Theflowersellingboy

Jumaat, 7 Oktober 2011

Salam Jumaat 29: Hari Keperhatinan Untuk Yang Hidup Susah dan Sederhana

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat. Semoga anda budiman sentiasa sehat selalu.

Hari ini Jumaat 07 Oktober 2011.
 
Orang fakir miskin yang hidup serba kekurangan, rakyat bawahan yang berpendapatan kecil yang sentiasa menghadapi beban tekanan hidup disebabkan kos hidup yang tidak henti-henti meningkat, mereka yang berpendapatan sederhana yang juga terbeban dengan masalah yang sama, orang yang cacat kurang upaya dan orang-orang yang setaraf dengan semua yang dinyatakan itu termasuklah kakitangan awam sekali lagi akan menjadi bahan gunaan yang sungguh ampuh dalam pembentangan bajet 2012 yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri dalam masa beberapa jam lagi.

Pembentangan bajet kali ini semestinya akan memberi tumpuan utama kepada golongan-golongan yang dinyatakan itu. Mereka mesti dibantu dengan berbagai skim, program, imbuhan, projek dan rancangan bagi mengurangkan beban kos hidup. 

Bajet 2012 adalah bajet pilihanraya. Oleh itu bajet ini sewajarnya lah memberikan harapan dan kegembiraan kepada majoriti rakyat. Harapan dan kegembiraan rakyat itu mudah saja iaitu tidak menyusahkan hidup mereka. Antara harapannya ialah harga barang dan perkhidmatan tidak akan meningkat; upah atau gaji yang membolehkan mereka hidup selesa sekurang-kurangnya RM1500.00 terutama yang duduk dibandar; rumah yang mereka mampu beli yang harganya diantara lima puluh ribu ke enam puluh ribu; kemudahan pelajaran percuma sehuingga ke peringkat universiti dan tidak diperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan seperti yang dirancangkan kerajaan.

Sebenarnya banyak lagi harapan mereka. Sudah tentu harapan ini memerlukan jumlah wang yang banyak. Mereka meminta cukai baru tidak diperkenalkan dan meminta cukai yang ada dikurangkan. Mereka meminta subsidi dikekalkan. Mereka juga meminta harga rumah yang mampu dibeli, yang murah. Pelajaran percuma sehingga ke universiti. Kenaikan gaji termasuk kakitangan awam.

Harapan mereka terlalu banyak. Kesemuanya untuk membri satu kehidupan yang berkualiti. Kos kualiti ialah jumlah wang yang banyak. Menambahkan perbelanjaan kerajaan.


Tiada cukai baru dan pengekalan subsidi juga menambah beban kewangan negara. 


Disamping itu kerajaan juga mahu merancakkan pertumbuhan ekonomi dengan berbagai skim dan kaedah yang boleh menarik pelabur dan peniaga-peniaga mengeluarkan modal mereka dalam ekonomi Malaysia. Misalnya memberikan berbagai insentif seperti pioneer status, tax holiday, pelepasan cukai bagi beberapa peralatan dan kelengkapan dan sebagainya. Ekonomi yang rancak tumbuh akan memberi peluang banyak pekerjaan dan peningkatan upah. Hasil negara juga akan bertambah.

Maknanya yang miskin susah, sederhana, cacat dan kurang upaya, kakitangan awam perlu dibantu. Melibatkan tambahan kewangan. Yang merancakkan pertumbuhan ekonomipun perlu dibantu. Melibatkan pengurangan hasil kerajaan dalam jangka masa pendek.


Jadi nampaknya susah juga kerajaan hendak menguruskan negara supaya semua pihak diberi pertimbangan supaya sama-sama hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.


Tapi kalau kerajaan sekarang mengatakan  urusan itu amat susah ianya petanda yang buruk terutamanya bagi bajet 2012. Kalah nanti dalam pilihanraya. Saya percaya kerajaan mampu melakukannya.

Caranya laksanakan tadbir urus yang telus dan bertanggongjawab. Jangan amalkan rasuah. Kaji semula perjanjian-perjanjian yang telah dibuat dengan beberapa syarikat yang besar-besar supaya dapat distruktur semula bagi merengankan beban kerajaan dan faedahnya dipanjangkan kepada yang memerlikan

Kerajaan sekarang perlu ingat bahawa persaingan amat hebat dari PR yang telah pun mengemukakan belanjawan mereka yang nampaknya amat menarik. Tidak kisahlah komen mengatakan PR sebagai pembangkang boleh berjanji bintang dan bulan. Namun sebahagian rakyat telah pun mengetahui cara urustadbir yang dilakukan dinegeri-negeri PR. Mereka boleh buat perbandingan.

 

Khamis, 6 Oktober 2011

Musuh Yang Bersahabat dan Sahabat Yang Bermusuh: Ciri-ciri OrangPolitik?

Musuh adalah mereka yang bersikap membenci terhadap pihak lain yang juga mempunyai sikap yang sama. Sahabat pula adalah mereka yang bersikap setiakawan terhadap pihak lain yang juga memberi timbalbalik sikap yang sama.

Itulah pengertian yang akan digunakan dalam perbicaraan ini.


Pertama, Musuh Yang Bersahabat. Ertinya mereka yang membenci atau sangat membenci pihak yang lain tetapi menunjukkan sikap persahabatan. Bagaimana boleh jadi begitu?

Pada asalnya dua pihak ini memangnya bermusuhan saling benci membenci. Mereka sentiasa bertentangan dan tidak bersetuju diantara satu sama lain. Sifat benci membenci ini boleh membawa kepada perlakuan serta tindakan anianya menganianyai , sabotaj diantara satu sama lain dan ada yang sampai ketahap bunuh membunuh. Ini dilakukan semata-mata untuk mempertahankan kepentingan dan survival mereka. Apa saja peluang yang ada dan terbuka akan digunakan bagi mengatasi dan melemahkan diantara mereka yang bertentangan itu. Malah setiap mereka juga akan mencari dan mencipta peluang bagi maksud yang sama.

Sikap benci membenci dan permusuhan itu boleh menjadi reda dan 'neutralised' apabila mereka yang bertentangan itu menghadapi pihak yang lain yang juga musuh kepada mereka, musuh bersama mereka. Musuh bersama  ini boleh memberi ancaman kepada kepentingan  kedua-dua mereka. Maka atas dasar itu musuh itu akan bekerjasama untuk menghadapi musuh bersama itu. Walaupun mereka bermusuh tapi mereka perlu bersahabat untuk tujuan, keadaan dan masa tertentu. Mereka tetap bermusuhan tetapi 'menjalinkan' persahabatan untuk sesuatu tujuan, dalam keadaan dan masa yang diperlukan.

Kedua, Sahabat Yang Bermusuh. Ertinya mereka yang pada mulanya bersifat setiakawan berubah menjadi musuh. Bagaimana boleh jadi begitu?

Sahabat yang bermusuh ini lahir berikutan dari perbezaan dari segi kepentingan diantara mereka. Perbezaan kepentingan yang boleh menggugat kedudukan dan dominasi mereka dalam berbagai hal kehidupan. Maka rasa setiakawan tidak lagi dapat memujuk mereka untuk mengekalkan tali persahabatan. Malah mereka lebih rela berpisah dan menghamburkan kata-kata yang berbaur kebencian yang tidak pernah mereka fikirkan semasa bersahabat dulu. Segala yang rahsia, sulit dan bersifat peribadi yang telah dikongsi bersama atas dasar setiakawan dulu khususnya yang melibatkan nama baik dan imej akan ditelanjangkan. Bukan itu saja, malah direkacipta sesuatu yang boleh mencacatkan maruah dan imej diantara mereka atas kekuatan bahawa mereka lebih tahu apa yang sebenarnya berlaku, hasil persahabatan mereka dulu. Dengan itu apa yang ditelanjangkan didakwa sebagai yang benar dan boleh dipercayai.

Jadi adakah Musuh Yang Bersahabat  dan Sahabat Yang Bermusuh ini sebenarnya wujud dalam kehidupan harian?

Jawabnya ia sesuatu yang lumrah. Yang bermusuh bersahabat dengan musuhnya atau paling kurang bersikap bermesra dengan musuh untuk menentang musuh bersama. Yang Bersahabat akan bermusuh dengan sahabatnya atau sekurang-kurangnya menyamar sebagai sahabat tetapi hati telah mula membenci kerana kesetiakawanan telah pupus.

Finomina ini berlaku dalam hubungan antara individu, individu dalam kumpulan/organisasi dan antara kumpulan/organisasi dengan kumpulan/organisasi yang lain.

Musuh yang bersahabat dan sahabat yang bermusuh tidak akan mengesan sangat jika ianya melibatkan perhubungan antara individu kerana bilangan yang kecil. Tetapi jika perhubungan itu melibatkan indivividu/kumpulan indivividu  dalam sesuatu kumpulan/organisasi kesannya besar sekali.

Yang paling mengesan sangat ialah organisasi yang terlibat dalam meraih pengaruh untuk mendapat kuasa untuk meneraju sebuah negara . Organisasi politik.


Cuba kita ingat-ingatkan peristiwa-peristiwa, cerita-cerita, kisah-kisah dan kejadian-kejadian yang telah dan sedang berlaku ditempat kita sendiri. Sudah tentu sepanjang usia kita terutama semasa ingatan kita masih jelas dan kuat maka apa yang telah dan sedang berlaku itu sebahagiannya mempunyai unsur atau bersifat seperti yang kita katakan Musuh yang bersahabat dan Sahabat yang bermusuh. 

Dalam organisasi politik, setiap ahli organisasi politik itu percaya bahawa kuasa adalah matlamat yang perlu diperolehi jika mahu meneraju negara. Dan dalam organisasi politik itu sendiri mempunyai struktur yang menjadi rebutan yang perlu dikuasai untuk menuju ke puncak. Maka dalam kebersamaan tujuan untuk mendapat tempat dan kuasa dalam organisasi, wujud  persaingan (sihat dan kotor bergantung kepada tafsiran mengikut kepentingan masing-masing) terutama yang merasakan dirinya lebih layak duduk ditempat yang lebih tinggi atau di puncak organisasi mengatasi yang lain , yang selalunya meninggalkan kesan-kesan luka, ada yang berparut dan ada yang parut tidak kelihatan.

Ada diantara yang bersaing itu mudah sangat jatuh kecewa apabila tewas dalam persaingan. Yang tidak merasa kecewa akan tetap mencuba lagi. Tetapi sama ada kecewa atau cuba lagi , retak-retak hubungan mula mererambut didalam hati. Dan jika nafsu menguasai perasaan dan fikiran apatah lagi yang gagal kecewa itu mula disingkirkan maka rerambut itu akan menjadi akar tunjang yang tegak kukuh menunjangi hatinya untuk memulakan satu babak perhubungan berasaskan kebencian. Lahirlah sahabat yang menjadi musuh yang tidur dalam selimut yang sama.  

Itulah yang dikatakan Sahabat Yang Bermusuh yang masih lagi menyamar sebagai sahabat. Masih lagi tidur satu selimut.  Perlakuan bersalaman masih tetap diteruskan dengan penuh takzim menundukkan badan menghulurkan tangan kanan yang disokong tangan  kiri sambil mencium tangan pihak yang menang yang tersenyum simpul penuh bangga. Tapi dalam hati sentiasa curiga.

Kiranya kebencian tidak dapat dibendung, tidak juga dapat diselindung kerana masing-masing wajah tidak lagi menarik mata untuk saling pandang memandang malah lidah telah tidak sanggup mengeluarkan kata mesra bertegur sapa maka yang gagal kecewa membawa diri keluar atau dinyahkeluarkan dari organisasi itu. Maka bermulalah secara terang dan jelas Sahabat yang bermusuh.

Ketika status sahabat menjadi musuh, ketika inilah masing-masing melakukan penelanjangan akan segala yang buruk dan jelik mencemar dan memperlekehkan sesama mereka tanpa batas dari segi ruang dan waktu serta cara. Semuanya dipergunakan seolah-olah dulunya tiada satu yang baik, tiada yang berbudi-menerima budi dan tiada yang berjasa-menerima jasa, dan tiada yang manis semua pahit belaka. Kebenaran cerita dan apa yang dikata bukan menjadi pertimbangan.


Seperti biasa falsafah yang telah diterima oleh ahli politik ialah tiada kawan dan musuh yang berkekalan. Maka benarlah bahawa musuh itu boleh menjadi sahabat dan sahabat itu boleh bila-bila masa menjadi musuh. Atau dalam kata lain sahabat adalah juga musuh dan musuh adalah juga sahabat. Berbagai kaedah digunakan sama ada terang-terangan atau bertopengkan kepuraan-puraan menyamar sebagai orang yang sejalan.
 


Namun tidak semua ahli politik begitu. Sebahagian besarnya adalah terdiri dari mereka yang benar-benar mahu memikul tanggongjawab dengan keinsafan. Cuma karekter yang berciri Musuh Yang Bersahabat dan Sahabat Yang Bermusuh saja yang wajar dikenalpasti.

Maka dengan itu cuba ingatkan lagi, pandang sekitaran, depan belakang atas dan bawah, kiri dan kanan, jauh dan dekat, kejadian yang lama dan yang terbaru, kemudian kaitkan dengan cerita Musuh Yang Bersahabat dan Sahabat Yang Bermusuh. Adakah boleh kita ketengahkan karekter-karekter seperti itu.


Jika telah dikenalpasti dan boleh ditunjukkan dengan jelas, dan  jika orang ini cuba mengada-ngada menjadi calun pilihanraya mewakili apa saja parti atau bebas tidak berparti maka jangan sekali-kali tangan kita memangkah mengundi mereka.

Benar, mereka boleh berubah menjadi sahabat tapi jangan sekali-kali percayakan mereka kerana apabila menjadi musuh habis rahsia kita ditelanjangkan seolah-olah yang buruk dan jelik kita saja. Apatah lagi mereka menguasai segala-galanya atau sekurang-kurangnya bermesra dengan yang berkuasa walaupun musuhnya atau pernah menjadi musuhnya.

 



Rabu, 5 Oktober 2011

Yang Diharapkan Pada Hari Jumaat

Pada hari Jumaat ini 7 Oktober 2011   Kerajaan dibawah teraju BN akan membentangkan Bajet Negara bagi mendapatkan kelulusan Parlimen bagi perbelanjaan tahun 2012 diperolehi dari Kumpulanwang Disatukan Persekutuan. Mengikut tradisi pembentangan akan dilakukan pada sebelah petang oleh Perdana Menteri. Biasanya kertas ucapan belanjawan itu tersimpan selamat dalam sebuah 'brief case' . Teks ucapan di'embargo' sebelum Perdana Menteri selamat membentangkan cadangan bajet negara itu.

 Sebahagian besar rakyat termasuklah ahli-ahli parlimen memberikan fokus yang lebih kepada aspek perbelanjaan dan amat kurang melihat atau membincangkan aspek hasil. Selalunya perbincangan lebih kepada peruntukan perbelanjaan yang dicadangkan dan jarang sekali mengaitkan peruntukan yang disediakan dengan hasil. Maka tumpuan adalah kepada berapa besar wang diperuntukkan bagi sesuatu Maksud Perbelanjaan.

Dengan demikian rakyat akan selalunya menunggu-nunggu apakah peruntukan yang disediakan yang dapat memberi faedah atau menguntungkan mereka. Walaupun Kerajaan ada menyatakan bahawa peruntukan sebesar yang dicadangkan itu akan memberi implikasi kepada pengurangan hasil Kerajaan, biasanya hal itu tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Selain dari itu sebahagian besar rakyat juga sentiasa menunggu skim potongan sesuatu bayaran atau kenaan misalnya potongan cukai pendapatan atau tarif elektrik dan lain-lain lagi. Mereka juga tidak berminat untuk melihat kesan dari pengurangan hasil itu.


Begitu juga bajet tidak dilihat sebagai satu perancangan kewangan negara. Maka dengan sebab itu apabila tawaran-tawaran peruntukan yang dirasakan boleh memberi faedah dan keuntungan akan mendapat puji-pujian dari rakyat. Lantas media akan membuat komen-komen menyatakan sessungguhnya bajet itu perihatin kepada keperluan rakyat. Soal berkaitan sistem pengurusan kewangan yang berdisplin, telus dan bertanggongjawab biasanya tidak banyak diperbincangkan dikalangan rakyat biasa. Cuma ahli-ahli parlimen yang benar-benar melihat bajet sebagai alat perancangan kewangan akan memberi perhatian yang mendalam agar wang negara itu disalur dan dimenfaatkan sebaik mungkin melalui tadbir urus yang terbaik.

Jadi bajet yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ini selain dari memperuntukkan jumlah atau skim/program bagi membantu rakyat khususnya yang kurang berkemampuan, ianya hendaklah secara jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan supaya wang negara akan dibelanjakan sebaik mungkin mengikut disiplin kewangan yang terbaik: telus dan kebertanggongjawaban.


Belanjawan PR dibentangkan pada hari Selasa yang dikatakan Belanjawan Sejahtera untuk Rakyat. Kita tunggu Bajet BN yang akan dibentangkan pada hari Jumaat. Harap-harap ia tidak akan jadi Bajet Jengkel Rakyat.


Saya percaya BN tidak akan berbuat begitu. BN mesti lebih menSejahterakan Rakyat. Dua-dua, BN dan PR mahu pancing undi.


Rakyat fikirlah yang mana boleh diharap dan dipercayai. Cuma pesan saya jangan taruh harapan dan percaya kepada orang yang suka cakap bohong. Hari ini kata boleh , esok lain cerita.