Theflowersellingboy

Sabtu, 4 Mei 2013

InsyaAllah PR Akan Menang: Itu Adalah Harapan Rakyat, Kita Telah Berusaha dan Berikhtiar Menurut Kemampuan Masing-masing Maka Berdoalah Kepada Allah Agar Diberi Kemenangan, Tawakkal.,,

Ini adalah paparan terakhir saya dalam usaha kecil saya untuk mengajak semua rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk memberi undi kepada calun-calun PR yang mewakili parti PAS, PKR dan DAP pada pilihanraya ke 13 yang jatuh pada Ahad, 5 Mei 2013 iaitu esok.
 
Ini adalah peluang paling baik bagi rakyat Malaysia untuk menukarkan sebuah kerajaan yang hanya mengenal sifat angkuh, bongkak dan sombong dalam cara gaya mereka melayan rakyat dan mengurustadbir negara. 
 
Kita tukar kepada sebuah kerajaan yang mempunyai iltizam dan kesungguhan untuk mengurustadbir negara dengan tata kelola tadbir negara yang bertanggungjawab, telus dan amanah demi faedah rakyat dan negara.
 
Sesungguhnya kita tolak UMNO/BN bukan kerana tempoh pemerintahannya yang terlalu lama. Sesungguhnya juga kita menerima PR sebagai kerajaan yang baru bukan kerana kita hendak buat satu eksperimen dan berubah kepada yang baru.
 
Kita tolak UMNO/BN adalah kerana sifat angkuh, sombong dan bongkaknya sehingga kita rakyat telah dianggap dan dilayan sebagai makhluk yang boleh dibuat sesuka hati mengikut nafsu serakah yang ditunjangi tiga sifat itu. 
 
Sebut apa saja perlakuan dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab, tidak telus dan tidak amanah yang telah dilakukan oleh UMNO/BN sepanjang tempoh diberi kepercayaan memimpin kerajaan yang telah ditegur dan diperingatkan berulang kali oleh rakyat tetapi dengan sombong, bongkak dan angkuh UMNO/BN tidak mengambil peduli. Kerana apa? 

Kerana UMNO/BN menganut satu kepercayaan yang mutlak bahawa rakyat Malaysia boleh saja dipujuk, dirayu, dimenangi hati dan fikirannya dengan hanya diberikan bantuan tunai dan bukan tunai pada saat-saat mendekati pilihanraya yang mana pemberian seperti itu tidak pernah ada dan difikirkan sebelumnya oleh UMNO/BN. Parti itu percaya bahawa dengan pemberian seperti itu maka hilang lesaplah akan segala rasa tidak puas hati, kebencian  dan kemeluatan rakyat terhadap sifat UMNO/BN yang bongkak, angkuh dan sombong itu. 
 
Kerana angkuh , sombong dan bongkak, pada UMNO/BN boleh saja disuci murnikan dengan pemberian itu.
  
UMNO/BN yakin dengan kaedah itu kerana parti itu tidak pernah kalah sebanyak 12 kali pilihanraya yang lepas.
 
Ini membuatkan UMNO/BN menjadi mabuk kuasa sehingga tidak sedar dan insaf bahawa rakyat yang jujur dan ikhlas yang menyokong mereka sekian lama itu berbuat demikian kerana sebahagian besar rakyat terutama dikampong-kampong tidak mempunyai sumber maklumat yang betul dan benar akan perbuatan dan perlakuan jijik UMNO/BN itu.
 
Sekarang, ramai rakyat sudah mendapat maklumat dari berbagai sumber dan mampu membuat perbandingan dengan maklumat yang sentiasa disuap oleh UMNO/BN. 
 
Namun begitu oleh kerana UMNO/BN masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat sombong, bongkak dan angkuh itu, tanpa segan silu masih meneruskan perlakuan dan perbuatan jijik walaupun rakyat telah membuat terlalu banyak kali ingatan dan teguran yang menasihatkan UMNO/BN supaya berhentilah dari melakukan perangai yang buruk itu. Dan teguran dan ingatan yang berupa nasihat itu langsung tidak diindahkan. Maka rakyat memberi amaran yang tegas dan jelas melalui keputusan pilihanraya 2008 kepada UMNO/BN supaya berubah. Tidak juga diambil peduli. 
 
Amaran rakyat terlalu mudah untuk difahami iaitu:
 
i) Jangan rasuah
ii) Jangan salah gunakan wang bagi kepentingan diri, keluarga  dan sahabat terdekat.
iii) Jangan boros dan membazir wang dan harta amanah rakyat. Gunakan wang dan harta itu untuk faedah rakyat dan negara.
iii) Jangan membebankan kehidupan rakyat dengan kenaikan harga barang seperti petrol, tarif letrik dan barang keperluan lain dan kenaan berbagai bayaran seperti saman AES, bilangan tol yang begitu banyak dan cukai GST.
iv) Jangan teruskan dasar monopoli yang menguntungkan beberapa kerat manusia dengan memangsakan sebahagian besar rakyat sehingga rakyat tiada pilihan tetapi terpaksa menerima apa yang ditentukan oleh peniaga monopoli itu misalnya perkhidmatan Astro yang dengan sesuka hati mengenakan bayaran yang tinggi.
v) Jangan berlaku zalim
vi) Jangan menyuburkan budaya fitnah dan budaya filem biru (video seks). Apatah lagi perbuatan itu semata-mata untuk menjatuhkan maruah seseorang.
vii) Sekat dan hapuskan pengaliran wang haram kerana ianya merugikan rakyat dan negara.  
viii) Ambillah tindakan yang adil dan tidak berat sebelah apabila ada pihak-pihak yang memainkan api perkauman
xi) Jangan salah gunakan kuasa melupus sesuatu hutang kerana yang berhutang itu ada kaitan dengan kepentingan parti, contoh kes MAS.
x) Jangan bercakap bohong.  

Banyaak lagi.
 
Apa respons UMNO/BN? 

Orang kampong ada istilah khusus akan sikap UMNO/BN itu: Tidak ambil pot.
 
Begitulah sikap sombong, angkuh dan bongkak UMNO/BN yang memimpin parti itu dalam cara dan gaya parti itu melayan rakyat. Rakyat adalah BODOH. Rakyat boleh dibeli dengan BR1M dan yang sejenama dengannya. Maka dengan kepercayaan itu UMNO/BN masuk gelanggang pilihanraya ke 13 ini dengan tiga senjata itu: BONGKAK, ANGKUH dan SOMBONG. Sebab itulah mereka boleh lakukan apa saja tanpa memperdulikan risiko yang akan berlaku.
 
Maka menolak UMNO/BN pada pilihanraya kali ini bukanlah kerana UMNO/BN telah lama memerintah tetapi atas sikap dan sifat yang tidak mahu berubah kepada sifat dan sikap yang lebih mulia. Rihatkan UMNO/BN untuk memberi peluang kepada parti itu dengan tenang bermuhasabah. Itulah cara terbaik jika kita mahu tolong UMNO/BN. 
 
Kita juga beri peluang kepada PR kerana kita merasakan tawaran PR boleh memberi faedah kepada rakyat dan negara. Tapi undi kita adalah undi bersyarat: Kita tidak mahu PR juga berperangai seperti UMNO/BN.
 
Saya mendoakan agar semua pengundi memberi undi kepada PR pada esok hari. Berilah kemenangan kepada PR. InsyaAllah kita akan dapat satu kehidupan yang lebih baik.
 
AMIN..... Semoga Allah memperkenankan doa dan harapan kita ini.    

Dokumen/Risalah Yang Mengandungi Hal-hal Yang Memburuk-burukkan Keperibadian Seseorang Oleh Orang/Parti Yang Tidak Bertanggungjawab Dan Tidak Amanah.

Seperti yang telah dijanjikan , saya akan memberi pandangan tentang beberapa dokumen/risalah kempen politik yang terletak diatas tangga pintu masuk sebuah masjid tempat saya menunaikan solat Jumaat semalam.
 
Dokumen-dokumen/risalah itu terdiri dari surat khabar NST dan satu pamplet dengan tajuk INI KALILAH..!! yang berupa lakaran kartun dengan dialog-dialog tertentu yang bermotif politik. 
 
Satu lagi adalah sebuah envelop bersaiz sederhana berwarna coklat terang yang diletakkan diatas cermin depan kereta yang didalamnya terdapat dokumen/risalah yang bertajuk/mendakwa seperti berikut:
 
 i) DEMI DAP, dengan gambar TG Nik Aziz menghiasi dibahagian depan dan gambar Pope di kulit bahagian belakang, 
 
ii) HARAM dengan cetakan nama Arry Maulana Syarif (adakah penulis dokumen/risalah ini?) dibahagian bawah dan gambar Karpal Singh, TG Abdul Hadi dan TG Nik Aziz menghiasi kulit hadapan, 
 
iii) 12 DALIL ANWAR BERCANGGAH DENGAN AKIDAH dengan gambar Anwar Ibrahim dan allahyarham ustaz Othman El-Muhammady (semoga Allah merahmatinya) menghiasi di kulit hadapan dengan gambaran perbezaan/pertentangan pendapat/pendirian (vs)  diantara 2 tokoh ini, dan 
 
iv) sekeping  kertas berwarna hijau yang mendakwa calun PKR di kawasan Parlimen tertentu yang menolak Hudud-Negara Islam PAS.
 
Melainkan NST, yang habis semua diambil orang, lain-lain dokumen saya telah baca dan terlalu faham akan maksudnya. Cuma tidak seperti NST yang boleh dirujuk dan dikenalpasti untuk bertanggungjawab keatas apa yang disiarkan, dokumen/risalah yang lain adalah tidak bertanggungjawab kerana kita tidak tahu siapa dan pihak mana yang mengeluarkannya. Maka dengan itu nilai kandungan yang disampaikan itu adalah sama tarafnya dengan surat layang.
 
Dalam kata lain, kita tidak dapat untuk merujuk kepada pihak yang mengeluarkan siaran itu jika ada perkara-perkara yang kita kurang faham, ragu atau yang pada pendapat kita ianya tidak betul. Maka sama seperti surat layang, ianya tidak layak untuk dipercayai. Malah ianya amat hodoh lagi menjijikkan.
 
Apa yang sebenrnya yang hendak disampaikan oleh dokumen/risalah itu adalah bahawa pada pilihanraya yang ke 13 ini pengundi hendaklah mengundi BN dan menolak PR dengan dakwaan antara lain bahawa PAS menjadi kuda tunggangan DAP, dan bahawa pemimpin-pemimpin Islam PKR dan PAS telah tersasar dari akidah Islam . Satu dakwaan yang sungguh serious dan menakutkan.
 
Tapi amat malang sekali, bahawa segala dakwaan keatas PR itu tidak pula berani dipertanggungjawabkan. Jika PAS, DAP  atau PKR hendak mengambil atau memberikan reaksi atau mengambil tindakan, kepada siapa sepatutnya dituju? 
 
Kepada UMNO? Kepada UMNO/BN? Kepada calun UMNO/BN yang bertanding dikawasan itu?
 
Ianya tidak boleh dilakukan kerana pihak-pihak yang dinyatakan diatas tidak menyatakan dengan jelas dan terang bahawa dokumen/risalah itu adalah hak mereka.
 
Mungkin orang PR yang buat? Jawapan yang boleh diberikan oleh pihak-pihak diatas, jika  misalnya pihak PR menuding jari kepada mereka.
 
Oleh yang demikian isi kandungan dokumen/risalah itu tidak dapat dipertahan dari segi kesahihan dan kebolehpercayaannya.
 
Namun begitu saya hanya mampu membuat 'inference' bahawa dokumen risalah itu bukan dari PR tetapi dari pesaingnya UMNO/BN berdasarkan perkara-perkara berikut:
 
i) Isi kandungannya memburuk-burukkan pimpinan dan parti-parti dalam PR.
 
ii) Pihak masjid membenarkan dokumen/risalah yang tidak bertanggungjawab itu diletakkan diatas tangga pintu masjid untuk tujuan edaran kepada para jemaah. Hanya dokumen/risalah dari UMNO/BN saja yang mendapat layanan seperti itu.
 
iii) Dalam beberapa minggu yang berlalu dan ketika ini termasuk semalam (Jumaat) masjid berkenaan telah digunakan sebagai tempat merayu undi oleh UMNO/BN. Antara caranya ialah melalui khutbah Jumaat, solat hajat selepas Jumaat yang menyatakan niat untuk memenangkan UMNO/BN dan doa dalam beberapa kali majlis bacaan surah Yassin setiap hari Khamis (malam Jumaat).
 
Maka kata-kata UMNO/BN yang mendakwa memperjuangkan keadilan dan yang hak itu serta yang kononnya mahu mengajak kepada perpaduan umat Islam, sebenar dan sesungguhnya telah tercemar dengan tindakan seperti diatas.
 
Mengapa pihak masjid melakukan perkara sedemikian? 
 
Sudah tentu pihak yang diberi amanah menguruskan masjid telah bertindak berat sebelah. 
 
Adil kah cara itu
 
Islamkah cara itu? 
 
Tidakkah itu pecah amanah namanya?
       
Oleh itu saya katakan bahawa segala yang disampaikan atau yang dinyatakan dalam dokumen/risalah-risalah tersebut adalah bertujuan untuk meraih undi. Bagi saya meraih undi adalah tidak salah dan wajar dilakukan oleh mana-mana parti politik yang bertanding. 
 
Cuma parti/calun politik yang bertanding itu mesti ingat bahawa meraih undi adalah untuk menang agar kuasa dari undi yang diberikan rakyat itu dapat diuruskan dengan penuh amanah. Ertinya parti/calun yang menang itu tidak boleh menyeleweng dari amanah yang telah diberikan. Jika menguruskan negara, calun dan parti itu mesti bertanggungjawab dan amanah.
 
Itu adalah asas utama dan pertama yang mesti ada  untuk mendapat/meraih undi. Itu juga asas pertama dan utama undi itu diberi dan diwakilkan oleh rakyat kapada calun dan parti yang menang untuk mengurus tadbir negara.
 
Baik . Sekarang saya ingin bertanya:
 
i) Perbuatan mendakwa berbagai keburukan dan tersasar akidah dikalangan pimpinan PR oleh calun/parti tanpa memperkenalkan diri itu adakah perbuatan calun/parti yang bertanggungjawab? Sudah tentu perbuatan itu tidak bertanggungjawab.
 
ii)  Amanahkah sifatnya jika calun/parti menggunakan satu tempat yang suci iaitu dimasjid untuk menyebarkan risalah yang penuh dengan  dakwaan yang tidak mampu dipertahankan dan tidak ada ruang untuk pihak yang dituduh untuk memberi reaksi dan penjelasan yang sewajarnya. Apatah lagi dakwaan yang berkaitan dengan akidah.
 
Bagi saya, jawapannya ialah calun dan parti itu tidak bertanggungjawab dan tidak amanah. Dan calun/parti ini tidak boleh dipercayai untuk dipilih dalam PRU ke 13 ini. 
 
Kita tidak wajar memilih mereka yang tidak berani mengambil tanggung jawab dan juga tidak amanah.