Theflowersellingboy

Ahad, 27 Ogos 2017

PRU 14: PKR mesti Tentukan Pendirian




1. Kita tidak ada pilihan yang baik dalam memilih parti yang akan meneraju negara pada PRU 14 akan datang ini. Gred yang saya boleh berikan kepada parti-parti yang akan bertanding ialah diantara tidak patut dipilih kepada 'apa boleh buat, terpaksa juga kita pilih', kalau tidak negara kita tiada pihak yang akan menguruskannya.

2. Parti-parti yang mempunyai kekuatan atau pengaruh ketika ini ialah BN yang diterajui oleh UMNO; Pakatan Harapan ( yang secara rasmi terdiri dari PKR, DAP, Amanah dan PPBM) dan PAS. Parti-parti lain tidak boleh memberi kesan yang besar melainkan jadi pengacau untuk memecahkan undi sahaja.

3. UMNO/BN yakin mereka akan menang dan terus menerajui negara. PH pun begitu juga terlalu yakin boleh menang bermodalkan urustadbir dan pengurusan kekayaan negara yang pincang oleh UMNO/BN yang mengakibatkan rakyat dan negara terbeban dengan hutang dan keperitan hidup rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang mengecil, peningkatan bilangan tenaga kerja yang menganggur. serta kualiti hidup yang merosot kesan dari pemotongan peruntukan kerajaan bagi berbagai sektor yang melibatkan keutamaan kepada rakyat misalnya kesihatan dan pendidikan ( satu contoh beberapa ubat tertentu tidak lagi disediakan oleh hospital/klinik kerajaan sebaliknya ubat yang rendah mutunya). PAS pula yakin boleh menang walaupun bersendirian. Paling kurang PAS mahu jadi 'king maker'. 

4. Sejarah membuktikan bahawa secara bersendirian , tiada parti akan boleh menang. Sebab itu UMNO bersama dengan parti-parti yang lain terus menang sejak dari dulu dan kini, tidak pernah tewas. Cuma dua  PRU yang lepas kedudukan UMNO/BN terjejas dari segi memiliki kuasa 2/3 disebabkan parti-parti pembangkang bersatu termasuklah PAS.,

5. Oleh itu secara bersendirian, PAS tidak akan menang. PAS mesti memilih untuk bersama UMNO/BN atau PH. Kecenderungan sebahagian pimpinan tertinggi PAS khususnya Presiden ialah mahu bersama UMNO. PAS tidak akan bersama PH yang terdapat didalamnya Amanah dan DAP. Bahkan PKR juga telah ditolak oleh PAS walaupun ada usaha PKR untuk memujuk PAS bekerjasama dalam PRU 14. Ianya satu usaha yang merosakkan PKR sendiri. 

5. PKR tidak boleh memuaskan hati dua pihak yang bertentangan iaitu rakan gabungan rasmi DAP, Amanah dan Bersatu dan dalam  masa yang sama mahu bekerjasama dengan PAS. Ini tindakan bunuh diri, kesana tidak, dan kesini pun tidak. Pengundi jadi keliru. PKR mesti ingat sedangkan beristeri dua pun susah untuk diurus inikan pula mengurus perkongsian dengan parti yang saling benci membenci. Kena pilih PH atau PAS.

6. Sikap dan pendirian PAS ketika ini menguntungkan UMNO dan merugikan PAS sendiri. Ianya boleh menjejaskan PH untuk menang. Tapi PAS bukan king maker kerana PAS tidak dapat apa-apa melainkan kalah dan memuaskan hati setengah pimpinan yang tidak mahu PH menang kerana didalamnya ada Amanah dan DAP. PAS rela UMNO menang walaupun kawan baik UMNO iaitu MCA dan MIC menentang hudud. Bahkan UMNO dan PM sendiri tidak bersetuju HUDUD dilaksanakan di Malaysia. Ertinya bukan fasal hudud sangat.

7. Satu ketika dahulu, peluang PH menang adalah besar. Tapi apabila PAS tidak bersama dengan PH dan terus  tidak mahu bersama walaupun diajak bersama menentang UMNO/BN yang menjadi musuh PAS walaupun presiden PAS amat berlunak dengan UMNO, dan ditambah dengan ketidaktentuan sikap PKR, peluang PH amat terjejas. Ia memberi tambah nilai kepada UMNO/BN.

8, Kesimpulannya, peluang UMNO/BN untuk menang PRU 14 bertukar dari kelabu kepada hampir cerah walaupun telah dan sedang menyusahkan rakyat dan merosakkan negara.

9. PAS adalah parti yang memenangkan UMNO walaupun benci pada parti itu, benci tapi sayang. Sebenarnya PAS berkurban untuk UMNO. Membakar diri untuk UMNO kerana dendam kesumat pada Amanah dan DAP yang semakin semarak. Dan UMNO adalah parti yang licik dalam politik. Sudah tentu dengan bantuan WANG kerana UMNO percaya Wang Adalah Raja. Ada betulnya keyakinan UMNO ini walaupun ianya MEROSAKKAN.

10. Bukan sahaja PAS yang memenangkan UMNO tetapi PKR juga membantu UMNO menang jika pendirian PKR tidak segera ditentukan. Kalau mahu kalahkan UMNO/BN, berhentilah berunding dengan PAS. Dalam hal ini PAS tidak terkesan sama ada menang atau kalah kerana parti itu tetap akan kalah. Dan mereka redha menerimanya walaupun mereka kata untuk menjadi pemerintah negara.

11. Dalam keadaan sekarang rakyat yang mahu buat perubahan tidak ada pilihan terbaik. Pilih BN, hidup terus sengsara. Pilih PH, ianya masih tidak ada kesatuan yang jitu. Macam mana pun lebih selamat kita pilih PH, bukan kerana yang terbaik tetapi itulah saja yang ada untuk membina masa depan yang lebih baik berbanding  BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan