Theflowersellingboy

Ahad, 15 Disember 2019

Orang Politik: Sabar, Kuasa dan Gila Kuasa




Tafsiran perkataan Sabar, Kuasa dan Gila Kuasa bagi orang politik dan bukan politik adalah berbeza dan berbagai dikalangan mereka , menurut kedudukan, kecenderongan dan kepentingan diri masing-masing.  Ia tidak ikut formula matematik.  Majoriti tidak mengikut iman -amal makruf nahi mungkar. Ada sahaja alasan digunakan bagi melepaskan diri dari hukum politik itu. 

Dalam matematik apabila 2 + 2 = 4. Formula ini diterima pakai semua manusia di dunia. Begitu juga  22 + 2 lebih banyak dari 0 + 0. 

Tapi tidak semua orang mengatakan begitu. 

Baik. 

Kita mulakan dengan perkataan sabar.  Sabar itu secara mudah kita fahami  dan terima  sebagai satu usaha untuk melawan /menahan nafsu marah atau ghairah atau gelojoh atau tamak haloba.

Tapi tidak semua orang yang bersifat melawan/menahan nafsu-nafsu itu dikatakan mempunyai sifat sabar.  Orang itu boleh saja dikatakan ghairah dan gelojoh, tidak sabar untuk mengambil atau mendapat sesuatu kedudukan atau sebagai pesaing bagi sesuatu kedudukan.

Katakan A adalah pesaing kepada M  bagi menduduki sesuatu kedudukan, misalnya menjadi PM. A walaupun belum pernah jadi PM, secara formula matematik, yang  kedudukannya 0 + 0 = 0 berbanding dengan M yang telah menjadi PM kali pertama 22 tahun, kemudian berehat dan kemudian menyambung dua tahun bagi kali kedua (22 + 2 = 24), setakat ini  berjumlah 24 tahun, A masih lagi dikatakan tidak sabar dan gelojoh untuk jadi PM. M yang telah 24 tahun dan terus jadi PM masih tidak dikatakan gelojoh dan gila kuasa.

Dengan demikian Sabar dan Gila Kuasa mempunyai pemahaman yang berbeza.

Namun apa yang sama dan tidak berbeza dalam ukuran politik ialah bahawa tanpa ada kuasa politik tidak ada apa apa makna. Sebab itu bermati-matian orang politik untuk mendapat kuasa dan mengekalkan kuasa dengan apa cara. Termasuk MUNGKIR JANJI. Tapi tidak semua yang bersifat seperti itu dipanggil GILA KUASA.

Dalam politik Malaysia setakat sekarang Anwar Ibrahim dikatakan tidak SABAR, GELOJOH dan GILA KUASA!





Isnin, 2 Disember 2019

USAH KAMU WAHAI PEMIMPIN .........




Hari ini saya terbaca ucapan dari Perdana Menteri yang menasihatkan golongan miskin agar jangan sentiasa mengharap bantuan dari kerajaan sahaja, sebaliknya berusaha bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Diharap apa yang saya baca itu  bukan suatu kenyataan yang palsu.

Jika benar ianya bukan kenyataan yang palsu, sesungguhnya saya amat kecewa sekali, nak marah tidak mampu, siapalah saya yang asalnya golongan miskin, yang sentiasa kena lutu. 

Kecewa kerana kenyataan seperti itu  datangnya dari pemimpin tertinggi negara yang telah diamanah untuk menguruskan kekayaan negara ,  sebuah negara yang kaya. Apatah lagi kerajaan menjanjikan kekayaan negara itu akan dikongsi bersama (shared prosperity).

Soalan  saya : Apakah golongan miskin ini tidak termasuk dalam kiraan perkongsian kekayaan itu, dan hanya dimasuk kira apabila memerlukan undi dari mereka?

Bagaimana pula golongan miskin mula berkata: Kamu orang politik jangan sentiasa mengharapkan undi kami. 

Cukup setakat itu. 

Memadailah bagi saya memberitahu kepada pemimpin kita, sama ada yang berfikiran sama seperti PM kita ini atau berfikiran selain darinya bahawa ianya jauh dari kebenaran bahawa golongan miskin hanya mengharapkan bantuan dari kerajaan sahaja dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan mereka. Mereka tiada KECUKUPAN tapi MEREKA ada MARUAH, BEKERJA KERAS untuk satu kehidupan yang diredhai Allah.

Apa BUKTINYA?

GOLONGAN MISKIN sentiasa bangun  jam 4 pagi menyiapkan diri tanpa sarapan pagi bersedia ke ladang bukan kepunyaan sendiri untuk menoreh getah atau berpanas terik ditengah hari dalam sawah bendang atau ke laut disunyi pagi menyabung nyawa mencari ikan dan hasil lautan yang lain yang entahkan ada entahkan tiada.

Lihat sahaja pekerja binaan, yang semuanya bukan golongan kaya atau anak golongan kaya, berpanas terik berhujan lencun, melakukan kerja berisiko tinggi yang mengancam keselamatan diri dan nyawa, menerima upah yang tidak sepadan dengan tenaga yang dikeluarkan. 

Adakah mereka tidak layak mendapat bantuan dan pertolongan kerajaan misalnya mereka dilindungi dengan polisi gaji minima yang sekurang-kurangnya setara dengan kos sara hidup, kalau pun tidak lebih dari itu. Menyediakan tempat tinggal yang selesa, bersih dan selamat.

Bukankah lebih bermenfaat perdana menteri dan pimpinan memikirkan perkara seperti diatas dari mengungkitkan golongan miskin yang sentiasa mengharapkan bantuan dari kerajaan. 

Kalau tidak mengharap bantuan kerajaan kepada siapa yang boleh mereka harapkan. Adakah kerajaan bukan tempat menggantung harapan?


Golongan miskin ini sesusah mana mereka, mereka tidak memilih untuk merompak wang negara dengan berbagai cara. Itu bukan jalan yang mereka pilih. Mereka ada maruah, mengharap keberkatan ALLAH dan takut DOSA.

Bagaimana pula dengan gologan pimpinan yang BERKUASA dan KAYA yang kuasa mereka pun atas belas ikhsan dari orang MISKIN juga, adakah mereka tidak mengharap bantuan Kerajaan?

Saya ada jawapan. Tapi kerana saya asalnya dari golongan miskin, yang amat mendalam akan hal kehidupan golongan miskin mengulangi sekali lagi bahawa golongan miskin ada maruah. Bantuan yang kami harapkan pun hanya kerana kami tiada kecukupan. Dan kurang kecukupan itu juga antaranya adalah disebabkan ketidakadilan dalam pembahagian kekayaan negara.

Golongan miskin ingin bertanya: Dimana perginya kekayaan negara itu. Tidak mahu berkongsi sama?