Theflowersellingboy

Rabu, 22 Mei 2013

IKLAN KHAS: Pengisian Jawatan Menteri Perdana





1. Adalah dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Rakyat (SR) sedang mencari calun-calun yang layak bagi mengisi Jawatan  Menteri Perdana. Oleh itu mana-mana individu yang berminat untuk mengisi jawatan ini bolehlah memohon kepada SR dengan menggunakan Borang SR1 yang boleh didapatkan secara percuma di alamat berikut:

Suruhanjaya Rakyat
Lorong Bawah Tanah
2, Batu Nesan
Liang Lahat  
0012345 Perkuburan Baru.

Atau borang boleh dimuat turun dari laman sawang labah-labah sll@sr.batunesan/lianglahat.com

2. Borang yang telah sempurna diisi hendaklah dikembalikan dan diterima SR pada Isnin, 1 Sya'aban 1434 Hijrah bersamaan 10 Jun 2013 pada tepat pukul 10 pagi. Tidak lebih awal atau melebihi waktu yang ditetapkan oleh jam SR. Jika tarikh dan masa ini tidak dipatuhi maka permohonan akan terbatal dengan sendirinya. Tiada sebarang rayuan boleh dibuat.    

3. Syarat-syarat pemohon:
i) Mempunyai kad pengenalan biru sama ada yang baru saja dikeluarkan atau yang sudah pudar
ii) 21 tahun keatas dan telah memenangi pilihanraya Parlimen
iii) Ahli kepada pertubuhan mana-mana parti
iv) Sihat tubuh badan dan akal fikiran (tidak cacat anggota dan tidak gila)
v) Fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Keutamaan diberikan kepada calun yang menguasai selain dari dua bahasa tersebut.

4. Sebaik saja borang diterima seperti yang disyaratkan, SR akan menjalankan proses saringan sebelum dipanggil temuduga, melalui 2 kali pra kelayakan iaitu:

Pra kelayakan 1.
i) Hanya calun dari UMNO/BN saja yang disenaraipendekkan 

Pra kelayakan 2
i) Hanya calun berjawatan presiden saja yang layak dipanggil temu duga.

5. Sesungguhnya SR mengalu-alukan seberapa banyak calun untuk memohon bagi mengisi jawatan yang amat penting ini.   
     

Selasa, 21 Mei 2013

Apa Yang Anda Bimbangkan Selepas Pilihanraya? Kerakusan Orang Politik Yang Berkuasa dan Yang Mahukan Kuasa






 "Gila Sampai Tua (GST) anak-anak muda nanti. Kalau dah jadi gila sampai ke tua macam mana nak jadi Pemuda Harapan Bangsa".




Jika ada orang yang bertanya saya soalan : Apa yang anda bimbangkan selepas pilihanraya?  

Saya menjawab: Saya bimbang akan kerakusan orang politik.

Jawapan saya itu terlalu umum dan boleh diluas lebarkan menurut apa yang seseorang itu anggap dan percaya sebagai kerakusan orang politik.

Bagi saya, selepas pilihanraya ini banyak benda dan perkara yang menjadi kebimbangan dan kerisauan. Antaranya :

i) Pilihanraya yang telah diistiharkan oleh SPR yang mengesahkan kemenangan BN telah ditolak oleh PR yang mendakwa PR lah yang menang. Inilah pertama kalinya peristiharan yang dibuat oleh SPR tidak diterima sepanjang 13 kali pilihanraya diadakan. Keadaan ini telah menimbulkan suasana cabar mencabar yang agak tegang yang melibatkan majoriti rakyat termasuk golongan anak muda.

Jika keadaan ini tidak dapat diuruskan dengan baik dan bijak oleh BN (terutama agensi-agensi yang bertanggungjawab) dan PR , dibimbangi ianya memberi kesan yang negatif kepada negara dan rakyat Malaysia.

Menangkap dan memenjarakan anak-anak muda serta mereka yang membantah akan peristiharan SPR itu bukanlah satu cara yang baik dan bijak. Tidak juga baik dan bijak melakukan protes secara kekerasan dengan merosakkan harta awam dan menggangu kehidupan orang awam yang lain.

ii) Kenaikan kos sara hidup. Sekiranya BN meneruskan dasar janji yang ditepati maka Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST -Goods and Services Tax) akan dilaksanakan pada tahun ini seperti yang dijanjikan oleh kerajaan BN sebelum pilihanraya. Maka semua barangan dan perkhidmatan akan kena cukai. Naik bas kena cukai, masuk jamban pun kena cukai. Semua kena cukai tanpa pengecualian. Sibuta kena, sikaya kena, simiskin dan papa kedana pun kena. Itulah asas percukaian yang dipanggil GST-asas percukaian yang meluas (broad-based tax).

Sudahlah tol tidak dihapuskan, dasar pelajaran percuma tidak dilaksanakan yang membuatkan pelajar-pelajar bergantung kepada pinjaman PTPTN dan memulakan kehidupan selepas tamat pengajian untuk melunaskan hutang, saman AES RM 300.00 satu saman, harga minyak yang mahal, kenaikan bayaran utiliti seperti letrik, ditambah pula dengan GST. 

Gila Sampai Tua (GST) anak-anak muda nanti. Kalau dah jadi gila sampai ke tua macam mana nak jadi Pemuda Harapan Bangsa. 

Macan mana saya tidak bimbang.

iii) Perpaduan Rakyat Malaysia kesan dari kempen pilihanraya. Pilihanraya kali ini sama ada sebelum , semasa dan selepas telah menzahirkan dengan jelas lagi terang bahawa perpaduan antara rakyat Malaysia yang berbilang perbezaan latarbelakang tidak sejitu dan sekukuh seperti dalam kata-kata "Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh".

Ini tidak bermakna rakyat Malaysia menolak perpaduan. Mereka kepingin sangat perpaduan yang mereka mahu jadikan sebagai rukun hidup dalam sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian dan perbezaan untuk membentuk satu kesatuan yang cantik dan indah.

Malang dan terlalu amat malang sekali, pada tempoh-tempoh yang dinyatakan itu, semua pihak tanpa kecuali, yang didahului dan disungguhi oleh BN telah memainkan isu kaum dan agama semata-mata untuk mempengaruhi fikiran dan perasaan berbagai pihak untuk menyebelahi dan seterusnya mengundi parti mereka dalam pilihanraya ini.     

Sesungguhnya usaha mereka tidak gagal. Mereka berjaya menimbulkan keraguan dan prasangka antara kaum. Tapi mereka gagal memperkukuhkan perpaduan.

Diatas tadi, saya menyatakan bahawa usaha memecah belah  perpaduan ini didahului dan disungguhi oleh BN atas 2 alasan. 

Pertama BN menguasai alat sebaran melalui berbagai media yang capaiannya begitu meluas sekali sehingga ada dikalangan rakyat terutama diluar bandar dan yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah bergantung 100 peratus kepada maklumat dan fakta-fakta yang disebarkan oleh media itu. 

Dan malang sekali maklumat dan fakta itu adalah yang tidak membina kepada memperkukuhkan perpaduan rakyat, banyak adu domba dan fitnah yang menimbulkan perasaan benci membenci, antara fahaman politik dan antara kaum/agama.       

Benar, ada maklumat dan fakta yang membina. Tapi kesungguhan BN dalam memberi nilai utama kepada kepentingan perpaduan kaum amat mudah dipersoalkan.

Kedua, BN tidak menunjukkan kesungguhan kearah memperkukuhkan perpaduan rakyat berbanding dengan usaha untuk mempengaruhi dan memenangi fikiran dan hati rakyat melalui cara pecah dan belah.

Bukan kah BN ada konsep 1Malaysia? Bukankah ini bersifat perpaduan?

Ya, benar. 1Malaysia adalah satu konsep yang bagus.

Tapi seperti yang saya katakan diatas tadi bahawa 'kesungguhan BN dalam memberi nilai utama kepada kepentingan perpaduan kaum amat mudah dipersoalkan'. Maknanya impian 1Malaysia itu tidak ada kesungguhan untuk dijadikan sebagai satu realiti.

Dihadapan orang Melayu BN ada bahasa dan nada serta mesej untuk menjaga survival orang Melayu dan agama Islam. Itu tidak salah dan wajar dilakukan. 

Yang tidak wajar dilakukan ialah apabila ada unsur-unsur jahat dalam BN dan pihak NGO Melayu yang sempit dengan bau perkauman, mempersoalkan kerakyatan kaum lain, menimbulkan perasaan takut dan ngeri bahawa Malaysia akan dikuasai oleh orang Cina yang akan melenyapkan masa depan orang Melayu dan agama Islam termasuk institusi raja-raja Melayu.

Kesemua isu-isu yang dibangkitkan itu dibangkit dan disampaikan dengan penuh perasaan bimbang dan khuatir, seolah-olah kebarangkalian berlakunya adalah  pada tahap melebihi 100 peratus. Ianya disampai dan dimomokkan berulang kali di media pandang dengar, media cetak, media berborak di kedai kopi, bisikan rumah ke rumah, dan media alam maya.

Dihadapan orang Cina dan yang lainnya, nada, bahasa dan mesejnya lain pula.  Ada yang mirip kearah 1Malaysia. Dan ada unsur yang jahat dikalangan BN yang mempersoalkan banyak hal tentang orang Melayu, hukum hudud, sekolah dan pendidikan Cina/kaum lain dan berbagai hal lagi yang sifatnya berkepentingan bagi kaum Cina/lain bertujuan untuk memenangi perasaan dan fikiran orang bukan Melayu walaupun ianya boleh menimbulkan rasa marah dan syak wasangka orang Melayu terhadap kesetiakawanan bukan Melayu itu.

Tujuannya satu saja iaitu untuk mendapat undi dari kaum itu saja. Jadi mereka yang lurus bendul, yang tidak ada sumber maklumat yang pelbagai, akan mudah terpikat dan percaya. 

Jadi adakah sebenarnya BN tidak mahukan perpaduan kaum?

Tidak. BN mahukan perpaduan kaum. Tapi cara pecah dan belah adalah sesuai dengan parti yang berjuang berasaskan kaum.

Disamping sifat bermuka-muka itu, kerajaan BN tidak ada kesungguhan untuk menyekat unsur-unsur jahat itu, dari bercambah subur. BN membiarkan saja hal itu berterusan walaupun menyalahi dari segi undang-undang negara. 

Memang ada tindakan dibuat bagi menyekat perbuatan jahat itu. Tapi hanya kepada yang bukan BN. Kalau bukan BN tapi sentiasa mesra BN, pihak itu juga mendapat layanan yang sama dari pihak yang menguatkuasa undang-undang, tiada tindakan.  
  
Inilah yang saya bimbangkan akan berterusan selepas pilihanraya ini. 

iv) Masa depan Bahasa Melayu. Melihat dari perkembangan yang saya baca dan tafsir sendiri, masa depan Bahasa Melayu amat goyah sekali. Perkara ini saya akan bicarakan dalam paparan berikutnya. 

Semua kebimbangan saya ini adalah berpunca dari kerakusan orang politik yang berkuasa dan yang mahukan kuasa. 

Isnin, 20 Mei 2013

MINDA SONGSANG





Satu lebih kecil dari dua
Tiga mengatasi dua dan satu
Satu kurang dari dua
Tiga lebih dari dua dan satu
Satu sedikit dari dua
Tiga banyak dari dua dan satu

Itulah cara mengira

Nak kira wang 
Nak kira orang 
Nak kira kerusi
Nak kira apa saja
kena ikut rukun itu 

melainkan
anda ada minda songsang

-Nak kira ramai orang
-Nak kira majoriti orang
-nak kira kerusi

berapa jumlah kerusi
begitulah bilangan orang

anda akan megah berkata
"133 kerusi sama dengan 133 orang"
  
bila datang 134 orang
anda akan berkata
"133 kerusi itu cukup bagi 134 orang"

Sesungguhnya minda anda ini
MINDA SONGSANG