Theflowersellingboy

Ahad, 6 Mei 2018

Mengundi dengan bertanya Hati Nurani




Tiga hari lagi kita akan mengundi untuk bersama-sama terlibat dalam pembentukan sebuah kerajaan bagi mengurus tadbir kekayaan negara  demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Saya gunakan prasa 'bagi menguruskan kekayaan negara' atas sebab itulah sebenarnya matlamat orang dan parti politik'. Jika baik tadbirurusnya, bertuahlah kita sebagai rakyat yang menyerahkan kuasa kepada orang atau parti politik  dan jika sebaliknya maka malanglah kita dan negara kita yang tercinta ini.

Namun untuk tidak merasa kecewa dan berputus saya , kita wajar terima hakikat bahawa:

"Politik adalah satu Medan Pembohongan yang diterima sebagai HALAL".

Itu kesimpulan saya setelah mengikuti perkembangan politik dunia dan tanah air. 

"Setiap orang boleh berbeza pendapat dan pandangan. Raikanlah perbezaan pendapatan dan pandangan ini", salah satu dari sumber yang menghalalkan pembohongan.

Berpolitik ialah untuk mendapat kuasa dari orang ramai. Apa sahaja cara akan digunakan untuk mendapat kuasa. Kuasa itu perlu untuk melakukan apa sahaja sama ada yang baik atau tidak baik, yang haram atau yang halal, yang membawa mudharat atau yang sejahtera. 

Politik adalah sesuatu yang perlu bagi mengurustadbir negara kerana tanpa politik negara menjadi tidak terurus. Manusianya tidak terurus dan sumber kekayaannya juga tidak terurus. Segala-galanya tidak terus yang kesannya amat buruk sekali.

Sebab itu menjadi orang politik atau menjadikan kerjaya sebagai orang politik tidak semudah dengan hanya mengatakan bahawa kita mesti menghormati perbezaan pandangan kerana ianya akhirnya menjadi alasan untuk kita berbohong.

Politik adalah satu kerjaya yang mulia. Tapi tahap kemuliaan itu tidak akan mampu dicapai oleh manusia kerana kita adalah mahkluk Allah yang tidak sempurna.  

Sebab itu ada orang politik yang tinggi ilmunya akan juga menunjukkan kejahilannya, yang beradab dan bersopan yang tinggi amalan dan ilmu agamanya akan juga menghambur kata-kata kasar , maki hamun dan celaan, menipu untuk menegakkan kebatilan. 

Dan ada yang kurang berilmu, raut muka yang bengis yang sekali lihat disimpulkan sebagai orang politik yang jahat, adalah juga orang politik yang mampu menegakkan kebenaran.

Dengan demikian jika kita mengharapkan orang politik atau parti politik  untuk mengurustadbir negara demi kesejahteraan rakyat dan negara  dengan sempurna, ianya hanya menjadi satu impian sahaja. Ianya tidak akan menjadi realiti. 

Tetapi kita jangan putus asa kerana dalam pertelagahan politik untuk mendapat kuasa itu , salah satu yang bertelagah itu ada juga membawa sedikit sebanyak sifat kemuliaan, berkata benar, menegakkan yang makruf dan menghalang yang mungkar.

Pilihlah orang politik atau parti politik yang kurang membawa kemudaratan. 

Dan pilihlah orang politik dan parti politik yang mempunyai keupayaan bagi membentuk kerajaan agar kita tidak mensia-siakan undi kita.

9 Mei nanti adalah hari yang teramat penting untuk kita. Mengundilah dengan menggunakan akal fikiran yang waras tanpa emosi yang melampau yang menjadikan bangsa dan agama sebagai alat atau salutan bagi melindungi kecurangan dan kebatilan, yang kesannya boleh mencemarkan maruah bangsa dan kesucian agama itu sendiri.

Sudah tentu kita tidak mahu orang Melayu menjadi bangsa yang mempertahankan kemungkaran semata-mata kemungkaran itu dilakukan oleh orang Melayu. Kemungkaran yang kita sendiri lihat dan tahu  berlaku dihadapan mata. Tanyalah pada hati nurani kita (conscience) kerana hati nurani kita tidak akan berbohong.

Sudah tentu kita mahu menjaga kesucian agama Islam kita yang mengajak kita melakukan kebaikan dan menghalang kemungkaran tidak kira siapa pelakunya, Islam dan bukan Islam. Sekali lagi tanya hati nurani kita sama ada kita melakukan pilihan yang benar atau sebaliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan