Theflowersellingboy

Selasa, 26 September 2017

PRU 14: Parti Mana Yang Dapat Undi Kita




Walaupun PM belum umumkan tarikh PRU 14, parti-parti politik sedang rancak berkempen. Parti kerajaan berkempen dan pembangkang pun berkempen. Masing-masing parti mendakwa merekalah yang terbaik dan wajar diberi undi.

Jadi parti mana yang perlu anda beri undi? Sudah tentu anda menggunakan pertimbangan-pertimbangan tertentu untuk memberi undi anda. Itulah cantiknya demokrasi. Anda diberi pilihan. Tiada siapa yang boleh memaksa anda.

Apa pun anda mesti terlebih dahulu  mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia sebagai pengundi. Walaupun anda berusia 21 tahun keatas tapi jika tidak menjadi pengundi berdaftar anda tidak boleh mengundi. Satu kerugian yang tiada tolok bandingnya kerana anda tidak terlibat dalam menentukan sebuah kerajaan yang anda mahu untuk mengurus dan mentadbir negara.

Oleh itu segera mendaftar sebagai pengundi jika anda telah mencapai usia 21 tahun keatas.

Macam saya katakan diatas tadi bahawa tiada siapa boleh memaksa anda mengundi parti-parti tertentu. Anda undi mengikut pertimbangan anda sendiri. Sudah tentu pertimbangan anda itu mengambilkira kebaikan yang boleh ditawar dan dilaksanakan oleh parti-parti yang bersaing.

Mudah bukan untuk kita buat pilihan? Mana-mana parti yang menawarkan yang terbaik parti itulah yang wajar anda pilih. 

Oh, tidak semudah itu. Semua parti menjanjikan yang terbaik. Oleh itu terpulanglah kepada kebijaksanaan anda untuk membuat perbandingan dan penilaian mana satu parti yang terbaik. 

Perbandingan dan penilaian itu hanya mampu dilakukan dengan baik jika anda mempunyai maklumat yang cukup  dari berbagai sumber tentang parti dan calun parti  , bukan hanya dari sumber yang terhad. Oleh itu dapatkan maklumat yang mencukupi dari berbagai sumber.

PRU 14 ini parti-parti yang perlu diberi perhatian ialah PAS, UMNO/BN dan PH. Parti lain boleh diketepikan.

Antara 3 parti itu, parti mana yang akan dapat undi anda dan undi saya?

Anda jawab sendiri. Saya pula akan saya beri undi  dengan mempertimbangkan beberapa faktor, antaranya seperti yang dinyatakan dibawah.

Selain menguasai maklumat dari berbagai sumber, saya melihat kepada parti-parti yang bersaing itu dari segi kemampuan dan keupayaan untuk menubuhkan kerajaan. Parti itulah termasuk dalam senarai untuk dibuat pilihan.

Untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan, sesuatu parti itu mesti memenangi paling minima 112 kerusi parlimen. Ertinya bilangan calun parti yang masuk bertanding tidak boleh kurang dari 112 dan memenangi kesemuanya.

Sehubungan dengan ini, menurut maklumat terkini yang saya maklum,  parti PAS bercadang untuk bertanding 100 kerusi dengan menjangkakan akan menang 40 kerusi. Ini bermakna jumlah calun yang bertanding dari parti PAS tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan walaupun kesemua calunnya menang, apatah lagi PAS menjangkakan menang 40 kerusi.

Jadi parti PAS telah keluar dari senarai untuk saya beri pertimbangan walaupun PAS mempunyai agenda yang baik, menurut penilaian saya.

Melainkan PAS bercadang untuk bekerjasama dengan UMNO/BN atau pun PH, PAS tidak ada kemampuan untuk menubuhkan kerajaan. 

Kenyataan-kenyataan pimpinan PAS yang adakalanya bercanggah antara satu dengan yang lain tentang kerjasama politik ini membuatkan saya dan mungkin ramai orang meragui kesungguhan PAS untuk menjadi kerajaan. 

Dengan demikian undi saya akan diberikan  sama ada kepada UMNO/BN atau PH kerana kedua-kedua parti ini bercadang untuk meletakkan calun di kesemua 222 kawasan parlimen. Ertinya parti parti ini adalah serious untuk menjadi kerajaan. 

Saya hanya boleh beri satu undi sahaja. Parti mana yang akan dapat undi saya.

PRU 13 tidak menyulitkan saya untuk membuat pilihan, apatah lagi PRU 14. Ia amat mudah untuk saya buat pilihan kerana segala-segalanya jelas dan nyata dari segi yang buruk dan baiknya, yang merosakkan dan yang membina dan yang membawa keuntungan dan yang merugikan kepada rakyat dan negara.    






Tiada ulasan:

Catat Ulasan