Theflowersellingboy

Jumaat, 16 Februari 2018

Apa Yang Ditakutkan: Naik Kapal Terbang




Awal tahun 2018 kami terbang ke Madinah dengan pesawat Oman. Perjalanan semuanya ok. Isteri sayalah yang paling bergembira dan bersyukur sangat. Dia tidak gemar naik kapal terbang. Takut katanya. Macam-macam yang kurang menyeronok dia bayangkan. Saya , takut juga tapi  buat-buat steady saja. Kalau saya kata takut, tentu melemahkan lagi semangat isteri. 

Isteri beritahu, dulu dia tidak takut . Semenjak beberapa tahun ini khususnya kehilangan MH 370 dan satu lagi pesawat MAS yang ditembak jatuh , dia tidak ada keyakinan untuk memilih kapal terbang sebagai alat pengangkutan yang selamat. Tapi nak pergi Madinah takkan nak naik kapal laut atau kereta. Jauh tu.

Oleh kerana tujuan kami nak buat umrah, maka dia rela kurbankan rasa takutnya, " Ah kalau nak mati, mana-mana saja boleh mati. Tawakkal saja lah bang", itulah yang dia selalu ucapkan kepada saya. Saya angguk sebagai menyokong kenyataannya itu.

Sesungguhnya tarikan mengerjakan umrah itu mengatasi rasa takut isteri, dan saya juga.

Apa yang dinyatakan diatas hanya mukaddimah sahaja. Ada cerita khusus yang nak saya coretkan dalam blog ini.

Sesiapa yang terbaca dalam paparan FB saya semasa berada di Mekah dulu mungkin terbaca dan mengingati janji saya untuk menulis sedikit tentang satu tajuk iaitu " Mencari Tempat Sujud" yang akan saya paparkan dalam blog ini.

Itu janji saya. Buat janji kenalah tunai janji. Apatah lagi berjanji ditanah suci.

Kami kembali ke tanah air pada 14 Januari dengan menggunakan pesawat Oman juga. Perjalanan balikpun ok. Wajah isteri cerah sekali, bersyukur kerana perjalanan selamat.

Beberapa hari kemudian terpaksa pula terbang ke Sabah, menghantar anak bertugas di Sabah. Sekali lagi kebimbangan naik kapalterbang menguasai fikiran isteri dan saya. Kisah lama datang kembali. Cerita fasal kapalterbang juga.

Saya menerima arahan bertugas di Sabah, tahun 1985.

Berbondong-bondonglah kami menaikki kapalterbang. Melainkan saya, iaitu  isteri, 3 orang anak dan seorang anak saudara adalah kali pertama menaikki kapalterbang. Mereka tidak ada pengalaman atau merasai 'air pocket' atau apa sahaja 'air turbulences'. Mereka tidak tahu.

Tiga suku penerbangan, tiba-tiba kapal terbang turun (drop). Saya tidak pasti berapa kaki. Tapi ianya amat menggerunkan. Selepas penerbangan stabil, suasana senyap sekali. Saya rasa masing-masing memohon doa , mengikut kepercayaan masing-masing agar perjalanan seterusnya tidak akan berlaku 'drop' sekali lagi, dan selamat mendarat di KK.

Ya, alhamdulillah kami selamat mendarat.

Namun peristiwa 'drop' ini tidak menghantui saya untuk menggunakan kapalterbang dalam tugas rasmi di Kuala Lumpur. Mugkin itu sahaja sistem pengangkutan yang terpaksa saya gunakan.

Isteri saya pun tidak terkesan dengan peristiwa 'drop' itu kerana dua tahun kemudian dia dan anak-anak terpaksa terbang pula ke London untuk menyertai saya yang telah berada lebih awal disana, melanjutkan pelajaran. Dia tidakpun beritahu akan ketakutan naik kapalterbang. 

Ertinya dia rasa takut naik kapalterbang semenjak berlakunya kehilangan MH 370 dan sebuah lagi pesawat yang ditembak jatuh.

Namun, ketakutan dan kebimbangan boleh sahaja dilupakan. Memikirkan mara bahaya boleh sahaja di lenyapkan.  Jika itu yang kita mahu dan yakin, kita akan lakukan walaupun kita ada pengalaman yang buruk seperti penerbangan yang menakutkan.

Bagi isteri, menyertai saya, bersama anak-anak adalah lebih penting, mengatasi risiko penerbangan. Mengerjakan umrah juga lebih penting dari mengingati ketakutan risiko perjalanan dengan kapalterbang.

Tertangguhnya tulisan mencari tempat sujud adalah kerana menghantar anak bertugas di Sabah. Dalam hal anak-anak  ini, saya berlawak juga dengan kawan kawan dengan berkata, "Aku ni , masuk anak sekolah rendah, aku yang lakukan. Masuk asrama, aku juga yang buat. Masuk universiti, aku juga terlibat. Anak bekerja, aku juga yang hantar".

Sekarang saya boleh beri tumpuan menulis. Harap-harap begitulah.

Apa kaitan kisah diatas dengan tajuk "Mencari Tempat Sujud", mungkin itu yang ditanya. Sudah tentu ada kaitan. Ikutilah paparan seterusnya.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan