Theflowersellingboy

Sabtu, 16 April 2011

Yang Mana Satu Pilihan Kalbu

Jam 8 malam 16 April 2011 hari Sabtu duduk diatas sofa menghadapi tv, Aku terpaksa membuat pilihan program yang mana satu perlu ditonton dan dikuti. Keputusan pilihanraya DUN Sarawak atau Perlawanan Tenis Monte Carlo? Biasanya dihari yang lain Aku  hanya tonton program sukan saja, program  yang lain telah lama  Aku ucapkan 'bye'  'bye' kerana tidak menarik dan terlalu membosankan, tak kisahlah kalau waktu tayangan dikategorikan sebagai waktu perdana. Banyak yang tidak menarik dan membosankan tidak kurang juga yang meloyokan tekak dan buat dosa kering saja kalau menontonnya.

Tapi kali ini berlainan sekali. Ini perkara penting, hal politik negara. Aku perlu ambil tahu walaupun hal rakyat Sarawak . Rakyat Sarawak adalah sebahagian dari rakyat Malaysia. Susah dan senang mereka Aku wajar ambil tahu walau pun tidak dapat membantu. Siapa yang menang dan parti mana yang berjaya menubuh Kerajaan. Ini penting. Ada kah parti yang sama kekal terus mentadbir, dan jika kekal adakah majoriti bertambah atau menurun? Adakah parti yang baru yang memanggil diri mereka sebagai Pakatan Rakyat menang? Setakat mana menangnya itu?  Aku perlu ambil tahu.

Tapi malam ini ada tenis. Nadal, pemain yang Aku minat bermain dalam separuh akhir. Ini juga terlalu penting bagi Aku. Ya, kita bolih tengok ulang tayang. Tapi bagi Aku tidak menimbulkan keseronokan, sebab dah tahu keputusan. Keputusan pilihanraya, bagaimana? Yang ini tahu kemudian pun tidak meninggalkan apa-apa kesan, sebab mereka, orang Sarawak telah buat keputusan. Terimalah saja keputusan mereka.

Jadi Aku telah buat keputusan yang mana satu pilihan kalbu: Tenis Monte Carlo- Nadal lawan Murray. Aku sokong Nadal. Jangan buruk sangka mengatakan Nadal beri Aku gula-gula seperti dalam pilihanraya. Tidak. Tidak sama sekali.

Tahniah kepada Nadal dengan doa dan harapan dari Aku anda berjaya.

Tahniah kepada calun yang menang dan parti yang bakal menubuh Kerajaan Sarawak dengan pesanan jangan lupa janji dan berkhidmatlah untuk kesejahteraan rakyat Sarawak.

Calun dan parti yang kalah pula Aku mengharapkan berlapang dada dan teruskan perjuangan jika anda percaya perjuangan anda itu untuk kesejahteraan rakyat Sarawak. Cuma kali ini anda belum diberi kesempatan.

Apa pun menonton NADAL PLIHAN KALBU.

Hitch hiking-Batu4 Jalan Cheras ke Johor Baru....4

Aku berdiri di Pantai Lido, Johor Baru setelah gagal untuk memasuki Singapura

Masjid tempat kami bermalam itu ialah Masjid Parit Jawa. Jam enam pagi kami memulakan perjalanan menuju ke Batu Pahat dan seterusnya bercadang untuk ke Johor Baru pada hari yang sama, sekiranya ada kenderaan yang sudi memberi  tumpang untuk kami  kesana. Setelah berjalan hampir satu jam, kami pun berhenti disebuah gerai makanan untuk sarapan pagi. Terdapat beberapa buah kenderaan yang berhampiran dengan gerai itu.

Kami duduk dimeja dibahagian luar gerai dimana telah sedia ada dua orang dewasa dalam jangkaan Aku berusia dalam lengkungan empat puluhan. Dosmy mendahului Aku menegur mereka sambil menjeling padaku. "Apa khabaq pakcik?" Dosmy menghulurkan tangan bersalaman dengan mereka. Aku pun turut sama. "Khabaq bek. Mai Aloq Staq ka?" Muka Dosmy berubah, Aku pun sama. 'Habislah kali ini', bisik hati kecilku.Dosmy semyum tak keruan. Beliau menganggok kepala "Ya,  Sg Korok", Dosmy dapat juga memberi jawapan tapi bukan dari Alor Star sebaliknya dari Sg. Korok kampong kawan sekelas  kami Abu Hasan. Kami diberitahu kampong ini jauh dari Alor Star, ulu.

Dosmy dan Aku pantas bangun menuju kebahagian dalam gerai untuk buat pesanan bagi mengelakkan perbualan yang berpanjangan.  Aku memesan nasi lemak beserta teh sedangkan Dosmy memesan kopi dan lontong ,masih lagi gunakan  loghat utaranya sambil menguit kakiku sebagai ingatan supaya jangan gunakan loghat selatan. Kemudian kami sepakat bersetuju duduk ditempat yang sama untuk mengelak sebarang kecurigaan.

Dimeja makan kami bersua dengan pakcik tadi sambil tersenyum kami mengambil tempat duduk masing masing. "Hampa dari mana? Nak kemana?" Tanya pakcik yang berhadapan dengan Dosmy. Aku telah buat keputusan dalam hati tidak akan mencampuri perbualan takut-takut bercanggah pula dengan fakta atau perkara yang dicakapkan oleh Dosmy. "Kami dari KL, dari sekolah, nak pi selatan, hitch hike. Cuti sekolah", lancar juga Dosmy berbual. Tapi beliau tidak pula kata nak ke Johor Baru sebaliknya mengatakan nak pergi selatan. "Kami nak pi Pontian, mai sama", ajak pakcik tadi sambil memandang kawan disebelahnya yang menganggok kepala. Dosmy memandang Aku, mungkin minta persetujuan. Tapi Aku telah berjanji untuk tidak mencampuri perbualan mereka."Terima kasih, tapi dua kawan kami tak mai lagi. Janji, pukul tujuh, pasai apa tak sampai lagi?" Pandai juga Dosmy kelentong untuk menolak pelawaan pakcik tadi.

Dua orang pakcik tadi membuat bayaran termasuklah makanan yang kami pesan. Mereka menuju ke kereta sambil mengucapkan supaya kami selamat dalam perjalanan. Kami meberikan ucapan yang sama.

Aku dan Dosmy mengurut dada tanda lega setelah dua orang pakcik itu tidak kelihatan lagi. Kami bangun dan memulakan perjalanan.

Semasa kami berjalan ketawa terbahak-bahaklah Aku dan Dosmy mengingatkan perkara yang telah berlaku. Petang semalam, kami mohon tumpang tidur dengan memilih rumah yang besar, kononnya hanya yang berpelajaran tinggi saja memilikki rumah besar dan bersikap 'sporting'. Hakikatnya, kami diminta tidur di masjid. Hari ini, padan muka kami, khususnya Dosmy, yang senyum tak keruan apabila orang yang ditemui datangnya dari utara,  Alor Star. Tak dapat nak kelentong panjang. Nasib baik disekolah ramai budak-budak Kedah, kalau tidak nama Sg. Korok tidak akan terkeluar dari mulut Dosmy. Begitulah kisah yang membuatkan kami ketawa terbahak-bahak. "Aku tobat. Kita cakap bahasa biasalah", Dosmy membuat keputusan dan Aku bersetuju.

Lama juga kami berjalan tetapi belum ada lagi kereta yang sudi berhenti. Aku dan Dosmy berhenti berihat sekejap. Kami berteduh dibawah pohon yang rendang sambil duduk mencangkong. Dari jauh disebelah utara kami ternampak sebuah kenderaan menuju kearah kami. Lalu dengan segera kami ketepi jalan sambil melambai-lambai tangan mengharapkan kenderaan itu berhenti. Wah, nasib kami begitu baik kali ini kerana kenderaan itu berhenti didepan kami.

Tanpa berlengah kami membuka pintu kenderaan dan menyatakan hasrat kami "Nak ke JB, boleh tumpang?", Tanya Dosmy kepada pemandu yang masih muda, walaupun kami tahu memang tujuannya untuk memberi kami tumpang, cuma setakat mana kami belum pasti. "Jemput naik. Saya nak ke JB juga". kata abang pemandu itu sambil menghulurkan tangan bersalaman. "Dosmy dan yang belakang kawan saya Ai", Dosmy memperkenalkan diri termasuk diriku juga. Abang pemandu menoleh ke belakang, dan memperkenalkan dirinya Ismail.

Kami melupakan  hasrat untuk singgah di Batu Pahat khuatir nanti susah untuk mendapat kenderaan ke JB. Kereta abang itu meluncur laju menuju JB.

Jumaat, 15 April 2011

Salam Jumaat......7

SJ kepada anda Budiman. Kita berjumpa lagi bagi minggu ketujuh. Harap semua sihat walafiat.

Kali ini SJ hendak menumpang cerita berkaitan dengan pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) yang akan diadakan esok hari 16 April 2011. SJ hanya mampu menumpang cerita kerana SJ akan bercerita berdasarkan cerita dari pihak lain yang SJ dengar, dapati melalui berbagai sumber , kerajaan dan yang belum menjadi kerajaan.

Kedua-dua pihak nampaknya sedang hebat memasarkan parti dan personaliti yang mereka pertaruhkan, yang mereka istilahkan sebagai 'winnable candidate', calun yang boleh membawa kemenangan. Mungkin mereka praktikkan kaedah dan teknik pemasaran yang canggih manggih yang dapat mempengaruhi dan meyakin orang yang layak mengundi untuk mengundi calun mereka. SJ percaya penggunaan media jaringan sosial seperti internet, twitter, blog dan laman sesawang yang lain dimenfaatkan sebaik mungkin khususnya dikawasan bandar atau kawasan yang boleh dicapai melalui talian tersebut, selain kaedah konvensional secara mengadakan rapat dan lawatan rumah ke rumah.. Tetapi dikawasan yang masih lagi tertinggal dari segi kemudahan itu, kaedah konvensional digunakan sepenuhnya.

Dari segi kita sebagai pengundi, apa pun kaedah yang mereka gunakan bukanlah sepatutnya kita jadikan asas untuk memberikan kepercayaan memilih atau mengundi mereka. Kalau itulah yang kita buat, sebenarnya kita telah mensia-siakan hak yang terlalu bernilai memilih atau mengundi mereka yang tidak sepatutnya mewakili kita. Sebenarnya kita telah terperangkap dengan kecanggihan kaedah mereka dan bukan kemampuan atau kesanggupan mereka untuk memberi khidmat yang sebaiknya. Kalau begitu, kita jangan menyesal dan marah-marah apabila mereka mengecewakan kita. Tunggulah sehingga tiba masa yang lain pula , dan buat sementara tanggunglah sendiri kesengsaraan yang kita sendiri cipta.

Menyentuh tentang kaedah dan teknik pemasaran yang mereka gunakan, kita nak menyentuh perkara yang kita panggil sebagai gula-gula pilihanraya. Ya, maksud kita ialah janji yang dibuat oleh mereka. Bukan masalah janji itu sendiri kerana bagi kita janji itu adalah satu keperluan untuk menyatakan kesungguhan mereka untuk membawa kebaikan kepada kita semua, demi kesejahteraan hidup kita bersama. Tetapi yang kita tidak bersetuju ialah janji yang tidak pernah tertunai semasa mereka atau parti mereka berkuasa. Malah kepercayaan yang telah kita beri disalahgunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan sahabat taulan dan kenalan rapat mereka. Kita tidak persoalkan mereka dan yang bersahabat dengan mereka jadi kaya, tahniah kita ucapkan. Tapi caranya tidak kena disamping melupakan kita hidup sengsara. Kalau dulu rumah kita hampir menyembah bumi, ketika ini juga keadaannya sama atau lebih teruk lagi.

Seterusnya kita jangan terpedaya dengan pemberian-pemberian segera pilihanraya. Kalau mereka ikhlas, kenapa sebegitu lama mereka tidak pernah menunjukkan budi baik memberikan kita berbagai macam hadiah dan pemberian. Ini ialah gula-gula. Makan banyak gula nanti kena kecing manis, bahaya.

Oleh itu pandai-pandai dan secara bijaksana gunakan hak kita supaya tidak tereperangkap dengan kaedah yang mereka gunakan. Selamat mengundi.