Theflowersellingboy

Selasa, 12 November 2013

Jenayah Dalam Negara Kaya Rakyat Miskin.



Benarkah kenyataan bahawa kemiskinan membuatkan seseorang itu melakukan jenayah?

Bagi saya ada kebenaran kenyataan tersebut. Tapi tidak semuanya benar.

Benar tapi tidak semuanya benar? Apa maksudnya?

Saya cuba mengusahakan jawapan dengan melihat  negara kita Malaysia.

Menurut Global Finance, Malaysia ditempat 55/184 dari segi ukuran kaya miskin sesebuah negara didunia ini. GDP per capita Malaysia diukur dari segi Pariti-Kuasa- Beli (Purchasing-Power-Parity -PPP) adalah sebanyak US 17,775.70, dan Malaysia dikategorikan sebagai negara berpendapatan pertengahan rendah per capita (medium GDP per capita -PPP). Berbanding dengan Singapura yang menduduki tempat ke 3/184, GDP per capita (PPP) adalah sebanyak US 61,567.28, yang masuk dalam kategori GDP per capita (PPP) tertinggi (Highest GDP per capita -PPP).

Perbezaan pendapatan diantara Singapura dan Malaysia begitu jauh sekali, melebihi 3 kali ganda, walaupun dulunya Singapura adalah sebahagian dari Malaysia. Kita telah jauh tertinggal.

Berbanding dikalangan negara-negara ASEAN, kedudukan kita adalah ditempat ke 3, selepas Singapura -US61567.28, Brunai -US 55,663.47, dan diikuti Thailand US 10,848.74, Indonesia US 5,302.03, Filipina US 4,691.15, Vietnam US 3,750.00, Laos US 3,260.59, Kemboja US 2,579.06 dan Myanmar US 1,490.53.

Malaysia dikategorikan sebagai negara berpendapatan pertengahan rendah. Secara relatif kita adalah miskin berbanding dengan Singapura, sebuah negara pulau yang tidak kaya dengan sumber alam. Dan kita adalah lebih baik dari negara-negara ASEAN yang lain dari segi ukuran pendapatan. Dalam kata lain Malaysia lebih kaya dari negara-negara selain dari Singapura dan Brunai dikalangan kelompok ASEAN.

Sememangnya Malaysia adalah sebuah negara yang kaya. Cuma kayanya Malaysia itu tidak terzahir dalam bentuk pendapatan kepada sebahagian besar rakyatnya, sekaligus tidak menzahirkan kesejahteraan hidup rakyat.

Sebab itu saya amat bersetuju apabila ada pihak menyatakan atau mempersoalkan: Malaysia sebuah negara kaya tapi rakyatnya miskin, mengapa? 

Saya jawab begini: Sebahagian besar rakyat Malaysia terperangkap dalam jerat kemiskinan dalam sebuah negara yang makmur dan kaya dengan sumber alam.

Ketahuilah bahawa Malaysia mempunyai pekerja warga asing yang terlalu ramai khususnya dalam pekerjaan tidak mahir yang ada setengah pihak menganggarkan lebih dari 4 juta. Mereka ini terdiri dari yang masuk secara sah, dan juga secara tidak sah.

Empat juta pekerja warga asing dengan senangnya boleh menenggelamkan penduduk tempatan dalam banyak negeri dinegara ini, jika pekerja warga asing itu dikumpulkan setempat, misalnya di Melaka yang mempunyai bilangan penduduk hampir 700,000 orang saja. Nisbah 7 warga asing , 1 penduduk warga tempatan. Bahaya tak? Rugi tak dari segi persaingan pekerjaan terutama pekerjaan tidak mahir atau yang memerlukan kemahiran yang tinggi atau peluang meningkatkan ekonomi?

Kita lihat pula negara asal pekerja warga asing itu. Mereka ini datangnya dari Indonesia, Filipina, Bangladesh, Myanmar, India, Nepal, Pakistan dan ada juga dari Vietnam. Kedudukan negara-negara ini dari segi GDP per capita (PPP) adalah - Indonesia US 5,302.03, di kedudukan 122/184, Filipina US 4,691.15, 127/184,  Bangladesh US 2,174.32,  151/84, Myanmar US 1,490.53,  162/184,  India US 4,060.22,  130/184, Nepal US 1,347.62,  166/184 dan Pakistan US 2,969.68,   139/184.

Semua negara-negara itu adalah dalam kategori berpendapatan rendah atau negara yang sebahagian besar rakyatnya miskin. Rakyat miskin, tidak semestinya negara itu miskin.

Maka Malaysia adalah destinasi pilihan mereka untuk mendapat pekerjaan menjadi pembantu rumah, pengawal keselamatan, buruh binaan, pembantu stesyen petrol, pembantu restoran dan warung kedai makan, penjual di pasar malam dan pekerjaan lain seperti menjadi pemandu kenderaan dan berbagai kerja rendah disektor perkilangan. Ada juga yang berpeleseran tanpa pekerjaan akibat tertipu oleh mereka yang membawa masuk ke Malaysia.

Mengapa mereka datang dan bekerja di Malaysia?

Sudah tentu Malaysia boleh menawarkan pendapatan yang lebih baik berbanding dengan pekerjaan yang sama di negara asal mereka. Itupun kalau ada peluang pekerjaan di negara mereka. Ertinya juga di Malaysia peluang berbagai pekerjaan rendah terbuka luas kepada mereka.

Ke mana perginya rakyat Malaysia? Adakah tiada pengangguran di Malaysia?

Rakyat Malaysia yang setaraf dengan kemahiran pekerja asing itu masih ada dan tetap tinggal di Malaysia.  Mereka terlalu dahagakan pekerjaan.

Tapi sebahagian besarnya tidak mahu melakukan atau kurang berminat kerja-kerja yang diambilalih oleh pekerja asing itu.  Kerana gaji yang ditawarkan oleh majikan terlalu rendah diukur dari segi keperluan sebuah kehidupan yang munasabah atau yang sepatutnya dalam sebuah negara yang kaya dengan sumber.

Maksudnya wang gaji yang mereka terima mestilah mencukupi untuk menghasilkan simpanan bagi membolehkan mereka membayar pinjaman membeli sebuah rumah yang berharga RM 50,000 keatas misalnya, atau menyewa rumah pada bayaran sewa RM 500 sebulan, dan mampu memiliki sebuah tv dengan pilihan termurah pakej astro, memilik sebuah motorsikal 250 cc atau sebuah kereta viva atau kancil, mampu membayar tarif bulanan letrik dan air, memiliki peti sejuk kecil, mesin basuh, jika ada anak, mampu membayar tambang bas sekolah, membayar tuisyen, mengupah pengasuh dan sebulan sekali mampu makan luar bersama keluarga.

Berapakah gaji sebulan yang wajar dan mesti dibayar oleh majikan? Kalau setakat RM 500 sehingga RM 1500, ianya tidak akan mampu untuk dapat satu kehidupan yang munasabah dan sepatutnya dalam sebuah negara yang kaya dengan sumber. Bergantung pada lokaliti, gaji paling manima mestilah tidak kurang dari RM 2,000 sebulan. Jika duduk dibandar-bandar besar seperti KL, Putra Jaya, Johor Baru , Ipoh, Pulau Pinang  dan yang lainnya , gaji RM 2,000 itu hanya 'celah gigi' saja. Maknanya tidak akan dapat hidup pada tahap yang munasabah.

Maknanya juga pendapatan kurang dari RM2,000 dan bekerja di KL  akan  membuatkan seseorang hanya mampu tinggal di rumah yang daif dan dalam persekitaran yang tidak sihat. Hanya pekerja warga asing saja yang sanggup duduk dalam binaan seperti itu yang banyak terdapat di tapak-tapak binaan projek , dibawah jambatan dan lorong-lorong sempit, dan sanggup berkongsi 10 orang dalam sebuah bilik kecil.

Wajar dan patutkah rakyat sebuah negara yang kaya dari segi sumber, mendapat kehidupan seperti itu?

Jawabnya tidakk patut. Ianya menjatuhkan maruah dan martabat negara dan rakyat itu sendiri.

Jadi pendapatan minima yang boleh memberikan kehidupan yang munasabah seperti yang digambarkan dalam kemampuan memiliki dan berbelanja seperti diatas perlu dilaksanakan. Tanpa kajian yang mendalam saya berpendapat pendapatan yang wajar ialah RM 2,000 sebulan.

Tapi malang sekali bagi pekerjaan-pekerjaan rendah itu, upah dan gaji adalah terlalu kecil. Ada majikan yang menawarkan gaji RM400 sebulan. Kuasa beli apa ini? Apa barang atau perkhidmatan yang dapat dibeli?

Bukan saja pekerjaan berkemahiran rendah, pekerjaan berkemahiran tinggi seperti jurutera tidak juga dibayar pada upah yang sepatutnya. Ada majikan yang membayar RM 1500 , 1800 dan paling tinggi 2,000 sebulan. Jadi apa bentuk respons dari para jurutera dan professional yang lain terhadapa tawaran gaji seperti itu? Ada yang berhijrah ke negara lain. Tapi tidak semua yang akan berbuat begitu. Mereka menerima gaji tersebut dengan perasaan tidak puas hati.

Sebahagian besar rakyat Malaysia sebenarnya terperangkap dan terjerat dalam sebuah negara yang kaya dalam kehidupan yang miskin. Bertambah buruk lagi apabila ada segolongan kecil yang ada kuasa dan pengaruh, hidup bermewahan melampaui sangat tahap kehidupan yang munasabah. Kesannya ialah perasaan tidak puas hati, rasa benci kepada majikan termasuk pemerintah, marah kepada pekerja warga asing.  

Apakah ini bukan bahan terbaik bagi melakukan jenayah? Jawapan saya ,ya, tapi tidak semestinya terhad kepada golongan itu saja.

Bagaimana pula pekerja warga asing. Adakah dengan pekerjaan yang ditawarkan itu boleh memuaskan mereka untuk tidak melakukan jenayah? Tidak sepenuhnya benar. Jenayah masih lagi sebahagian dari cara mereka untuk meraih kemakmuran di Malaysia. Mereka juga masih miskin yang telah termasuk jerat dalam sebuah negara yang kaya.

...............Bersambung.





















Isnin, 11 November 2013

Mengerja Haji dan Umrah: Kita Buat Sekali Saja, dan Duit Yang Berlebih Kita Bantu Orang Lain Untuk Buat Haji dan Umrah

Bahawa kedudukan ekonomi seseorang itu banyak mempengaruhi peluang seseorang untuk menunaikan haji dan  umrah. Lagi baik kedudukan ekonomi, lebih besarlah peluang seseorang untuk melakukan ibadat-ibadat tersebut, walaupun ianya tidak mutlak benar kerana ada juga faktor-faktor lain yang juga penting seperti sihat tubuh badan dan kuota haji yang telah ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi sesebuah negara. Jika lambat mendaftar di Tabung Haji lambatlah giliran seseorang untuk dapat menunaikan haji.

Mungkin giliran menunggu untuk menunaikan haji agak lama maka ramai orang yang mengerjakan umrah terlebih dahulu.
 
Melakukan ibadat umrah, bagi setengah pihak adalah amat perlu dan berfaedah sebelum menunaikan fardhu haji.. Pengalaman mengerjakan umrah ini dapat membantu seseorang untuk melakukan ibadat haji dengan lebih yakin lagi. Cuma, tidak ramai yang dapat berbuat demikian kerana kurang mampu. Dapat buat hajipun, hanya selepas bertahun-tahun mengumpulkan wang dan berdaftar dengan tabung haji. 

Ada juga yang melakukan kerja umrah (diluar musim haji ) pada setiap tahun. Ada juga selang beberapa tahun. Ada yang memilih bulan Ramadhan untuk melakukan umrah, untuk mengalami sendiri bagaimana suasana orang Islam menjalani ibadat umrah dan puasa di Mekah dan Madinah.
 
Dan ada yang tidak berpeluang melakukan umrah seperti itu walaupun dalam hati teringin sangat untuk melakukan umrah terutama dalam bulan Ramadhan. Orang ini hanya dapat membuat haji, sekali dalam seumur hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah kepada yang mampu dan tiada halangan yang lain.

Dan ada orang yang tidak dapat langsung mengerjakan umrah apatah lagi haji disebabkan uzur atau tidak mempunyai kemampuan kewangan.
 
Begitulah halnya dengan ibadat Rukun Islam yang kelima ini.

Kepada yang telah dapat melakukan haji dan juga umrah marilah kita panjangkan kesyukuran kehadrat Ilahi. Ramai lagi mereka yang belum lagi tertunai hasrat untuk melakukannya. 
 
Oleh kerana kuota haji boleh menyebabkan masa menunggu begitu lama maka sesiapa yang telah mengerjakan haji, wajarlah merelakan diri memberi peluang kepada orang lain yang belum pergi haji terutama mereka yang telah lanjut usia. Maksudnya, kita tidak perlu segera mendaftar untuk mengerjakan haji berikutnya.

Bagi saya, memberi peluang kepada orang lain untuk menunaikan haji adalah satu sikap, sifat dan tindakan, yang amat terpuji sekali. 
 
Selain dari itu didapati bahawa memang ada orang yang mampu dari segi wang, kesihatan dan pengaruh untuk melakukan haji dan umrah pada setiap tahun atau bila-bila masa dalam setahun untuk mengerjakan umrah. Bilangannya tidaklah ramai. 
 
Tapi jika orang seperti ini yang mempunyai wang, sihat tubuh badan dan yang ada pengaruh, hanya melakukan haji sekali dalam seumur hidupnya, mereka juga  membantu mempercepatkan orang lain yang belumpun pernah sekali mengerjakan haji untuk menunaikannya. Saya percaya, Allah akan memberi balasan pahala kepada orang seperti itu.
 
Wang adalah faktor utama yang memudahkan kita untuk dapat mengerjakan haji dan melakukan umrah. Ada wang yang mencukupi, bolehlah kita mendaftar untuk mengerjakan haji. Ada wang yang mencukupi bolehlah seseorang itu melakukan umrah diluar musim haji atau dalambulan Ramadhan. Dan jika ada wang yang berlebihan kita mampu melakukan kerja haji dan umrah lebih dari sekali, atau umrah setiap tahun sekali.

Tiada wang maka tiadalah haji dan umrah. 

Kita percaya Allah akan memberi balasan pahala terhadap perbuatan haji dan umrah kita itu. Logiknya ialah jika kita lakukan banyak kali maka sudah tentu kita akan mendapat pahala yang lebih banyak. Maknanya kalau kita mampu dari segi kesihatan dan wang maka mengapa pula bilangan mengerjakan haji itu perlu dihadkan sekali saja. Bukankah lebih baik kita  melakukan haji lebih dari sekali atau banyak kali, dan umrah setiap tahun sekali atau lebih dari sekali.

Dari segi banyaknya balasan pahala kerana menunaikan haji banyak kali, dan umrah sekali atau beberapa kali dalam setahun, hanya Allah saja yang maha mengetahui. 

Tapi saya percaya dengan memberi peluang kepada orang lain mengerjakan haji, Allah juga akan memberi balasan pahala kerana kita menolong orang lain untuk sama-sama dapat megerjakan haji.

Adalah lebih manis dan menambah eratkan jalinan kasih sayang dan persaudaraan jika seseorang yang telah menunaikan haji itu, yang mempunyai wang yang lebih yang mahu digunakan untuk menunaikan haji sekali lagi atau melakukan umrah banyak kali, menggunakan wang itu bagi membiayai orang lain yang tidak berkecukupan untuk mengerjakan haji atau umrah.
 
Saya tidak pasti yang mana satu lebih afdal atau balasan pahalanya lebih. Mengerjakan haji lebih dari sekali untuk diri sendiri, dan mengerjakan umrah banyak kali bagi diri sendiri atau membantu orang lain yang tidak berkecukupan wang untuk mengerjakan haji dan umrah. Cuma saya merasakan lebih baik kita yang telah pergi haji itu membantu orang lain untuk mengerjakan haji. Dan bagi kita teutamanya yang setiap tahun mengerjakan umrah, lebih baik kita membiayai orang yang belum pernah buat umrah.
 
Sekali lagi kalau ditanya dari segi balasan pahala, saya katakan hanya Allah saja yang maha mengetahui. Kedua-duanya adalah amalan yang baik.
 
Adakah dalam hati atau dalam diri kita telah subur segar satu perasaan yang saya panggil sebagai nafsu ketamakan diri?
 
Kita mahu melakukan sendiri perbuatan haji atau umrah . Kita merasakan wang berlebih yang kita ada itu adalah lebih baik kita sendiri yang gunakan. Kita rasa ralat atau semacam tidak sanggup orang lain menggunakan wang kita itu untuk melakukan haji atau umrah walaupun kita tahu ada balasan pahala jika wang itu kita gunakan bagi orang lain mengerjakan haji atau umrah.
 
Ya, ada ketamakan dalam diri kita. Kita mahu merasakan kepuasan melakukan sendiri haji dan umrah dari wang berlebihan itu.  Kita merasakan tidak puas jika wang berlebihan itu digunakan oleh orang lain.

Saya percaya terlalu susah bagi kita untuk menjadi tidak tamak walaupun bagi tujuan membantu dan mendapat balasan pahala. Sebab itu kita selalu mendengar cerita seseorang yang pergi umrah berulang kali. Jarang atau mungkin tidak ada cerita seseorang memberi wangnya kepada orang lain yang tidak ada wang untuk melakukan haji atau umrah.

Kalaulah mereka yang ada wang berlebihan itu, yang telah menunaikan haji, yang selalu buat  umrah,  menggunakan wangnya untuk membantu orang lain yang belum pernah buat haji atau umrah, alangkah baiknya. Soal pahala biarlah Allah tentukan. Kalau kita dapat melakukan begitu, kita berjaya membuang nafsu tamak dalam diri kita, walaupun perasaan tamak itu kita merasakan sebagai tamak untuk melakukan yang baik. 
 
Tapi membantu orang lain juga satu amalan yang baik dan dapat pahala. Bukan itu saja bahkan ianya mengeratkan lagi rasa kasih sayang dan saling bantu membantu diantara kita. Ianya lebih bersifat jemaah, tidak individualistik. Tapi ianya perlukan kekuatan hati untuk membuang nafsu tamak dalam diri. Tidak mudah tapi boleh dan perlu diusahakan.
 
 
 
 
 
 
 

Rabu, 6 November 2013

Parti Politik dan Kerajaan: Apa bezanya

Masih lagi kedengaran dakwaan setengah pihak bahawa wang dan peruntukan kerajaan itu adalah wang parti politik yang menguasai kerajaan. 
 
Dakwaan ini membuatkan pihak tersebut sentiasa mempersoalkan mengapa ada pihak tidak menyokong parti yang menguasai kerajaan, atau tidak berterima kasih kepada parti yang menguasai kerajaan.
 
Malahan jika ada kritik terhadap cara  kepimpinan kerajaan menguruskan aset dan sumber negara, orang yang mengkritik itu dianggap sebagai  cuba memburuk-burukkan negara.

Sama ada mereka faham atau tidak atau sengaja buat-buat tidak faham, itulah sebenarnya yang berlaku di Malaysia.

Maka paparan kali ini cuba menjelaskan perbezaan diantara kerajaan dan parti yang mengusai kerajaan dalam bahasa yang mudah.

Parti politik yang memenangi pilihanraya boleh menubuhkan kerajaan. Kerajaan yang dibentuk oleh parti yang menang akan menguruskan negara untuk kepentingan semua rakyat dan tidak terhad kepada ahli-ahli parti politik itu saja.
 
Parti politik menjaga kepentingan ahli-ahli parti tersebut. Kerajaan pula menjaga kepentingan semua rakyat .
 
Kerajaan menguasai dan seterusnya  menguruskan segala sumber dan aset negara melalui undang-undang dan institusi dan mekanisma yang telah ditetapkan. Parti politik hanya menguasai dan menguruskan segala sumber dan aset parti itu saja.

Segala bentuk bantuan, kemudahan dan projek-projek pembangunan adalah untuk faedah rakyat. Ertinya jalan atau pun sekolah yang dibena adalah bagi maksud kegunaan rakyat. Balai raya yang dibena adalah untuk digunakan oleh rakyat. 

Parti politik yang menjadi kerajaan tidak berhak menghadkan penggunaan balai raya hanya kepada ahli parti itu saja. Begitu juga dengan benaan-benaan yang lain seperti masjid, parti politik yang menjadi kerajaan itu tidak boleh menggunakan bagi kepentingan parti politik itu.

Apa-apa saja bayaran atau kenaan seperti cukai yang telah ditentukan oleh undang-undang mestilah dibayar oleh rakyat, tidak terhad kepada ahli politik bagi parti yang membentuk kerajaan. 

Pendapatan/hasil atau segala terimaan kerajaan hendaklah dimasukkan kedalam satu akaun khas atau Kumpulan wang yang dinamakan Kumpulanwang Yang Disatukan Persekutuan/Negeri. Dan pendapatan/hasil atau terimaan dalam Kumpulanwang ini hanya boleh dikeluarkan melalui satu Akta Perbekalan yang akan dicadang oleh kerajaan, dibahas, dipertimbang dan diluluskan oleh Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
Ini juga bermakna wang yang telah diluluskan oleh Parlimen/DUN hanya boleh digunakan setakat yang diluluskan oleh Parlimen dibawah Akta Perbekalan itu saja. Adalah melampaui atau menyalahi (ultra vires) Perlembagaan Persekutuan/Negeri jika kerajaan berbelanja lebih dari jumlah yang telah diluluskan oleh Parlimen/DUN.
 
Ertinya kerajaan tidak boleh berbelanja lebih dari apa yang telah diluluskan. 
 
Mana-mana projek yang tidak ada dalam belanjawan asal yang telah diluluskan, tidak ada peruntukan disediakan baginya. 
 
Untuk melaksanakan juga projek tersebut, yang selalunya diumumkan dalam sesuatu kempen pilihanraya, maka peruntukan yang telah diluluskan bagi projek asal, boleh digunakan. 
 
Tapi projek asal itu tidak boleh dilaksanakan jika kesemua peruntukan telah digunakan bagi melaksanakan projek luar belanjawan itu. 
 
Dalam kata lain, kerajaan tidak boleh berbelanja lebih dari yang telah diluluskan oleh Parlimen/DUN.
 
Parti politik yang membentuk kerajaan itu tidak boleh menggunakan wang dari Kumpulanwang Disatukan itu untuk tujuan dan kepentingan parti itu. 
 
Bermakna, wang dari Kumpulanwang Disatukan itu bukan wang parti politik yang menguasai sesuatu kerajaan. Ianya juga bererti segala projek atau pemberian yang dilakukan oleh kerajaan itu , dalam apa keadaan sekalipun misalnya dalam pilihanraya, bukanlah wang parti politik itu.

Segala aset kerajaan termasuk agensi dan penjawat awam, bangunan, kenderaan dan peralatan kelengkapan tidak boleh digunakan untuk tujuan dan maksud politik misalnya menggunakannya dalam kempen pilihanraya oleh parti yang menguasai kerajaan.

Ertinya adalah tidak benar dan salah sama sekali mengatakan wang yang dibelanjakan kerajaan itu adalah wang parti politik yang menjadi kerajaan. 
 
Tidak ada satu sen wang parti politik digunakan untuk menguruskan kerajaan termasuk dalam melaksanakan program dan projek kerajaan.

Adalah diharapkan paparan yang pendek ini dapat memahamkan pihak-pihak yang tidak faham bahawa ada perbezaan diantara parti yang menguasai kerajaan dengan parti itu sendiri dari segi tanggungjawab dan peranan. 
 
Kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat.
 
Parti politik bertanggungjawab kepada ahli-ahli parti itu saja.