Theflowersellingboy

Jumaat, 11 Oktober 2013

Beruntungnya Orang Cuai dan Bodoh di Negeri Antah Berantah

Cerita dalam sebuah negeri bernama Antah Berantah.


Ali telah gagal dalam peperiksaan peringkat rendah. Semua mata pelajaran dia gagal. Dia berhenti sekolah dan memohon jawatan di sebuah jabatan kerajaan. Dia ditawarkan bekerja sebagai pekerja am, jawatan yang paling rendah dalam struktur organisasi  jabatan itu. Namun dia tetap bersyukur kerana dapat juga dia menyara hidup dengan rezki yang halal.

Dalam beberapa tahun bekerja, Ali berumah tangga. Dua tahun selepas itu dia dikurniakan dengan seorang anak. Tanggungan bertambah dan perbelanjaan sara hidup bertamabah juga. Kenaikan gaji tahunan tidak dapat menandingi kenaikan kos hidup. Tambah-tambah lagi harga barang selalu naik.

Tugas Ali antara lain adalah untuk membawa masuk dan keluar fail, surat dan dokumen-dokumen kedalam dan keluar dari bilik bos untuk sesuatu tindakan. Ini bermakna tugas Ali ini juga amat penting dalam menentukan cepat dan lambatnya sesuatu keputusan atau arahan itu disampaikan dan diambil tindakan atau sebaliknya. Jika lambat Ali melakukan kerjanya, lambatlah fail, surat dan dokumen-dokumen itu masuk ke dalam atau keluar dari bilik bos.

Antara dokumen yang penting ialah surat kelulusan yang telah ditandatangani oleh bos bagi sesuatu permohonan dari orang awam.
Pada suatu hari, Ali dalam kesesakan wang. Dia tidak mampu untuk membeli susu anaknya yang baru lahir itu. Dua hari yang lepas dia berikan anaknya minum air masak saja. Anaknya menangis, tidak mahu minum air masak itu.

Jadi Ali mencari jalan macam mana untuk dapat wang untuk membolehkannya membeli susu yang sangat diperlukan oleh anaknya. 

Semasa mengambil fail dari bilik bosnya Ali ternampak satu surat kelulusan yang telah ditandatangani oleh bosnya untuk dihantar kepada pemohon yang berjaya. Tiba-tiba Ali tersenyum melihat surat itu. 

Ali menulis alamat pemohon yang berjaya itu.

Sebaik habis kerja , Ali terus ke rumah seperti alamat yang diambil tadi. Maka berjumpalah dia dengan pemohon yang telah berjaya itu. Setelah  memperkenalkan diri, Ali menyatakan bahawa permohonan orang itu tidak diluluskan. Tapi, dia boleh membantu untuk mendapat kelulusan. Sebab dia kenal baik dengan bos. 

Pemohon itu tersangat suka hati dengan kesanggupan Ali menolongnya. Dia bersetuju memberi wang sebanyak tiga puluh ringgit seperti yang diminta oleh Ali. Lagipun wang itu, menurut Ali, untuk diberikan kepada bosnya sebagai pengeras.

Maka tersenyumlah Ali dalam perjalanan balik ke rumahnya, sambil singgah di sebuah kedai untuk membeli susu anaknya.

Entah macam mana perbuatan Ali ini di ketahui oleh pekerja lain di pejabat yang sama. Pekerja itu melaporkan kepada bos. Bos memanggil Ali. Ali mengesahkan, memang benar dia melakukannya.

Bos seorang yang tegas, ikut buku dan tidak bertolak ansur dalam hal rasuah. Lalu dia laporkan kepada Suruhaan Jaya Menangkap Perasuah.

Pendek cerita, Ali di dakwa dimahkamah

Dalam mahkamah hakim bertanya antara lain:

Hakim: Apa kelulusan kamu

Ali: Gagaldalam peperiksaan peringkat rendah.

Hakim: Subjek apa yang gagal

Ali: Semua gagal, tuan.

Hakim: Jadi awak ini orang bodohlah

Ali: Benar tuan. Saya bodoh.

Hakim kepada pendakwa: Mengapa kamu dakwa orang bodoh. Mana satu undang-undang di negeri Antah Berantah ini yang membolehkan orang bodoh didakwa.

Pendakwa: Minta maaf Yang Arif. Tapi orang kena tuduh ini mengambil rasuah. Dia bodoh atau cerdik, pada pendapat saya tidak relevan. Dia telah ambil rasuah, dan wajar dihukum.

Hakim: Kamu tahu tak , dalam negeri Antah Berantah ini, orang yang cuai dan bodoh tidak boleh didakwa walaupun berbilion duit yang hilang. Ini cuma 30 ringgit saja.

Pendakwa: Macam mana dengan laporan Ketua Audit Negeri Antah Berantah yang melaporkan berbagai kehilangan dan kerugian wang dan harta benda. Boleh diambil tindakan, Yang Arif?

Hakim: Jika disebabkan kecuaian dan dilakukan oleh orang bodoh, tindakan tidak boleh diambil. Itulah yang terkanun dalam undang-undang negeri Antah Berantah sejak dari dulu lagi, sehingga hari ini dan sampai bila-bila.

Pendakwa: Faham Yang Arif.

Hakim kepada Ali: Saya dapati kamu ini telah salah didakwa. Oleh itu kamu dibebaskan. Belanjalah wang 30 ringgit itu untuk membeli susu anak kamu. Kesian dia.

Ali: Terima kasih tuan. Minta maaf , Yang Arif.

Dengan tersenyum Ali melangkah keluar dari tempat kena dakwa. Dalam hatinya berkata, sungguh bertuah jadi orang bodoh sepertinya, ambil rasuahpun tak kena tangkap.
 
Tapi Ali tidak faham mengapa timbul cerita laporan Ketua Audit Negeri Antah Berantah tentang wang dan harta yang hilang serta kerugian berbilion ringgit itu diantara Hakim dan Pendakwa. Apa ada kena mengena dengan perbicaraan dia mengambil rasuah 30 ringgit.

'Aku ambil 30 ringgit saja. Dia orang hilangkan berbilion ringgit.Tak kan sama' , bisik hati kecil Ali.

Kemudian Ali tersenyum, "Ohhh aku dan orang itu sama rupanya. Aku bodoh, dia orang pun bodoh. Sebab tak ada undang-undang dalam negeri Antah Berantah untuk mendakwa orang cuai dan bodoh. Untung nasib badan, tak masuk penjara".



Khamis, 10 Oktober 2013

Menteri Letak Jawatan Atas Kepincangan dan Salah Urus Wang dan Aset Awam

 
 
 
Mantan PM Tun Dr. Mahathir menggesa menteri letak jawatan atas kepincangan pengurusan wang dan aset awam seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara (KAN) bagi Laporan tahun 2012. Beliau memberi contoh di Jepun jika berlaku kemalangan kapalterbang, menteri yang berkaitan akan meletakkan jawatan, sebagai mengambil tanggungjawab, tapi tidak di Malaysia.
 
Saya percaya ramai orang bersetuju dengan gesaan mantan PM itu. 
 
Sepanjang ingatan saya, belum pernah berlaku di Malaysia, menteri atau perdana menteri meletak jawatan berikutan dengan berlakunya kepincangan urustadbir sama ada yang dilaporkan KAN dalam laporan tahunannya atau oleh mana-mana pihak. Ertinya semenjak dari PM yang pertama, kedua, ketiga dan seterusnya ke empat (zaman Tun Mahathir), dan kelima tidak ada seorang pun yang berbuat demikian atau diarah berbuat demikian (mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan).
 
Kita belum pasti lagi apakah yang akan berlaku  dalam tempoh masa DS Najib menjadi PM sekarang ini, berkaitan dengan tindakan dan reaksi beliau dan menteri-menteri yang lain keatas kepincangan urustadbir seperti yang dilapor oleh KAN. 
 
Mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan? Sehingga hari ini belum lagi ada berita seperti itu selain gesaan dari mantan PM Tun Mahathir.
 
Reaksi yang kedengaran ialah ada menteri yang mengesahkan apa yang dilaporkan oleh KAN, ada menteri mengatakan KAN culas dalam membuat laporan iaitu tidak melaporkan secara lengkap, hanya melaporkan wang keluar dan gagal melaporkan wang masuk, dan ada menteri yang mempertahankan jabatan atau organisasi yang diketuainya dengan memberi alasan bahawa kepincangan itu tidak membawa risiko kepada orang awam.
 
PM pula tidak memberi apa-apa reaksi.
 
Ini bermakna, sehingga kini, tidak ada seorang menteri atau pun PM sendiri akan meletakkan jawatan atas kepincangan seperti yang dilaporkan KAN.
 
Bagi saya ianya sesuatu yang boleh dijangkakan. Ianya sebagai penerusan apa yang telah berlaku dan dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, semasa dibawah pimpinan 5 Perdana Menteri yang berlainan. Sama saja seperti sebutan orang Melayu 2x5.

KAN tidak pernah gagal menyediakan laporan tahunan. Isu-isu tentang kepincangan ini adalah fokus KAN bertujuan untuk diambil tindakan bagi mengatasi dan memperbaikkinya. Tapi kerap juga perkara dan isu yang sama berbangkit pada tiap-tiap tahun kerana tiada penyelesaian yang sewajarnya.

Oleh itu sambil mengalu-alukan gesaan mantan PM Tun Mahathir agar menteri mengambil tanggungjawab diatas kepincangan yang berlaku keatas kementerian masing-masing, dan jika ianya terlalu serious, hendaklah meletakkan jawatan, saya juga berpendapat mana-mana PM dan menteri yang terdahulu yang juga melakukan perkara yang sama perlu berbuat demikian. Saya tidak bermaksud bagi mantan PM dan mantan menteri itu meletak jawatan tapi jika mantan-mantan itu masih hidup, wang persaraannya di berhentikan.
 
Tapi mestilah berlaku adil, dengan diadakan penyiasatan dan diberi peluang membela diri jika didakwa.
 
 
 

 
 

Rabu, 9 Oktober 2013

Keluarkan Peluh Melalui Senaman: Ianya Satu Kaedah Penjagaan Kesihatan Yang mudah dan Murah. Lakukan Secara Konsisten.



Biasanya,  selepas solat Subuh , saya dan isteri akan melakukan senaman pagi bermula pada pukul 6.55 pagi. Kami berjalan pantas (bukan berjogging) mengelilingi kawasan halaman rumah yang bertar sebanyak 100 pusingan. Menurut jarak langkah kaki saya, satu pusingan kawasan bertar itu memerlukan 63 langkah. Ertinya tamatnya 100 pusingan , saya telah melakukan 6,300 langkah, bagi tempoh hampir satu jam (ada masa 52 minit, dan ada juga 48 minit).

Kami berjalan cepat tanpa berhenti sehingga 100 pusingan. Bagi satu pusingan ia mengambil masa setengah minit atau satu minit sebanyak dua pusingan. 

Kami memulakan langkah dengan perlahan pada pusingan permulaan. Langkah semakin cepat selepas 5 atau 6 pusingan. Dan pada pusingan 20 terakhir , langkah mula perlahan tapi lebih cepat dari langkah pada pusingan awal. Pada pusingan 10 sehingga 80 ianya agak laju berbanding pada pusingan awal dan akhir. Sebab itulah ianya mengambil masa 1 jam, bukan 50 minit, jika kami berjalan pada kederasan setengah minit satu pusingan.

Sambil kami berjalan, secara perlahan atau di dalam hati menyebut Suhhanallah, Walhamdulillah, Walaila Haillahlah Allahhu Akbar.

Saya dapati bahawa setelah 15 minit berjalan, badan mula terasa panas tapi belum melembab.  Pada minit ke 22, badan mula rasa melembab tapi peluh masih belum mengalir. Menuju ke minit 30 minit, peluh mula keluar, ada terasa aliran air dari kawasan di kepala menurun kebawah khususnya di kawasan telinga. Tapi ia masih lagi bukan butiran peluh yang besar yang boleh gugur dari anggota badan ke bawah/tanah. Hanya apabila memasuki 49 minit keatas, peluh mula berjijiran jatuh dari anggota badan ke tanah.

Semasa peluh berjijiran itulah saya rasa seronok dan puas hati melakukan senaman, semacam satu kejayaan mendapat sesuatu yang kita idamkan. Ya, saya tersangat idamkan untuk mengeluarkan peluh dari anggota badan. Selagi peluh tidak jatuh menitis dari anggota badan, saya akan teruskan senaman berjalan cepat. Setakat hari ini ianya tidak pernah menggagalkan harapan saya itu.

Mengikut pengamal kesihatan, senaman adalah satu cara yang baik untuk mengeluarkan peluh dan menghancurkan lemak  dalam badan. Peluh yang keluar itu juga dikatakan sebagai mengandungi bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh anggota badan. Maknanya jika tersimpan dalam anggota badan, ianya tidak berguna. Tidak berguna bermaksud tidak dapat dimenfaatkan untuk kesihatan tubuh badan. Maka ianya akan menjadi agen kepada kemusnahan anggota badan. Jadi lebih baik dibuang atau dikeluarkankan saja dari mendiami dalam anggota badan kita.

Caranya mudah saja. Tidak perlu buat pembedahan membuang lemak berlebihan, misalnya. Tidak perlu menghadiri kursus dan memakan ubat atau makanan tambahan (supplement) untuk melangsingkan atau mengurangkan berat badan. Jangan menyusahkan diri membeli peralatan dan mesin senaman yang mahal-mahal atau menyediakan sebuah jim di rumah bagi menghancurkan lemak dalam badan. 

Ke taman rihat dan rekreasi untuk melakukan senaman? Yang ini pun sepatutnya bukan pilihan utama jika tempat itu jauh dari rumah kita. Kerana ianya melibatkan kos dan masa. Kos dan masa ini terlalu penting. Masa perjalanan pergi balik itu kita boleh gunakan untuk kerja lain. Lagipun, bukankah harga minyak telah naik. Mengapa kita menambahkan lagi beban sara hidup kita.

Ke jim? Itu juga bukan keutamaan. Ianya mahal dan jauh dari tempat kediaman kita. 

Hanya dengan bersenam kita boleh mengeluarkan peluh dan menghancurkan lemak dalam badan. Tapi kita perlu pilih senaman yang tidak menyusahkan kita dari segi kos dan masa.  Dan sudah tentu sesuai dengan keadaan fizikal dan usia kita.

Saya memilih senaman berjalan cepat, sesuai dengan kemampuan fizikal dan usia saya. Saya memilih halaman rumah saya yang ada dihadapan mata. Tidak perlu memandu ke taman rihat dan rekreasi yang agak jauh dari rumah. Lagipun udara dikawasan rumah adalah bersih.

Jika kita tiada kawasan halaman yang mencukupi, kita boleh saja berjalan dikawasan-kawasan/jalan yang berhampiran dengan rumah. Tidak perlu pergi jarak yang jauh. Buat pada jarak yang dekat dengan melakukan banyak kali ulangan dalam tempoh satu jam. Saya percaya peluh akan berjijiran dan bertitisan keluar sehingga basah lencun pakaian kita. Masa itu kita akan rasa seronok. 

Saya percaya peluh yang keluar itu sama fungsinya dengan kencing dan berak iaitu mengeluarkan bahan yang tidak memberi menfaat kepada anggota badan. Jadi mengapa kita tidak mahu mengeluarkan peluh? Dan mengapa kita perlu mencari jalan yang susah yang melibatkan kos dan masa bagi mengeluarkan peluh sedangkan ada cara yang mudah, murah dan menjimatkan masa.

Lakukanlah senaman dihalaman rumah atau berdekatan dengan rumah secara berjalan cepat da;am tempoh 45 minit atau 1 jam. Amalkan secara konsisten. InsyaAllah jika kita seorang bapa/ibu, kita akan berada pada tahap kesihatan yang tidak merisau dan menyusahkan kita dan anak-anak kita.

Senaman berjalan cepat ini hanya memerlukan  track suit atau apa saja seluar dan baju , dan kasut serta stokin. Itu saja. Murah. Sesungguhnya ubat yang paling mujarrab dan murah untuk menjaga kesihatan ialah melalui senaman.