Theflowersellingboy

Selasa, 27 Februari 2018

Mekah Yang Berubah Wajah




Kami maklumkan kepada pihak hotel bahawa sementara pihaknya menyiapsediakan bilik, kami mahu mengerjakan umrah, dan menyerahkan beg dan barangan lain dibawah jagaan hotel. Pihak hotel bersetuju.

Dalam perjalanan menuju ke masjid, saya dapati banyak yang telah berubah. Persekitarannya penuh dengan hotel. Tidak ada lagi kedai atau gerai-gerai jualan yang kecil-kecil sebaliknya digantikan dengan bangunan moden yang besar dan tinggi yang menempatkan restoran dan kompleks perniagaan.   

Begitu juga kawasan lapang yang berbatu dan berpasir (crusher run) yang biasanya menjadi tempat menunggu atau stesyen perayu bantuan (tidak sampai hati nak panggil mereka sebagai  peminta sedekah kerana dalam sebuah negara yang kaya tidak sewajarnya ada peminta sedekah) yang semuanya berkulit hitam , ada yang kanak-kanak, muda dewasa dan tua, telah bertukar menjadi kawasan lapang atau dataran yang bertail (tile) putih/cerah . Cantik dan bersih. Sentiasa dicuci sebaik sahaja selepas digunakan sebagai tempat solat oleh jemaah yang tidak masuk ke dalam masjid.

Perayu bantuanpun semakin berkurangan. Saya boleh anggarkan dalam setiap kali saya melalui dataran itu, bilangannya tidak lebih dari 20 orang yang terdiri dari beberapa orang yang usianya tidak lebih dari belasan tahun dan seorang dua wanita dewasa.

Cuma agak kecewa juga kerana saya hanya dapat menyahut rayuan mereka sekali selama berada di Mekah. Sebab, jika kita menyampai sedikit bantuan kepada seseorang, maka ramailah yang akan mengerumuni kita sehingga kita merasa serba salah dan merasakan dalam keadaan bahaya.

Tapi mengapa tidak beri bantuan kepada semua yang memerlukan bantuan, bukan ramaipun?   

Ya, saya gagal melakukannya.

Kemudahan tandas dan  tempat berwuduk disediakan di dataran. 

Setelah melepasi dataran kami sampai ke pintu untuk masuk masjid. Kami masuk , kalau tak silap saya pintu no. 88 yang dikhaskan kepada jemaah yang berihram untuk mengerjakan umrah. Jemaah tanpa pakaian ihram tidak dibenarkan melalui pintu ini.

Pintu khas untuk jemaah umrah berihram ini bertujuan untuk mengelakkan kesesakan semasa bertawaf dikawasan berdekatan dengan Kaabah kerana berhampiran kawasan itu terdapat kerja-kerja binaan sedng berjalan. Jemaah yang tidak berihram diminta melakukan tawaf ditingkat atas masjid yang mengambil hampir sejam bagi 7 pusingan. Tapi ada yang kata lebih 2 atau 3 jam. Namun saya telah merekod masa semasa saya tidak pakai ihram, ketika tawaf di atas kawasan masjid tempoh masa yang saya ambil untuk 7 pusingan tawaf hanya 45 minit sahaja.

Saya tak fikir saya mempunyai tenaga dan kekuatan yang lebih sehingga dapat melakukan dalam tempoh 45 minit. Mungkin yang melakukan 2 hingga 3 jam itu, ketika orang terlalu ramai. Tapi saya pun menghadapi suasana yang sama.

Tujuan saya memberitahu tempoh masa ini ialah kerana ada setengah jemaah yang tidak mahu untuk melakukan tawaf selain dari kawasan berdekatan Kaabah atas alasan tempoh yang lama.

Ustaz mendahului kami. 

Rancangan awalnya, kami mahu memasukkan sliper/kasut dalam beg plastik dan dibawa bersama dalam melalukan tawaf dan sa'i. Namun kami ubah fikiran dan meletakkan kasut/sliper di tempat kasut yang disediakan. Isteri saya kata tawakkal sahajalah. 

Bermaksud kami berserah kepada Allah dan yakin ianya tidak menimbulkan masaalah, akan dapat kami gunakan lagi. Kalaupun kasut/sliper itu tidak dapat diperolehi lagi disebabkan tidak jumpa atau terlupa tempat kasut itu diletakkan, atau tersalah diambil orang, terimalah apa yang ditentukan. Namun kami yakin tidak akan berlaku setelah berserah kepada Allah. Lagipun saya  nampak ustaz begitu yakin kasut dan sliper kami akan selamat.

Kami teruskan perjalanan menuju ke Kaabah. Ustaz menentukan tempat berjumpa selepas tawaf agar kami tidak cari mencari. Beliau khuatir kami terasing/terpisah disebabkan keadaan jemaah yang ramai, yang berhimpitan , tolak menolak. Jadi jika berlaku seperti itu, kami tahu tempat yang perlu dituju untuk meneruskan sa'i. 

Kami angguk dan bersetuju dengan tempat yang ditentukan ustaz itu. Kami bergerak ke hadapan melalui lorong menuju ke Kaabah untuk mencari tempat memulakan langkah pusingan umrah......

Ikuti cerita seterusnya. Apa yang berlaku ketika sa'i. Dan yang penting kepada sliper atau kasut kami.....
   

Isnin, 26 Februari 2018

Madinah ke Mekah



Lima hari berada di Madinah. Destinasi seterusnya ke Mekah.

Kami ke Mekah dengan menggunakan sebuah kenderaan yang telah ditempah lebih awal melalui seorang ustaz (pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Madinah). 

Nama ustaz itu ialah Sharifuddin, pelajar tahun akhir bidang dakwah. Beliau bersama dua lagi kawan pelajar seuniversiti bertanggungjawab menguruskan keperluan kami selama berada di Madinah dan Mekah , yang antara lainnya menyediakan pengangkutan dari lapangan terbang Madinah ke hotel, Madinah ke Mekah dan Mekah ke Jeddah; juga ke tempat-tempat ziarah yang telah dipersetujui lebih awal. Kami lakukan secara online  dengan bayaran kurang lebih RM3 ribu.

Ustaz ini juga akan memimpin kami dalam melakukan umrah. Hanya sekali sahaja.

Pemandu yang membawa kenderaan, seorang Arab, berusia dalam lingkungan 40an. Dia banyak bercerita dan ustaz menterjemahkan untuk kami faham.

Antara ceritanya ialah bahawa lebuhraya dari Madinah ke Mekah telah dipasang dengan bilangan perangkap laju yang terlalu banyak. Kalau tak silap saya, had kelajuan yang dimaklumkan ialah 110 km/j sama dengan had kelajuan di negara kita. Dan jika melebihi dari had itu, "tiada maaf bagimu", kata ustaz itu. Maknanya kena bayar samanlah.

Tapi, saya lihat pemandu itu memandu melebihi dari had sepanjang kami berada di lebuhraya sebelum memasuki Mekah. Cara memandunya pun menjadikan saya risau. Beliau melepaskan kedua-dua tangannya dari stering ketika menuangkan air dari cangkir ke dalam gelas kecil untuk diminum. Beliau menggunakan kedua-dua lutut kakinya untuk mengawal kenderaan. Dah lah pandu laju, kawal dengan lutut pula.  Hai, pak Arab , pak Arab. Berapakah jumlah saman yang akan diterima nanti.

Kami singgah sebentar di Tanaim (mikat) untuk memakai ihram dan berniat umrah sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah.

Perjalanan kami untuk sampai di Hotel Conrad di Mekah mengambil masa  dua jam lebih. Hotel ini adalah hotel 5 bintang yang belum dibina lagi pada tahun 2010 semasa saya mengerjakan haji pada waktu itu. Ianya terlalu dekat dengan Masjid Haram, satu jarak yang memang  kami mahukan.

Oleh kerana kami tiba lebih awal , belum masa untuk check-in, kami buat keputusan untuk terus ke masjid untuk mengerjakan umrah. 

Ikutilah cerita selanjutnya.
       

Ahad, 25 Februari 2018

Di Madinah: Apa Yang Dirancang dan Apa Hasil Sebenar



Internet down. Pada mulanya saya sangka kerana ditembak petir. Rupanya tiada kena mengena. Itulah ruginya orang yang tiada ilmu.

Saya sambung kisah mencari ruang sujud.

Di Madinah kami menginap di Hotel Mellinium, dekat sangat dengan masjid Nabawi.  Kami tempah 2 bilik , saling bersambung (interconnecting).

Hotel disini amat pelik. Jika duduk 3 orang dalam 1 bilik bayarannya lebih mahal berbanding menempah 2 bilik. Sebab itu kami tempah 2 bilik yang saling bersambung untuk 3 orang. 

Kami sedar bahawa untuk kami mengerjakan umrah bukan perkara yang mudah. Ia perlukan wang yang banyak. Ia perlukan tubuh badan dan akal fikiran yang sihat. Dan sudah tentu ia perlukan keinginan yang kuat, dengan izin Allah untuk mengerjakan umrah.

Kali terakhir kami mengerjakan haji/umrah ialah pada tahun 2010. Setelah 8 tahun alhamdulillah, sekali lagi dengan izin Allah kami dapat mengerjakan umrah.

Purata belanja yang ditawarkan oleh syarikat pakej umrah lebih kurang 6 ke 10 ribu ringgit bagi jangka waktu 10 hingga 12 hari. Segala program diatur dan disusun oleh syarikat, termasuk makan minum, tempat kediaman dan ziaarah. Bermakna kita sebagai ahli kepada pakej itu tidak ada pilihan melainkan apa yang ditawarkan oleh syarikat.

Kami berpendapat kami tidak mampu mengikut program yang disusun oleh syarikat. Mungkin kami akan mengganggu kelicinan program itu kerana antara lain kami tidak secergas seperti dulu. Kami tidak mampu menepati masa yang telah dijadualkan. 

Kami perlu masa yang kami sendiri atur berdasarkan keperluan kami sendiri. Dalam lain perkataan kami mahu atur jadual kami mengikut kemampuan fizikal dan keselesaan kami.

Sebab itu kami tempah hotel yang berdekatan. Kami pilih tempat ziarah. Kami pilih dan atur makanan kami.

Ya, sudah tentu kosnya lebih dari kos pakej.

Kami bersyukur kerana mempunyai simpanan yang mencukupi. Bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada anak-anak yang memberi belanja setiap bulan yang mana sebahagiannya kami simpan.  

Oleh itu kami mestilah mengaturkan sebaik mungkin jadual melaksanakan ibadat kami, agar , dengan izin Allah kami dapat melakukan yang terbaik untuk mendapat keredhaan Allah.

Kami tentukan i) waktu ke masjid dan berapa lama berada dalam masjid. ii) Menentukan tempat berjumpa setelah keluar masjid agar kami tidak cari mencari dan tunggu menunggu, membazir masa. iii) Ruang masjid yang menjadi pilihan utama, sudah tentu raudah antaranya. iv) Menziarahi makam rasullullah dan sahabat. v) Dan tempat yang perlu dilawati di luar masjid Nabawi dan sekitar Madinah.

Itulah yang kami rancang demi mendapat keredhaan Allah.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Kecuali...

Ya, kami merancang dan Allah menentukannya. 

Dua ruang yang kami berhajat sungguh ialah raudah dan makam rasullullah. 

Tapi akhirnya...

Saya tidak dapat ke raudah. Saya juga hampir sesak nafas semasa berada dan melalui dihadapan makam rasullullah. Dan membuat keputusan tidak akan mengulangi lagi ke ruang itu,

Isteri dan anak juga tidak berani ke makam rasullullah kerana bilangan jemaah  yang ramai yang berhimpitan bertolak-tolakan. 

Penungguan untuk dapat masuk ruang raudah terlalu lama, membuatkan isteri dan anak menarik diri. Lagipun ruang yang terdapat kenyataan bertulis yang dikhaskan untuk jemaah Malaysia dan Indonesia dari jemaah negara lain (mungkin berdasarkan saiz fizikal jemaah Malaysia dan Indonesia yang kecil) telah diturut sama oleh jemaah negara lain. Isteri dan anak tidak berani mengambil risiko berebutan ruang.


Akhirnya apa yang dihajati tidak kesampaian.

Kami tidak kecewa kerana kami telah berusaha. Mungkin  itu yang telah ditentukan Allah. 

Cuma dalam fikiran saya bermain beberapa persoalan untuk jemaah umrah/haji dan orang Islam seluruhnya:

i) Mengapa tidak berkongsi ruang raudah 
ii) Mengapa tidur dan berlunjur kaki sehingga mengambil ruang yang lebih luas yang mengakibatkan jemaah yang lain tidak mempunyai ruang untuk sujud.
iii) Mengapa ruang itu diletakkan objek seperti kain dan beg sedangkan tuan punya objek itu tidak ada bersama seolah-olah ruang itu sudah ditempah dan orang lain tidak boleh berada disitu.
iv) Mengapa perlu bertolakan sewaktu berada dan melalui dihadapan makam rasullullah, dan tidak menurut  arahan pegawai keselamatan yang bertugas.
v) Mengapa perlu berselfi di makam rasullullah sehingga boleh mengganggu arus dan laluan serta  membahayakan orang lain.  

Saya bertanya hal-hal tersebut diatas kerana pengalaman yang lepas mengingatkan saya bahawa perkara-perkara yang dinyatakan itu, melainkan berselfi, bukan perkara baru, diulang dan berlaku setiap masa yang melibatkan ibadat haji dan umrah. 

Sekarang berselfi pula. Satu kegemaran yang tidak sepatutnya dilakukan misalnya dilaluan makam rasulullah.

Jika ada yang menjawab bahawa yang penting ialah diri dapat melakukan ibadat, dapat memaksimakan pahala. Apa cara akan digunakan. Mesti berani waemah boleh membahayakan diri. Orang lain, tidak perlu ada dalam pertimbangan. Itu hal mereka. 

Jika itu jawapannya, maka orang yang fizikal kecil, yang tidak  ada tenaga dan kekuatan serta usia tua mempunyai peluang yang kecil untuk mendapat ruang seperti di raudah untuk sujud. 

Apapun jawapannya , sewajarnya kita perlu akui bahawa sebahagian dari jemaah haji/umrah tidak mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik tentang adab dan tertib dalam melakukan ibadat. Rasanya tidak melampau saya katakan bahawa kita atau jemaah perlu mempertingkat ilmu dan berdisiplin.

Itu cerita di Madinah. Berikut nanti cerita di Mekah.