Theflowersellingboy

Isnin, 11 Julai 2011

Bersih: 6,000 ke 50,000 dan lebih?

Selepas berhimpun, dua belah pihak yang bertentangan masing-masing mengeluarkan statistik bilangan mereka yang turut serta, sudah tentu statistiknya tidak sama. 

Mereka ini, yang memandang menggunakan mata ( ada juga yang memakai cermin mata untuk memberi penglihatan yang lebih jelas, kecuali orang yang cacat penglihatan) dan mendengar dengan telinga malah yang memang pandai mengira telah memberi jawapan yang berbeza bagi soalan yang sama.  

Anggaran mereka terlalu jauh bezanya, Kerajaan kata 6,000 tapi Bersih kata 50,000 malah lebih dari itu. Yang mana satu yang kita boleh percaya. Dan yang paling penting ialah anggaran yang kita boleh terima kerana kalau percaya saja tanpa sanggup menerima tidak akan ada gunanya.

Biasanya dalam membuat sesuatu anggaran telah diperuntukkan satu ruang untuk membenarkan kita membuat kesilapan. Maklum sajalah anggaran. Tambah-tambah lagi perhimpunan seperti ini yang telah diberi status 'haram'. Mana kan sempat hendak dikira para peserta yang dihambat oleh pihak berkuasa, lari bertempiaran takut kena tangkap. 

Kesilapan yang dibenarkan dalam hal perhimpunan seperti ini ,yang mesti bergelut, dan kelam kabut ini wajar diberikan sebanyak 10%.  

Lebih satu ribu peserta telah ditangkap, dan ada yang cedera juga. Kasihan ada seorang yang meninggal dunia, tidak tahulah mengapa kerana kedua-dua pihak memberi tahu cerita yang berbeza. Lihat, hal kematianpun mereka terus berbeza.

Yang kena tangkap 1 ribu lebih. Bermakna 5 ribu atau kurang sedikit 5 ribu telah terlepas dari tangkapan. Ini juga bermakna terlalu amat mudah bagi pihak berkuasa untuk 'mengurus' para peserta yang tinggal tidak melebihi 5 ribu itu kerana dari segi personnel terlalu mencukupi dan siap sedia. Peralatan bantuan? Lebih dari mencukupi kalau itulah angkanya. Macam kacang goring yang mudah dikunyah-kunyah. Tidak ada masalah-problem.

Ada juga setengah pihak mengatakan bahawa kita tidak boleh ketepikan angka dari pihak yang berkuasa begitu saja kerana mereka yang mengawal sudah tentu lebih arif dan mempunyai peluang untuk mengira. Lagipun, tambahnya, ini bukan kali pertama mereka berhadapan dengan perhimpunan 'haram' seperti ini. Mereka telah biasa termasuklah mengeluarkan statistik para peserta yang mereka 'urus'.


Dengan demikian angka dari Kerajaanlah yang kita boleh percaya dan boleh terima.

'Tidak secepat itu kita boleh percaya dan boleh terima angka Kerajaan itu' , kata mereka dipihak sana, yang lagi satu- Bersih. 

Hujah mereka mudah saja dengan melaporkan perkara-perkara berikut. Itupun katanya banyak lagi yang tidak sempat dilaporkan kerana lari daripada kena penerajang dan gas pemedih mata. Begini bunyi laporannya:

i) Kerajaan telah memberi status haram keatas perhimpunan ini
ii) Sebelum tiba hari perhimpunan kerajaan telah menangkap mereka yang disyakki bersama dengan Bersih, misalnya memakai baju berwarna kuning bertulis Bersih.
iii) Sekatan jalanraya juga telah diadakan sebelum hari perhimpunan. 
iv) Bandaraya Kuala Lumpur telah juga diistiharkan tidak boleh dimasuki oleh nama-nama tertentu yang telah disenaraikan
v) Pada hari perhimpunan telah diperhebatkan sekatan dari memasuki Kuala Lumpur untuk menuju ke Stadium Merdeka.
v) Telah berlaku pergelutan dan tembakan gas pemedih mata. Ada yang cedera.
vi)  Lebih 1 ribu orang telah ditangkap.
vii)Sedih juga seorang peserta perhimpunan meninggal dunia.
viii) Banyak lagi, tak sempat nak catat. Terpaksa lari lintang pukang. Pedihnya mata, badan rasa gatal-gatal.

Kemudian pelapor ini minta kita 'extrapolate' maklumat itu untuk mendapat satu anggaran yang katanya tidak akan jauh dari 50,000 peserta.

Sesiapa yang pandai cara yang dicadangkan  bolehlah berbuat demikian.  Ingat , kesilapan yang dibenarkan ialah 10%  saja.


Jadi yang mana satu betul?  


Tapi ada yang kata angka tidak penting. Yang penting peristiwa itu telah berlaku walaupun dalam keadan 'haram'. Sebab katanya peristiwa yang telah jadi 'haram' itu sepatutnya tidak berlaku. Berlaku juga. Apa maknanya?

Kita bincang pasal perbezaan angka, orang ini pula cakap pasal peristiwa. Pening kepala.

Ahad, 10 Julai 2011

Siakap Senohong......

Serangkap pantun yang terkenal pada suatu ketika dulu yang mungkin ketika ini telah dilupai bertujuan untuk mendidik moral terutama dikalangan anak-anak kecil tiba-tiba menyelinap dalam otak kepala:
Siakap Senohong  
Gelama Ikan Duri
Bercakap Bohong 
Lama-lama Mencuri

Ya, kalau kita sentiasa bercakap bohong ia akan menjadi satu kesedapan untuk berbohong, satu ketagihan seperti orang merokok. 
Apa saja yang kita bicara atau bual atau menjadi saksi atau berhujah atau berjanji kita pasti dipengaruhi nafsu untuk bercakap yang tidak benar, yang bohong. Kita yang suka berbohong berbuat demikian kerana  ia boleh mengelakkan kita dari mendapat malu atau dihukum, dan memberi faedah kepada kita secara tidak sah dan haram dan merugikan atau menganiayakan pihak lain. Ego kita juga tidak akan tercemar jatuh ke tahap yang rendah yang kita tidak boleh terima. Pendek kata berbohong itu  memberi 'keuntungan' kepada kita dan merugikan pihak yang kita bohongi.


Bercakap bohong ini akan lebih berbahaya jika kita mempunyai kuasa, sama ada kuasa yang kita perolehi secara turun temurun atau kuasa yang diamanahkan. Dengan kuasa yang ada pada kita sudah cukup bagi kita untuk melakukan sesuatu kerana perbuatan kita itu mempunyai legitimasi yang boleh dipertahankan dan diterima oleh masyarakat.  

Oleh kerana kita suka bercakap bohong dan kita juga ada kuasa maka apa halangan yang ada bagi kita untuk bercakap bohong. Sudah tentu pembohongan demi pembohongan kita berani lakukan kerana kuasa memberi kekuatan kepada kita malah melindungi kita untuk berbuat demikian. Walaupun ada yang tidak percaya dan mempersoalkan integriti kita, tapi apa ada hal kerana kuasa boleh menolong kita menepis segala hujah dan kenyataan dari pihak lain. Kalau mereka banyak cakap, kita humbanlah mereka dimana kita suka.


Tetapi kalau kita tidak ada kuasa, jangan cuba hendak bercakap bohong walaupun yang kecil. Malah jika kita bercakap benar sekalipun cakap itupun boleh dikatakan tidak benar oleh penguasa yang suka bercakap bohong. Rosak binasalah kita nanti.


Kita yang ada kuasa yang bercakap bohong boleh dengan mudah memutar belit sesuatu maklumat dan fakta. Yang hitam dan semua orang tahu ianya sebenarnya hitam, kita boleh kata putih, dan ada juga orang walaupun dimata dan dihati tidak percaya ianya hitam tetapi dengan pengaruh kuasa kita, akan berkata ya, benar itu adalah putih. Macam dalam cerita Nujum Pak Belalang.


Hari ini kita berjanji sesuatu, dan janji kita itu dimasyhurkan kepada khalayak ramai secara terbuka dan meluas. Esok hari , oleh kerana kita ada kuasa, kita kata kita tidak berjanji seperti itu. Dan dengan selamba kita beri tahu bahawa kita tidak pernah berkata begitu. Mengapa? Sebab kita sudah biasa berbohong tambah-tambah lagi kita ada kuasa. Siapa yang boleh lawan kita? Betul juga!


Siakap senohong 
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Lama-lama mencuri

Orang yang bercakap bohong tetapi tiada kuasa ,tidak pergi jauh kemana. Lebih-lebih jadi pencuri, dan kalau ditangkap dan dibicara dan disabitkan kesalahan orang itu akan dihukum.

Orang yang ada kuasa, dan suka bercakap bohong, menjadi pencuri, maksud kita mencuri harta yang diamanahkan untuk diurus atau senang kata ambil rasuah, tidak boleh ditangkap. Dan jika pun ada masanya 'ditangkap' atas keperluan-keperluan tertentu, orang itu biasanya terlepas dari hukuman kerana setelah dibicara , didapati tiada bukti untuk mensabitkan dianya bersalah.

Dengan itu kita terlalu khuatir apabila ada pihak cuba menggubah pantun yang lama itu menjadi seperti berikut:

Siakap Senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Lama-lama jadi menteri.

Kita khuatir  kerana menteri-menteri adalah orang-orang yang telah kita beri kepercayaan dan amanah untuk menguruskan khazanah negara untuk kepentingan kita semua. Mengapa tercetusnya rasa hati sehingga tergubahnya pantun seperti diatas? Tak kan menteri yang kita beri kepercyaan itu bercakap bohong? Tidak mungkin!






Sabtu, 9 Julai 2011

Menghadiri Majlis Kahwin Dengan Memandu Kereta Yang Kotor. Selamat!

7.15 petang: Baru saja sampai dari Bandar Tasik Selatan (BTS) setelah menghadiri majlis perkahwinan anak  saudara sepupu. Sebelum ke BTS telah menghadiri satu lagi majlis perkahwinan anak seorang kawan seperjawatan dulu. 



Dalam majlis pertama itu ramailah berjumpa kawan-kawan lama yang masih lagi berkhidmat termasuk bekas dan ahli pentadbiran kerajaan negeri . Seronok juga berjumpa dengan mereka kerana telah lama tidak berjumpa.

Seorang dari mereka menyatakan pada hari ini beliau mempunyai 4 jemputan majlis perkahwinan. Saya tidaklah merasa luar biasa kata-katanya itu kerana saya pernah juga mendengar seseorang yang mendapat lebih dari 10 jemputan sehari terutamanya ahli-ahli pentadbiran kerajaan. Maklumlah mereka orang politik , ramai yang kenal mereka. 

Cuma didalam hati saya berkata, kalau satu rumah dihulur RM10.00, maka pada hari itu orang itu akan mengeluarkan wang RM100.00. Tapi takkan YB nak beri RM10.00 saja. Paling kurang RM50.00 satu rumah, menjadikan RM500.00. Itu baru hari Sabtu. Esok sudah tentu ada jemputan yang perlu dihadiri. Minggu depan hari Sabtu dan Ahad ada lagi jemputan. Katakan satu hari RM500.00, sebulan RM4,000.00.

Kiraan itu atas andaian jemputan yang diterima sebanyak 10 rumah sehari. Mungkin ianya tidak realistik. Tapi sekarang majlis perkahwinan tidak lagi mengambil pertimbangan cuti sekolah. Bila-bila hari Sabtu dan Ahad boleh diadakan.

Juga andaian dibuat bahawa wang yang dihulur RM50.00 satu rumah. Mungkin begitu. Tapi rasanya tidak begitu terutama jika terlampau banyak menerima jemputan. Mungkin RM10.00 satu rumah melainkan rumah orang-orang yang ada pengaruh yang boleh menarik penyokong untuk menyokong orang politik itu, misalnya Ketua-ketua Bahagian. Kalau semua hendak dihulur RM50.00, atau pun RM20.00, matilah YB tu . Mana nak cari ongkos? Kalau tak sudi hadirpun tak boleh juga. Nanti tak dipangkahnya bila bertanding nanti. Wah, serba salah YB dibuatnya.

Itu YB. Bagaimana dengan yang lain yang pendapatan tak seberapa?  Tambah-tambah pula harga barang yang sentiasa meningkat. Tak  hulur tak kena juga kerana kita tidak membantu majlis kawan kita tu. Nak hulur seperti dulu-dulu tahun 60an iaitu seringgit dua dan paling banyak lima ringgit pun tak sedap juga. Jadi hulurlah setakat RM10.00 untuk satu rumah rasanya ok kalau hari itu ada 10 jemputan. Tapi satu atau dua jemputan hulurlah RM20.00 satu rumah. Kalau tak mampu RM10.00 boleh juga asalkan kita dapat sedikit sebanyak merengankan beban kawan kita itu. 

Kalau nak tahu bahawa huluran itu amat dihargai, tunggulah nanti ketika kita mengadakan majlis untuk anak kita nanti.

Jangan pula kerana tak dapat membantu wang kita tidak hadir jemputan kawan, Datanglah. Itupun sudah menggembirakan hati kawan kita yang sentiasa senyum diluar semasa menyambut kita. Tapi dalam hati, Allah, dia suami isteri dan orang yang pernah mengadakan majlis kahwin sedia tahu, berdebar-debar: cukup atau tak cukup makanan untuk tetamu. Tetamu datang ke tidak dan macam-macam lagi. Jadi kalau kita datang walaupun tidak membuat huluran ianya masih membantu menceriakan sahabat kita itu.



Semasa hendak bertolak ke BTS seorang kawan mengingatkan saya akan sekatan jalan raya yang akan saya hadapi berikutan perhimpunan Bersih. Saya dan isteri mula berbelah bagi untuk ke majlis itu. Melihat wajah saya yang agak risau itu kawan saya sempat bergurau: Jangan risau kereta kelisa you berwarna merah, comot pula, kotor. You tak kena tahan punya. Polis nak cari yang Bersih dan warna kuning saja. Maka saya suami isteri dan kawan itu pun ketawa terbahak-bahak. Dengan penuh semangat saya dan isteri ke BTS dan selamat pergi, selamat kembali. Alhamdulillah.