Lima hari berada di Madinah. Destinasi seterusnya ke Mekah.
Kami ke Mekah dengan menggunakan sebuah kenderaan yang telah ditempah lebih awal melalui seorang ustaz (pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Madinah).
Nama ustaz itu ialah Sharifuddin, pelajar tahun akhir bidang dakwah. Beliau bersama dua lagi kawan pelajar seuniversiti bertanggungjawab menguruskan keperluan kami selama berada di Madinah dan Mekah , yang antara lainnya menyediakan pengangkutan dari lapangan terbang Madinah ke hotel, Madinah ke Mekah dan Mekah ke Jeddah; juga ke tempat-tempat ziarah yang telah dipersetujui lebih awal. Kami lakukan secara online dengan bayaran kurang lebih RM3 ribu.
Ustaz ini juga akan memimpin kami dalam melakukan umrah. Hanya sekali sahaja.
Pemandu yang membawa kenderaan, seorang Arab, berusia dalam lingkungan 40an. Dia banyak bercerita dan ustaz menterjemahkan untuk kami faham.
Antara ceritanya ialah bahawa lebuhraya dari Madinah ke Mekah telah dipasang dengan bilangan perangkap laju yang terlalu banyak. Kalau tak silap saya, had kelajuan yang dimaklumkan ialah 110 km/j sama dengan had kelajuan di negara kita. Dan jika melebihi dari had itu, "tiada maaf bagimu", kata ustaz itu. Maknanya kena bayar samanlah.
Tapi, saya lihat pemandu itu memandu melebihi dari had sepanjang kami berada di lebuhraya sebelum memasuki Mekah. Cara memandunya pun menjadikan saya risau. Beliau melepaskan kedua-dua tangannya dari stering ketika menuangkan air dari cangkir ke dalam gelas kecil untuk diminum. Beliau menggunakan kedua-dua lutut kakinya untuk mengawal kenderaan. Dah lah pandu laju, kawal dengan lutut pula. Hai, pak Arab , pak Arab. Berapakah jumlah saman yang akan diterima nanti.
Kami singgah sebentar di Tanaim (mikat) untuk memakai ihram dan berniat umrah sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah.
Perjalanan kami untuk sampai di Hotel Conrad di Mekah mengambil masa dua jam lebih. Hotel ini adalah hotel 5 bintang yang belum dibina lagi pada tahun 2010 semasa saya mengerjakan haji pada waktu itu. Ianya terlalu dekat dengan Masjid Haram, satu jarak yang memang kami mahukan.
Oleh kerana kami tiba lebih awal , belum masa untuk check-in, kami buat keputusan untuk terus ke masjid untuk mengerjakan umrah.
Ikutilah cerita selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan