(Buat Sahabatku Penjawat Awam)
Jika kaya yang kau mahu
lupakan saja kerjaya mu itu
kau dibayar bukan menurut jumlah waktu
kau dibayar hanya untuk bersetuju
Jika kuasa yang kau mahu
lupakan saja nafsu mu itu
turunkan saja tanda tanganmu itu
itu saja yang kau perlu laku
Jika masyhur nama yang kau mahu
mimpi dan khayal sudah menggoda otak mu
kau hanya pemalu gong tukang beritahu
kau tidak lebih dari itu
Apa lagi yang kau mahu?
Sahabatku
Aku tahu mengapa kau mahu jadi kaya
sebab hatimu cemburu
kerana orang itu boleh kaya sekelip mata
Aku faham mengapa kau mahu kuasa
kerana kau bermatian dari A hingga ke Z
sedang orang itu hanya perlu menggerakkan jari saja menunjuk kearahmu
Aku juga tahu
namamu sekadar tersenarai sebagai urus setia
sedang orang itu mesti disebut dalam setiap bicara
Sahabatku
setinggi manapun kedudukan mu dalam hiraki
kau tetap penjawat awam
setinggi manapun kedudukan mu dalam hiraki
kau tetap penjawat awam
dibawah naungan empat perkataan
Saya Yang Menurut Perintah
Saya Yang Menurut Perintah
Wahai sahabatku
kau tidak kebal seperti orang itu
Ingat sahabatku
kau hanya penggalang ganti
untuk kena seligi
atas kesilapan yang tidak pernah kau mahu buat
atas kecurangan orang itu
Oleh itu sahabatku
jika kau mahu terus bekerjaya
patuhilah perintah
setakat yang direstui Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan