Sujud ialah untuk menyerah diri. Diri tiada daya lagi. Semuanya diserah dan terserah bulat-bulat. Mengharapkan yang terbaik dan menerima saja yang ditentukan.
Bagi orang Islam, menyerah diri kepada Allah. Mengaku bahawa Allah sahaja yang maha berkuasa yang menentukan segala-galanya, baik mahu pun buruk.
Pada zahirnya sujud memperlihatkan anggota badan tunduk, dengan dahi, tapak tangan , jari jemari kaki dan lutut mencecah bumi sebagai tanda tunduk dan menyerah diri pada Allah , sambil mengeluarkan kata hati menyampaikan apa yang diharapkan.
Ada masanya kita tidak menzahirkan secara yang dinyatakan diatas, hanya peryataan dan pengakuan hati kecil bahawa kita perlukan pertolongan, mengharapkan yang terbaik dari Allah.
Ketika kapal terbang yang saya naikki dalam perjalanan ke Kota Kinabalu , 'drop' disebabkan 'air pocket' seperti yang diceritakan dalam paparan yang lepas, saya menyerahkan diri kepada Allah memohon agar kami diselamatkan. Saya tidak melakukan sujud secara zahir.
Itulah sujud yang saya faham. Sesungguhnya Allah sahaja yang maha mengetahui.
Mencari tempat atau ruang sujud ertinya berusaha untuk mendapatkan ruang itu. Ruang itu tidak terhidang dan terbentang begitu sahaja, dan ruang itu menjadi istimewa kerana tidak memadai bersifat dimana-mana sahaja. Mesti ada keistimewaan yang menjadi idaman dan rebutan untuk menyerahkan diri bulat-bulat kepada yang maha kuasa.
Perlukan kekuatan fizikal dan keberanianserta pengurbanan, semata-mata untuk mendapat sujud diruang itu. Tiada pertimbangan lain selain untuk membolehkan diri mendapat ruang itu. Asalkan diri yang dapat, dan bukan orang lain yang sama-sama mengidamkan ruang itu.
"Dia mahu , dia mesti melakukan seperti kita lakukan". Itu pegangan dan prinsip yang perlu ada dan diamalkan.
Mesti keras. Tiada ikhsan?
Rasanya bukan begitu. Tapi yang penting ruang itu adalah ruang kita. Sebab kita yang mencarinya, dan mendahului dari orang lain. Itu usaha kita.
Benar, ruang sujud ada dimana-mana. Di rumah, boleh sahaja sujud. Tapi mengapa ruang masjid yang lebih istimewa.
Masjid ada dimana-mana. Mengapa Masjidil Haram , Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa yang dicari?
Dimana-mana ruang masjid Nabawi dan Masjid Haram boleh sahaja sujud, mengapa beberapa ruang tertentu seperti Raudhah di masjid Nabi dan Hijir Ismail di Masjid Haram antara lain yang menjadi idaman untuk ruang sujud kita.
Sudah tentu ada keistimewaannya.
Dengan demikian ianya menjadi idaman setiap dari kita untuk ke masjid Nabi, Masjid Haram berbanding masjid di tempat kita. Kita mesti berusaha mengumpul wang secukupnya untuk ke sana. Itulah sebabnya ada ruang sujud yang kita idamkan. Kita mencari dan kita sujud. Ah rasa puas, syukurnya tidak terkira.
Namun ada juga yang kecewa. Ada yang didalam hati menyimpan rasa sedih, dan bertanya mengapa ruang itu tidak dikongsi sama. Menfaat dan pahala dikongsi sama. Mengapa lama sangat ruang itu diguna seolah-olah tiada mahu berpisah hanya kerana kita telah mendahului menaklukkinya.
"Mengapa ruang yang istimewa itu disalahguna", ada yang bertanya tanpa mengeluarkan suara hanya dengan menzahirkan reaksi air muka kecewa, lalu berlepas lalu menuju dan mencari ruang yang lain kerana ruang itu telah ada manusia yang berlengkar tidur atau ada objek diletakkan sebagai tanda ruang itu telah ditempah awal oleh seseorang yang wajahnya tidak kelihatan diruang itu. Ruang itu sudah ada yang punya.
Mengapa? Mengapa?
Untuk mencari ruang sujud mengapa perlu mengamalkan semacam monopoli, dasar kapitalis untuk mendapatkan keuntungan yang maksima untuk diri.
Ya, untuk diri sahaja dapat pahala yang lebih!
Orang lain? Orang lain , tiada dalam otak kepala.
Saya adalah diantara begitu ramai orang lain yang mahu mencari tempat sujud. Dan saya mahu bercerita tentang mencari tempat atau ruang untuk sujud.
Ikuti paparan seterusnya , pemerhatian dan pengalaman saya mencari tempat sujud semasa mengerjakan umrah sebulan yang lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan