Theflowersellingboy

Ahad, 6 November 2011

Usah Bertengkar Lagi. Malulah Kat Jiran Sebelah.

Masih lagi tak sudah sudah 'pertengkaran' tentang penggunaan bahasa yang wajar bagi pembelajaran ilmu sains dan matematik disekolah-sekolah di Malaysia. Yang bertengkar itu terdiri dari orang yang hebat-hebat termasuk yang pernah menerajui negara bagi satu tempoh yang agak lama. 

Pak tani, nelayan, pemungut dan pengumpul sampah syarikat swm dan mereka yang satu kategori dengannya tidak pula menunjukkan minat? untuk 'masuk gelanggang' bertengkar demi masa depan mereka dan anak-anak. Atau mereka ini cuma pihak yang disuruh 'telan' saja apa yang dilantakkan ke dalam mulut oleh setengah pemimpin dan orang-orang bandar yang bijak pandai.  Apalah nilai intelek yang ada pada pak tani dan yang setaraf dengannya itu. Mereka itu 'bodoh'. Cuma bila pilihanraya mereka adalah orang yang dikasihi.


Begitulah cetusan emosi saya apabila mendengarkan isu bahasa ini diulangbangkit berterusan seolah-olah ianya belum selesai, dan tidak mampu diselesaikan sedangkan mereka yang membangkitkan itu terdiri dari orang yang ada nilai keintelektualannya. Sebab itulah saya  memanggil finomina ini sebagai  medan 'pertengkaran' kerana tidak ada satu penyelesaian yang muktamad.  Keputusan berbentuk noktah. Cukup itu saja.


Saya sentiasa percaya bahawa bahasa Inggeris ini adalah terlalu penting. Mesti dan wajib semua orang kuasai. Jadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat untuk di anugerahkan sijil. 


Saya juga percaya bahawa ilmu sains dan matematik juga terlalu penting untuk kita kuasai. Cuma saya tidak percaya bahawa hanya bahasa Inggeris saja boleh digunakan untuk menyampaikan ilmu sains dan matematik secara yang lebih berkesan berbanding dengan bahasa yang lain termasuk bahasa Melayu. Dan saya langsung tidak percaya dan diluar dari pemikiran logik bahawa untuk menguasai bahasa Inggeris kita boleh lakukan dengan belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Bagi saya ini adalah satu pembohongan yang paling ketara. 

Saya anggap mereka yang berpegang kepada kepercayaan begitu adalah orang-orang yang mempunyai maksud lain yang tersirat. Mereka cuma menggunakan pengajaran dua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris itu untuk memajukan satu agenda yang tersirat yang lebih besar. Mereka orang-orang yang 'smart', mungkin tidak licik. Macam telah saya bicarakan dalam paparan terdahulu bahawa strategi mereka boleh diumpamakan 'lulus jarum luluslah kelindan. Maknanya dua mata pelajaran ini sebagai 'papan lompatan' saja kepada satu tujuan yang lebeh besar supaya Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah di Malaysia yang mereka cintai.  Semua mata pelajaran kecuali bahasa Melayu dan yang lain akan menggunakan bahasa Inggeris.


Kalau benarlah tanggapan saya itu, dan saya harap tidak benar, maka reaksi spontan saya ialah bahawa saya mahu jadi orang yang  pertama mengangkat tangan menyokong dan bersetuju. 

Cuma apabila sedikit demi sedikit masa berlalu, setelah fikiran boleh berfikir dengan tenang, setelah memahami apa itu maruah bagi sebuah negara yang merdeka, setelah penat memikirkan apakah yang saya dapat wariskan kepada anak-anak generasi yang akan datang untuk satu aset bangsa yang paling berharga maka saya katakan bahawa saya telah membuat satu keputusan yang hanya boleh disesalkan pada hari kemudian, semasa mana saya sudah tiada lagi. Sesal kemudian tiada gunanya lagi.


Saya tidak bersetuju dengan keputusan spontan saya itu walaupun peluang untuk cekap dan mahir berbahasa Iggeris, secara oral dan tulisan adalah terlalu besar. Bahasa adalah satu warisan bangsa.


Ada pihak yang suka berterngkar itu memberi alasan bahawa bahan-bahan bacaan dan rujukan tidak banyak terdapat dalam bahasa Melayu untuk kedua-dua ilmu itu. Dan tambahnya lagi terjemahan ilmu itu ke dalam bahasa Melayu terlalu sedikit dan lembab. Seteusnya sambung mereka bahawa banyak istilah atau perkataan-perkataan dalam dua disiplin itu tidak mudah malah tidak mampu diusahakan/dialih ke dalam bahasa Melayu. Jadi kenapa perlu bersusah payah cuba mencari istilah dalam bahasa Melayu yang tidak mampu itu? Gunakan saja bahasa Inggeris bukan ke mudah.


Hujahan dalam perkara yang mereka tengkar itu memang betul 100%. Tapi apa masalah sebenarnya? Setahu saya masalahnya ialah penguasaan bahasa dan bukan pemahaman kepada ilmu itu. Jadi apa yang perlu kita uruskan? Sudah tentu memperbaikki pengajaran bahasa itu.


Yang kedua-dari segi buku bacaan dan rujukan yang berlambak dalam bahsa Inggeris dan terlalu kurang dalam bahasa Melayu kerana kerja-kerja terjemahan yang lembab. Apa masalahnya disini? Gunakanlah buku-buku bahasa Inggeris yang berlambak itu. Kalau pandai bahasa-bahasa yang lain seperti Perancis , Jepun, German dan Mandarin lagi menguntungkan. Sekali lagi masalah penguasaan bahasa.

Soal istilah dan kerja-kerja terjemahan yang lembab. Apa pula masalahnya ni? Saya tidak nampak masalah yang besar. Gunakan istilah atau termonologi bahasa Inggeris itu dan sampaikan ilmu itu dalam bahasa Melayu. Orang Inggeris pun menceduk dari berbagai bahasa misalnya bahasa Arab , Greek, Perancis dan sebagainya.

Kita cakap soal penyampaian ilmu melalui bahasa. Bukan penggunaan istilah yang katanya memang tidak ada atau tidak boleh dicipta dalam bahasa Melayu. Lihat sekarang, sebenarnya sudah lama berlaku, perkataan 'digital', perlukah kita cari atau cipta perkataan yang dikatakan Melayu. Sudah tentu itu satu kerja tidak berfaedah, kalau pun tidak ketahap kerja orang bodoh. 

Habis apa masalah kita kalau sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu?


Saya masih lagi teringat akan peristiwa kena tarik telinga oleh Mr. Chandran, guru bahasa Inggeris apabila saya telah melakukan kesalahan berulang kali bagi perkara yang sama. Apabila disuruh buat ayat menggunakan 'conjunction' although saya akan tidak pernah melupakan perkataan 'but' dalam ayat itu. Kerana otak saya berfikir dalam bahasa Melayu. Misalnya: "Although he is so strong but he can not lift.....". Belum sempat ayat itu habis, dengan pantas Mr. Chandran menghampiri saya menarik telinga saya kerana melakukan kesalahan. Sebab itulah sampai sekarang saya boleh ingat 'hukuman' itu.


Satu lagi kesalahan ialah saya selalu menyebut "I repeat again...". Kena lagi tarik telinga.

Maksud saya yang mudah ialah cara dan teknik pengajaran itu amat mustahak. Cikgu yang mengajar itu tidak jemu-jemu membetulkan kesalahan walaupun telah berulang kali dilakukan. Sudah tentu jika ditimbulkan cara pembelajaran yang santai dan menyeronokkan seperti lakun drama, mencari bakat nyanyi dan juara bicara bahasa Inggeris terbaik, ianya menarik minat pelajar untuk belajar bahasa Inggeris. Sudah tentu pelajar pula mesti tekun belajar. Caranya wajibkan bahasa Inggeris lulus sebagai syarat dapat sijil. Sama seperti kisah saya kena tarik telinga diatas tadi.


Dengan demikian janganlah kita terus bertengkar lagi tentang penggunaan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik. Seperti bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain didunia, Bahasa Melayu berupaya menyampaikan kedua-dua bidang ilmu itu. Bahasa Melayu bahasa yang dengan mudah boleh menerima apa saja perkataan dalam bahasa lain untuk di terap dan digunakan dalam penyampaian ilmu. Jangan gusar atau sengaja buat gusar akan istilah yang masih belum ada dalam Bahasa Melayu. Boleh saja ambil istilah bahasa asing itu diterap dan dijadikan bahasa Melayu. Itu pun yang telah kita lakukan. Perkataan 'kasut' bukan dari Bahasa Melayu. Jadi mengapa sibuk masih nak bertengkar lagi. 


Kita mahu pandai bahasa Inggeris maka belajarlah bahasa itu dengan jiwa dan raga kita. Yang mengajarpun mesti mempunyai semangat yang sama.


Negara sudah mahu masuk umur pencen pun masih nak bertengkar lagi. Apa yang ditengkarkan? Nak guna bahasa apa untuk sains dan matematik? Malulah kat jiran sebelah yang lebih kemudian dari kita merdeka. Itupun kita yang merdekakan.


Atau inikah wawasan 2020 yang dibentuk berdasarkan ACUAN kita? Saya nampak ianya ACUAN mat salleh yang kita selalu marah-marah, benci dan sanggah.



Harap jangan marah akan penglihatan mata saya itu kerana saya tidak mahu bertengkar. MUAK.

Sabtu, 5 November 2011

Cerita Aku, Dak Ai

 Yousef Imran (Ummi dan Ayah Telah Bersedia Dengan Nama Semasa Yousef Dalam Kandungan)

Aku diberi nama Dak Ai. Itulah nama aku yang telah diberikan oleh kedua orang tua ku semasa aku tiada daya untuk memberi cadangan nama lain yang lebih manis disebut dan enak didengar. Nama yang membawa makna yang baik-baik. 


Ini jelas dalam sijil beranak. Ini dokumen rasmi yang sah yang perlu dipakai dan mesti diterima sebagai pengenalan diri dalam semua urusan. Aku tidak dapat mengelak lagi, aku  kena terima seadanya.


Tapi macam mana nama Dak Ai ini boleh menyelinap dalam kepala orang tua aku sehingga diistiharkan dalam sijil beranak. Ada kah nama itu nama ciptaan sepontan. Maksud aku ianya hanya terkeluar dari mulut bapaku (aku pasti emak aku tidak ada bersama kerana dalam pantang) apabila ditanya oleh polis yang bertugas di Rumah Pasung semasa bapaku datang untuk mendaftarkan kelahiran ku.


Ahmad Naqib dan Mamanya (Nama Telah Lama Di Sediakan)

"Ini kici apa nama?" Aku terbayangkan polis yang bertugas itu seorang Sikh yang  telah tersilap diberikan identiti Benggali menanyakan bapaku. Bapa ku memang seorang yang cepat gemuruh, terlalu takut untuk berurus dengan orang-orang kerja ofis, apatah lagi anggota polis yang selalu disamakan sebagai orang yang kerjanya ialah untuk menangkap dan memenjara orang.


"Ya tuan, minta maaf tuan". Aku membayangkan tubuh badan bapaku sedikit menggigil dan muka yang bertukar menjadi pucat. Dia seorang yang cepat melatah. Kalau orang sebut 'makan' dia akan menyebut 'makan' juga. Satu penyakit yang belum lagi jumpa ubatnya sehingga kini.

Dia tidak bersedia dengan nama yang perlu didaftarkan tidak seperti aku dan orang-orang yang sezaman denganku yang telah bersedia lebih awal lagi semenjak berita kehamilan isteri diketahui.


"Kalau anak kita ni lelaki kita berikan nama Azrin. Kalau perempuan Azrina", begitulah kesepakatan kami suami isteri sebaik saja berita baik disahkan oleh doktor bahawa kami akan menjadi papa dan mama. 

Anak aku pula telah mempunyai senarai nama untuk anaknya iaitu cucuku yang pertama yang masih lagi dalam kandungan. Mereka suami isteri telah memilih nama lelaki sebaik saja doktor mengesahkan jantina anak mereka yang amsih dalam kandungan.
   
"Ini kici apa nama. Saya mahu tulis". Polis Sikh itu meninggikan suara sambil matanya merenung kearah muka bapaku yang semakin pucat dan mulut terketar-ketar untuk mengeluarkan suara.


"Daaaa " belum sempat bapaku menghabiskan sebutan nama bagi anaknya itu iaitu aku, polis itu menengking "Ai yo,  itu nama ada susah ka?"


"Daa......ai" terketar-ketar keluar perkataan-perkataan dari bapaku akibat sergahan polis Benggali itu.


"Dak Ai ka. Itu tada susah", Polis itu menulis nama aku sebagai 'Dak Ai' dalam sijil beranak itu setelah melihat bapaku mengangguk-angguk sambil tersenyum takut seolah-olah meminta dimaafkan diatas kesalahannya lambat memberi tahu nama yang perlu dituliskan dalam sijil beranak itu.

"Apa kerja?" Polis itu sekali lagi bertanya bapaku yang sedikit telah reda darah gemuruhnya. "Potong getah" jawab bapaku segera, sudah ada keyakinan.

Maka nama itu aku bawa sehinggalah kehari ini. Hanya aku rasa beruntung sedikit kerana apabila aku bercakap atau berbicara dengan seseorang aku akan menggunakan ganti diri sabagai Al (I). Ada sedikit gaya orang putih. Maklumlah semasa dulu dan mungkin juga sekarang ini kalau kita bercakap dengan ganti diri 'I' ini , secara otomatik orang menganggap kita berpelajaran Inggeris, 'educated' . Tidak kisahlah selepas itu cakap Melayu. Atau lebih naik lagi status kalau campurkan beberapa perkataan Inggeris yang saya tahu. Nampak steady je.

Sekarang aku telah ada dua orang cucu lelaki. Seorang darinya sudah pandai bercakap dan yelah boleh memangil nama ummi dan ayah. Jadi cucu aku yang sentiasa senyum tu memanggil aku sebagai 'Tok Ai'. Kadang-kadang aku terdengar macam 'tokai'. Nasib baik 'tokai', kalau dia tersebut 'pokai', naya aku. Sebab aku takkan nak marah cucu yang disayangi itu, tambah-tambah dia sentiasa senyum.
Tak tahu apa pula cucu yang kedua panggil. Tok Ai? Pokai? Atau Dak Ai?

Apa-apa sajalah. Yang pasti aku akan terus bercakap dengan orang dengan ganti nama diri 'I', ada ummmmph.

Jumaat, 4 November 2011

Salam Jumaat 33: Maafkanlah Mereka

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat buat anda yang dikasihi semoga Allah merahmati kehidupan anda semua. Amin.

Sekarang musim haji dan dua hari lagi kita akan meraikan Hari Raya Kurban pada 10 Zulhijjah setelah  jumaah haji berwukuf di padang Arafah pada 9 Zulhijjah. Kita mendoakan mereka yang sedang menjalankan ibadat haji itu sihat-sihat dan dapat melakukan ibadat haji dengan sebaik mungkin untuk  dihadiahkan dengan Haji Yang Mabrur. InshaAllah.

Sekiranya ada para jemaah itu yang tidak sempat atau gagal bertemu dengan mana-mana pihak untuk memohon kemaafan atas salah silap dan kesalahan yang telah dilakukan maka hendaklah kita dengan besar hati dan penuh kasih sayang memaafkan mereka.  Dengan cara ini saya rasa boleh membantu dan memudahkan mereka menunaikan ibadat haji itu. Kita pun banyak membuat kesilapan dan  kesalahan. Jika kita mengharapkan orang lain memaafkan kita maka sewajarnya kita memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap kita. 

Pada tahun ini juga seperti yang diberitakan Perdana Menteri kita juga bersama dengan jutaan manusia melakukan ibadat haji. Marilah kita bersama-sama mendoakan supaya Perdana Menteri dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur. Sekiranya ada hal-hal yang telah menimbulkan salah faham atau rasa kemarahan kita terhadap Perdana Menteri marilah secara besar hati  memafkannya. Semoga kemaafan yang kita beri itu akan memudahkan ketua kita itu melaksanakan ibadat hajinya. InsyaAllah.

Semoga kesemua  jemaah haji dapat melakukan ibadat itu dalam keadaan yang aman. Kepada jemaah haji Malaysia saya ucapkan selamat menjalankan ibadat dan selamat kembali ke tanah air.

Sekian . Salam Jumaaat dan jumpa lagi.