Theflowersellingboy

Isnin, 10 Oktober 2011

Nenek Dan Balu Yang Tua -tua Hendaklah Berhati-hati:Anak-anak Hendaklah Juga Mengingati Emak Masing-masing

Saya ingin berkongsi dua buah cerita atau peristiwa yang benar-benar  telah berlaku keatas dua orang balu adik beradik yang tinggal dirumah yang berasingan tetapi yang berdekatan yang dipisahkan oleh jalanraya.


Kedua-duanya adalah  pada peringkat umur nenek, masing-masingnya berusia 78 dan 82 tahun.

Rumah kakak disebelah atas jalan. Kakak  tinggal bersendirian semenjak suami meninggal dunia 20 tahun yang lepas. Kesemua anak-anak tinggal di Kuala Lumpur. Nenek ini lebih selesa tinggal dirumahnya sendiri walaupun anak-anak mengajak untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur. Namun sekali sekala nenek ini pergi juga ke Kuala Lumpur seminggu dua tinggal dirumah anak-anak secara bergilir-gilir. Dan anak-anak pula sentiasa balik ke kampong sekurang-kurang nya sebulan sekali pada hujung minggu.


Manakala ruamah adiknya disebelah bawah jalan. Semenjak suaminya meninggal dunia 15 tahun yang lepas nenek ini tinggal bersama anak perempuan yang masih belum berumahtangga. Anak-anak yang lain sebahagian besarnya tinggal di Kuala Lumpur. Dua orang tinggal dinegeri yang sama tetapi ditempat yang berlainan. Agak jauh juga dari rumah nenek ini. Seperti kakaknya, nenek ini juga lebih selesa tinggal dirumah sendiri. Anak-anak juga selalu menjenguk nenek ini.


Mereka sentiasa kunjung mengunjung rumah bersarapan pagi dan minum petang sambil bersembang.   Kadang-kadang mereka ditemani oleh seorang jiran sekampong. Begitulah yang selalu mereka lakukan disebuah pangkin buruk dibawah sebatang pokok durian.

Rupa-rupanya rutin mereka ini sentiasa diperhatikan seseorang yang mempunyai niat jahat.

Pada sebelah pagi kurang lebih pukul sepuluh sebuah motorsikal berhenti dihadapan pintu pagar rumah nenek (kakak) disebelah atas jalan itu. Kebetulan kakak dan adik serta jiran sekampong itu sedang bersembang ditempat biasa (pangkin) dan pintu pagar terbuka. Pembonceng motorsikal itu terus menuju kearah mereka meninggalkan pemandu diatas motorsikal yang tidak dimatikan enjin.


"Makcik kenal tak En. Husin. Saya ada bawa barang (sambil menunjukkan sebuah kotak kecil yang biasanya diisi dengan cincin atau gelang tangan). Kawan dia suruh berikan", kata pembonceng itu setelah memberi salam dan tunduk dengan penuh hormat bersalaman tangan dengan ketiga-tiga nenek itu.


Husin adalah jiran nenek rumah disebelah atas jalan itu. Tapi Husin isteri dan anak-anaknya jarang ada dirumah. "Kenal. Tu rumah Husin", nenek itu menunjukkan rumah Husin. "Saya dah ke rumahnya tapi tak ada orang. Beginilah makcik, boleh makcik beri barang ini pada Husin. Mustahak ni". 

Nenek (kakak) itu bangun mendekati pembonceng itu untuk mengambil barang yang ada ditangan pembonceng itu. Sebaik saja nenek itu mendekatinya dengan pantas diragutnya rantai leher emas yang dipakai oleh nenek itu sehingga putus dan nenek itu jatuh. Pembonceng itu terus lari menuju ke motorsikal yang pemandunya telah siap sedia untuk memecut motorsikalnya. Nenek yang jatuh dan adiknya serta jiran sekampong itu kesemuanya menggigil tiada bersuara untuk menjerit meminta tolong. 
  
Peristiwa kedua pula mengenai adiknya pula. Pada satu hari disebelah petang lebih kurang pukul tiga, seseorang yang tidak dikenali memberi salam dan berdiri dihadapan pintu pagar rumah yang berkunci. Anak perempuan nenek ini menghampiri pintu pagar untuk mengecam orang yang memberi salam itu. Dia tidak kenal orang itu. 


"Ini rumah mak En.Amran ke?" Tanya orang itu. Ditangannya ada sebuah kotak kecil sama seperti cerita nenek yang pertama itu. "Ya" jawab rengkas anak perempuan itu. "En.Amran dari Johor ada kirimkan barang kemas untuk mak kakak" kata orang itu dengan penuh yakin. Oleh kerana nama yang disebut adalah nama adiknya Amran yang bekerja di Johor, anak perempuan nenek itu membuka kunci pintu pagar dan membenarkan orang itu masuk kedalam rumah berjumpa emaknya.


"En.Amran minta saya berikan benda ni pada makcik. Katanya rantai mas. Cuba nenek buka".


Apabila dibuka memang betul rantai leher yang berkilau seperti emas. "Tapi makcik, rantai ni macam bukan mas tulin. Takut En Amran kena tipu" Kata orang itu. "Saya ada alat untuk sahkan mas ke bukan. Kakak tolong beri rantai emas kakak dileher tu untuk saya test dan bandingkan dengan yang ini".


Anak perempuan itu macam dipukau ikut saja arahan. Setelah memegang rantai emas anak perempuan itu, orang itu meminta supaya diberikan semanggok kecil air untuk dibuat ujian keatas kedua-dua rantai itu. Anak perempuan itu masih lagi patuh dan menuju ke ruang dapur. Sebaik saja dia ke ruang dapur, orang itupun terus lari meninggalkan nenek yang tidak dapat berkata apa-apa pun. Apabila anaknya membawa semangkok air dan bertanya dimana orang itu nenek itu masih tergamam dan anggota badan menggigil sambil memberitahu 'dah lari sama dengan rantai'. Maka menangislah anak perempuannya itu. Yang ditinggalkan ialah rantai emas palsu yang dibawanya konon dari En. Amran.


Persoalan: Macam mana dalam kes pertama tadi orang jahat itu boleh mengenali nama jiran nenek itu. Adakah kemungkinan orang jahat itu adalah orang sekampong? Nenek-nenek itu tidak kenal mereka. Tidak juga tahu cara untuk menyiasat. Mungkin pihak Polis bioleh memberi jawapan.


Tetapi dalam kes kedua ada cerita sebelumnya yang menyebabkan boleh berlakunya peristiwa tersebut.


Pada suatu hari sebelum persitiwa yang menyedihkan itu, nenek ini pergi membeli sayur disebuah kedai yang tidak berjauhan. Kedai tersebut disamping menjual sayuran juga sebuah kedai menjual minuman dan kuih muih. Dikedai ini ada seorang yang tidak dikenali menghampiri nenek ini sambil menyatakan simpati kerana pada usia selanjut itu terpaksa berjalan kaki membeli sayur. 

"Makcik tak ada anakke?" Tanya orang itu.


Oleh kerana cara bertanya dan suara yang lembut maka nenek tadi segera menjawab. "Semua anak makcik tak duduk sama. Ada yang Kuala Lumpur ada di Johor".


Orang itu tersenyum dan terus bertanya "Yang di Johor tu siapa namanya?".  "Amran. Kenalke?" jawab nenek itu. "Dirumah makcik tinggal dengan pakcik ke?" tanya orang itu lagi. "Tak. Tinggal dengan anak perempuan", jawab nenek. Orang itu terus tersenyum.


Dari perbualan dikedai inilah maka maklumat telah berjaya dikumpulkan untuk satu operasi jahat merompak orang tua yang tidak ada daya upaya. Sungguh binatang perangai orang-orang itu.


Anak-anak kedua nenek itu dengan segera pada hari itu balik kerumah maknya dan membuat laporan Polis.


Di Balai Polis , pihak Polis menyatakan kes penipuan macam ini terlalu banyak. Pada hari yang sama telah berlaku lebih dari sepuluh kes. Malah kata Polis kes ini terlalu kecil. Banyak lagi kes yang besar-bersar yang belum disiasat.


Mendengarkan kata Polis itu anak nenek yang membuat laporan Polis itu telah dapat membaca mesej yang hendak disampaikan oleh Polis itu. Mesejnya kes ini kecil saja. Jadi jangan harap untuk Polis buat siasatan kerana masih banyak kes besar yang juga belum disiasat.


Demikianlah cerita yang benar yang menimpa kepada orang tua yang jujur lurus dan tidak ada upaya. Saya sengaja mengenengahkan cerita ini kerana ada kemungkinan ramai balu-balu pasukan keselamatan yang dijanjikan Perdana Menteri dalam bajet baru-baru ini akan mendapat RM3,000.00 seorang akan dikunjungi  orang-orang jahat ini menyamar seperti orang baik dan menipu balu-balu ini. Yang terlalu berisiko ialah mereka yang tinggal bersendirian. Oleh itu anak-anak balu-balu itu hendaklah sentiasa mengingati emak-emak mereka supaya tidak tertipu.

Sekian semoga penipuan dapat dielakkan. Polis sewajarnya juga memberi perhatian kepada kes penipuan seperti ini. Tidak mencukupi dengan berkata "kes ini terlalu banyak  dan banyak lagi kes-kes besar yang belum disiasat".

Sabtu, 8 Oktober 2011

Bajet Negara 2012: Bajet Lingkungan Waktu Ini

Saya percaya ramai orang/rakyat yang merasa lega buat sementara apabila Perdana Menteri membentangkan Bajet Negara 2012 pada petang semalam. 

Banyak yang menyenangkan hati: subsidi minyak tidak dipotong; terima berbagai habuan untuk diri dan keluarga termasuk anak-anak yang bersekolah; tidak ada cukai baru; perihatin kepada penjawat awam termasuk yang telah bersara dengan tambahan pendapatan dalam bentuk gaji dan bonus; dan banyak lagi yang menggembirakan hati dalam 'lingkungan waktu ini'.

Lingkungan waktu ini membawa maksud jangka masa pendek atau buat sementara saja. Lingkungan waktu ini adalah bertunjangkan kepada satu tujuan iaitu untuk memenangi hati sebahagian besar rakyat yang ketika ini menghadapi beban sara hidup yang sentiasa meningkat kerana kenaikan harga dan barangan khususnya barangan dan perkhidmatan perlu dan asas.

Pendekatan bajet seperti ini amat dialu-alukan kerana apa ertinya sebuah kerajaan yang bertanggongjawab dan perihatin jika kesusahan rakyat tidak dibantu dan diatasi. Cuma lingkungan masanya yang menjadi pertanyaan. Bukan membantu 'masa' rakyat susah kerana itu adalah satu kewajipan. Tapi lingkungan masa itu nampaknya buat sementara dan pada ketika hampir pilihanraya. 

Bagaimana dengan pendekatan meransang pertumbuhan ekonomi yang bersifat pendekatan jangkamasa panjang untuk membuahkan pendapatan negara yang meningkat yang seterusnya dapat diagihkan secara adil (distribution with equity) kepada rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup itu? 

Soal kecekapan dan ketelusan dalam urustadbir, soal kebertanggongjawaban, rasuah dan ketirisan, pembaziran wang negara atas perbelanjaan yang berbentuk seremonial dan menterampilkan  imej adalah beberapa isu yang mesti diberi perhatian. 

Jika ini dan beberapa lagi langkah dan tindakan bagi merancak pertumbuhan ekonomi dan pengurusan kewangan yang baik tidak terangkum dalam agenda Bajet 2012 maka ianya tidak akan membawa Malaysia ke satu masa depan yang lebih cerah.

Hasil negara akan berkurangan dan kemampuan menyara kesejahteraan rakyat menjadi kekangan.

Jadi Bajet 2012 dilihat berjaya menyenangkan hati rakyat pada jangka masa yang pendek saja. 

Saya percaya Kerajaan tidak akan bertahan lama dengan bajet yang dibentangkan ini. Akan ada perubahan dan akan ada pembentangan yang baru bagi menyesuaikan pertumbuhan ekonomi atau hasil yang masuk dengan wang yang keluar. 

Yang saya ingat ialah Perdana Menteri pernah maklumkan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya menunggu sesudah pilihanraya. Maknanya Kerajaan hendakkan tambahan hasil bagi membiayai perbelanjaan. Bukan begitu?
 
Apabila kita bercakap pasal perbelanjaan dua perkara yang mesti terlibat iaitu wang yang masuk dan wang yang keluar.

Wang yang masuk adalah antara lain berdasarkan kepada prestasi ekonomi, pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi banyak bergantong kepada dasar dan polisi yang boleh menarik banyak para pelabur dan para peniaga untuk terlibat dalam ekonomi negara. Persaingan dan bukan monopoli boleh mengasilkan kecekapan. Kecekapan boleh mengurangkan kos pengeluaran. Kos pengeluaran yang rendah mengahsilkan harga barangan dan perkhidmatan yang kompetitif dan relatif rendah. Harga barangan dan perkhidmatan yang rendah mengurangkan beban sara hidup. Dan jika polisi seperti itu berterusan maka rakyat  pun secara berterusan akan menghirup kehidupan yang berkualiti.
 
Dan jangan lupa persekitaran ekonomi dunia. Setengah pihak menjangkakan ekonomi dunia terutama ekonomi Eropah dan Amerika Syarikat masih lagi belum menunjukkan suasana yang boleh menggalakkan pertumbuhan.


Sementara wang yang keluar pula hanya akan memberi faedah kepada rakyat dan negara jika penggunaannya dalam rangka pengurusan kewangan yang berasaskan kebertanggongjawaban. Yang penting ialah adakah tabung kerajaan itu mencukupi untuk membiayai perbelanjaan yang dirancang.


Dalam kata lain Kerajaan boleh membentang dan mencadangkan apa saja angka belanjawan. Ianya wang diatas kertas saja. Dia tidak semestinya akan jadi begitu. Kalau jadi begitu bersyukur kita semua. Tapi jika tidak malah wang masuk terlalu kecil dari perbelanjaan yang telah dirancang maka bagaimana kita berhadapan dengan masaalah ini. Kerajaan akan menggunakan simpanan yang ada? Berapa banyak berbanding dengan simpanan yang sedia ada?

Hubaya-hubaya langkah ini. Boleh jadi bengkrap dan merudumkan kedudukan keupayaan kredit negara dari segi 'rating' dunia. Masalah besar.

Seperkara lagi wang yang keluar itu jika 'meleleh' ketempat lain maka matlamat perbelanjaan asal tidak akan tercapai. Apa yang telah berlaku nampaknya 'lelehan' itu sudah menjadi satu yang biasa, amalan biasa yang meleleh dalam berbagai bentuk. Ada yang dipanggil komisen, bayaran perunding , hadiah, sagu hati, dividen dan bonus. Ada bentuk yang lain? 


Sebab itu Bajet 2012 adalah bajet lingkungan waktu sementara. Akan ada perubahan sekiranya BN menang pilihanraya. Doa kita agar tidak jadi begitu.


Apa pun tahniah kepada yang mendapat bantuan dan berbagai kemudahan.
 

Jumaat, 7 Oktober 2011

Bajet dan Belanjawan Negara 2012

Saya baru saja mendengar ucapan pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri. Tapi malangnya atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan saya hanya dapat mendengar pada pertengahan pembentangan sehingga ke akhir saja. 

Sebelum pembaca keliru akan tajuk diatas: 'Bajet dan Belanjawan Negara 2012', perlu diterangkan bahawa kita membincangkan satu perkara yang sama dari dua versi yang berbeza.

Bajet 2012 adalah cadangan perancangan kewangan Kerajaan BN yang baru saja tamat dibentangkan oleh Perdana Menteri yang mencadangkan penggunaan dari Kumpulanwang DiSatukan Persekutuan sebanyak RM232 bilion dengan anggaran defisit sebanyak 4.7%. Ini adalah versi perancangan kewangan BN.

Manakala Belanjawan 2012 adalah bayangan cadangan perancangan kewangan  PR sebanyak RM220 bilion dengan anggaran defisit sebanyak 4.4%. Ini adalah versi perancangan kewangan PR.


Walaupun tema pembentangan berbeza tetapi kedua-dua versi ini memberi fokus dan keutamaan kepada sasaran yang sama iaitu rakyat terbanyak golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuklah kakitangan perkhidmatan awam.


Berbagai kemudahan, bantuan, skim dan langkah dicadangkan oleh dua versi perancangan kewangan ini yang bertujuan merengankan beban rakyat terbanyak. Misalnya bajet BN masih lagi mengekalkan subsidi minyak, tidak memperkenalkan cukai baru yang membebankan rakyat dan memberi bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan. Versi Belanjawan PR pun serupa juga.


Jadi tidak ada banyak perbezaan. Kedua-duanya ingin membantu mengurangkan beban rakyat.


Maknanya apa yang saya kata dalam paparan awal hari ini adalah betul iaitu kedua-dua BN dan PR membentangkan Perancangan Kewangan 2012 adalah sebagai kaedah meraih undi rakyat.


Oleh itu rakayat kenalah berfikir dengan lebih matang sama ada menyokong bajet atau belanjawan.


Untuk tujuan itu saya cuma hendak mengingatkan bahawa sesuatu perancangan kewangan itu hanya memberi makna dan sampai ke sasarannya jika diurus dengan baik, telus ,tidak rasuah dan salah guna kuasa. Jumlah yang banyak tidak penting. 


Maka bermula dari sekarang renung dan ingat-ingatkanlah berbagai peristiwa sama ada yang menyenangkan atau yang membebankan kita semua sekurang-kurangnya 5 tahun yang lepas. Cerita-cerita rasuah dan salahguna kuasa adalah suatu petunjuk yang boleh membantu kita untuk membuat keputusan memilih BN atau PR.


Akhirnya ini adalah bajet pilihanraya. Walaupun ada wang rupanya senang belanja. Salah lah kata Dr. Mahathir yang mengatakan PR tiada wang sebab itu boleh berjanji macam-macam. BN mengikut pembentangan tadi mencadangkan berbagai perbelanjaan menolong orang yang memerlukan sebab ada wang.

Fikir-fikirkan . Tidak lama lagi pilihanraya.