Theflowersellingboy

Khamis, 18 Julai 2013

PERCUTIAN KELUARGA DI LANGKAWI: Kereta Sewa, Hotel dan Program Lawatan

Pesawat MAS yang kami naikki telah selamat mendarat kurang lebih 11.30 pagi. Setelah selesai mengambil barang-barang, kami menguruskan sewaan 2 buah kereta untuk digunakan selama percutian 3 hari 2 malam di Langkawi. Tuan punya kereta telah sedia menunggu. Maka kami telah bersetuju menyewa sebuah waja dan sebuah Gen 2 dengan dikenakan bayaran RM480 bagi tempoh yang digunakan itu. Minyak atas isian sendiri. Dan waktu diserahkan , minyaksudah hampir kehabisan yang mungkin mencukupi bagi beberpa kilometer saja, cukup untuk sampai ke stesyen minyak.

Keadaan kereta kelihatan tidak diselenggara dengan baik. Kereta-kereta itu pun saya jangka telah berusia tidak kurang dari 10 tahun, padan dengan harga yang dikenakan.

Kami mengambil masa untuk mencari stesyen minyak walaupun tuan punya kereta menyatakan ianya pada jarak yang dekat. Setelah memandu  dalam jarak melebihi 10 kilometer, akhirnya kami bertemu sebuah stesyen minyak Buraq. Bagi saya inilah kali pertama saya mengenali stesyen minyak Buraq. Saya tidak pernah terjumpa di lain-lain tempat dalam Malaysia.

Sampai di hotel Maritus Pelangi di Pantai Cenang pada pukul 1 tengah hari. Waktu check-in hotel ialah 2 petang. Jadi kami terpaksa menunggu di lobi hotel dan diraikan dengan minuman selamat datang.

Setelah memasuki jam 2 petang hanya 2 bilik saja yang telah siap dikemaskan untuk kami masuk. Satu bilik lagi belum siap dikemaskan.

Sebenarnya 3 bilik itu adalah dalam sebuah chalet (bangunan). Bilik 4101 dibahagian bawah dan bilik 4103 di sebelah atas telah sedia untuk menerima kami. Hanya bilik 4102 yang bersebelahan dengan bilik  4101 belum siap dikemaskan. Jadi terpaksalah kami tunggu di lobi sementara bilik itu disiapkan.

Setelah lama menunggu dan beberapa kali pertanyaan dibuat sehinggalah menghampiri jam 3 petang, bilik 4102 masih lagi belum siap. Alasan yang diberikan oleh pihak hotel ialah mereka melakukannya (mengemas) bilik mengikut cara 'bilik ke bilik' (bed to bed- perkataan yang digunakan).

Jadi kami buat keputusan untuk memasuki dua bilik yang telah siap sementara menunggu proses mengemaskan bilik 4103. Bilik itu hanya siap pada pukul 4 petang.

Ini adalah percutian keluarga. Sudah tentu percutian ini bertujuan untuk mendapat satu suasana yang releks dan 'enjoyabale'. Maknanya jika ada perkara-perkara yang kurang menyenangkan, yang kurang berpuas hati, kami cuba elakkan dari berlaku hujah-hujah yang membawa kepada pertengkaran. Tapi kelewatan menyiapkan bilik yang ditempah ini sedikit sebanyak melahirkan rasa mahu marah juga.

Namun kami dapat bertahan hati. Tidak ada pertengkaran. Cuma saya agak hairan mengapa bilik 4102, dalam sebuah bangunan (chalet) yang sama, bersebelahan dengan bilik 4101 yang dapat disediakan pada waktu yang dijanjikan, tidak dikemas dan disiapkan pada waktu yang sama. Bertambah pelik lagi, bilik 4103 yang disebelah atas telah dapat disiapkan. Apa yang dimasksudkan cara kemasan 'bilik ke bilik itu'? Atau ianya hanya sebagai membasahi mulut saja untuk berkata-kata bagi memberikan sesuatu jawapan kepada pelanggan, dengan anggapan pelanggan tidak faham 'istilah-istilah' yang digunakan.

Apa pun istilah yang digunakan, perkara utama ialah menyediakan bilik pada waktu yang dijanjikan iaitu pada pukul 2 petang. Soal cara kemasan 'bed to bed' yang diamalkan adalah tidak penting kepada pelanggan.

Hati kami dipujuk apabila bilik-bilik kami itu berhadapan dengan laut yang terbentang luas. Sesungguhnya pandangan itu menyejukkan hati dengan pantai yang luas untuk para penginap hotel menjalani kegiatan riadah pagi atau petang. Sebenarnya Hotel Meritus Pelangi ini adalah amat indah dan cantik sekali. Bagi saya keadaan dalaman bilik dan kelengkapannya memuaskan sekali dengan harga yang dikenakan RM450 semalam ( harga yang telah didiskaunkan untuk penjawat awam).

Dalam percutian pendek seperti ini, kegunaan masa yang cekap terlalu penting sekali. Dengan itu kami telah segera bersiap untuk merasai dan mengalami aktiviti menyusur laut (sea cruising) dengan menikmati makanan yang dihidangkan. Sebuah van hotel telah sedia ada untuk membawa kami ke pantai. Kami seramai 10 orang beserta dua orang pelancung barat (lelaki dan perempuan) dibawa ke pantai untuk tujuan susuran laut itu.

Sampai dipengkalan dan setelah membuat bayaran RM230 seorang (RM1,840 bagi 8  orang. Cucu-cucu saya yang masih kecil tidak dikenakan bayaran), kami pun dibawa untuk menaikki bot bagi menuju ke sebuah kapal kecil yang akan melakukan 'cruising'.  

Saya amat teruja sekali dengan aktiviti crusing sekeluarga ini. Inilah yang amat saya nantikan kerana aktiviti cruising ini telah dua kali saya nikmati iaitu di Bangkok, menyusur Sungai Praya. Amat seronok sekali menyusur sungai itu pada waktu malam dengan disediakan hidangan makanan laut semasa pelayaran disungai itu dengan diiringi nyanyian dan tarian tradisional Thai.

Itulah yang saya bayangkan semasa saya diberitahu oleh anak yang membuat tempahan aktiviti cruising dilaut itu. Saya bersetuju tanpa apa soal malah mengalu-alukannya. Saya tidak pun bertanya berapa harga cruising itu kerana itulah yang saya mahu.

Setelah sampai ke kapal untuk kami naikki bagi melakukan crusing itu, hati saya bertanya inikah kapal yang akan melakukan cruising? Saya membayangkan sesuatu yang tidak enak akan berlaku. 

Kapal itu kecil sekali berbanding dengan kapal yang saya naik di Bangkok untuk cruising di sungai. Ini cruising di laut terbuka yang gelombang ombaknya lebih besar berbanding dengan ombak sungai. Sudah tentu kepada yang tidak tahan dengan amokan ombak laut ini akan menjadi tidak selesa dan akan merasa pening dan mabuk serta muntah. Ianya menyeksakan, sedang yang dicari ialah keseronokan. 

Kami terpaksa menggunakan tangga untuk menaikki kapal itu. Dan ia memberi masalah kepada isteri saya dan anak-anak perempuan yang tidak mempunyai kekuatan fizikal seperti lelaki. Telah sedia ada pelancung yang lain yang saya difahamkan pelancung luar dari negara China. Tempat duduk amat terhad dan tidak selesa iaitu bangku kayu panjang di bahagian tepi kiri dan kanan dan dibahagian tengah kapal. Para penumpang tidak diberikan jaket keselamatan. Krew kapal pun tidak memakai jaket keselamatan. Ketiadaan jaket ini  merisaukan saya dan mengharapkan tidak akan berlaku kejadian yang tidak diingini.

Kapten cruiser adalah seorang Jepun yang tidak boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Dimaklumkan oleh seorang krew yang juga kepten kapal, kepten kapal orang Jepun ini terlalu baru dengan keadaan laut disini. Oleh itu  tidak mahir akan selok belok laluan yang patut dilalui agar tidak melawan  arus ombak yang besar.

Beberapa orang dari anggota keluarga kami yang sudah pening kepala. Isteri saya telah mula mabuk dan pening kepala mahu muntah. Anak saya yang sedang mengandung juga pening kepala. Saya , isteri dan anak yang sedang mengandung serta suami dan anaknya (Naqib) meminta izin untuk masuk dalam kabin kapal di sebelah bawah. Keadaan dalam kabin tidak membantu, panas. Maka anak saya itu muntah-muntah. Isteri saya sudah terlentok kepala, minta disapu minyak angin. Cucu saya menangis, mukanya pucat dan kelihatan terlalu takut dengan pukulan ombak laut. Dia  pening kepala agaknya. Nasib baik tidak berapa lama pelayaran, cucu saya itu tidur.

Keadaan para penumpang yang mabuk itu telah menimbulkan kerisauan kepada beberapa krew kapal. Kepten kapal tempatan itu kedengaran beberapa kali memberitahu kepada kepten Jepun akan keadaan pelancung yang pening kepala disebabkan laluan yang dipilih. Tapi kepten Jepun itu buat tidak kisah saja. Mungkin tidak faham.

Melihat keadaan isteri dan anak saya yang semakin teruk, kepten tempatan itu menyediakan minuman air limau dan diberikan kepada anak dan isteri saya. Difahamkan minuman itu memberi sedikit kelegaan dari mabuk. Tapi mereka masih tidak pulih. Lantas kepten itu mencadangkan agar kami tidak meneruskan perjalanan dan dihantar balik ke pantai. Kami bersetuju. Kepten menghubungi pihak pengurusan pelancungan yang ada dipantai untuk menghantar bot.

Bot sampai untuk membawa saya, isteri, anak, menantu dan cucu balik ke pantai. Semasa kami hendak menaikki bot, makanan berupa satay dan lain-lainnya sedang disediakan. Aroma dari proses bbq makanan itu amat menaikkan selera saya. Tapi saya terpaksa balik ke pantai menemani isteri dan anak yang mabuk walaupun saya tidak mabuk. Isteri yang mabuk pun terbuka seleranya dengan aroma makanan itu. Beliau meminta supaya makanan itu dibungkus (tapau). Tapi krew kapal menyatakan makanan belum siap sepenuhnya. Jadi melepaslah kami. 

Kami balik meninggalkan ahli keluarga yang lain yang tidak mabuk yang mahu meneruskan perjalanan. Sebenarnya ada juga yang mabuk tapi tidak seteruk isteri dan anak saya yang mengandung itu. Yang saya pasti tidak mabuk, yang mesti diberi ucapan tahniah diatas ketahanan bercruising dilaut ialah cucu saya yang berusia 3 tahun Yousef Imran. Beliau selamba saja, tidak mabuk, enjoy nampak gayanya.

Dalam perjalanan ke pantai isteri saya memberi tahu selain dari mabuk beliau sebenarnya terlalu takut dengan ombak laut itu. Takut kapal karam. Saya sudah faham dengan perasaan isteri saya ni. Imiginasi takutnya melampaui dari kenyataan. 

Selain dari kami melepas meneruskan cruising dan menikmati hidangan makanan, kami dikenakan bayaran tambahan RM100 sebagai tambang bot yang menghantar kami balik kepantai.

Di pantai telah sedia menunggu van untuk membawa kami balik ke hotel. Ahli keluarga yang meneruskan perjalanan cruising agaknya sedang menikmati makanan. 

Sampai saja dihotel pada pukul lebih dari 7 petang kami membuat keputusan untuk makan diluar. Maka kami mencari kedai makan yang sesuai dengan selera kami. Pencarian ini tidak semudah yang saya jangkakan.

Bersambung....    
 

Rabu, 17 Julai 2013

PERCUTIAN KELUARGA DI LANGKAWI: Penerbangan Dengan Pesawat MAS.

Pada 4  Julai yang lepas, hari Jumaat, kami sekeluarga ke Langkawi, sebuah percutian keluarga pada tahun ini.

Percutian ini adalah percutian yang dirancang oleh anak-anak saya. Maka segala persediaan adalah diuruskan secara pakatan oleh mereka semua termasuk pemilihan pengangkutan, hotel dan tempat dan aktiviti yang hendak dilakukan. Perbelanjaan pula adalah secara bersama yang dibahagikan mengikut keluarga. 

Ada 3 keluarga kecil. Pertama terdiri dari saya dan isteri, serta dua orang anak yang masih belum berumahtangga. Kedua dan ketiga ialah dua orang anak dan dua orang menantu yang masing-masing mempunyai seorang anak berusia 3 dan 2 tahun. 

Kami ke Langkawi dengan penerbangan MAS yang dijadualkan terbang pada 8.30 pagi. Tapi dua kali waktu penerbangan ditangguhkan iaitu pada pukul 9 dan 10 pagi. MAS memberi alasan bahawa pihaknya mengalami masalah opersai apabila krew penerbangan yang bertanggungjawab bagi penerbangan itu tidak hadir dan terpaksa diambilalih oleh krew yang lain.

Maka penumpang-penumpang tidak dapat berbuat apa-apa selain menerima saja keadaan yang berlaku dengan rasa kesal. Bagi kami sekeluarga pula merasa kesal juga kerana kami telah bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan diri. Maklumlah kami ada anak-anak kecil dan jarak jauh perjalanan dari rumah ke KLIA memakan masa. Dan kami tidak mahu terperangkap dengan kesesakan yang mungkin tidak disangka selain untuk dapat menunaikan fardhu solat Subuh di KLIA.

Jadi bangun 4 pagi itu nampaknya tidak berbaloi. Kesian kepada cucu-cucu saya yang masih kecil itu yang terpaksa bangun awal pada ketika sedang lena tidur.

MAS hanya memberi alasan penangguhan dan memohon maaf. Setakat itu saja. Mungkin bagi MAS cara begitu sudah mencukupi untuk menghilangkan rasa gelisah para penumpang. Dapat menyejukkan hati penumpang.

Tapi alasan penangguhan penerbangan itu tidak wajar dibebankan kepada penumpang. Ketiadaan krew untuk menguruskan penerbagan pada waktu yang telah dijadualkan itu menunjukkan bahawa ada kelemahan dalam menyediakan krew bagi satu-satu penerbangan. 

Ini bukan masalah teknikal misalnya kerosakan pesawat. Ini adalah masalah mengaturkan krew bagi satu-satu penerbangan.  Kalau urusan seperti ini tidak mampu dilakukan oleh MAS, bagaimanakah agaknya MAS menguruskan satu perkhidmatan udara kebangsaan yang boleh bersaing dan yang boleh menjana keuntungan. Ohh ...tidak hairanlah MAS sentiasa rugi. Mungkin penangguhan atas alasan operasi merupakan satu dari contoh cara mana MAS diuruskan.

Itu adalah masalah MAS. Masalah yang dibebankan kepada penumpang tidak pula diambil kira oleh MAS. Hanya mohon maaf saja. Bagaimanakah agaknya jika ada diantara penumpang mempunyai urusan perniagaan yang penting yang perlu diputuskan segera pada waktu yang telah dipersetujui. Dan kelewatan penerbangan membuatkan keputusan perniagaan yang penting itu tidak dapat dilaksanakan. Terlepaslah peluang ahli perniagaan itu.

Sudah tentu keadaan ini memberi imej tidak sihat kepada perniagaan MAS.

Pada hari itu, bukankah ada baiknya MAS sediakan sedikit minuman kepada para penumpang. Beri air mineral isian yang kecilpun rasanya boleh membantu mengurangkan rasa gelisah penumpang.

MAS akan tidak membenarkan para penumpang untuk check-in jika penumpang tidak mematuhi waktu chek-in yang ditetapkan. MAS meletakkan kesalahan kepada penumpang kerana tidak mematuhi peraturan penerbangan. Itu adalah satu perauran yang munasabah. Dalam keadaan yang sama MAS hanya dengan mudah memohon maaf jika berlaku penangguhan penerbangan. Itu saja. 

Adakah itu kaedah yang digunakan MAS dalam berurusan dengan pengguna?

Penerbangan percutian kami di Langkawi walaupun ada sedikit penangguhan akhirnya selamat mendarat di Langkawi. Dan dari lapangan terbang Langkawi bermulalah kisah-kisah percutian kami dalam sebuah keluarga besar di Pulau Mahsuri. Ada yang seronok dan ada hal-hal yang mengusik rasa hati dan ketahanan fizikal diantara beberapa dari anggota keluarga kami.      

Bersambung..... ada cerita tentang tahap perkhidmatan, kesabaran, ketahanan fizikal, pengurusan produk perlancungan dan kos yang tinggi dalam sebuah destinasi pelancungan.

Ahad, 14 Julai 2013

Semoga Allah Mencucuri Rahmat Keatas Mereka Yang Mendahului Kita, Amin

1. Tiga hari sebelum memasuki Ramadhan, saya kehilangan seorang adik , meninggalkan kami menyahut panggilan Allah SWT, disemadikan dialam barzakh. Semuga roh adik saya ini ditempatkan dikalangan orang-orang yang dirahmati Allah SWT. Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak perempuan yang masih berumur remaja, dua masih belajar diperingkat kolej dan seorang sedang mencari pekerjaan.
 
2. Pada masa menguruskan jenazah adik saya itu, kelihatan masyarakat tempatan-Desa Permai, Kuala Lumpur, memberikan kerjasama dan pertolongan yang sesungguhnya tidak dapat kami adik beradik dan keluarga yang lain dapat membalasnya. Hanya kami mendoakan semoga Allah membalas pertolongan mereka itu sewajarnya.
 
3. Hari Jumaat yang baru lepas ini seorang lagi insan yang saya kenal meninggal dunia.  Beliau ialah mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Isnin. Beliau mendapat penghormatan dari kerajaan negeri Melaka dan telah dikebumikan di Makam Pahlawan di masjid Al-Azim. Semoga Allah merahmati roh arwah dan dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai.
 
4. Pagi tadi ibu kepada Imam 2 masjid Syed Ahmad Shahabudin Bukit Beruang juga telah kembali ke rahmatullah. Takziah kepada tuan Imam dan keluarga. Semoga ibu anda dimasukkkan dikalangan orang-orang yang diredhai.
 
5. Kita semua tahu bahawa mati tetap pasti. Cuma kita tidak tahu bila masa dan ketikanya. Yang tua tidak mesti mendahului yang muda atau yang muda mendahului yang tua atau bapa mendahului anak atau anak mendahului bapa atau yang sakit mendahului yang sihat dan yang siaht mendahului yang sakit. Kita tidak tahu. Hanya Allah saja yang tahu. 
 
6. Siapa pun kita, macam mana pun keadaan kita , mati boleh datang seperti yang ditentukan Allah, tidak cepat dan tidak lewat. Oleh itu tanpa bertanya bila kita akan mati, kita hendaklah bersedia menghadapinya. Dan sudah tentu dengan mempertingkatkan amalan-amalan yang disuruh Allah dan meninggalkan segala yang dilarang. Kita sentiasa bermohon kepada Allah supaya kita mati dalam Islam, insyaAllah.