Kita selalu dengar, orang berkata 'apa ada pada nama' yang membawa maksud bahawa bukanlah nama itu yang dilihat atau yang dijadikan asas bagi menilai peribadi seseorang. Dalam kata lain jika namanya baik dari segi maksud yang dibawa atau cantik dari segi sebutan atau ada yang namanya jelik dari segi sebutan dan tidak ada maksud yang baik yang dibawa, ianya tidak akan mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang.
Ada yang namanya membawa maksud baik dan sedap pula sebutannya tapi perangainya macam 'syaitan'. Dan ada yang nama sebaliknya tapi perangainya baik. Begitu juga nama yang baik , perangai pun baik juga. Dan nama yang jelik, perangai macam syaitan.
Jadi sebab itu orang selalu menyebut 'apa ada pada nama'.
Namun begitu dalam Islam kita digalakkan memilih nama yang baik. Dan kita sentiasa mengharapkan nama yang baik itu tidak dicemari dengan perangai yang tidak senonoh. Tapi kalau nama kita sudah diberi sebegitu, terimalah seadanya, dan tentukan perabadi kita mempamerkan yang terbaik, walaupun nama kita tidak secantik atau sebaik yang kita harapkan.
Selain dari memilih nama yang dikatakan baik, kita juga selalu mendengar tentang ramai orang yang terlalu mengambil berat tentang memilih angka seolah-olah angka itu terlalu penting dalam membawa sesuatu yang terbaik bagi dirinya atau keluarga atau kelompok.
Angka itu dikatakan terbaik dari segi mengangkat status sosialnya, dipercayai membawa tuah dan keberkatan, tidak memberi mudharat, dipercayai dan telah diterima masyarakat ramai sebagai angka yang menjadi kesukaan dan rebutan dan macam-macam tanggapan lagi yang kesemuanya mengarah kepada memberi kebaikan jika angka itu dimiliki atau digunakan, dan menjauhkan mudharat jika angka itu dijauhi atau tidak dimiliki.
Begitulah sikap kebanyakan orang yang gila angka (selalu disebut gila nombor) yang akan bekerja keras dan menggunakan apa cara bagi mendapat atau menjadikan angka itu sebagai sesuatu yang dekat dan terlekat pada peribadinya, dan ada kaitan dalam kehidupannya atau dalam menentukan hari bagi sesuatu peristiwa yang mahu dicatat dan dikenang dalam sejarah kehidupannya.
Dan mereka yang gila angka ini meliputi semua lapisan masyarakat. Lagi tinggi, berada, kaya dan besar kuasa orang itu , lebih tinggilah tahap kepercayaan dan kemampuan untuk memiliki angka itu atau memggunakan angka itu. Maknanya lebih tinggi tahap kegilaannya.
Kegilaan pada angka ini tidaklah semuanya dianggap atau dikategorikan sebagai tidak wajar. Ada orang yang bekerja kuat untuk mendapat kedudukan nombor satu dalam persaingan. Misalnya dalam kedudukan dalam kelas. Orang atau pelajar itu belajar bersungguh-sungguh sehinggakan setiap kali peperiksaan, dia saja yang memonopoli angka nombor satu. Macam nak gila kalau dia tidak dapat nombor satu.
Dan macam-macam kegilaan lagi misalnya dalam lumba lari dan penghasilan sesuatu perkhidmatan atau karya.
Gila semacam diatas itu bolehlah dikira wajar, dan perlu juga digalakkan.
Namun ada orang yang gila angka untuk perjudian. Pantang bermimpi tentang sesuatu angka atau melihat kemalangan sesebuah kenderaan, angka yang dimimpi itu atau nombor pendaftaran kenderaan itu akan digunakan dan dibeli dalam perjudian empat nombor angka yang selalu disebutkan sebagai 'main ekor'.
Satu lagi kegilaan terhadap angka ini ialah angka tertentu bagi plet pendaftaran kenderaan. Angka yang menjadi kegilaan itu angka tunggal dari nombor 1 hingga 9. Dan diantara angka-angka itu ada darjat kehebatannya mengikut minat dan tafsiran mereka yang mahu memilikinya. Dan ada angka itu cuba dielakkan kerana dipercayai tidak membawa tuah, misalnya bagi masyarakat Cina mereka akan mengelak dari memiliki nombor 4.
Seterusnya ada yang meminati dua angka yang sama, tiga angka yang sama dan empat angka yang sama.
Kegilaan kepada angka tertentu bagi plet pendaftaran kereta ini adalah mainan mereka yang ada kuasa, kedudukan dan dan kaya. Ertinya mereka yang mampu, ada wang.
Setiap kali sesebuah negeri itu mahu mengeluarkan siri pendaftaran kenderaan yang baru maka orang-orang yang berkemampuan itu, dan mungkin sudah masuk ke tahap gila angka, akan cuba mendapat angka yang diminati misalnya angka 1, 2, 3, 5, 7, 8 dan 9. Itulah angka-angka yang popular yang menjadi rebutan. Sekiranya angka itu ada kaitan dengan sesuatu peristiwa yang ada kaitan dengan orang itu misalnya tarikh lahir dan sebagainya, lagi bertambah gilalah untuk mendapat angka itu.
Cuma untuk mendapat angka pendaftaran kenderaan itu, seseorang itu perlu bersaing secara tawaran tender. Sesiapa yang memberi tawaran yang tertinggi, dialah yang ditawarkan. Itu adalah prinsip tawaran. Tapi ianya tidak semestinya berlaku seperti itu. Sebab sistem buatan manusia boleh saja dikacaubilaukan. Jadi jangan kecewa jika dalam persaingan itu anda tidak dapat angka yang diminati kerana anda perlu sedar selain dari wang ada faktor lain seperti kuasa dan darjat juga memainkan peranan dalam pertimbangan bagi memiliki harta itu.
Kalau tidak percaya cuba anda bersaing dengan orang yang ada kuasa dan darjat. Saya mempunyai kepercayaan bahawa anda akan tewas. Tawaran anda yang tinggi akan diatasi oleh mereka yang ada kuasa dan darjat.
Tapi mengapa perlu kecewa. Apalah ada pada nombor atau angka. Yang anda perlu tanya ialah mengapa anda sanggup keluar wang begitu besar semata-mata untuk mendapatkan angka itu. Mahu dipandang hebat?
Tidak mengapa anda mahu dipandang hebat kerana mampu mengatasi tawaran pesaing anda. Tetapi anda juga kena tanya tidakkah lebih hebat jika sebahagian wang itu digunakan bagi menolong orang yang memerlukan terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat?
Ya, wang anda, andalah yang berhak menentukan penggunaannya.
Tapi dalam kebanyakan hal, jarang sekali kita menggunakan wang yang begitu besar hasil dari titik peluh sendiri bagi mendapatkan angka itu berbanding misalnya untuk membeli kenderaan. Oleh itu anda kena juga bertanya diri anda sendiri mampukah hasil titik peluh anda berbuat begitu? dan wajarkah ianya dilakukan begitu? Dan tanya lagi adakah kawan pesaing anda itu juga mampu berbuat begitu? Perlukah dia berbuat begitu?
Saya percaya anda akan mendapat jawapan. Dan saya mengharapkan jawapan itu membantu anda untuk tidak kecewa jika anda tidak terlibat dalam persaingan mendapat angka itu. Dan anda juga akan mula bertanya dari mana pesaing anda itu mendapat wang yang begitu besar? dan mengapa dengan mudah mereka berbuat begitu? Adakah wang itu hasil dari titik peluhnya, yang jatuh berjijiran atas usaha dan kerja keras mereka.
Dan anda akan tahu jika anda berpeluang mendapat maklumat lebih terperinci siapakah pesaing anda yang berjaya dalam rebutan angka itu. Kalau anda sudah tahu, jangan pula kecewa. Sebab apa ada pada angka. Apa ada pada angka yang diperolehi bukan dari hasil titik peluh kita sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan