanya harga itu harga bergurau saja. Dia memulangkan balik 50 ringgit dari 150 ringgit wang yang telah diberikan. Saya mengucapkan terima kasih dan mereka bersegera pulang untuk berbuka puasa.

Apa yang saya dapat belajar disini ialah bahawa dapur basah itu tidak boleh dibiarkan begitu lama tanpa dialirkan air. Kita hendaklah selalu mencurahkan air panas kedalam saluran air di sinki itu bagi mencair atau memecahkan lemak yang terbentuk dari cucian ikan, daging, ayam, sayuran dan yang lain-lain. Bahawa penggunaan cairan kimia atau bahan kimia bagi menghancurkan lemak yang tersumbat nampaknya tidak boleh memecahkan lemak itu.   Dan ianya juga memberi kesan yang tidak baik kepada saluran air itu seperti yang diberitahu oleh pekerja IWK.

Dan perkara yang sangat terkesan kepada saya tentang saluran tersumbat itu ialah persamaannya dengan saluran jantung yang tersumbat. Darah tidak dapat mengalir, air tidak dapat mengalir. Darah tidak dapat mengalir boleh menyebabkan serangan jantung. Air tidak dapat mengalir menyebabkan dapur saya banjir dan kotor. 

Kedua-dua jantung dan saluran air itu tersumbat adalah hasil dari makanan yang banyak lemak. Maka untuk mengelakkannya kita wajar mengurangkan makanan yang berlemak dan berminyak dan banyakkan minum air. Atau dalam kes saluran air tersumbat, kita mengalirkan air termasuklah air panas supaya dapat mengalirkan lemak-lemak itu keluar.  Jangan sesekali membiarkan saluran itu kering tidak dialirkan air.

Ini adalah kali kedua masalah tersumbat yang saya telah hadapi. Pertama ialah saluran jantung tersumbat yang diatasi secara membuat pembedahan pintasan. Alhamdulillah ianya berjaya dan saya sekarang sihat. Kedua, saluran air yang tersumbat yang dapat diselesaikan oleh Hj Rahman dan pekerjanya. Alhamdulillah dapur saya dapat digunakan semula, tidak banjir lagi.

Kedua-kedua masalah tersumbat ini adalah  disebabkan oleh lemak yang menyekat aliran darah/air. Lemak tidak diuruskan dengan baik.