Theflowersellingboy

Selasa, 4 Disember 2012

NYAMUK dan KELAMBU

Nyamuk dan kelambu-dua objek yang saling disebut bersama bagi menggambarkan musuh dan pelindung musuh.Nyamuk adalah musuh yang amat ditakuti dan perlu dinyahpergi jauh atau dibunuh. Manakala kelambu adalah alat yang digunakan untuk melindungi dari serangan dan gigitan nyamuk yang boleh membawa berbagai penyakit seperti demam kura-kura dan denggi yang boleh juga mendatangkan maut.

Begitulah hubungan diantara nyamuk dan kelambu sehingga diikatkan dalam sebuah kiasan Melayu, ' Jangan disebabkan marahkan seekor nyamuk , kelambu hendak dibakar'.
Ertinya  adalah tidak wajar memusnahkan pihak yang menjadi pelindung hanya disebabkan ada sebahagian kecil ahlinya berkelakuan tidak baik.

Dulu, terutama orang Melayu di kampong-kampong tidur dalam kelambu bagi mengelakkan gigitan nyamuk. Dan kelambu juga boleh memanaskan badan sebagai ganti kain selimut kerana suhu pada masa dulu agak sejuk berbanding dengan sekarang yang terlalu panas walaupun pada waktu malam dan pagi.

Mungkin sekarang tidak ramai yang tidur dalam kelambu kerana kita menggunakan berbagai alat penghalau nyamuk dalam bentuk semburan dan mengeluarkan bauan yang tidak digemari nyamuk menerusi pembakaran atau arus elektrik. Lagipun sekarang ini suhu persekitaran amat panas. Lencun berpeluh kalau tidur dalam kelambu.

Dua hari yang lepas, Presiden UMNO telah menggunakan kiasan ini dalam perhimpunan agong UMNO yang ke 66. Beliau mengingatkan agar ahli-ahli UMNO bersatu dan rapatkan saf dalam menghadapi pilihanraya yang ke 13 nanti. 

Jika ada mana-mana ahli yang tidak berpuas hati atau marah dengan mana-mana ahli atau kepimpinan di berbagai peringkat janganlah hendaknya memusnahkan perpaduan parti misalnya dengan melakukan sabotaj jika ahli berkenaan tidak dipilih sebagai calun pilihanraya yang akan datang. Jika ada yang sabotaj, susahlah UMNO nak menang dalam pilihanraya nanti dan mengekalkan kuasa yang telah dipegang lebih dari 50 tahun.

Nasihat dan ingatan Presiden itu betul dan tepat.

Kalau kelambu kita ibaratkan sebagai pelindung maka UMNO juga berfungsi yang sama terhadap ahli-ahlinya. Maka mengapa perlu UMNO itu dimusnahkan oleh ahli-ahli semata-mata ada ahli yang berkelakuan tidak senonoh atau yang tidak amanah.

Hujah yang selalu diwarwarkan oleh ahli-ahli UMNO termasuk kepimpinan tertinggi UMNO  ialah bahawa UMNO itu bukan saja berjuang untuk ahli UMNO bahkan untuk kepentingan orang Melayu dan Bumiputera (Islam dan bukan Islam), Negara dan Agama Islam dari dulu, kini dan selama-lamanya. Kepentingan bangsa asing yang menjadi warga negara juga diperjuangkan.  

Maknanya UMNO 'berjuang' untuk semua warga. Cuma yang mana didahulukan dan yang mana dikemudiankan.

Dari segi realitinya atau yang sebenar-benar berlaku ialah bahawa UMNO berjuang untuk kepentingan ahli-ahlinya. Tidak sekali-kali untuk orang Melayu dan Bumiputera yang bukan ahli. Jauh sekali untuk kepentingan warga selain dari itu. Bahkan dikalangan ahli-ahli UMNO juga ada perbezaan layanan dan keutamaan.

Jadi perjuangan demi 'Bangsa, Agama dan Negara' adalah kata-kata yang enak didengar untuk membangkitkan emosi orang-orang Melayu agar memberi sokongan kepada parti itu terutama dalam mengadapi sesuatu pilihanraya.

Sebab itu maka wujudnya perasaan tidak puas hati, benci, marah dan meluat terhadap parti itu dikalangan masyarakat Melayu yang bukan ahli dan juga yang menjadi ahli. Apatah lagi dari bukan Melayu.     

Walaupun tidak sepenuhnya benar UMNO memperjuang untuk ahli-ahlinya saja, tetapi ahli-ahli UMNO mendapat peluang yang lebih baik dalam apa saja program, aktiviti, projek kerajaan berbanding dengan bukan ahli UMNO yang Melayu dan Bumiputera. 

Contoh, ahli JKKK akan mudah untuk mendapat kontrak kerja berbanding dengan bukan ahli JKKK . Apatah lagi jika yang bukan ahli JKKK itu adalah bukan ahli UMNO. Dikalangan ahli JKKK juga , keutamaan adalah kepada pengerusi.

Mereka yang tidak dapat projek atau kontrak tidak akan merasa amat marah, benci dan meluat jika yang diberikan projek atau kontrak itu sebenar-benarnya mempunyai kemahiran atau terlibat dalam mengurus atau melaksanakan kontrak atau projek yang diberikan kepadanya. Sebaliknya mereka ialah pengambil komisyen dari pihak lain menurut peratus yang dirundingkan  yang sebahagian besarnya adalah dari orang Cina. Mereka goyang kaki dan terima komisyen atas angin.

Kaedah begini pula di pertahankan oleh yang ada kuasa dalam pentadbiran. Konon pemberian dibuat secara sebut harga atau tender terbuka.

Tender, sebut harga, runding terus, merekabentuk dan bina (design and built) adalah mekanisma-mekanisma/kaedah perolehan yang sebenarnya baik tetapi telah dikotori oleh tangan-tangan yang tersembunyi yang mempunyai kuasa. 

Memang benar urusan dilakukan oleh penjawat awam. Tapi itu hanya setakat memulakan proses dan menandatangani dokumen dan surat sebagai mengesahkan sesuatu keputusan untuk dilaksana dan untuk tujuan semakan (verification) apabila diperlukan.

Tapi tidak semuanya begitu. Banyak juga urusan dibuat tanpa kacau ganggu dari tangan-tangan pihak yang berkuasa secara tersembunyi.

Sama juga peluang untuk mendapat gerai perniagaan kecil, bengkel, rumah mampu milik, rumah kos rendah dan projek rumah rakyat termiskin. Tidak ada yang terlepas dari campur tangan dari pihak yang ada kuasa politik sama ada yang memegang pentadbiran atau orang parti. 

Sekali lagi diberitahu bahawa adalah tidak menjadi kebencian dan kemarahan rakyat jika yang mendapat itu benar-benar layak menurut garis panduan yang ditetapkan. 

Begitu juga dalam hal memberi bantuan misalnya wang zakat, bantuan bencana alam seperti banjir dan rumah terbakar, bantuan jabatan kebajikan masyarakat, pinjaman pelajaran dan berbagai lagi bantuan. Siapakah yang sebenarnya dibantu?

Jika pihak yang ada kuasa itu jujur, jawapannya ialah bahawa yang mendapat faedah adalah orang-orang UMNO. Itupun tidak mengapa. 

Tapi ada juga orang UMNO yang dapat itu yang tidak layak dari segi kriteria yang telah ditentukan.  Maka bukan saja orang bukan Melayu yang marah, orang Melayu bukan ahli UMNO pun marah. Sudah barang tentu orang UMNO yang layak yang tidak dapat itu juga akan marah dan naik angin kerana mereka diketepikan semata-mata mereka bukan ahli yang dekat dihati  dan nampak dik mata oleh mereka yang ada kuasa.

Sekali lagi pihak yang ada kuasa itu akan menunjuk jari kearah penjawat awam bagi melindungi perbuatan tidak bertanggungjawab mereka dengan berkata semuanya diuruskan oleh penjawat awam menurut proses, prosedur, peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Seperti diatas, tidak semua dilakukan secara tidak bertanggungjawab. 

Banyak lagi contoh-contoh jika mahu disenaraikan.

Itu adalah contoh-contoh bersaiz kecil diukur dari segi bilangan banyaknya (kuantiti) dan jumlah wang atau nilai projek/kerja/perkhidmatan yang terlibat. Dan sebahagian besarnya berlaku diperingkat bawah iaitu peringkat majlis tempatan, daerah dan negeri.

Diperingkat lebih besar iaitu Kerajaan Persekutuan yang melibatkan berbagai Kementerian dan agensi-agensi kerajaan termasuk syarikat-syarikat berkaitan (kepentingan) kerajaan, isu yang sama juga wujud. Modes operandi di peringkat atas adalah juga sama seperti yang berlaku diperingkat bawah. Yang berbezanya adalah dari segi saiz dan nilai wang yang terlibat. Semuanya mega-mega belaka.

Sama ada diperingkat paling rendah atau diperingkat paling atas, asasnya adalah sama iaitu mendahului kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat dan negara. Bukan itu saja. Dikedua-dua peringkat itu juga melibatkan peluang meraih wang secara yang tidak betul.

Jadi rakyat pun marah. Rakyat yang marah dan benci ini termasuklah dari kalangan ahli UMNO yang merasakan mereka layak tetapi terpinggir. Orang Melayu yang layak tetapi tidak dapat faedah semata-mata bukan ahli UMNO juga marah, benci dan meluat. Orang bukan Melayu terlalu amat marah dan merasakan mereka sebagai warga keluas dua.

Jadi musuh kepada UMNO sekarang adalah terdiri dari orang bukan Melayu, orang Melayu bukan ahli UMNO dan ahli UMNO itu sendiri.

Selain dari ahli UMNO, yang lain-lain itu adalah musuh yang nyata yang boleh dikenali. Adalah agak mudah untuk menyusun langkah dan strategi bagi menentang musuh seperti itu.

Tapi ahli-ahli UMNO yang sepatutnya tidur sebantal dan yang sama mempunyai mimpi yang indah-indah , rupa-rupanya ada sebahagiannya yang mengalami igauan dan mimpi yang ngeri sehingga mengeluarkan air liur basi. Musuh ini tidak mudah dikenali

Air liur basi inilah yang membuatkan bantal berbau busuk dan bacin. Ibarat saliran longkang yang dipenuhi air yang berkarat, hitam pekat dan berkelodak  dengan berbagai jenis sampah dan buangan yang mendap tidak mampu mengalir, dan menjadi tempat pembiakan nyamuk-nyamuk dari berbagai spesis. Itulah kiasan tentang kedudukan/atau ciri-ciri UMNO yang ada.

Itulah yang amat dirisau yang menjadi gundah gulana dihati dan otak kepala presiden UMNO sehingga tercetusnya perkataan atau kiasan nyamuk dan kelambu tadi. 

Begitulah dapat diibaratkan apa yang berlaku dalam UMNO. Ada ahli yang mengeluarkan air liur basi. Manakan tidak, ahli yang lain dapat projek, dia telan air liur saja. Kalau air liur tidak mengapa, tapi air liur yang sudah basi. Apatah lagi jika tidak dapat jadi calun pilihanraya. Maka alang-alang telan air liur basi lebih baik menjadi pemsabotaj parti. 'Padan muka dia', begitulah mungkin bisikan dan marahan dihati.

Mereka inilah yang dimaksudkan oleh presiden parti UMNO. Inilah yang amat dikhuatiri oleh presiden disamping merasa runsing dan risau akan sokongan dari orang Melayu dan Bumiputera yang bukan ahli. 'Tambahkah sokongan atau semakin merudum'. 

Yang agak terlalu pasti ialah bahawa sokongan dari bukan Melayu kepada UMNO sudah menipis senipis sehelai rambut. 

Kalau begitu keadaannya,  rakan seperjuangan, MCA, MIC dan Gerakan juga akan menerima kesan yang  parah.

Sebenarnya kelambu itu adalah organisasi UMNO yang melindungi kepentingan ahli-ahlinya. Namun melindungi kepentingan ahli-ahli UMNO tidak cukup untuk mendapat kuasa untuk membentuk kerajaan. Ahli bukan UMNO pun perlu diberi perhatian dan perlindungan baik yang Melayunya dan yang bukan Melayu.

Tapi UMNO telah banyak tergelincir misi. 
Ahli-ahli sendiripun tidak di beri peduli. 
Hanya yang nampak dimata dan dekat dihati.  
Inikan pula orang Melayu yang bukan ahli.
Yang bukan Melayu membawa diri pandai sendiri

Itulah rangkapan seloka ringkas yang sesuai untuk UMNO.

Kalau kelambu itu diibaratkan sebagai organisasi UMNO, apakah ibarat yang sesuai untuk ahli-ahli UMNO yang berlindung dibawah organisasi itu.

Tidak perlu diibaratkan dengan mana-mana objek atau makhluk. 

Ahli-ahli UMNO adalah manusia biasa yang terdiri dari orang Melayu serta kacukan Melayu atau yang mengaku Melayu (Islam) dan Bumiputera (Islam dan bukan Islam) yang mahu berlindung dibawah payung UMNO. Maknanya tidak semua Melayu dan Islam dan Bumiputera itu adalah ahli UMNO.

Berbalik kepada nyamuk tadi. Oleh kerana orang UMNO ini ada yang tidur lasak, tendang menendang dan himpit menghimpit semasa tidur dalam kelambu tadi, ia membuatkan ada yang terasa sakit dan tercedera akibat perbuatan liar waktu tidur itu. Bukan itu saja, kelambupun ditendang dan diterajang sehingga membuatkan kelambu itu rosak dan koyak berlubang disana sini. 

Maka nyamuk telah mendapat peluang keemasan untuk menceroboh masuk ke dalam kelambu yang bocor disana sini itu. Maka dihisaplah darah manusia UMNO itu berserta dengan memindahkan berbagai penyakit kepada mangsa.

Lagi besar koyak rabak kelambu itu, lagi banyak nyamuk yang masuk. Lagi banyak pemindahan penyakit. Akhirnya semua yang ada dalam kelambu itu mengidap penyakit bawaan nyamuk. Jadi orang-orang yang berada dalam kelambu itu membawa ciri-ciri nyamuk yang suka menghisap darah dan membawa berbagai penyakit. Maknanya ahli-ahli UMNO itu boleh juga diibaratkan seperti nyamuk.

Sebab itu presiden merujuk kepada nyamuk dan kelambu dalam pesanan berbentuk kiasannya itu. 

Kiasan itu memang benar. Cuma apa yang berlaku dalam UMNO ialah bukan saja seekor nyamuk yang boleh masuk dalam kelambu tapi terlalu banyak. Jadi tidak ada gunanya membunuh seekor nyamuk saja. Kena bunuh kesemuanya.

Orang dulu membakar kelambu kerana seekor nyamuk. Itu perbuatan bodoh yang juga dilarang oleh presiden. Mungkin dulu tidak banyak yang koyak rabak. Kalau ada  pun cepat-cepat dijahit semula, ditampal dan disulam dengan kain atau benang yang baru yang lebih kukuh.

Tapi sekarang, bilangan yang tidur dalam kelambu semakin bertambah kerana disana ada mimpi yang indah-indah. Hanya sanya mereka tidak terfikir bahawa dalam hempit menghempit itu, untuk bernafas adalah susah. Maka mereka mula tendang menendang sesama sendiri untuk mendapat ruang lebih untuk selesa bernafas. Kesannya terkena kepada kelambu. Koyak rabaklah kelambu yang menjadi pelindung itu.
 
Semua nyamuk kena bunuh. Maknanya semua ahli dihapuskan. Atau paling kurang membiarkan ahli-ahli yang masih lagi terlepas dari gigitan nyamuk untuk memiliki  kelambu yang ada, dan kalau terlalu teruk rosaknya, beli kelambu baru dan dapatkan ahli-ahli yang baru yang belum terkena gigitan nyamuk.

Itulah kaedah yang lebih baik untuk digunapakai oleh UMNO. 

Sebenarnya UMNO telah melakukannya dulu pada tahun 1978. Cuma sayang seribu kali sayang, ahli yang memiliki kelambu yang baru itu membawa jangkitan penyakit yang baru.

Apakah penyakit itu?

Tamak haloba, gila kuasa dan mahu kekal kuasa dan mencantas ikut nafsu dan suka.

Dan itulah yang diwarisi oleh UMNO sekarang sama ada cir-ciri pada ahlinya mahu pun kelambu tempat menagih kasih sayang. Kelambu menjadi tempat tidur untuk mimpi-mimpi indah bagi setengah ahli dan tempat igauan dan mimpi ngeri sehingga keluar air liur basi bagi setengahnya. Maka tendang menendang dan sepak terajang lebih dahsyat lagi.

Maka sebenarnya apa yang dirisaukan oleh presiden UMNO itu sepatutnya bukan nyamuk seekor. Terlalu banyak ekor yang berterbangan mencari mangsa yang amat sukar untuk diuruskan.

Jadi bagaimana untuk menghadapi pilihanraya dalam kedudukan seperti ini. Mahu bakar kelambu?

Tidak mungkin presiden mahu bakar kelambu kerana kalau bakar kelambu dia terpaksa cari kelambu yang baru. Katakanlah kelambu baru mudah dan cepat diperolehi. Tapi ahli-ahli yang kesemuanya telah kena gigitan dan mengidap berbagai penyakit pindahan nyamuk itu tidak ada banyak gunanya untuk sebuah parti yang mampu menghadapi cabaran untuk kepentingan orang Melayu, Bumiputera dan warga bukan Melayu. Pendek kata orang yang berpenyakit tidak akan melahirkan rakyat dan negara yang sejahtera.

Jadi UMNO perlu berihat dan bermuhasabah diri. Merenung dengan penuh keinsafan. InsyaAllah jika ini dilakukan UMNO akan pulih dan lebih kuat serta penuh yakin untuk menerajui  negara.

Begitu juga dengan organisasi parti yang lain. Jangan gila kuasa, tamak haloba dan jadi diktator apabila berkuasa. Kepada rakyat Malaysia jangan beri kuasa terlalu lama kepada mana-mana parti politik atau gabungan atau pakatan parti politik . Akibatnya terlalu buruk kerana dianya akan melahirkan pemerintah yang kalis tegur, yang bongkak dan sombong, dan dalam hatinya hanya ada nafsu serakah untuk berkuasa. Itu saja.

Maka mereka itu adalah nyamuk-nyamuk yang berterbangan dalam kelambu yang koyak rabak membawa berbagai penyakit.  
    
 
 
  

 
 


  
 
 

Isnin, 3 Disember 2012

AES YANG MAHA ZALIM

PAPARAN SAYA HARI INI MENGGUNAKAN HURUF BESAR.  TUJUANNYA AGAR SENANG DI BACA.

SAYA MENDAPAT SATU NOTA DARI SEORANG KAWAN .  

BEGINI BUNYINYA:

"HARI IN SAYA DAPAT 2 (DUA) SAMAN. SATU SAMAN POLIS DAN SATU SAMAN AES PADA TARIKH YANG SAMA TAPI TEMPAT YANG BERBEZA. 

SAMAN POLIS DI LEBUHRAYA UTARA SELATAN DI BATU PAHAT. SAMAN  AES DI LEBUHRAYA UTARA - SELATAN JUGA, DI PERSIMPANGAN KAJANG NAK MASUK PUTRA JAYA ARAH DARI SELATAN.

KALAU CEPAT  BAYAR SAMAN POLIS , KENA RM150.00. AES PULA KENA RM300.00 AES TIDAK BOLEH KURANG. MACAM NI MATI LAH.  AES INI TIADA BELAS IKHSAN.

KALAU NANTI BANYAK KAMERA AES DI PASANG SEPANJANG LEBUH RAYA SUDAH TENTU DALAM SATU HARI BANYAK SAMAN YANG KENA BAYAR. 

SAYA ORANG KEDAH DAN BEKERJA DI JOHOR BARU. SEKARANG HATI SAYA TIDAK TENTERAM LAGI. NAK BALIK KAMPONG KALI NI MENYIKSAKAN. NAK BAYAR TOL, DUIT MINYAK DAN SAMAN AES. 

KALAU NANTI ADA 10 KAMERA AES DI SEPANJANG LEBUH RAYA DARI JOHOR BARU KE ALOR STAR MAKA 10 SAMAN KENA BAYAR. JADI RM300X 10 = RM3,000.00. 

SAYA BOLEH PANDU PERLAHAN DIBAWAH ATAU PADA  HAD YANG DITETAPKAN AES. CUMA BILA MASA SAYA AKAN SAMPAI KE ALOR STAR. BERTAMBAH JEM LAH LEBUHRAYA KITA. 

DAN APA TUJUAN BUAT LEBUH RAYA? 

PENDAPATAN SEBULAN SAYA RM2000.00 . NAK BAYAR SAMAN RM3000.00. KENA PINJAM ALONG LAH. KENA MAKAN PASIRLAH.

BEGITULAH CARANYA KERAJAAN BN NAK AJAR RAKYAT MALAYSIA PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA. TAK MENGAPA SAYA AKAN BAYAR. SAYA PUN NAK AJAR KERAJAAN BN. SAYA SUDAH TEKAD". 

SESUNGGUHNYA SAYA MENGHORMATI SIKAP KAWAN SAYA ITU.

JIKA SAYA YANG TERLIBAT , SIKAP SAYA BERLAINAN SEKALI.

JADI SAYA MENYERU RAKYAT MALAYSIA SEKALIAN AGAR DAPAT MENGASINGKAN SATU JUMLAH WANG (BUAT ANGGARAN SENDIRI LAH) DARI PENDAPATAN BULANAN BAGI TUJUAN MEMBAYAR SAMAN AES/POLIS. JADIKAN IANYA SEBAHAGIAN DARI BUTIRAN BELANJA TETAP BULANAN.

MACAM MANA KALAU PENDAPATAN KECIL? 

PANDAI-PANDAI-PANDAILAH CARI ALONG YANG BAIK-BAIK, MINTA BELAS KASIHAN. SEBAB KERAJAAN BN TIADA BELAS DAN TIADA KASIHAN.

MAKNANYA ALONG LEBIH BAIK DARI KERAJAAN BN? 

BENARLAH KATA-KATA MU ITU.

AES ITU ZALIM? BUKANKAH TELAH DI LULUSKAN OLEH PARLIMEN?

AES ITU TERLALU ZALIM. MAHA ZALIM. 

AHLI-AHLI PARLIMEN YANG TELAH MELULUSKANNYA JUGA ZALIM.

ADA PIHAK YANG INGIN MEMBANTU? 

YA BENAR. DAPATKAN NASIHAT MEREKA.

    
     
  

Ahad, 2 Disember 2012

Meramal Juara Piala Suzuki 2012: SIAPA JUARA

Negara mana yang akan menjadi  juara Piala Suzuki 2012?

Rakyat Malaysia harapkan Malaysia jadi juara sekali gus mempertahankan kejuaraan tahun 2010. Tapi dalam harapan ada kebimbangan di hati yang tidak mahu diluahkan. Kebimbangan ini memang berasas setelah melihat keputusan perlawanan di peringkat kumpulan B bersama Singapura, Indonesia dan Laos.

Malaysia kalah dengan Singapura 3 - 0 pada perlawanan pertama.
Malaysia menang dengan Laos 4 - 1 pada perlawanan kedua 
Malaysia menang dengan Indonesia 2 -0 pada perlawanan ketiga.
Akhirnya di peringkat kumpulan B , Malaysia memperolehi 6 mata menyamai Singapura tapi di tempat kedua kerana kalah dari segi perbezaan jaringan gol.

Maka Singapura dan Malaysia layak ke peringkat separuh akhir.
Kumpulan A pula yang terdiri dari Thailand, Vietnam , Filipina dan Myanmar telah lebih awal mengesahkan Thailand sebagai juara dan Filipina sebagai naib juara layak ke peringkat pusingan separuh akhir.

Di peringkat separuh akhir nanti Malaysia sebagai naib juara kumpulan B akan bertemu Thailand juara kumpulan A manakala sebagai juara kumpulan B akan bertemu dengan Filipina, naib juara kumpulan A. Perlawanan adalah secara timbal balik.

Saya ingin meramal pasukan negara mana yang akan jadi juara Suzuki 2012. Saya bukan pengamal professional bola sepak. Ilmu saya tentang bola sepak boleh dikatakan 'zero'. Tapi sebagai peminat terutama yang melibatkan pasukan negara , saya seronok buat ramalan untuk syok sendiri. Saya akan gunakan formula 'PSL' bagi menyokong ramalan saya itu.

Formula ini terilham kepada saya setelah menonton perlawanan-perlawanan yang berlangsung baru-baru ini bagi kedua-dua kumpulan.

Bagi kumpulan A, di peringkat awal saya telah meramalkan Thailand sebagai juara kumpulan. Saya percaya ramai yang meramal begitu. Naib juara, pilihan saya ialah Vietnam. Myanmar? Saya beri sedikit harapan tetapi tidak cukup untuk jadi naib juara.

Filipina? No, not the Philipine? Never. Tidak , tidak sekali-kalinya Filipina, pasukan belasahan di Asia Tenggara.

Apa yang telah terjadi? Saya di malukan oleh pasukan Filipina.

Di kumpulan B saya 'mengharapkan' Malaysia sebagai juara untuk mengelak bertemu dengan Thailand. Tetapi dalam hati ada kebimbangan yang amat sangat. Maknanya saya tidak yakin Malaysia mampu jadi juara kumpulan.

Malaysia naib juara?

Sebelum kalah dengan Singapura, saya terlalu yakin paling kurang Malaysia akan jadi naib juara kumpulan. Tapi bila kena 3 - 0, dengan Singapura, saya tidak yakin Malaysia boleh masuk separuh akhir.           

Kemudian Malaysia menang dengan Laos 4 - 1. Pulih sedikit keyakinan bahawa Malaysia ada harapan ke separuh akhir. 

Malam tadi, sah Malaysia layak ke separuh akhir bila kita kalahkan Indonesia 2 - 0.

Kali ini saya tidak merasa malu atas kebimbangan dan kurang yakin Malaysia mampu ke separuh akhir. Saya bangga atas kesilapan saya itu. Bahawa pasukan Malaysia telah membuktikan saya silap.
Sekarang siapa jadi juara?

Mengikut formula PSL saya tu, peluang pasukan yang bertanding untuk menjadi juara suzuki 2012 adalah seperti kedudukan berikut:

Thailand
Filipina
Singapura
Malaysia.     

Apa itu PSL?

P bermaksud physical, S ertinya skill dan L ialah luck.

Maknanya penentuan juara adalah atas dasar tiga faktor diatas.

Saya memberi wajaran (weightage) yang berbeza bagi setiap faktor itu. Bagi P wajarannya adalah 50 %, S 45 % dan L 5 %.

Dalam erti kata lain bahawa untuk menang dalam bola sepak , pasukan yang bertanding itu hendaklah dibarisi dengan pemain yang benar-benar secara fizikalnya cergas (fit). Melebihi 100% fit lagi bagus. Mental pun mustahak juga 'fit'.   

Begitu juga fizikal itu bermaksud mempunyai binaan badan yang tegap dan mampat, mantap dan tinggi. Dari segi tinggi, pemain Malaysia tidak sampai ke tahap ketinggian yang sesuai yang boleh menghasilkan kemenangan. 

Bagi saya paling kurang pemain itu mesti berketinggian 6 kaki. Kurang dari itu bukan satu material yang sesuai dan mampu bersaing dengan yakin  untuk membawa kemenangan.

Jadi dari segi P, wajaran saya untuk pasukan Malaysia hanya 35/50 saja.

Faktor kedua S iaitu skill atau kemahiran. Saya beri wajaran 35/45 untuk Malaysia. Sebahagian besar pemain bola kita ada kemahiran yang bersifat kompetitif . Kita mampu bersaing dengan kemahiran pemain dari Thai.

Ada masanya sesuatu pasukan itu cukup baik dari segi P dan S. Tapi kalah juga. Kekalahan seperti ini adalah disebabkan faktor nasib. Nasib tidak menyebelahi pasukan itu. 

Saya berikan semua pasukan yang bertanding wajaran penuh 5/5.

Berdasarkan apa yang telah saya tonton, wajaran yang saya berikan kepada setiap pasukan yang bertanding di peringkat separuh akhir ini adalah seperti berikut:

Negara                         Wajaran                 Jumlah  
                         P          S          L       

Thailand         45         40          5                   90
Filipina           45         35          5                   85
Singapura       43         37          5                   85
Malaysia        30         35          5                   80

Berdasarkan skor diatas bermakna Thailand diramal akan menjadi juara piala suzuki 2012. Filipina dan Singapura masing-masing mempunyai peluang yang sama. Jika nasib menyebelahi Filipina atau Singapura dan tidak menyebelahi Thailand, Filipina dan Singapura mempunyai peluang untuk jadi juara. Mungkin melalui tendangan penalti.

Malaysia? Nampak gaya formula PSL saya tidak menyebelahi Malaysia. Kalaupun nasib tidak menyebelahi Thailand, jumlah wajaran PSL Thailand masih mengatasi Malaysia.

Jadi Thailand adalah juara pila suzuki 2012, mengikut ramalan saya.
Sesungguhnya saya mengharapkan agar ramalan berdasarkan faktor wajaran PSL saya ini tidak menjadi realiti. Dan saya amat gembira dan berbangga formula saya itu tidak mengena.

'Malaysia menang dan jadi juara piala suzuki sekali lagi', harapan saya yang penuh dengan kebimbangan.