Theflowersellingboy

Rabu, 31 Julai 2013

Cerita-cerita Dalam Bulan Puasa

Nampaknya dalam bulan puasa  ini tidak banyak hal yang dapat saya paparkan. Keletihan berpuasa? Tiada idea? Malas menulis sesuatu? Sibuk dan tidak ada masa? Dan berbagai sebab lagi?
 
Semua yang diatas itu  bukan penyebab mengapa saya tidak menulis atau mengemaskinikan blog kecil ini.
 
Jadi mengapa saya senyap sunyi saja dalam banyak hari dalam bulan puasa ini?
 
Sebenarnya ada juga yang hendak saya tulis. Tapi saya lebih suka membiarkan saja hal-hal tersebut berlalu saja tanpa dipaparkan dalam blog ini.  Bukan bermaksud tidak mahu berkongsi cerita atau pandangan. Cuma dalam bulan puasa ini biarlah ianya berlalu begitu saja.
 
Namun pada kali ini saya hanya hendak menyebut beberapa pemerhatian saya tentang hal-hal yang berlaku setiap kali bulan puasa.
 
Pertama ialah tentang orang meninggal dunia. Setiap dalam bulan puasa ada saja berita orang yang kita kenal atau satu kariah dengan kita yang meninggal dunia. 
 
Kedua kenaikan harga makanan, perkhidmatan dan barang-barang yang lain. Kenaikan harga ayam misalnya adalah suatu perkara yang berulang setiap tahun pada bulan puasa. Mungkin kenaikan ini ada kena mengena dengan pertambahan bilangan orang yang membeli ayam atau makanan-makanan yang lain sebagai makanan dalam bulan puasa. Ertinya pada bulan puasa ini kita lebih banyak berbelanja dalam hal  makanan.
 
Perkara kenaikan harga ayam ini adalah perkara yang berulang setiap tahun dalam bulan puasa. Maknanya pihak yang berkuasa sudah tahu bahawa setiap bulan puasa keperluan atau permintaan daging ayam melebihi dari bulan-bulan yang lain. Oleh itu sepatutnya tindakan untuk menambah bekalan daging ayam patut dilakukan dalam bulan puasa sama ada secara mendapatkan bekalan dalam negara atau dimpot dari luar negara.
 
Jadi tidaklah wajar menteri yang bertanggongjawab menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli daging ayam jika harga ayam itu meningkat. Jadi kena makan daging dan ikan? Harga ikan dan daging adalah lebih tinggi dari harga ayam!
 
Harga ayam naik , jangan makan ayam? Harga pakaiaan naik , jangan pakai pakaian? Itu satu nasihat yang tidak rasional.
 
Perkara ketiga ialah tentang penggunaan perkhidmatan imam/tahfiz dari Arab Saudi dalam memimpin solat terawih dan ibadat-ibadat lain seperti kiamulail. Setiap tahun dalam bulan puasa imam dari Mekah akan dijemput untuk memimpin solat terawih dan ibadat-ibadat yang lain. Saya tidak pasti apakah rasionalnya. 
 
Mungkin ambil barkat kerana ianya dari Mekah?  Mungkin ianya seorang tahfiz maka pada setiap malam akan membaca surah-surah dengan lancar dengan bacaan yang baik? 

Sekali lagi saya beritahu bahawa saya tidak tahu rasionalnya. Tapi apa yang saya difahamkan bahawa kehadiran imam impot itu adalah atas biayaan kerajaan: tempat tinggal dan makanan dan lain-lainnya.
 
Apabila kita perlu mendapatkan seseorang luar ianya bermakan kita kekurangan orang dalam. Maknanya kita tidak ada atau kurang hafiz. Atau orang yang ada dalam negara kita tidak mampu sebaik yang dilakukan oleh imam dari Mekah itu. Begitu kah?
 
Saya tidak berpendapat begitu. Saya percaya kita mempunyai orang-orang sendiri yang boleh melakukan kalau pun tidak melebihi dari imam dari luar . Orang-orang kita tidaklah kurang kelancaran hafazannya dan baik bacaannya. Mengapa kita tidak memberi peluang kepada hafiz-hafiz kita sendiri yang saya percaya tidak melibatkan bayaran yang besar berbanding dengan imam impot. 

Perkara ke empat ialah solat terawih. Setiap tahun ada saja perbincangan tentang bilangan rakaat solat terawih itu, 20 atau 8 rakaat. Perkara seperti ini pun terus menjadi perbincangan yang tidak selesai. seingat saya semasa kecil lagi perkara ini menjadi perbincangan malah perbalahan yang memberi kesan yang tidak baik. Mengapa perlu dibincang dan ditimbulkan hal-hal seperti ini.

Sehubung dengan solat terawih juga, saya dapati ada perkembangan yang baik dari segi bilangan yang melakukannya. Kalau dulu pada awal-awal berpuasa, bilangan orang berterawih adalah lebih ramai berbanding hari-hari pertengahan dan yang terakhir. Tapi di tempat saya, dari hari ke sehari bilangan yang berterawih tidak berkurangan bermula dari hari pertama sehingga sekarang ini. Malah bilangannya bertambah. Alhamdulillah.

Selamat meneruskan ibadat berpuasa.

 

 
  
 

Khamis, 25 Julai 2013

Berbuka Puasa

Sekarang sudah masuk hari yang ke 16 umat Islam di Malaysia berpuasa.  Semoga puasa yang kita telah lakukan itu tidak ada cacat cela dan diterima Allah SWT, insyaAllah.
 
Berbicara fasal puasa ini kita tidak dapat elak untuk bercakap fasal menahan lapar. Maka  perkara yang berkaitan 'lapar' ini rasanya banyak membentuk suasana berpuasa dan cara kita melepaskan kelaparan.
 
Cuba kita renung dan fikirkan hal-hal berikut dan kaitannya dengan lapar. Oleh kerana kesemua hal-hal itu berkait dengan lapar atau kesan dari sebab lapar, saya hanya sentuh pasar ramadhan saja.
 
i)  Pasar Ramadhan
ii) Promosi berbuka puasa di hotel dan restoran
iii) Menu berbuka puasa
iv) Moreh selepas solat terawih.

Waktu bulan Ramadhan, bilangan peniaga makanan Melayu (Islam) bertambah. Di mana saja, pasar ramadhan menghidangkan berbagai jenis makanan dan minuman. Berwarna warni. Sungguh menarik dan mengiurkan. Ada yang menelan air liur banyak kali. 
 
Lalu dibelinya. 
 
Tapi satu jenis makanan rasanya tidak cukup. Satu jenis air pun tidak cukup.  Tambah lagi. Semua makanan yang nampak dimata teringin sangat untuk dirasa dimasa berbuka nanti. Mungkin tidak cukup, kata dihati.

Waktu berbuka amat ditunggu-tunggu. Apabila saja azan berkumandang diudara maka bersegeralah kita berbuka. 
 
Kita bersegera berbuka kerana itu yang sebaiknya. Alhamdulillah.
 
Maka kita makanlah makanan yang terhidang dihadapan mata, sama ada makanan sediaan sendiri atau yang dibeli dipasaran ramadhan atau ditempat lain.
 
Kita makan dan terus makan. Terlalu lama dan terlalu banyak. Kita kekenyangan dan keletihan. Masih lagi ada makanan yang berlebihan. Tapi kita tidak mampu lagi untuk memakannya. Makanan yang telahnkita makan itu tidak pula mencergaskan pergerakan kita. Sebaliknya kita jadi keletihan. Perasaan malas mula menguasai diri. 
 
Akhirnya kita solat Maghrib pada hujung-hujung waktu.

Jadi kalau kita berpuasa hanya untuk menahan lapar saja rasanya kita akan kalah dalam berperang dengan nafsu lapar itu apabila kita dihidangkan dengan makanan dan minuman  pasar ramadhan, promosi berbuka puasa di hotel dan restoran dan hidangan makan selepas terawih atau moreh.  
 
Dan dalam otak kepala kita sentiasa memikirkan apakah menu hari ini untuk berbuka puasa. Sebab kita sentiasa memikirkan bahawa pada berbuka puasa nanti kita tidak ada makanan untuk menghilangkan lapar. Untuk itu kita perlu sediakan berbagai jenis makanan dan minuman.

Jadi berbuka puasa itu bukanlah untuk menghilangkan lapar.
 
Kalau kita rajin cubalah buat catatan perbelanjaan pada bulan puasa kemudian bandingkan perbelanjaan dalam bulan yang lain.  Saya rasa sebahagian besar dari kita berbelanja lebih tinggi dalam bulan puasa berbanding dalam bulan yang lain khususnya yang berkaitan dengan makanan. Jika itu yang berlaku maka itu adalah tanda bahawa kita berpuasa hanya untuk mengenyangkan perut kerana lapar. 



 
 
 
 


Isnin, 22 Julai 2013

PERCUTIAN KELUARGA DI LANGKAWI: Langkawi Keputusan Bekalan Air, Pelanggan Hotel dan Kedai Makan Antara Yang Jadi Mangsa.



Setelah kami ahli keluarga yang mabuk laut itu sampai di hotel kami mengambil kereta untuk keluar makan malam. Semua kami amat lapar terutama mereka yang muntah-muntah. Jadi lebih cepat ketemu kedai makan lebih baik. Itulah yang diharapkan oleh kami semua. 

Kenderaan terlalu banyak. Di bahu-bahu jalan tiada ruang kosong, telah sedia ada deretan kenderaan. Jadi kami tidak dapat ruang untuk meletakkan kenderaan berhampiran dengan kedai makan yang kami telah kenalpasti. Lalu kami memasuki tempat letak kenderaan sebuah kompleks perniagaan yang agak jauh dari kedai makan itu.

Terpaksalah kami berjalan kaki ke kedai tesebut.

Di kedai tersebut telah ada bilangan pelanggan. Tapi tidaklah ramai.Kami membuat pesanan makanan. 

Pelayan kedai memaklumkan bahawa Langkawi ketiadaan bekalan air akibat dari banjir yang berlaku beberapa hari sebelum ketibaan kami. Mengikut ceritanya ada paip yang pecah. 

Oleh itu bagi bekalan air di kedainya, air terpaksa diangkut dari tempat lain yang agak jauh juga.

Maklumat ketiadaan air ini meresahkan sedikit perasaan saya. Bersihkah pinggan dan peralatan makanan? Bersihkan basuhan bahan-bahan makanan? Bersihkah itu dan ini? Dan macam-macam persoalan berkaitan dengan kebersihan yang melunturkan selera makan saya.

Saya beranggapan bahawa tidak mungkin pekedai ini dapat mengangkut air yang terlalu banyak dari tempat lain. Saya juga percaya air yang ada tidak mencukupi untuk membersih peralatan makanan dan bahan-bahan makanan seperti sayur-sayuran. Mungkin pinggan mangkuk, sudu dan garpu yang telah diguna hanya dilap dengan kain saja. 

Jadi semakin saya fikir masalah air semakin mengurangkan selera makan saya.Bagaimanapun pesanan tetap dibuat juga. Saya pesan mee goreng dan ianya tidak lama untuk berada dihadapan saya.

Dalam keadaan selera yang menurun itu saya paksa diri untuk makan mee goreng itu. Nasib baik pada kunyahan awal, rasa mee goreng itu boleh tahan juga. Saya terus memakannya sehingga habis. Lapar telah mengalahkan keraguan kebersihan makanan yang disediakan itu. Mereka yang lain makan juga. Tapi tidak berselera. Bukan kerana meragui kebersihan makanan itu tapi masih lagi belum pulih dari mabuk laut.

Di hotel ahli keluarga yang meneruskan cruising tadi telah sedia ada. Mereka menceritakan keseronokan makan diatas kapal.

Di bilik hotel kami dapati tiada air. Maka kami hubungi pihak hotel dan diberitahu bekalan air hanya disediakan di sebuah bilik di sebuah chalet khas. Kegunaan air secara bergilir diantara penghuni hotel. 

Sesungguhnya keadaan ini merosakkan percutian kami ini. Cuba bayangkan kegunaan air: untuk mandi, untuk buang air besar dan kecil, untuk bersih mulut dan gosok gigi dan macm-macam lagi. Bagi saya, soal mandi boleh di lupakan. Tapi bagaimana dengan gosok gigi, kencing dan berak? Susah, susah dan amat mengecewakan. Rosak percutian kami.

Pihak hotel membekalkan air mineral dan air biasa. Bekalan air mineral adalah terhad, 4 botol kecil sekali permohonan. Tapi kami meminta diberikan lebih lagi. Maka ditambah 2 saja. Mana nak cukup.

Yang paling tidak menyenangkan ialah tentang air biasa yang dibekalkan. Warnanya kekuningan seperti air tanah. Entah dari mana diambilnya , saya tidak pula bertanya. Air itu  tidak boleh digunakan untuk basuh anggota badan. Dan juga tidak boleh digunakan bagi membersihkan kencing dan berak. Gatal jika digunakan. Lalu air itu digunakan untuk menyimbah air kecing yang telah haring baring didalam bilik air. Sedih , amat menyedihkan.

Yang menghairankan kenapa pihak hotel tidak memberitahu akan berlaku keputusan air. Dan kenapa tidak diambil tindakan catuan. 

Mengikut cerita seorang dari pekerja hotel, ini adalah kali pertama berlaku ketiadaan air dihotel. Dan katanya lagi bekalan air dari tanah besar terhalang disebabkan kerosakan loji di Langkawi akibat banjir. Seorang pekerja yang lain mempunyai lain cerita pula. Baginya ketiadaan air di Langkawi adalah sesuatu yang biasa. Saya tidak tahu yang mana satu cerita yang betul.

Sesungguhnya ketiadaan air telah mengurangkan rasa keseronokan kami untuk melakukan lawatan pada esok harinya. Macam mana dengan berak dan kencing, dimana ? Macam mana nak mandi besok? Cari masjid lah kita esok. Dan macam-macam lagi yang kami fikir dan risaukan. 

Rosaklah rancangan lawatan kami hari esok! 

Itulah yang merisaukan kami untuk menghadapi esok harinya.  Kami segera tidur dalam kerisauan ketiadan air. Saya tidak lena tidur. Yang lain lena kot?