Theflowersellingboy

Rabu, 4 Julai 2012

KEPADA YANG BERKENAAN

Lingkong Tomi
2, Jalan Anak Ikan
55000 Bandar Baru
Inderasaujana.


Salam hormat dari saya.

Naskah tuan yang tidak bertarikh, tidak beralamat dan tidak juga memperkenalkan diri siapa tuan, tiada nama yang tercatat dimana-mana bahagian dalam naskah tuan itu, sama ada diatas , di tengah atau dibawah, membuatkan saya pening-pening lalat untuk cuba meneka siapakah gerangan yang telah sudi melayangkan surat ini untuk tatapan saya. Namun begitu saya berterima kasih diatas kesudian tuan  menurunkan tandatangan sebagai tanda rasa tanggungjawab tuan diatas apa saja yang terkandung dalam naskah tersebut. 

Bukankah tanda tangan seseorang itu merupakan perakuan atau persetujuan ke atas sesuatu yang hendak dinyatakan/disampaikan? Bukan begitu tuan? Saya percaya jawapan tuan jelas sekali mengatakan 'ya.'

Saya pernah diberitahu bahawa naskah serupa ini sememangnya mudah dilayangkan. Saya tidak pasti akan kebenaran kata-kata itu. Cuma yang saya tahu ialah istilah yang sudah biasa diguna dan diterima oleh masyarakat kita bagi sesuatu naskah yang mengambil ciri seperti naskah tuan ini dipanggil sebagai 'Surat Layang'. 

Entah bagaimana surat tuan itu melayang , saya tidak ada kepandaian untuk memberitahu, kerana saya tidak ada ilmu tentang hal itu. Saya masih mencari-cari kok ada guru atau mahaguru yang boleh membimbing saya agar dapat memahami cara bagaimana surat itu melayang. Tapi buat ketika ini saya dapati sampul surat yang membungkus naskah tuan itu tertampal dengan stem yang berharga satu ringgit dua puluh sen. Mahal tu tuan! 

Tapi tak apalah kerana tuan sedikit sebanyak telah menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara dan menjana pendapatan perkhidmatan pos.

Saya faham dan maklum apa yang tersurat dan yang tersirat setelah berulang kali membaca isi kandungan surat itu. Semuanya menuju ke satu arah saja walaupun cerita yang disampaikan adalah terdiri dari berbagai ragam. Tuan seorang yang perhatin tentang Amanah. Itulah mesej yang saya dapat simpulkan yang hendak tuan tusukkan ke dalam sanubari saya. 

Jangan tuan merasa risau pula takut-takut saya gagal mentafsir sifat keperhatinan tuan tentang Amanah itu. Saya sedar bahawa tuan tidak  bermaksud  mengatakan saya seorang pemegang amanah yang unggul. Tidakkah begitu tuan? Saya faham bahawa tuan mengatakan sebaliknya. Tuan mengatakan saya seorang yang tidak amanah dalam menjalankan tanggongjawab yang telah diamanahkan. Saya tidak bersih. Saya tidak cekap. Saya tidak ada sifat ABC. Jangan silap, ABC bukan saya maksudkan Air Batu Campur, minuman kegemaran saya sewaktu muda remaja dulu. Sekarang saya sudah berpantang kerana gula dalam darah sudah tinggi bacaannya.

Maaf, sedikit melencung , cerita fasal sakit kencing manis pula. Gamaknya hidup dalam kemewahan ini membuatkan saya mengambil gula yang lebih. 

Sebenarnya tuan, pada pendapat saya yang sifatnya picisan ini, memadailah dengan cap tidak amanah itu di stemkan keatas saya. Ianya meliputi segala sifat yang tidak baik, yang negatif, yang sudah tentu tidak ada nilai-nilai murni yang dibawa. Ianya tidak bersih. Buat kerja pun tidak cekap. Tapi tak mengapalah.

Sebelum itu izinkan saya meneka siapa kah gerangan tuan ini. Saya berpendapat bahawa jika fikiran saya berjaya membayangkan siapa penulis surat itu, saya akan lebih lancar mengarang surat balas. Waemah samar sekalipun bayangan yang tergambar dalam otak kepala saya, ianya bersifat membantu. Jadi pening lalat saya boleh terubat. 

Berdasarkan lengkok keluk tanda tangan tuan itu, saya dapat meneka siapa tuan yang sebenarnya. Saya tidak tahu nama tuan. Tidak juga rupa paras atau warna kulit tuan. Cuma yang saya dapat bayangkan ialah ciri-ciri yang ada pada tuan. Bagi saya tuan adalah  pemegang unggul ciri-ciri yang bermula dengan huruf phd.  

Bukan, tuan bukanlah bersifat seperti yang selalu disiniskan oleh ramai orang. Tuan bukan yang ada penyakit hasad dengki atau ada perasaan seperti itu. Jauh sekali bagai langit dan bumi jika tuan merasa teruja syok sendiri mempercayai tuan adalah  pemegang ijazah yang membawa gelar Doktor Falsafah. Tidak, tidak sama sekali. Tuan hanya berwajah dan berperangai phd.

Saya telah meletakkan satu perspektif yang jelas sebagai panduan bagi membimbing saya menulis surat balasan terbuka ini. Pertama, surat tuan itu dengan yakin saya katakan sebagai 'Surat Layang'. Saya percaya tuan faham dan maklum nilai sebuah surat layang. Kedua, tuan mengatakan saya seorang pekerja yang pecah amanah. Seorang yang tidak beramanah. Saya juga percaya bahawa tuan faham dan sedia maklum kesan akibat seorang yang pecah amanah. Ketiga, setelah berulang kali membaca dan meneliti isi kandungan surat tuan itu, saya membuat kesimpulan bahawa tuan adalah pemegang unggul ciri-ciri phd. 

Surat terbuka saya ini jangan pula dianggap sama taraf dengan surat layang tuan itu. Surat ini ada tuannya, alamat untuk dihubungi jelas sekali.

Baiklah saya mulakan cerita dari saya pula.

TIDAK AMANAH, TIDAK BERSIH, TIDAK CEKAP

Menurut surat tuan, saya tidak ABC kerana i) datang bekerja lambat dan balik kerja cepat dari waktu kerja yang sepatutnya; ii) meninggalkan pejabat sebelum  waktunya bertujuan untuk bermain golf; iii) menggunakan peralatan dan aset pejabat untuk maksud peribadi; iv) terlalu lama membuang masa makan minum dan berborak di kantin sehingga menyusahkan orang untuk mendapat perkhidmatan/berurusan; dan v) pilih kasih dalam memberi penghargaan kepada kakitangan.Tetapi secara khusus tuan tidak pula mengatakan saya mengambil rasuah.

Wah, semua yang diperkatakan itu nampaknya macam benar belaka. Nampak gayanya tuan macam terlalu dekat dengan pejabat tempat saya bekerja. Tidak mungkin tuan bekerja sepejabat dengan saya kerana saya tidak pernah menerima apa-apa maklumbalas seperti itu dari warga kerja sepejabat. Tidak mungkin warga kerja terlalu takut untuk membuat teguran atau berjumpa saya menyatakan ketidakamanahan saya itu.

Tapi, mungkin juga ..... Tidak, saya tidak mahu ada buruk sangka sesama rakan sepejabat.

Oleh kerana semua yang dikatakan itu nampaknya semacam benar, saya hanya mahu mencadangkan supaya tuan mendapatkan khidmat dari pihak yang berkuasa termasuklah ketua majikan saya untuk melakukan penyiasatan. Jika tuan mahukan reaksi atau jawapan balas dari saya, ianya akan lebih bersifat mempertahankan diri dengan menggunakan berbagai alasan yang mudah saja saya reka cipta. No problem.  

Namun saya tertarik untuk menceritakan fasal balik cepat untuk bermain golf. Bukan saja balik cepat, bahkan banyak juga bilangan kalinya saya bermain golf diwaktu pejabat, bermain dengan pemaju-pemaju hartanah dan pihak-pihak swasta yang lain. Juga bermain golf sebagai meraikan kehadiran lawatan kerja bos-bos saya  dari ibupejabat.

Bermain golf dalam waktu yang dinyatakan itu dengan orang-orang tertentu adalah tidak merugikan dari segi meningkatkan produktiviti kerja. Kata orang perkara yang rumit yang tidak dapat diselesaikan di pejabat dapat diselesaikan di padang golf. Mungkin tuan akan senyum sinis dengan kata-kata itu. Saya setuju dengan reaksi tuan seperti itu kerana saya pun melakukan perangai yang sama sebelum berkecimpung dalam permainan golf. Ianya sungguh mengasyikkan sekali sehingga mampu merungkai hal-hal kerja yang menjadi halangan kepada sesuatu cadangan projek.

Bukankah tugas kita (maksudnya saya) sebagai pemudahcara? Tugas saya  memudahkan. Bukan mencari helah dan masalah. Telah terpancang diotak kepala saya bahawa sesuatu cadangan yang dikemukakan adalah berniat baik. Saya tidak wajar berperasangka buruk. Kata orang kita mesti terapkan nilai menang menang. Sekiranya cadangan itu mendapat kelulusan yang segera maka segera juga ia dilaksanakan. Misalnya cadangan mewujudkan sebuah penempatan baru atau  kawasan pertumbuhan baru. Jika saya begitu taksub dengan kuasa yang ada (ingat kuasa itu adalah kuasa yang diwakilkan saja) maka sudah tentu saya akan memikirkan berbagai helah untuk merumitkan cadangan itu dari mendapat kelulusan segera. 

Bercakap fasal helah ini, saya percaya tuan sedia maklum bahawa tujuannya adalah untuk memberitahu kepada pihak yang mencadang itu betapa  terlalu pentingnya saya dalam menentukan gagal atau berjayanya projek yang dicadangkan itu. Mengapa saya perlu berbuat begitu? Bukankah ini akan membuatkan pihak pencadang akan membuat tafsiran bahawa ada sesuatu yang menjadi kempunan dihati saya jika tidak segera diuruskan. Tuan bersetuju kah jika pencadang itu memberi minyak pelincir? Maksud saya memberi habuan kepada saya agar semua halangan dapat diketepikan. 

Tuan, saya juga ada selera dan nafsu. Sekali cubaan , saya tolak. Dua pun tolak. Tapi kalau cubaan berterusan kerana setiap kali cadangan yang dikemukakan saya buat berbagai helah menyusahkan pihak yang mencadang, saya percaya mata saya akan terbeliak, nafsu selera saya menjadi tidak malu untuk menerima habuan yang dihulurkan. 

Tuan bersetuju saya buat begitu? Jika tuan bersetuju maka tuan juga menggalakkan saya pecah amanah.

Saya tidak fikir tuan mahu saya lakukan perbuatan itu.

Jadi waktu pejabat yang saya gunakan untuk bermain golf itu memberi faedah dan kesan yang baik kepada kemajuan negara.

Saya wajar meraikan lawatan kerja bos-bos dari ibupejabat dengan bermain golf bersama mereka. Kami bermain golf pun selepas tamatnya urusan kerja . Biasanya urusan kerja selesai selewat-lewatnya pukul tiga petang. Takkan saya hendak biarkan bos saya itu berkeliaran tanpa saya menemani mereka. Ingat saya adalah tuan rumah. Saya mesti menjadi tuan rumah yang baik. Bos-bos saya pula hanya pandai bermain golf. Takkan nak main goli.

Dipadang golf, saya akan dapat berintraksi dengan bos-bos itu secara lebih releks dan santai. Maka interaksi akan menjadi lancar seolah-olah tiada jurang diantara saya dan bos-bos itu. Maka ini membuka peluang yang baik untuk saya mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari mereka demi meningkatkan lagi mutu penyampaian kepada sasaran.

Saya percaya apa yang saya lakukan itu tidak merugikan. Dan tuan tidak perlu risau dan khuatir kerana semuanya untuk kebaikan semua pihak.

Hanya yang patut tuan risaukan dan perlu mencari jawapan ialah ciri-ciri phd yang tuan ada. Adakah ianya puaka, hantu dan dajal. Ketuk kepala muncullah jawapannya. Apa dia? Benjollah kepala tuan. Mudahlah saya mengesan siapa tuan yang sebenarnya.

Sekian . Salam hormat.

Yang Benar

Lingkong Tomi


Ingatan:
Yang terpapar diatas bukanlah satu hal yang benar wujud. Tidak ada kena mengena sama ada yang hidup atau yang mati. Ianya cuma rekaan saya saja.

Isnin, 2 Julai 2012

JUARA EURO 2012

Pagi tadi telah terjawab siapa yang terhandal dalam arena bolasepak di negara-negara Eropah. Spain menewaskan Italy dalam bilangan gol yang mewah sekali 4 gol tanpa balas. Hebat sungguh pemain-pemain Spain ini yang berjaya menewaskan pemain Italy yang  'bukan kecik anak'.

Sebelum perlawanan ramai kaki-kaki teka bola membuatkan berbagai tekaan. Ada  tekaan berbentuk judi, maknanya kalau betul dapatlah untung dan jika sebaliknya hilanglah wang yang dipertaruhkan; ada tekaan suka-suka hati saja yang  berdasarkan lebih kepada minat keatas sesuatu pasukan; dan ada tekaan dari mereka yang dikatakan pakar dalam bolasepak  yang lebih mesra dipanggil sebagai ramalan atau 'prediction' dengan menggunakan pengetahuan/kepakaran masing-masing dalam hal bola sepak dengan meninjau dari segi pemain, formasi, strategi dan angkubah-angkubah yang lain. 

Diantara tiga kumpulan peneka ini yang paling selesa ialah peneka kumpulan ketiga. Mereka ini dikatakan orang-orang professional yang dipanggil untuk berbicara memberikan pandangan dan ramalan  keputusan perlawanan itu sebelum perlawanan bermula, dan kemudian diajak membuat analisis sebaik saja tempoh perlawanan itu habis sama ada sebahagian dari tempoh atau sepenuh tempoh. 

Dan jika ramalan mereka tidak tepat atau tidak betul kita akan dengar bebagai sebab diutarakan mengapa jadi begitu iaitu mengapa ramalannya tidak sama dengan keputusan. Biasanya yang dipersalahkan ialah pemain atau jurulatih. Predictors tadi terlepas dari kritikan. Lain kali mereka akan dipanggil untuk membuat ramalan. Mesti dibayar. Sebab mereka orang professional.  Jadi salah atau betul ramalan mereka , mereka tetap menerima bayaran.

Cuma satu hal yang ketara ialah bahawa kesemua kumpulan peneka tadi tidak dapat memberi jawapan seperti yang telah dilakukan oleh seekor sotong yang bernama Paul semasa Piala Dunia yang lepas di Afrika Selatan. Semua ramalan atau tekaannya tepat. Ingat Paul adalah seekor binatang !

Pada Euro 2012 juga, pernah satu kali saya tertonton dalam satu siaran sukan di tv yang memaparkan seekor babi membuat ramalan seperti mana yang telah dilakukan oleh Paul sisotong itu. Pada siaran itu kalau tidak silap saya babi itu telah membuat tekaan yang betul perlawanan diantara German dan Greece. Babi itu telah memilih makanan yang dihidangkan dalam pinggan berlogokan negara German. 

Selepas itu saya tidak pula mendengar apa-apa tekaan yang telah dilakukan oleh sibabi itu. Mungkin tekaannya tidak menjadi sebab itu tidak diberitakan lagi. Kalau menjadi sudah tentu di heboh-hebohkan. Maklumlah babi. Mungkin babi itu telah mati? Ini tidak mungkin kerana jika babi itu mati beritanya sudah tentu mendapat liputan yang paling meluas dengan tajuk antaranya, "Malang Sekali Sibabi Peramal Bijak Telah Tiada Untuk Membimbing Kita".

Tak kesahlah hal teka meneka itu. Sekarang keputusan telah diketahui. Spain 4, Italy 0. Saya hanya tahu pada pukul lapan pagi tadi kerana tidak menonton secara langsong. Saya lebih meraikan mata dari menonton bola sepak kerana tidak sanggup berjaga dari pukul 2 pagi sehingga tamat permainan.  

Tahniah kepada Spain. Malaysia bila agaknya. Bukan juara Euro tapi juara Asia pun sudah cukup. Sebab kita pun tak layak bersama Euro.

Ahad, 1 Julai 2012

Lupakanlah Perselisehan Yang Lepas, Jalinkan Silaturrahim.

Bulan lepas saya menerima jemputan dari seorang kawan satu kelas bagi meraikan majlis perkahwinan anak lelakinya. Bagi saya jemputan itu telah menyambung semula jalinan persahabatan yang rasanya telah putus. Jemputan ini juga memang tidak dijangkakan atas dua sebab.

Pertama macam mana dia mendapat alamat saya setelah bertahun-tahun membawa diri masing-masing tanpa melakukan sebarang hubungan.  Namun akhirnya saya mendapat tahu bahawa dia mendapat alamat dan number handphone saya dari seorang kawan sekelas dengan kami. Dia menunjukkan sikap kesungguhan untuk menjemput saya.

Kedua, dia adalah kawan satu kelas yang 'bermusuh' dengan saya dan beliau pernah mencabar untuk berlengan dengan saya. Cabaran itu dengan segera disahut tanpa rasa takut. Maklumlah darah muda, pantang dicabar, cabaran segera disambut tanpa memikirkan risiko mengalami kecederaan.

Asal mula kami bermusuh ialah di dewan makan. Kawan saya itu berasal dari sebuah negeri yang begitu teguh dari segi ikatan kenegeriannya. Mereka terlalu rapat dan tidak begitu merasa selesa untuk bergaul dengan pelajar-pelajar dari negeri lain. Semangat kenegerian begitu menebal sekali. Di mana saja sama ada di dewan makan atau di kelas mereka suka duduk berkelompok dan menganggap pelajar dari negeri lain adalah 'orang luar' walaupun tempat mereka belajar itu bukan dinegeri mereka. Maknanya jika sekolah itu berada di Selangor, pelajar negeri Selangor juga dianggap sebagai 'orang luar' bagi mereka. Itulah semangat mereka. 

Didewan makan, waktu makan sebelum menghadiri kelas persediaan (prep class) sebelah malam, saya menuju ke sebuah meja makan yang kelihatan masih terdapat satu kerusi yang kosong. Ketika itu semua pelajar berdiri menunggu bacaan doa sebelum makan. Tiba-tiba kawan saya ini datang dan meminta saya meninggalkan tempat itu kerana tempat itu dia yang punya. Saya tidak mahu meninggalkan tempat itu kerana tidak ada peraturan sekolah mengatakan  kerusi atau meja di dewan makan telah ditentukan bagi setiap pelajar . Maka dia naik berang sampai mengatakan 'orang luar' ini terlalu degil dan beberapa perkataan lain yang saya tidak ingat. Tapi maksudnya akan 'mengajar' saya satu hari nanti. Maka dia beredar ke tempat lain.

Bermula dari hari itu sehinggalah empat tahun lamanya kami 'bermusuh'. Asalnya kami berlainan kelas. Tapi kemudiannya kami  ditakdirkan berada dalam satu kelas. Maka waktu ini adalah kemuncak permusuhan. 

Pada suatu hari , waktu kelas persediaan petang (maksudnya tiada guru dalam kelas), suasana kelas adalah bising yang boleh mengganggu pelajar lain. Saya mungkin disyakki oleh kawan saya itu diantara yang menyebabkan suasana bising yang mengganggu itu. Saya tidak berani menafi dan mengiyakan kerana ramai lagi pelajar yang mungkin menyebabkan suasana bising itu termasuklah kawan saya itu. Maklumlah 'kucing' (cikgu) tak ada 'tikus' (pelajar) jadi macam raja.

Tiba-tiba saya dimarahi oleh kawan saya itu lalu dengan pantas melepaskan tumbukan. Nasib baik saya dapat mengelak, membuatkan beliau naik berang kerana tumbukan tidak berjaya kena sasaran. Lalu dengan segera mencabar saya untuk bertumbuk selepas habis kelas iaitu sebaik saja selepas minum petang. Tempatnya ialah di tingkat sebelah bawah dari kelas kami. Saya bersetuju.

Tepat waktunya saya tiba di tempat yang telah ditentukan. Saya dapati kawan saya itu telah sedia ada dengan ditemani seorang lagi kawannya. Nampaknya mereka sudah bersedia. Kali ini saya merasakan saya dalam keadaan bahaya kerana satu lawan dua. Sudah tentu saya akan cedera teruk. Tambah-tambah lagi saya melihat tangan kawannya itu berada dalam poket semacam memegang sesuatu. Saya memikirkan dia memegang kapak kecil seperti yang selalu diwar-warkan oleh pihak mereka. 'Matilah saya', antara bisikan dalam hati. Saya mesti cari helah untuk tidak meneruskan pergaduhan ini.

Kawan saya itu dengan segera menerkam dan menghayunkan penumbuk. Saya mengelak tapi tidak melepaskan tumbukan. Saya tidak mahu meneruskan pergaduhan kerana ianya amat bahaya. Sambil mengelak saya menyatakan saya tidak mahu bergaduh. Ini membuatkan kawan saya itu bertambah marah dan terus menerkam dan melepaskan tumbukan. Saya hanya mengelak saja, tidak membalas. Entah macam  mana, tiba-tiba datang seorang kawan baik saya (mungkin beliau terdengar cabaran semasa di kelas tadi dan tidak mahu saya tercedera, lantas datang ketempat pergaduhan) , dan kawan baik dia juga, meminta pergaduhan di berhentikan. Tapi dia terus menumbuk, dan saya mengelak. Dan kawannya yang menyelok poket tadi bersetuju supaya pergaduhan diberhentikan. Maka dia pun akur. Saya dan kawan baik saya itu beredar balik ke asrama. Mereka pun beredar sama. Kami tidak bersalaman untuk bermaaf-maafan. Maknanya kami masih bermusuh.

Setelah tamat persekolahan kami berpisah dengan membawa kenangan sebagai 'musuh' bukan sebagai kawan. Di universiti juga kami masih berseteruan. Maksud saya kalau ditakdirkan bersua muka kami tidak bertegur sapa. Dahsyatnya 'permusuhan' kami itu. Dan setelah tamat pengajian universiti, masing-masing mempunyai kerjaya yang berbeza. Saya memasuki perkhidmatan awam dan kawan itu memasuki sektor swasta bekerja sebagai pegawai bank.

Maknanya kami tidak ambil kisah diantara satu sama lain. Namun sedikit sebanyak perkembangan kawan itu ada juga di maklumkan kepada saya oleh kawan yang lain.

Saya terkejut sekali menerima jemputan majlis kahwin anaknya itu. Satu perkara yang saya tidak sangka boleh berlaku. Namanya bukanlah menjadi sebutan lagi. 

Jemputan ini adalah  satu penghormatan dari seorang kawan yang pernah bermusuh  yang belum lagi bermaaf-maafan. Saya menyanjung tinggi sifat dan budi pekerti kawan saya itu. Kisah lama yang hitam dulu, semasa menjadi seorang pelajar tidak membawa kesan permusuhan yang kekal. Silaturrahim masih mahu disambung dan dikekalkan.  Dan saya wajib hadir. Itulah janji dihati.

Begitu lah perubahan rasa dan hati apabila kita bertambah dewasa dan tua. Kita menjadi matang dan lebih insaf bahawa perkara yang kurang elok dulu berlaku hanya kerana kita masih muda, darah muda, panas baran dan pantang dicabar. Mengapa pula kesah buruk yang lama mesti kita teruskan. 'Bertumbuk dan bergaduh semasa menjadi pelajar' adalah perkara biasa. Lupakan saja.    

Waktu menyambut kehadiran saya, kawan saya itu memeluk saya penuh mesra sebagai seorang sahabat seolah-olah kami tidak pernah bergaduh. Saya pun melakukan perkara yang sama.  Kata-kata yang keluar dari mulut kawan saya itu adalah kata-kata yang membawa kepada kerinduan kerana telah lama tidak berjumpa. Sesunggunhnya saya amat bersyukur sekali dengan pertemuan ini.

Tiada kata yang dapat saya tulis disini yang dapat menggambarkan betapa gembira dan besar hatinya saya dijemput hadir dalam majlis perkahwinan anaknya itu. 

Hati saya sempat juga berbisik bahawa, 'Sesungguhnya kawan saya ini adalah orang yang baik hati tanpa menyimpan perasaan dendam. Seorang yang ikhlas dalam memanjangkan persahabatan. Yang sudah , sudahlah. Itu mainan budak-budak kecil yang pendek akal'.

Saya juga mengharapkan rasa saling hormat menghormati perlu ada diantara kita yang datang dan berasal dari lain tempat/negeri. Apalah perlu kita hanya selesa untuk berkawan dan bergaul dalam kelompok orang yang datang dan berasal dari satu tempat/negeri yang sama saja. Sebenarnya cara kita itu boleh mengecilkan peluang untuk membuat jaringan persahabatan. Bukankah networking yang meluas itu terlalu penting dan mendatang menfaat ditinjau dari sudut apa sekali pun? Mengapa disia-siakan.

Kawan saya itu nampaknya tidak mensia-siakan keperluan untuk mengadakan networking itu. Saya menyambutnya dengan sepenuh hati.

Cuma saya merasa sedih juga mengapa dikalangan pimpinan negara kita, permusuhan masih lagi berterusan dan nampaknya berkekalan sedangkan mereka telah lanjut usia, lebih tua dari kami berdua yang dulunya pernah bergaduh . Maknanya mereka lebih matang dan banyak pengalaman dari kami. Masih lagi kata mengata dan saman menyaman.

Kami sudah jadi kawan semula. Tiada permusuhan. Contohilah sikap, sifat dan budi pekerti kawan saya itu.