Theflowersellingboy

Isnin, 13 April 2015

Gesaan Najib Meletakkan Jawatan: Demi kepentingan parti, dan individu atau kepentingan negara dan rakyat.




Mahathir minta Najib letak jawatan adalah bagi mengelakkan UMNO/BN kalah dalam pilihanraya. Sebab, Najib telah dan sedang  melakukan banyak kerosakan dalam urustadbir negara disamping kegagaaln beliau menjawab persoalan siapa yang mengarah membunuh Altantuya.

Itu alasan Mahathir. 

Seterusnya , jika UMNO/BN kalah, ianya tidak menguntungkan orang Melayu, kata Mahathir lagi. Dan Mahathir bimbang jika UMNO/BN kalah maka beliau dan ramai pemimpin UMNO/BN akan diheret ke mahkamah oleh kerajaan yang menang nanti. 

Kebimbangan Mahathir ini turut dikongsi sama seorang bekas Menteri UMNO/BN.

Bagi saya pergeseran diantara Mahathir dan Najib ini perlu dilihat dari segi kepentingan rakyat dan  negara, bukan kepentingan parti dan individu.

Perkara yang menjadi isu pergeseran adalah tentang mengurus tadbir negara. Bahawa tadbir urus negara yang baik itu akan memberi menfaat kepada negara dan rakyat, dan jika sebaliknya, rakyat dan negara akan rugi.

Mahathir mendakwa Najib tidak menguruskannya dengan baik dan sepatutnya. Maka dengan sebab itu ianya memberi kesan yang buruk. 

Dua kesan buruk yang telah diramal oleh Mahathir iaitu (i) UMNO/BN akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang, dan (ii) Pemimpin UMNO/BN akan diheret ke mahkamah oleh parti yang menang.

Maka menurut logik dan kemahuan Mahathir, Najib mesti segera meletakkan jawatan sebagai formula terbaik bagi mengelakkan kesan buruk itu.

Maknanya jika Najib letak jawatan UMNO/BN akan menang dalam pilihanraya akan datang dan terselamatlah pemimpin-pemimpin dari diheret ka mahkamah.

Jadi bukan soal kepentingan negara dan rakyat. Lebih kepada kepentingan diri dan parti.

Oleh itu asas Mahathir itu juga sama dengan asas Najib mempertahankan jawatannya -untuk diri dan parti.

Persoalan yang boleh ditanya: Apakah ada jaminan Najib tidak diambil tindakan apabila kuasa dilepaskan? Dan benarkah UMNO/BN akan terus menang jika Najib meletakkan jawatan?

Jika seseorang itu percaya kepada hukum keadilan jawapannya sentiasa konsisten walau apa pun kedudukan orang itu.  Sama ada orang itu masih memegang kuasa mahupun telah menjadi mantan kepada kuasa, jawapan orang itu tetap sama.

Orang itu akan menjawab bahawa jika ada dakwaan salah laku atau salah urus negara, orang yang dituduh diberi ruang seadil-adilnya, dengan pihak berkuasa melakukan siasatan, mendakwa jika ada bukti dan diberi peluang membela diri dalam perbicaraan di mahkamah.

Jadi siapapun yang dituduh melakukan kesalahan, tanpa kira parti , termasuk Najib dan Mahathir , misalnya kerana salah urus aset negara, proses-proses keadilan mesti juga terpakai iaitu dakwaan itu disiasat, ada pendakwaan dan peluang membela diri di mahkamah.

Dan ini juga yang selalu dinyatakan oleh Mahathir dan Najib. Mengapa pula ada rasa bimbang diheret ke mahkamah kalau didakwa melakukan kesalahan.

Jika Najib didakwa melakukan kesalahan maka beliau tidak boleh dikecualikan dari proses keadilan itu. Begitu juga Mahathir, Anwar Ibrahim dan pemimpin dan orang lain.

Ertinya, sama ada Najib masih berkuasa atau telah meletakkan jawatan atau UMNO/BN kalah dan tidak berkuasa lagi, Najib mesti juga melalui proses yang sama.

Meletak jawatan bukan jalan untuk lepas dari proses keadilan itu. Tidak juga jika UMNO/BN kalah dalam pilihanraya. Keadilan mesti ditegakkan.

Sama ada UMNO/BN masih berkuasa atau hilang kuasa, soal  diheret ke mahkamah tidak perlu berbangkit. 

Najib akan selamat atas dakwaan  salah urus negara dan sebagainya, jika orang yang menerajui kerajaan nanti mengamalkan  pendakwaan secara memilih. 

Adakah ini menjadi amalan? Dijauhkan Allah.

Berdasarkan dakwaan Mahathir yang menggesa Najib meletak jawatan, dan jika Najib meletak jawatan, Najib sewajarnya diheret ke muka mahkamah melalui proses keadilan. Tidak perlu ditunggu sehingga UMNO/BN kalah. Begitu juga dengan orang lain termasuklah dari parti pembangkang, orang biasa dan parti UMNO/BN.

Jika proses keadilan itu diamalkan sama ada oleh kerajaan UMNO/BN atau kerajaan parti lain , kepentingan rakyat dan negara akan sentiasa terpelihara dengan mengenepikan kepentingan individu dan parti.

Tentang masa depan UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang, Mahathir yakin UMNO/BN akan berkuasa lagi sekiranya Najib letak jawatan. Tapi jika sebaliknya UMNO/BN akan kalah. Itu ramalan Mahathir. 

Namun ramai juga orang yakin dan percaya sama ada Najib meletakkan jawatan atau terus jadi PM, UMNO/BN akan kalah kerana terlalu banyak kerosakan yang dilakukan. 

Tapi paling malang sekali tiada tindakan keatas mereka yang melakukan kerosakan. Itu sebabnya Mahathir mahukan UMNO/BN menang dan terus berkuasa.

Wallahulam.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan