Theflowersellingboy

Rabu, 20 November 2013

Sedapnya Makan Sayur Bunga Durian




Bunga durian telah keluar dari kelopak, dan berguguran jatuh diatas rumput. Sukanya hati.
 
Minggu lepas bunga itu tidak kelihatan kerana masih lagi dibaluti kelopak yang berwarna hijau seperti sebiji guli. Selepas seminggu iaitu pada hari ini, 'biji guli' itu telah merekah dan terbelah mengeluarkan bunga durian.
 
Sesungguhnya seronok sekali apabila melihat bunga durian itu bertaburan diatas rumput. Tambah rezeki atas usaha sendiri. Ya, sudah tentu dengan izin Allah. 
 
Menunggu begitu lama sekali. Berbaloi rasanya. Berbaloi dan seronok, kerana sebatang pokok yang ditanam sendiri, dibaja dan diair sendiri (walau pun pada beberapa tahun yang lepas, semacam tidak dipedulikan) telah mula menunjukkan hasil.

Semasa kecil dulu, apabila tiba musim durian berbunga, dibawah setiap pokok durian yang menggugurkan bunga itu, terdapat ramai orang yang duduk mencangkung mengutip bunga itu. Ianya dijadikan sayur. Selalunya digoreng atau dijadikan sebahagian dari sayur dalam sesuatu gulai.

Bunganya yang rangup itu, amat enak dan menaikkan selera makan.

Pada musim durian berbungalah, orang kampong mendapat sayur percuma. Tidak perlu dibeli. Tuan yang punya pokok durian itu tidak akan mengenakan bayaran kepada orang yang mengutip bunga durian dari pokoknya itu. Malah berasa bangga kerana bunga pokok duriannya menjadi rebutan dan kegemaran orang kampong.

Mereka yang makan sayur bunga durian ini walaupun diperolehi secara percuma tidaklah dianggap sebagai orang miskin atau susah. Malah mereka yang mengutip bunga durian untuk dijadikan sayur itu terdiri dalam semua peringkat taraf sosial.
 
Ertinya makan sayur bunga durian itu tidak dianggap sebagai orang susah dan miskin bertaraf sosial rendah. Ianya tidak dijadikan perumpamaan atau kiasan seperti kata-kata , "dia makan nasi dengan garam saja", yang membawa maksud orang miskin tidak berkecukupan. 
 
Walaupun garam itu tidak percuma, kena dibeli, tapi sesiapa yang dikatakan begitu, orang itu adalah orang susah dan miskin. Tapi makan sayur bunga durian yang dikutip dibawah pokok durian, walaupun pokok durian orang, seseorang tidak pula dikatakan miskin.
 
Berbeza apabila seseorang itu dikatakan 'hari-hari makan nasi dengan ikan bilis saja'. Orang itu sama taraf dengan makan nasi dengan garam. 
 
Tetapi sekarang ikan bilis sudah mahal. Sudah menjadi makanan ratahan di hotel. Apabila sudah jadi makanan ratahan dihotel maka ianya sudah naik taraf. Sudah jadi makanan orang kaya dan berada. Sudah menjadi eksklusif kepada orang miskin  -tidak mampu membeli dengan banyak terlalu mahal.

Berbalik pula fasal bunga durian yang boleh dibuat sayur itu. Ada orang mungkin merasa kurang percaya atau yakin bunga durian itu boleh dijadikan sayur untuk dimakan. Mungkin takut mabuk. Mungkin takut bunga itu beracun. Dan mungkin memakan bunga durian dirasakan boleh menjatuhkan taraf sosial seseorang.

Sebenarnya sayur bunga durian itu sedap dimakan. Tidak akan mabuk jika dimakan. Tidak beracun.

Tentang taraf sosial itu bergantung kepada tafsiran masing-masing. Tapi setakat yang diketahui bunga durian ini belum jadi sayur yang diperdagangkan, tidak seperti sayur pucuk ubi, pucuk paku, daun turi, pucuk labu, daun keledek dan sebagainya. 
 
Mungkin disebabkan ianya belum bertaraf yang diperdagangkan, atau kata lain yang ditidak diberi nilai wang (tidak dijual beli), dan boleh dikutip dengan percuma, maka ada anggapan bahawa ianya hanya satu sayur bagi dimakan oleh orang bertaraf sosial rendah atau orang miskin.

Atau adakah kerana ianya jatuh diatas tanah dan rumput dan perlu dikutip maka ianya tidak mempunyai nilai untuk dibuat makanan.

Saya tidak tahu. Tapi apa yang saya tahu ialah makan sayur bunga durian ini, yang mana ianya sayur kegemaran dan menjadi makanan saya sejak dari kecil, sehingga sekarang dan masa depan, sayur bunga durian ini amat enak dan sedap sekali, khususnya yang digoreng dengan rencahan cili dan bilis.

Kalau rasa buah durian terlalu enak bagi kebanyakan orang, yang makan sambil duduk mencangkung, sayur bunga durian inilah yang mewariskan keenakan dan kesedapan buah durian itu. Bunga durianpun dikutip dengan cara mencangkung, sama seperti penggemar isi durian yang makan sambil mencangkung. Tanyalah sahabat kita orang Cina, macam mana cara makan durian yang 'best' sekali'. Sudah tentu jawabnya, mencangkung.

Tapi untuk rasa enak sayur bunga durian, kita tidak perlu makan secara mencangkung. Duduk saja atas kerusi atau duduk bersila diatas lantai dan ratahlah bunga durian yang telah digoreng. Bertambah nasi yang akan dimakan.

Jika sayur bunga durian ini sudah ramai yang suka makan maka ianya bolehlah masuk dalam pasaran, diperdagangkan. Dengan cara ini ianya boleh menjadi satu dari sumber makanan kegemaran dan sekali gus sumber pendapatan tambahan terutama kepada orang-orang kampong yang mempunyai pokok durian. 

Berilah nilai tambah kepada hasil pokok durian.

Makan malam nanti sayur yang akan terhidang ialah sayur bunga durian yang digoreng. Saya menunggu dengan keujaan yang amat sangat. Maklumlah makan sayur kegemaran dari kecil. Maklumlah makan sayur bunga durian dari pokok yang ditanam sendiri, bukan diupah orang lain menanamnya seperti pokok durian di dusun yang jauh dari rumah.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan