Kami maklumkan kepada pihak hotel bahawa sementara pihaknya menyiapsediakan bilik, kami mahu mengerjakan umrah, dan menyerahkan beg dan barangan lain dibawah jagaan hotel. Pihak hotel bersetuju.
Dalam perjalanan menuju ke masjid, saya dapati banyak yang telah berubah. Persekitarannya penuh dengan hotel. Tidak ada lagi kedai atau gerai-gerai jualan yang kecil-kecil sebaliknya digantikan dengan bangunan moden yang besar dan tinggi yang menempatkan restoran dan kompleks perniagaan.
Begitu juga kawasan lapang yang berbatu dan berpasir (crusher run) yang biasanya menjadi tempat menunggu atau stesyen perayu bantuan (tidak sampai hati nak panggil mereka sebagai peminta sedekah kerana dalam sebuah negara yang kaya tidak sewajarnya ada peminta sedekah) yang semuanya berkulit hitam , ada yang kanak-kanak, muda dewasa dan tua, telah bertukar menjadi kawasan lapang atau dataran yang bertail (tile) putih/cerah . Cantik dan bersih. Sentiasa dicuci sebaik sahaja selepas digunakan sebagai tempat solat oleh jemaah yang tidak masuk ke dalam masjid.
Perayu bantuanpun semakin berkurangan. Saya boleh anggarkan dalam setiap kali saya melalui dataran itu, bilangannya tidak lebih dari 20 orang yang terdiri dari beberapa orang yang usianya tidak lebih dari belasan tahun dan seorang dua wanita dewasa.
Cuma agak kecewa juga kerana saya hanya dapat menyahut rayuan mereka sekali selama berada di Mekah. Sebab, jika kita menyampai sedikit bantuan kepada seseorang, maka ramailah yang akan mengerumuni kita sehingga kita merasa serba salah dan merasakan dalam keadaan bahaya.
Tapi mengapa tidak beri bantuan kepada semua yang memerlukan bantuan, bukan ramaipun?
Ya, saya gagal melakukannya.
Kemudahan tandas dan tempat berwuduk disediakan di dataran.
Setelah melepasi dataran kami sampai ke pintu untuk masuk masjid. Kami masuk , kalau tak silap saya pintu no. 88 yang dikhaskan kepada jemaah yang berihram untuk mengerjakan umrah. Jemaah tanpa pakaian ihram tidak dibenarkan melalui pintu ini.
Pintu khas untuk jemaah umrah berihram ini bertujuan untuk mengelakkan kesesakan semasa bertawaf dikawasan berdekatan dengan Kaabah kerana berhampiran kawasan itu terdapat kerja-kerja binaan sedng berjalan. Jemaah yang tidak berihram diminta melakukan tawaf ditingkat atas masjid yang mengambil hampir sejam bagi 7 pusingan. Tapi ada yang kata lebih 2 atau 3 jam. Namun saya telah merekod masa semasa saya tidak pakai ihram, ketika tawaf di atas kawasan masjid tempoh masa yang saya ambil untuk 7 pusingan tawaf hanya 45 minit sahaja.
Saya tak fikir saya mempunyai tenaga dan kekuatan yang lebih sehingga dapat melakukan dalam tempoh 45 minit. Mungkin yang melakukan 2 hingga 3 jam itu, ketika orang terlalu ramai. Tapi saya pun menghadapi suasana yang sama.
Tujuan saya memberitahu tempoh masa ini ialah kerana ada setengah jemaah yang tidak mahu untuk melakukan tawaf selain dari kawasan berdekatan Kaabah atas alasan tempoh yang lama.
Ustaz mendahului kami.
Rancangan awalnya, kami mahu memasukkan sliper/kasut dalam beg plastik dan dibawa bersama dalam melalukan tawaf dan sa'i. Namun kami ubah fikiran dan meletakkan kasut/sliper di tempat kasut yang disediakan. Isteri saya kata tawakkal sahajalah.
Bermaksud kami berserah kepada Allah dan yakin ianya tidak menimbulkan masaalah, akan dapat kami gunakan lagi. Kalaupun kasut/sliper itu tidak dapat diperolehi lagi disebabkan tidak jumpa atau terlupa tempat kasut itu diletakkan, atau tersalah diambil orang, terimalah apa yang ditentukan. Namun kami yakin tidak akan berlaku setelah berserah kepada Allah. Lagipun saya nampak ustaz begitu yakin kasut dan sliper kami akan selamat.
Kami teruskan perjalanan menuju ke Kaabah. Ustaz menentukan tempat berjumpa selepas tawaf agar kami tidak cari mencari. Beliau khuatir kami terasing/terpisah disebabkan keadaan jemaah yang ramai, yang berhimpitan , tolak menolak. Jadi jika berlaku seperti itu, kami tahu tempat yang perlu dituju untuk meneruskan sa'i.
Kami angguk dan bersetuju dengan tempat yang ditentukan ustaz itu. Kami bergerak ke hadapan melalui lorong menuju ke Kaabah untuk mencari tempat memulakan langkah pusingan umrah......
Ikuti cerita seterusnya. Apa yang berlaku ketika sa'i. Dan yang penting kepada sliper atau kasut kami.....