Theflowersellingboy

Jumaat, 3 Jun 2011

Salam Jumaat.......13: Bersembang dengan Penjual Air Cincau, Air Kelapa Muda dan Sirap Bandung

Assalamualaikum wbth dan Salam Sejahtera kepada anda budiman.

Kita berjumpa  kali ke 13 dalam SJ. Pada kali ini kita hendak bercerita hasil sembangan dengan seorang penjual air cincau, air kelapa muda dan air sirap bandung. Cerita biasa saja tapi bagi penjual air itu dia amat berpuas hati sekali apabila dapat menceritakan isi hatinya kepada kita. Kita kata begitu sebab diakhir sembangan dia mengucapkan terima kasih.

Lesen Berniaga

Beliau ada lesen berniaga yang dikeluarkan oleh pihak majlis tempatan bagi jualan air dan juga makanan gorengan seperti keropk lekor, pisang, keladi dan keledek. Cuma lesen itu lesen berniaga bergerak. Ertinya beliau tidaklah boleh menetap disesuatu kawasan misalnya di ruang tempat letak kereta. Dengan demikian beliau menggunakan sebuah van untuk membawa jajaannya dari satu tempat ke tempat yang lain. Tapi cara ini tidak membolehkannya dapat pelanggan yang banyak. Untuk mendapatkan pelanggan yang lebih beliau selalunya akan meletakkan kenderaan niaganya di ruang tempat letak kereta berhadapan dengan kompleks perniagaan.

Kita dapati di tempat seperti ini beliau memperolehi pelanggan yang bertali arus terutamanya dalam keadaan cuaca yang panas terik.  Jualan air kelapa muda yang berais , air cincau dan sirap bandung bukan main laku lagi.

Apabila ditanya sama ada beliau tahu bahawa lesen berniaga beliau tidak membenarkan beliau berada lama di ruang tempat kereta, beliau tahu dan faham mengenai perkara itu dan tahu cara untuk menguruskannya apabila berhadapan dengan pihak berkuasa. Jika ada pihak penguatkuasa tempatan datang , beliau akan berunding dengan pihak berkenaan supaya dapat membenarkannya berniaga lama disitu . Dalam banyak kali cara rundingan ini berjaya. Tapi kalau bilangan pihak penguasa itu ramai, ada masalah sedikit sebab mungkin ada yang tidak bersetuju untuk membenarkan beliau berniaga disitu.

Kita tidak pula bertanya bagaimana rundingan menjadi mudah jika pihak penguatkuasa itu seorang saja dan menjadi rumit jika ramai. Tapi yang pasti beliau mengharapkan supaya perniagaan beliau yang kecil-kecilan ini untuk mencari rezeki yang halal untuk memberi nafkah anak isteri janganlah dipersusahkan. Maksud beliau supaya pihak yang berkuasa tidak menghambat dan mendenda beliau kerana berniaga tetap atau lama di sesuatu kawasan yang memberikan pelanggan yang ramai kepadanya.

Begini kata beliau "Saya peniaga kecil. Ada peniaga besar, dapat untung besar, berniaga secara haram, harap pihak berkuasa tumpukan penguatkuasan  keatas mereka".

Kita tidak pula tanya peniaga barang atau perkhidmatan apakah yang dimaksdkan besar dan haram itu.

Kebersihan Berniaga

Aspek kebersihan juga diambil kira oleh peniaga. Beliau menyediakan tempat buang sampah dalam satu bekas plastik hitam bagi memudahkan sampah atau buangan dimasukkan ke  dalam plastik hitam itu. Kulit kelapa muda yang telah di belah di masukkan dalam satu plastik untuk dibuang. Maka tidak kelihatan kulit kelapa muda itu bersepah bertaburan. Katanya kebersihan adalah penting supaya pihak berkuasa akan lebih bersimpati untuk membenarkannya berada lama di sesuatu tempat. Namun satu hal yang wajar juga diberi perhatian oleh peniaga sama ada berniaga air atau makanan yang lain ialah supaya tidak merokok semasa berniaga terutama semasa mengambil atau menceduk air kedalam bekas untuk pelanggan. Kita dapati peniga air ini masih lagi dengan tabiat yang kurang menarik kepada pelanggan untuk menikmati jualannya.

Seperti yang kita kata tadi bahawa cuaca yang panas terik akan membuatkan tekak menjadi kering dan haus. Tapi kita tidak jadi untuk memesan air kelapa muda yang sungguh mengancam tekak dan selera kerana peniaga tadi menguruskan perniagaannya dengan begitu khusuk merokok.

Diakhir sembangan beliau mengucapkan terima kasih dan berpesan kalau ada kelapa muda harap hantar kepadanya dan beliau sanggup membeli RM1.60 sebiji. Kita sedang mencari kelapa muda untuk dijual kepada peniaga ini dan peniaga yang sekerjaya dengannya.

Kita juga simpati dengan peniaga seperti ini yang kadang kadang dihambat pergi untuk bergerak ke tempat yang lain yang mungkin tiada pelanggan walaupu kita akui tindakan pihak berkuasa itu berlandaskan undang-undang namun kesalahan mereka tidak banyak membawa kesan yang terlalu buruk berbanding banyak kesalahan-kesalahan lain. Tapi kalau nak denda mereka apa yang boleh kita kata kerana kita pun hanya boleh berkata sama seperti yang disuarakan oleh peniaga air tadi.

Kita ulang , " Saya peniaga kecil. Ada peniaga besar, dapat untung besar , berniaga secara haram, harap pihak berkuasa tumpukan penguatkuasaan keatas mereka".

Jumpa lagi minggu depan dalam cerita masyarakat yang lain pula.

Khamis, 2 Jun 2011

Aduiiii.... macam mana ni

"Aduiiiiiii macm mana ni . Apa lagi yang akan naik ".

Itulah keluhan yang tidak asing dikalangan rakyat yang berpendapatan rendah. Ini bukan keluhan kali yang pertama. Telah banyak kali. Tidak dapat dikira. Dalam setiap kenaikan harga Kerajaan mempunyai alasan bagi menyokong tindakan yang dibuat. Misalnya dari segi pengurangan dan pada akhirnya penghapusan subsidi minyak adalah dibuat bagi mengurangkan beban tanggongan kerajaan . Sekira tidak berbuat demikian Kerajaan akan bengkerap.  Rakyat yang berpendapatan rendah tidak akan terjejas sangat dengan potongan subsidi.

Sekarang kenaikan tarif letrik. Kerajaan juga mengatakan tidak menjejaskan kehidupan rakyat berpendapatan rendah.

Betul ke begitu. Cuba kita fikir mengikut fikiran orang yang tidak ada ilmu ekonomi atau kewangan atau orang yang tidak mempunyai pelajaran yang tinggi. Paling tinggi setakat gagal SPM. Cuma kita ada banyak kelebihan dari pemimpin kerajaan itu dari segi merasa pahit pedih dalam menghadapi kehidupan harian. Kita telah biasa makan ala kadar, biasa dengan mengangkat barang yang berat-berat diwaktu panas terik, terlalu biasa berjalan kaki untuk ke tempat kerja mencari rezeki . Selain dari itu kita tidak pernah muak untuk sentiasa menyokong mereka untuk duduk diatas memimpin kita yang tidak ada ilmu untuk mengurus negara.

Bila tarif letrik naik , kilang-kilang atau pengeluar produk dan penyedia perkhidmatan tidak terlibat ke? Mereka ini menggunakan arus letrik yang banyak. Kalau begitu mereka akan menanggong kenaikan tarif itu nanti. Mereka tanggong sendiri ke? Sudah tentu mereka turunkan beban mereka kepada pihak lain melalui pengenaan harga barangan yang lebih mahal. Begitu juga pihak yang menyediakan perkhidmatan.
Semua pihak ada kepentingan. Masing-masing akan cuba mengurangkan kesanatau bebanan dari kenaikan harga tarif dengan memindahkan kepada pengguna.

Siapa pengguna? Kita semua termasuk pemimpin-pemimpin kerajaan. Tapi pemimpin kerajaan tidak akan terasa walaupun penggunaan arus letrik terlalu tinggi. Sebab semuanya akan ditanggong oleh rakyat melalui cukai yang kita bayar. Manakan tidak, kereta kita bayar, minyak kita bayar, penyenggaraan kereta kita bayar, bil letrik untuk hawa dingin kita bayar, bil internet dan talipon kita bayar, sewa rumah kita bayar, makan tengah hari kita bayar. Adakan jamuan meraikan tetamu, kita juga bayar. Pendek kata selagi mereka duduk diatas semua kita bayar.
 
Sebab itu mereka tidak pernah mengatakan ' aduiiii....... macam mana ni.' Semua tanggong beres.

Orang susah macam kita tidak pandai mengatur hujah dan bahasa kerana yang penting bagi kita ialah jangan terlalu dan selalu menyusahkan kita. Kalau kita susah kita akan mengeluh 'aduiiiiiii .....macam mana ni' . Itu saja yang kita mampu buat. Nak ambil tempat mereka kita tidak ada ilmu pentadbiran maklum kita ini SPM pun gagal.

Jangan berterusan menyeksa kita. Tolong. Please! Pandai juga kita cakap orang putih. Sebab itu agaknya yang pemimpin kita faham.

Rabu, 1 Jun 2011

Merancang Perbelanjaan Harian: Amalkan Cara dan Tabiat Ini Sebagai Rukun Untuk Hidup.(RUH)

 Gambar Hiasan: Sumber dari Cozay Group
Kita Belum Lagi Seperti Ini

1. Penjawat awam dan mereka yang berpendapatan tetap terutama golongan peringkat rendah  mesti bersedia menghadapi realiti kos hidup yang sentiasa naik . Anda semua hendaklah menyesuaikan cara hidup dan tabiat pemakanan .  Hanya yang perlu, betul-betul perlu saja sekadar boleh menyambung nyawa anda dan keluarga., untuk hidup,  yang mesti anda lakukan. Anda perlu bersyukur kerana anda masih lagi boleh hidup selesa. Cuba anda banding dengan rakyat di negara-negara lain seperti di Afrika yang pernah anda lihat dalam tv. Kesiankan, mereka tidak cukup makan dan lalat menghurungi mulut mereka termasuk anak-anak kecil yang tidak tahu satu apa.Amalkan Rukun Untuk Hidup (RUH) yang diubahsuai. Begini caranya,

1.1 Cara hidup bergaya sebelumnya seperti mempunyai sebuah motorsikal berkuasa kuda 150 c.c tidak boleh diteruskan lagi kerana harga minyak telah naik dan dijangka akan naik lagi. Lupakan hasrat hendak beli sebuah kancil atau yang setaraf dengannya kerana anda tidak akan mampu membeli minyak yang sentiasa meningkat, membuat penyelenggaraan atau membayar tol yang begitu banyak menyekat perjalanan anda. Naik pengangkutan awam kalau anda berhasrat untuk balik ke kampong menjengok ibubapa walaupun pengangkutan itu harganya pun meningkat sama tidak setanding dengan khidmat yang ditawarkan.

1.2 Lupakan hasrat anda untuk bercuti membawa anak-anak melawat zoo atau balik ke kampong menjengok ibubapa dan saudara mara.

1.3 Tidak perlu selalu pergi ke warung untuk makan tengah hari pada waktu rihat. Bawa bekalan sekadar mengalas perut untuk kurangkan belanja.

1.4 Ikut nasihat Kerajaan supaya kurangkan pengambilan gula kerana gula itu racun penyebab kencing manis.

1.5 Kurangkan makanan berlemak dan berminyak seperti nasi lemak dan roti canai dan yang lain-lainya  untuk mengelakkan bertambahnya kolestoral yang boleh menyempitkan saluran darah sehingga membuatkan jantung terpaksa bekerja kuat mengepam darah akibatnya anda akan kena sakit jantung atau darah tinggi.

1.6 Yang lebih baik jangan gunakan minyak semasa menggoring atau menumis . Masak secara merebus saja. Bagaimanapun jangan guna air yang banyak kerana penggunaan air yang banyak akan meningkatkan bil air anda.

1.7 Peti ais , tv, kipas, mesin basuh, seterika letrik dan apa saja yang memerlukan arus letrik bagi alat-alat tersebut berfungsi hendaklah digunakan berdikit-dikit. Ertinya swis peti ais hendaklah ditutup apabila didapati sudah sejuk dan dibuka semula apabila sejuknya telah tiada. Begitu juga yang lain-lain seperti menonton tv hendaklah dikurangkan atau lupakan saja kerana ianya tidak memberi banyak faedah malah boleh menambah dosa kering. Walaupun cuaca negara panas dan anda perlu berihat selepas letih bekerja, gunakan kertas surat khabar untuk mengipas mendinginkan badan. Tiba masanya anda meletakkan baju atau pakaian yang lain di bawah bantal untuk dihimpit semasa tidur sebagai ganti seterika letrik. Basuhlah pakaian seperti pernah anda buat semasa dulu, jangan guna mesin basuh. Jangan juga pasang alat penghawa dingin walaupun anda boleh berangan-angan kerana angan-angan tidak menambahkan penggunaan arus letrik. Kalau anda berjaya berbuat demikian seperti yang dinyatakan anda berkemungkinan tidak termasuk dalam golongan yang akan dikenakan kenaikan 7 setengah peratus seperti yang diumumkan.  Berhenti dari melanggan astro kalau anda sedang berbuat demikian.

1.8 Lupakan hasrat anda untuk mendapatkan talian internet jika belum berbuat demikian. Kalau sudah ada anda jangan buat bayaran bulanan kerana mereka akan buat potongan. Tidak perlu ada handphone kerana dulu pun anda tidak mempunyai handphone, hidup juga.

1.9 Anda tanam sayur-sayuran seperti yang dinasihat oleh pimpinan. Kalau anda tiada kawasan untuk bercucuk tanam gunakan botol air mineral (boleh dikutip ditong sampah atau dimana-mana kerana ramai orang suka buang ikut nafsu masing-masing) , dipotong setengah dan masukkan tanah (korek dimana-mana, jangan beli) dan semailah biji cili gerenti tumbuh.

1.10 Biasakan anak anda pergi sekolah berjalan kaki kerana anda dulu pun macam itu. Anggota badan bertambah sihat tidak perlu makan supplement atau pergi ke gym. Bekalkan makanan seperti lempeng kering yang tidak berminyak dan air masak untuk mengalas perut anak anda sebagai ganti wang untuk membeli makanan..
 
1.11 Beli baju dan seluar anak yang besar sedikit dari saiznya untuk dapat dipakai lebih lama lagi. Mulakan tabiat menampal baju atau pakaian yang telah koyak dan jangan rasa malu. Cuba anda lihat pakaian compang camping , koyak rabak , terbuka sana dan sini sudah diterima masyarakat. Anda tidak demikian, cuma tampal saja.

1.13 Amalkan berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis tetapi waktu berbuka dan bersahur makan seadanya saja sesuai seperti yang dituntut oleh agama. Pahala dapat , kurang belanja.

2. Mereka yang bekerja sendiri  misalnya peniaga warung makanan, pengusaha kantin sekolah dan yang setaraf dengannya  yang pendapatan hampir bersamaan dengan pekerja rendah bergaji tetap juga mesti bersedia untuk menyesuaikan perbelanjaan kerana pendapatan anda akan berkurangan kerana pelanggan anda akan berkurangan kerana mereka juga terpaksa menyesuaikan perbelanjaan. Mereka hanya akan berbelanja sekadar cukup mengalas perut saja. Anda juga perlu mengamalkan RUH seperti diatas.

3. Mereka yang berpendapatan sederhana dan sederhana tinggi  dan tidak banyak mempunyai berbagai kemudahan yang disediakan oleh majikan atau tidak mempunyai peluang yang luas terbuka untuk mendapat sumber pendapatan tambahan juga wajar mengamalkan satu dua RUH diatas supaya anda tidak akan jatuh ke taraf pekerja bergaji rendah atau pengusaha warung makanan.

4. Mereka yang kaya berpendapatan tinggi yang mempunyai berbagai kemudahan dan keistimewaan yang disediakan majikan termasuk yang dibenarkan oleh Peraturan Pentadbiran dan undang-undang dibawah berbagai  Akta dan  Enakmen/Ordinan diminta amalkan juga RUH sedemikian supaya dapat juga merasakan suasana kehidupan mereka misalnya tidak pergi bercuti membawa anak melawat zoo. Mungkin anda akan merasa kegelisahan kerana tidak berpeluang melihat monyet di zoo kerana anda mengamalkan salah satu rukun hidup diatas. Jika demikian bermurah hatilah kepada mereka, hulurlah sedikit kekayaan anda kepada mereka bukan dari wang anda tetapi dari keupayaan anda yang telah diamanhkan kuasa.