Theflowersellingboy

Isnin, 19 Februari 2018

Mencari Ruang Sujud: Bajet Asal 7 ribu seorang...meningkat 10 ribu. Waduh ...




"SELESAI!"

Ya, tugas yang diberikan telah selesai. Niat untuk mengerjakan umrah , dengan izin Allah akan menjadi kenyataan.

Memang tersimpan di dalam hati untuk mengerjakan umrah, berdua suami isteri. Lebih baik semua anak-anak , menantu dan cucu turut sama. Tapi mereka mempunyai keutamaan tersendiri apa tah lagi masing-masing ada majikan yang terpaksa dirujuk untuk mendapatkan cuti, dan urusan persekolahan anak. 

Akhirnya, saya dan isteri bersama seorang anak yang tiada komitmen keluarga yang akan pergi.

Saya tidak mahu pergi menggunakan khidmat agen haji atau pakej haji kerana mahu bebas dari program berkelumpuk. Saya sendiri yang menentukan program dan aktiviti, tempat kediaman dan sebagainya. 

Saya memilih waktu ketika cuaca di Madinah dan Mekah tidak panas pada tahap 20 ke 25 darjah celcius. Cuaca semasa musim bunga dan sebahagian dari musim panas di England. Sudah tentu tidak sejuk membeku. Cuaca yang hanya memerlukan pakai selapis dua pakaian.

Maka waktu yang dipilih ialah hujung Disember 2017. Tapi ketika itu anak saya menghadapi masalah cuti. Jadi kami bersetuju untuk pergi pada awal Januari 2018.

Saya berikan tugas kepada anak saya untuk menguruskan segala-galanya seperti yang dilakukan oleh syarikat pakej haji. Tempahan hotel, tempat ziarah dan tiket kapal terbang beliau mesti bereskan, termasuk mendapatkan visa umrah.

Beliau lakukan secara online.

"BERAPA?"

Seorang tak kurang 7,000 ringgit saya diberitahu. Ertinya 21,000 bagi 3 orang. Anggaran awal saya hanya 15,000 bagi tiga orang dengan menjangkakan bahawa menguruskan secara sendiri lebih murah berbanding dengan pakej. 

Saya menggaru kepala yang rambutnya semakin menipis. 

"Itu tidak termasuk belanja makan disana dan juga shopping. Kalau masuk semuanya itu , boleh jadi 8 atau 9 ribu. Mungkin lebih".

"Waduh, fasal apa dengan pakej harganya tak lebih 7,000"?

Setelah berbincang, saya bersetuju menaikkan had kewangan kepada tidak lebih dari 25,000. Ertinya 8 ribu lebih seorang. 

Tapi saya diberitahu ianya mungkin tidak cukup kerana tempoh berada disana selama 14 hari adalah lebih lama dari yang ditawarkan oleh pakej. 

Saya mahu tahu perbelanjaan apa yang paling tinggi.

Sudah tentu belanja hotel kerana jangka masa yang lama dan hotel yang berdekatan dengan masjid sama ada di Madinah mahupun di Mekah.

Ok saya akur kerana itulah syarat yang saya telah beritahu. Kalau jarak yang agak jauh rasanya dalam usia yang sudah tujuh siri ini mungkin boleh menjejaskan untuk ke masjid.

Kapal terbang bagaimana?

Anak membuat tempahan Oman Air. Saya bersetuju dengan pilihan itu kerana telah ada pengalaman dengan perkhidmatan Oman Air. Selesa sekali.

Tapi pada masa itu saya naik business class, sudah tentu selesa.

"Kita naik business class lah".

Waduh, saya menepuk dahi.

Pada 1 Januari 2018 kami bertiga menaikki Oman Air pada jam 10 pagi menuju ke Madinah dengan transit di Musqat. Tujuan kami ialah untuk mencari Ruang Untuk Sujud. Ruang sujud yang lebih istimewa berbanding di masjid tempat kami.

Ya, ianya penuh dengan cerita dan cabaran! 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan