Theflowersellingboy

Isnin, 7 September 2015

Tersasar Pun Tidak Mengapa Asal Bos Suka.




Aku dan tiga orang lagi, siap sedia untuk memukul bola golf pada lubang pertama. Aku diberi keutamaan untuk memulakan pukulan, menghormati sebagai ketua paling kanan dalam jabatan, dan bukan kerana aku adalah yang paling baik diantara mereka. Handicap ku masih tetap sama, pada tahap 24, dari mula hinggalah terkini, setelah lebih 10 tahun bermain golf. 

Mat, buruh dikelab golf itu, sentiasa ada bersama setiap kali aku bermain golf, bukan sebagai kedi. Akupun tidak suka pakai kedi. 

Tugas Mat adalah untuk mengiringi ku dari satu lubang ke satu lubang, memberi peransang, memuji setiap kali aku memukul bola golf. 

"Shot", itulah yang selalu disebut oleh Mat, selepas menyaksikan bola pukulan ku itu terbang. 

Shot bagi Mat adalah satu pukulan yang cantik, baik dan yang menyukakan hati ku. Kawan-kawan ku juga selalu menyebutnya begitu. Tapi berbeza dengan Mat, bagi mereka pukulan itu adalah 'good shot', cuma perkataan 'good' itu tidak disebut, malas agaknya atau ianya tidak perlu disebut kerana shot sudah cukup untuk membawa maksud satu pukulan yang baik, yang layak dipuji.

Biasanya aku tersenyum apabila mendengar pujian Mat itu walaupun bola golf yang ku pukul itu tidak menepati sasaran yang hendak dituju. Dalam banyak kali, tersasar masuk bunker, kolam atau jika bermain di AKCC bola itu masuk hutan. Hari ini, lain sekali.

"Apa yang shot nya,  bola tu shank masuk kolam", aku sergah Mat. Mat terpinga-pinga. Dia tidak percaya sergahan itu datang dari ku.

"Maaf tuan. Tapi saya nampak bola tu ok, tak masuk kolam".
Kawan-kawan ku yang tiga orang itu mengangguk-angguk kepala bersetuju apa yang Mat cakap. Tapi mata ku jelas melihat bola itu masuk kolam.

"Saya ingat ada ditepi kolam, tak masuk , boss", Harun, penolong kanan jabatan meyakinkan aku.

Mat mempercepatkan langkah untuk melihat bola itu walaupun tiga orang lagi masih belum mengambil giliran memukul. Bahaya. Tapi boss punya fasal , mereka yang tiga orang terpaksa menangguhkan pukulan sehingga Mat sampai ke tempat yang dituju.

Mat melambai-lambaikan tangan sambil menunjuk kebawah sebagai isyarat bola golf itu tidak masuk dalam kolam, ada ditepi kolam.

Aku tidak percaya. Tapi kawan-kawan ku menunjukkan wajah ceria, tersenyum, 'ok' bos, kata mereka.

Aku sampai di kolam. Mat menunjukkan bola golf yang terletak cantik ditepi kolam itu sambil tersenyum. Aku juga tersenyum.

Aku tahu, Mat sudah buat kerja menipu. Bola yang aku pukul itu adalah bola baru dari jenama lain dari  bola yang terletak cantik di tepi kolam itu. Bola itu ada sedikit luntur dari segi warnanya.

Tidak mengapa. Kalau Mat disergah lagi, habislah mood untuk bermain golf, mendapatkan kerehatan otak, melepaskan tekanan kerja di pejabat.

Tadi, aku menghadiri satu mesyuarat untuk bersama-sama membuat keputusan yang paling penting. Bos besar, itulah panggilan yang kami gunakan, mempengerusi mesyuarat. Urus setia mesyuarat mengedarkan kertas kerja setebal 4 muka sebagai kertas cadangan untuk diputuskan.

'Memohon Persetujuan Untuk Membeli Saham Syarikat  Yang Tersenarai Di Bursa Saham Secara Pembiayaan Pinjaman'.

Begitulah tajuk kertas yang baru diedarkan itu. Darahku menyirap, entah berapa bacaan tekanannya aku tidak pasti. Tapi aku sangat marah. 

Pengerusi meminta pencadang kertas membentangkan cadangan. Tapi sebelum sempat dia melakukan nya, aku masuk campur bertanya mengapa kertas cadangan diedar pada hari mesyuarat, kenapa tidak seminggu atau dua tiga hari sebelum mesyuarat bagi membolehkan ahli mesyuarat membaca, meneliti dan mengakaji cadangan dalam kertas itu.

Terkebil-terkebil pembentang kertas itu. Dia tidak dapat menjawab.

Dengan segera pengerusi campur tangan. Pengerusi mengatakan bahawa perkara ini perlu disegerakan kerana tawaran ini ada tempohnya, jika lambat diambil maka tawaran akan luput, dan akan dibuat kepada pihak lain. Kita kena buat keputusan segera.

Aku memandang wajah pengerusi dan sudah dapat membaca isi hatinya. Dia mahu keputusan segera, ok , no problem. Tapi keputusan segera itu bermaksud bersetuju dengan kertas cadangan itu. Itu yang  menjadi persoalanku.

Aku bertanya bukan bermaksud mahu menolak mentah-mentah cadangan itu. Aku bertanya sebab aku dan lain-lain ahli mesyuarat tidak di beri masa yang secukupnya untuk mengkaji, meneliti sebaik mungkin, sama-sama memberi sumbangan yang bermakna dalam satu keputusan yang amat penting yang melibatkan risiko kewangan. Itu saja.

Itu adalah jawapan hati kecilku kepada pengerusi. Ya, pengerusi tidak boleh dengar, tapi dia boleh membaca mimik muka ku. Dia tahu bahawa senyapku itu membawa mesej yang tidak selaras dengan kemahuan pembentang kertas kerja, dan tidak sama apa yang dia mahu. Lagipun dia sudah kenal biasa dengan ku.

Pembentang meneruskan tugasnya. Beliau mengambil masa 10 minit. 

Pengerusi mengucapkan terima kasih atas cadangan yang dibentangkan sambil mengatakan ianya satu tawaran yang amat baik dan perlu difikirkan dengan baik. Pengerusi kemudiannya meminta ahli-ahli mesuarat yang lain memberi pandangan.

Sebelum ahli-ahli lain memberi pandangan, aku sudah tahu apa yang mereka akan katakan. 

Melainkan aku, semuanya bersetuju. Bersetuju itu satu hal, tapi bersetuju dengan memuji bahawa tawaran itu dibuat adalah atas sebab hubungan yang baik diantara pengerusi dengan pengurusan syarikat itu.

Aku kata rasuah ke? Cuma bisikan hati saja. Tiada seorang yang dengar.

Tapi bukan sangkaan adanya rasuah atau komisyen yang menjadikan aku marah. Aku marah sebab aku tidak diberi masa untuk meneliti cadangannya yang melibatkan risiko kewangan. Sebab aku bertanggungjawab menguruskan kewangan. Ertinya imput mengenai implikasi kewangan perlu aku beritahu.  Tapi bagaimana aku boleh berbuat demikian kerana kertas cadangan baru saja aku terima.

Selepas habis saja ahli-ahli lain memberi cadangan, Pengerusi membuat keputusan bersetuju membeli saham yang ditawarkan pada harga RM6.50 satu saham melalui pembiayaan pinjaman dari bank sebanyak 60juta ringgit.

Aku tidak bersetuju. Itu kata hatiku.

Kata hati tidak cukup untuk menjaga kepentingan diriku pada masa depan. Aku akan dipersoalkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, misalnya ketidakmampuan membayar balik pinjaman. Tergadai agensi itu tadi.

Tapi jika aku bersuara menyatakan tidak bersetuju sedangkan majoriti ahli mesyuarat, dan pengerusi sendiri bersetuju, sudah tentu aku dituduh mengambil jalan yang tidak disukai. Ianya meletakkan kerjayaku dalam risiko.

Ah peduli apa. Yang penting aku menyatakan pendirianku dan minta dicatatkan pendirianku bahawa aku tidak bersetuju. Itu terlalu keras. Tidak bersetuju dengan ketua dihadapan ahli-ahli mesyuarat telah diterima sebagai tidak berkhemah dan beradab. Ya, aku kena buat pendekatan lain yang maksudnya juga tidak bersetuju atau bersetuju dengan bersyarat.

"Minta maaf Dato' Pengerusi", aku menggunakan ayat-ayat lazim apabila mahu menyatakan rasa tidak bersetuju, mesti minta maaf dulu walaupun aku tidak membuat kesalahan.

Pengerusi memandang padaku seolah-olah dia mahu kata 'apa lagi budak ni nak cakap, aku kata setuju, setujulah. Aku bos'.

"Pada dasarnya tawaran ini adalah baik. Oleh kerana kita juga mahu melihat modal yang kita keluar itu pada akhirnya menguntungkan kita, jadi saya cadangkan penelitian tentang profail syarikat dibuat, misalnya penguasaan produknya dalam pasaran. Kita juga kena buat 'due deligence' untuk memastikan kedudukan syarikat dan nilai harga yang ditawarkan. Oleh itu saya cadangkan kita bersetuju dengan syarat penelitian dan maklumat yang lebih terperinci kita perolehi".

Pengerusi bersetuju dengan syarat yang dinyatakan. Tapi apabila pembentang kertas kerja mengingatkan bahawa ada tempoh sahlaku tawaran iaitu dua hari lagi akan tamat, pengerusi segera menukar fikiran kepada persetujuan asal.

Aku terdiam, terkedu. Lidah kelu untuk berkata, tapi kemarahan sudah memuncak

Mesyuarat tamat. Aku segera meninggalkan mesyuarat.

Bola golf yang terletak cantik ditepi kolam itu aku pukul. Sekali lagi tersasar. Tapi si mat ni kata, no problem.

Ohhhh begitu rupanya hidup di dunia ini. Tersasar pun dikatakan baik, semata-mata mahu ambil hati bos. 

Tapi aku tidak suka. Aku tidak suka dengan keputusan yang dibuat oleh bos pada mesyuarat tadi. Ianya meletakkan agensi itu pada risiko kewangan yang amat tinggi. Beli saham dengan cara pembiayaan pinjaman! Harga saham  turun naik. Apatah lagi waktu ini pasaran saham terlalu volatile.

Habis, bola aku hilang. 

Aku percaya, jika tawaran pembelian saham itu diteruskan, agensi itu akan menghadapi masalah kewangan yang amat besar.

Balik rumah nanti aku mahu tulis memo secara hitam putih pandangan ku bahawa tanpa kajian yang teliti, tanpa maklumat dan fakta yang sahih mengenai syarikat itu aku tidak bersetuju.

Kerjayaku? Taidak mengapa asalkan apabila aku bersara, aku tidak akan diganggu rasa bersalah.


 

Ahad, 6 September 2015

Malaysia Negara Yang Ku Cintai: Macam-macam Ada




Hari ini saya nak paparkan petikan kata-kata/ayat dari berbagai kepimpinan yang ada kaiatn dengan kehidupan kia di negara yang kita sayangi ini. Huruf 'italic' adalah pandangan atau pun ulasan saya.
 
1.Tuhan ada dalam dunia ini. Jangan bimbang--Menteri, Wahid Omar, dalam ucapan di Persidangan Anti Rasuah (International Agency Anti Corruption-- IAAC)
 
Tiada siapa yang bimbang fasal adanya Tuhan. Itu yang kita imani sebagai seorang Islam, dan pengikut agama lain pun sama juga, mereka percaya ada Tuhan.
Yang menjadi kebimbangan adalah insiden perlakuan rasuah semakin membarah. Ianya bukan satu persepsi lagi. Ianya satu realiti.
Malang sekali PM kita gagal untuk bersama dalam persidangan itu, berhadapan dengan perwakilan, berdiri tegak dan berani menyatakan dengan tegas beliau tidak terlibat dalam rasuah, khususnya yang berkaitan dengan derma 2.6 billion itu.
Apabila PM tidak berani hadir, dan apabila Presiden IAAC berani membuat  soalan khusus untuk PM sendiri menjawab, dan PM gagal menjawab,  amat mengecewakan kita gunakan ayat Tuhan ada dalam dunia. Jangan bimbang.
Mengapa kita sangkutkan dengan Tuhan sedangkan kita perlu ambil tanggungjawab tentang apa yang kita lakukan.
 
2. Mati UMNO, mati orang Melayu ---Ketua Puteri UMNO.
 
Dahsyat kepercayaan seperti ini. Nyawa orang Melayu ditangan UMNO? Bagi saya sama ada UMNO ada atau tiada bukan ada sangkut paut dengan nyawa Melayu. Jika UMNO yang dikatakan mempunyai 3 juta ahli, dan ditakdirkan semuanya mati, orang Melayu di Malaysia  yang tinggal dianggar kurang lebih 20 juta, masih boleh memikul tanggungjawab untuk menguruskan negara dengan baik, bukan saja setakat menguruskan orang Melayu saja.
 
3. Kalau isteri kita buat perangai, kepala kita berserabut dan kita tak boleh jadi pemimpin atau wakil rakyat yang baik --Perdana Menteri.

Setuju. Ada rumah tangga berjalan seperti itu, alhamdulillah.
Tidak dinafikan juga ada isteri yang buat perangai seperti yang disebut oleh PM itu. Contoh buat perangai terlalu banyak. Satu darinya mencampuri urusan rasmi suami. Misalnya suami yang jadi menteri yang antara lain bertanggungjawab meluluskan sesuatu projek untuk kepentingan rakyat. Katakan projek 50 juta. Untuk melaksanakan projek tersebut, kontrektor perlu dipilih secara tender, misalnya. Bermakna, ada persaingan dikalangan kontrektor.
Tapi, isteri menteri ini masuk campur tangan mempengaruhi suami agar kerja itu diberikan kepada kontrektor yang dia berkenan. Kontrektor yang apabila diberikan kerja akan memberi hadiah dalam bentuk wang atau lain-lain sebagai balasan pertolongan mendapatkan kerja.
Inilah antara yang PM kata sebagai isteri yang buat perangai.
Macam mana dengan isteri-isteri menteri kita?Isteri Timbalan PM? Isteri PM sendiri?
Mereka buat perangai?
 
4. Melayu mesti bersatu, elak DAP jadi PM ---Menteri, Ismail Sabri.
 
Dari segi Perlembagaan Persekutuan semua warga Malaysia layak jadi PM. Tidak timbul soalan orang Cina ke, orang India ke, orang Kadazan ke- semua berpeluang jadi PM.
Menteri itu sedar hal ini, sebab dia bukan tidak sekolah punya orang.
Melayu mesti bersatu. Cadangan itu amat baik. Bukan saja Melayu mesti bersatu, semua rakyat Malaysia mesti bersatu untuk mewujudkan negara Malaysia yang aman.
Tapi cadangan Menteri itu, Melayu mesti bersatu dibawah UMNO. Itu yang boleh dipersoalkan. 
Bukan salah bersatu dibawah UMNO, tidak juga dibawah PAS atau dibawah mana-mana organisasi. 
Tapi hanya UMNO saja boleh menyelamatkan Melayu adalah satu cerita dongeng. Sekarang bukan saja dongeng bahkan amat menakutkan.
Sebab selama 58 tahun negara Merdeka, mengapa kita masih lagi cakap tentang perpaduan Melayu? UMNO yang memerintah sepanjang tempoh itu sehingga ke hari ini. Jika UMNO masih cakap perpaduan dikalangan orang Melayu, bermakna UMNO sendiri mengaku yang mereka telah gagal menyatupadukan umat Melayu selama tempoh 58 tahun.
Jadi mengapa kita orang Melayu masih lagi mahu beri peluang kepada UMNO, bersatu dibawah UMNO?
Apa yang kita lihat sekarang? Siapa yang merosakkan orang Melayu? Siapa yang menyusahkan orang Melayu? Siapa yang gunakan Melayu dan Islam untuk membolot kuasa dan kekayaan? Siapa yang menjatuhkan nama baik Islam? Siapa yang menjadi perasuah terbesar?
Macam mana dengan derma 2.6 billion sehingga mencalarkan nama baik Melayu dan kepimpinan Melayu. Siapa Melayu itu yang menerima wang sebanyak itu?
 
5. Urus isu baiah dengan hikmah bukan bebal---Mahfuz Omar, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Kedah.
 
Saya setuju setakat hikmah saja. Saya tak setuju dengan bebal kerana tidak mungkin ahli dan kepimpinan PAS bebal-bebal belaka. Mereka banyak dan tinggi ilmu agama.
 
Urus secara hikmah bermaksud mengurus dengan baik yang asasnya untuk satu penyelesaian tidak bersifat marah, benci dan dendam. Jika marah, benci dan dendam menguasai dalam minda seseorang dalam menghadapi sesuatu kedudukan maka hasilnya adalah kemusnahan. Itu sebenar hasil yang hendak dicapai dalam hal baiah ini. Keluar PAS, hancurlah rumah tangga anda. Dahsyat, sebuah parti yang mendakwa Islam sebagai perjuangan sanggup melihat kemusnahan sebuah rumah tangga hanya semata-mata memetingkan politik parti itu saja. Apa jenis Islam parti ini?
Saya berpendapat sepatutnya isteri tidak boleh digalang ganti bagi sesuatu kedudukan , politik atau apa saja. Ertinya dari mula lagi baiah itu telah cacat. 
Anda boleh percaya , isteri dicagarkan? Anda boleh terima isteri jadi bahan gadaian seperti kita gadaikan tanah atau apa saja misalnya lembu dan binatang peliharaan yang lain bagi mendapat satu kedudukan politik? Isteri boleh dipermainkan, seolah-olah tiada hak langsung dalam sebuah rumah tangga kerana boleh digadaikan tanpa pengetahuan.
Apapunya parti yang sanggup melakukan benda seperti ini. Dan setengah pemimpinnya bermati-matian mempertahankan baiah yang merosakkan ini. Apa jenis pemimpin yang pakai serban dan kopiah sebagai isyarat dianya Islam.
Tidak hairanlah jika ada orang Islam apatah lagi bukan Islam yang meragui hukum hudud yang dibawa oleh parti PAS ini.
Sesungguhnya saya pada satu ketika dulu amat menyanjungi lagi menghormati pemimpinh PAS itu khususnya yang bertaraf ulama'. Tapi ia amat mengecewakan. Saya lihat kata-kata yang digunakan, nada intonasi dalam ucapan, tidak langsung membayangkan ianya datang dari seorang ulama' yang disegani oleh kawan dan lawan.
Saya mendoakan agar kekecewaan saya ini tidak berterusan, dan mengharapkan satu kepimpinan yang benar-benar menampakkan wajah Islam dalam kata dan kelakuan. Dalam hal ini saya nampak Tuan Ibrahim memberi harapan kepada saya termasuk Mahfuz Omar. Harap-harap mereka ini tidak tergelincir.  

Cukuplah dengan paparan petikan 5 kata-kata/ayat  dari mereka yang bertaraf pemimpin semoga sama-sama kita renungi.
 
 
 
 
 
 
 

Sabtu, 5 September 2015

Baiah PAS




Saya rasa agak pelik mengapa perlu berbaiah dengan menjadikan isteri sebagai taruhan. Ertinya jika ada perlanggaran baiah, sebuah rumah tangga akan tergadai.
 
Adakah itu yang Islam mahu? Ini satu cara yang zalim.
 
Asal mula lagi baiah itu sudah tercalar dan cacat. Isteri tidak ada langsung harga dimata mereka. 
 
Parti PAS atau orang yang mahukan isteri dijadikan gadaian, langsung tidak ada hati perut, rasa kasih sayang, rasa bersalah menjadikan isteri calun yang mahu bertanding sebagai gadaian, hanya semata-mata tidak mahu ahli  itu keluar parti  atau mengkhianati parti.
 
Ertinya  parti itu lebih penting dari kemusnahan sebuah rumah tangga.
 
Apa jenis parti PAS ini.